Total Pageviews

Tuesday, August 25, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 32



“Gila punya kerja ni,” rungut Azizah seraya mata menatap sehelai kertas yang diberikan oleh Iskandar malam tadi. Dia baca satu persatu urutan barang-barang yang Iskandar tulis. Sudah naik hafal. Kerana masuk yang ini, lebih dari seratus kali dia membacanya.
Lipstick, eyeliner, eyebrow liner, blusher, eyeshadow, bla bla bla bla dan bla.” Dah tak larat mulutnya hendak membaca. Berbelit lidah dia yang tak biasa menyebut jenis alat solek ni. Rasa menyesal pula berjanji kepada Iskandar untuk berubah tempoh hari. Masa buat perjanjian, yang dia maksudkan hendak berubah menjadi lebih baik, adalah dari segi kehidupan dan cara hidup dia. Bukannya berubah penampilan. Kenapalah dia tak menyoal Iskandar dengan lebih spesifik hari tu?
Azizah mengeluh. Nak buat macam mana lagi. Terlajak perahu boleh kayuh dan pusing semula. Buat apa nak undur perahukan? Buat sakit tengkok saja nak memandang ke belakang. Lebih baik berpatah balik saja. Ini terlajak berjanji, macam mana? Bila dia tak setuju, terdera pula perasaan dengan pujuk rayu Iskandar yang boleh meruntuhkan jiwa dan raga. Iskandar dan senyum kambing serta sweet talker dia tu, memang tak boleh bercerai.
Lahai... nasib badan. Tanggung sajalah. Kenapa bercakap tak nak berfikir dulu, keluh Azizah. Ralit dia bermonolog sendiri, telefon bimbit di atas meja berbunyi. Segera dia capai.
“Helo!”
“Sayang, saya dah sampai dekat lot parking. Kenapa awak tak turun lagi?”
“Sekejap saya turun. Nak pergi toilet dulu.”
Aik! Belum belajar make-up dah mula practice ke?”
Iskandar ketawa di sebelah sana. Mulalah tu nak mengusik. Lain kerja tak ada.
“Saya pergi toilet nak shi-shi lah. Bukan nak tampal bedak.”
Aduhai... ‘Matahariku’. Kenapalah kau suka sangat dera perasaan aku?
“Okey, saya tunggu.”
Lima minit kemudian, Azizah memasuki perut kereta Vios ‘hantam’ Iskandar selepas lelaki itu membukakan pintu kereta untuknya.
“Kita nak pergi beli apa sebenarnya ni?” soal Azizah ketika Iskandar memakai tali pinggang keselamatan.
Make over time... Sebelum tu, kita pergi shopping dulu. Saya belanja. Saya yang nak ubah awak, jadi biar saya yang mengeluarkan kosnya.”
“Jadi juga ke rancangan awak malam tadi tu?” Azizah bertanya dengan harapan Iskandar akan memberi jawapan yang sepatutnya dia nak dengar.
“Eh! Mestilah jadi. Ada saya bagitau nak cancel? Tak adakan...? Lagipun, saya dah berjanji. Awak pun dah berjanji. Jadi kita kena tepati janji kita. Kalau tidak, kita tergolong dalam golongan...” Kata-kata Iskandar terhenti tika Azizah mencelah.
“Orang-orang yang munafik.” Iskandar dengan ayat ustaznya, memang Azizah tak ada harapan nak membantah.
“Saya suruh awak belajar berhias ni, bukan untuk orang lain Zizah. Saya mahu awak berhias untuk saya, bila saya jadi suami awak nanti.”
“Ini kenapa dah melencong ke tempat lain ni?”
Iskandar ketawa.
“Awak ni Zizah, tiap kali saya bukak cerita pasal kahwin, awak mesti melenting semacam. Saya ni tak mahu hubungan kita ni setakat ini saja tau. Saya nak lebih lagi. Awak tak ada menyimpan apa-apa niat ke, untuk berkahwin dengan saya?”
Dia diam tidak membalas.
“Saya daftarkan awak masuk kelas bersolek ni, bukan semata-mata saya mahu awak belajar make-up saja. Dalam kelas tu nanti, macam-macam yang mereka ajar. Termasuk menjaga kesihatan diri dari segi pemakanan dan amalan baik yang lain. Awak tu perempuan. Kena jaga kesihatan luar dan dalam. Badan nak pakai lama. Kalau awak tak sihat, macam mana awak nak mengandungkan anak saya nanti.”
Buk!
“Adoi! Sakitnya!” Sebelah tangan Iskandar mengusap bahu kirinya.
Akhirnya, merasa juga Iskandar penumbuk dia ni. Baru lelaki ni tahu... Penumbuk yang dia lepaskan tu, ala-ala manja saja tau. Belum lagi penumbuk sulung. Kalau dia bagi penumbuk sulung dia ni, mahunya Iskandar tak boleh mengangkat sebelah tangan esok pagi.
“Awak kalau tak mengusik saya, tak boleh ke? Tak ada kerja lain nak buat?”
“Saya kalau serius saja macam awak Zizah, hubungan kita ni akan jadi hambar. Tak ceria, tak gembira, tak berwarna. Mana syok macam tu. Hidup kita ni, mestilah ada pelbagai rasa dan warna, baru indah. Baru lebih bermakna dan bererti. Hubungan juga tak adalah bosan dan mendatar. Ada faham sayang ku...”
Iskandar mengerling kepadanya.
“Yalah...” Dia mengalah. Malas nak berlawan cakap dengan Iskandar. Sah-sah dia akan kalah. Ada saja fakta atau kajian yang Iskandar keluarkan nanti untuk mematahkan kata-katanya. Doktorlah katakan, kan...

No comments:

Post a Comment