“Nah!”
Azizah panggung sedikit kepalanya melihat kepada lipatan
surat khabar yang dihulurkan oleh Iskandar melalui celah besi pintu pagar.
Kemudian kepalanya diangkat sedikit tinggi memandang riak lelaki itu. Tak jadi
balik ke? detak dalam hati.
“Ambiklah!”
Iskandar suakan surat khabar itu lebih dekat lagi. Azizah
sambut. Dalam kepala ligat berfikir untuk apa pula surat khabar ini diberikan
kepadanya. Pandangan Azizah hanya melihat tingkah laku Iskandar selepas itu.
Lelaki itu membentangkan baki surat khabar yang ada padanya ke atas simen di
depan pintu pagar. Iskandar kemudian melabuhkan punggungnya di situ lalu
bersila. Azizah melopong melihat.
“Tunggu apa lagi?”
Iskandar mendongak memandang kepadanya.
“Tttunggu apa?” Azizah tergagap menyoal semula.
“Bentang surat khabar dan duduklah. Ke awak nak berdiri
saja sepanjang kita berborak ni?”
“Ddduduk atas lantai macam ni?” Mata terkebil-kebil
melihat kepada lelaki itu. Tidak percaya.
“Yalah! Saya ajak awak keluar, awak tak nak. Awak nak
berborak dekat sini saja. Jadi, kita duduklah dekat sini. Lagipun, saya luar
pagar, awak dalam pagar. Berkunci pula tu. Awak nak takut apa? Lampu jalan ni
pun terang. Takkan kena tangkap basah punya.” Iskandar mendongak kepala melihat
lampu jalan yang menyala terang di atas kepalanya. Kemudian dia melihat pula ke
arah jalan raya.
“Jalan pun masih sibuk lagi dengan kenderaan. So, kita bukannya duduk berdua-duaan di
tempat yang sunyi.” Matanya kembali kepada Azizah yang masih berdiri.
Memang gilos
betul mamat ni. Tak pernah dibuat dek
orang lain macam ni.
“Oh! Sekejap.” Iskandar
mengangkat tinggi telunjuknya. Selepas itu dia pusingkan separuh
badannya ke belakang. Mencapai sesuatu di atas tembok penghadang longkang.
“Tarra...”
Iskandar julang tinggi menayangkan dua bekas di tangannya kepada Azizah.
“Apa tu?”
“Kalau nak tahu kena duduklah dulu.” Iskandar
mengeluarkan arahan.
Azizah akur tanpa menyoal lagi. Dia bentangkan surat
khabar ke atas lantai. Kemudian didaratkan punggungnya di situ. Mereka kini
sudah duduk bersebelahan, tetapi dengan jarak yang sedikit jauh. Dipisahkan
pula oleh pintu pagar itu. Memang kerja pandir. Dah macam berpicnic dah tengah laman ni. Malam-malam
buta pula tu. Kalaulah Rozaini tahu, muak kena basuh, cetus Azizah.
Iskandar buka bekas plastik di tangannya dan menghulurkan
kepada Azizah di seberang pagar.
“Brownies cheese
dan kopi. Barulah rasa macam berpicnic
di tengah laman di tengah malam buta.”
Iskandar menyeringai kepadanya. Iskandar macam tahu saja apa
yang terlintas di fikiran dia tadi.
“Brownies ni pun
saya yang buat tau! Ingat nak bagi awak petang tadi. Saya terlupa pula. Sebab
tu saya singgah rumah awak on the way
saya nak masuk kerja malam ni.”
Mamat ni berapa gantang dah telan semut ya? Memanjang lupa
saja. Lupa nak pulangkan sweater
dialah. Lupa nak bagi brownies nilah.
Ke, alasan Iskandar sengaja datang nak jumpa dia? Ah! Peduli apa. Janji bukan dia
yang tergila-gilakan mamat ni.
Azizah melihat isi bekas. Terliur pula rasanya apabila ganache yang melitupi atas brownies cheese berkilat-kilat dipanah
cahaya lampu jalan.
“Jemput!” Iskandar suakan lagi bekas itu.
Dengan teragak-agak, Azizah hulurkan tangan dari celah
besi pagar lalu mencapai sekeping potongan brownies
cheese. Tanpa dapat menahan nafsu, segera digigit dan dikunyah. Kelopak
matanya terkatup rapat menikmati keenakan rasa brownie itu. Hmm... sedapnya... Kenapalah mamat ni pandai sangat membaking
sama seperti Aziz?
“Boleh awak cerita apa yang jadi selepas awak berkenalan
dengan Aziz di kantin sekolah tu?”
Kunyahannya terhenti. Pantas Azizah berpaling kepada
Iskandar di sebelah. “Eh! Bukan sepatutnya awak yang bercerita ke? Kenapa saya
pula?”
Iskandar senyum manis kepadanya. Heh! Iskandar ingat dia
nak mengalahlah bila buat senyum memikat macam tu. Jangan mimpi!
“Nah!” Iskandar hulurkan kunci keretanya.
“Buat apa dengan kunci kereta hantam awak ni? Nak bagi
kereta tu dekat saya? Taknak! Tak hingin
saya. Swift saya tu lagi lawa tau.”
“Bila pula saya cakap nak bagi Vios saya tu dekat awak?
Saya bagi kunci kereta saya ni sebagai cagaran. Selagi saya tak cerita pasal
Aziz, awak pegang kunci ni. Confirm
saya tak boleh lari. Bila saya dah cerita, baru awak pulangkan kunci kereta
saya ni.”
Cepat Azizah menyambar kunci yang dihulurkan oleh
Iskandar.
“Awak yang suruh ya. Jadi saya pegang janji awak. Selagi
awak tak cerita, saya tak pulangkan kunci ni.”
Iskandar mengangkat tinggi kedua belah tangannya.
Menyerah.
“Saya boleh cerita, kalau awak habiskan dulu cerita awak
dan Aziz tu. Apa yang berlaku selepas awak berkenalan dengan dia di kantin
sekolah. Dan cerita kepada saya bagaimana awak dan Aziz boleh berpisah.
Kemudian baru saya cerita bagaimana saya tahu pasal awak dan Aziz.”
Heh! Lagi satu perjanjian. Iskandar ingat dia ni bodoh
ke? Dia pun pandai buat deal juga. “Boleh!
Tapi saya pun ada syarat saya.”
“Apa dia?”
“Bagi saya purse
awak.”
“Awak nak tengok saya ada simpan gambar perempuan lain
dalam purse tu ke?”
“Bagi sajalah. Banyak soal pula.”
Iskandar geleng kepala sambil tersenyum.
“Okey.” Iskandar mengeluarkan dompetnya dari poket
belakang seluar. Diberikan kepada Azizah.
“Sekarang kosongkan semua poket baju dan seluar awak.”
Iskandar menurut perintah. Baki wang kertas dan syiling
di dalam poket dikeluarkan.
“Bak sini!” Azizah hulurkan tapak tangan sambil
digerakkan hujung jari meminta.
Iskandar letakkan semua barang yang ada di dalam poket
baju dan seluarnya ke atas tapak tangan Azizah.
“Puas hati?” Iskandar angkat kening.
Azizah angguk laju.
“Kenapa?” Iskandar menyoal sepatah.
“Supaya awak tak cabut lari balik naik teksi nanti.”
Serta-merta ketawa Iskandar meletus. “Panjang juga akal
awak ni kan, Zizah?”
“Habis tu, awak ingat saya ni bodoh sangat ke? Kalau
lepas saya habis cerita, awak terus lari macam mana? Ini sebagai langkah
berjaga-jaga.” Dia mencebik kepada Iskandar.
Iskandar cuma menggelengkan kepala bersama tawa yang
masih berbaki.
“Sekarang saya boleh mula bercerita?” Dia angkat kening
kepada lelaki itu pula. Terasa puas di hati kerana Iskandar berada di dalam
kawalan dan kekuasaannya. Iskandar tak boleh nak cengelat.
“Silakan sayangku...”
Pui! Nak romantik sangat pula. Azizah buat riak loya pada
muka.
No comments:
Post a Comment