Total Pageviews

Thursday, August 6, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 13



Memang betul seperti yang dikatakan oleh Iskandar. Dia perlu meluahkan apa yang dirasanya selama ini. Selepas menceritakan sebahagian daripada kisahnya dan Aziz kepada Iskandar, tengkujuh yang membadai hatinya terasa sedikit reda. Walaupun renyainya masih bersisa.
Selama ini, dia enggan melepaskan kenangannya bersama Aziz. Sebab itulah dia terlalu sukar melupakan Aziz. Bertahun dia simpan rasa bersalahnya kepada Aziz. Kerana itulah dia begitu susah melupakan apa yang telah terjadi.
“Iskandar...”
Perlahan Azizah membisikkan nama itu. Lelaki yang telah menyedarkannya. Yang telah membuka mata hatinya. Lelaki yang telah berjaya menghilangkan awan mendung dalam hidupnya. Sudah terlalu lama dia berduka. Kini sudah tiba masanya untuk dia menghapuskan semua lara. Dan kemunculan Iskandarlah yang menjadi punca.
Ada benarnya apa yang dikatakan oleh Iskandar. Walaupun berat, dia harus terima hakikat, antara dia dan Aziz sudah jadi sejarah. Kisah mereka telah lama berlalu. Dia perlu belajar untuk melupakan semua itu. Dan sekali gus mula belajar menerima Iskandar.
“Iskandar...”
Sekali lagi nama lelaki itu meniti di bibirnya. Kali ini disertai seulas senyuman manis. Senyuman yang sudah begitu lama tidak diukirkan demi seorang lelaki. Aneh sungguh hati ini. Memang sukar ditebak. Pada awalnya dia begitu membenci Iskandar. Mahu menolak Iskandar. Tidak dapat menerima Iskandar tetapi kini, hanya sesaat Allah SWT palingkan hatinya. Tanpa dipaksa Iskandar mula melekat dalam hatinya walaupun baru dua hari Iskandar bersamanya.
Selepas berfikir, akhirnya Azizah memutuskan untuk tidak menceritakan lagi tentang Aziz kepada Iskandar. Tiada faedahnya Iskandar tahu penghujung cerita sedih antara dia dan Aziz, sedangkan dia bakal mencipta cerita bahagia bersama Iskandar. Dan dia juga tidak lagi mahu tahu dari mana Iskandar mengetahui kisah dia dan Aziz. Apabila hatinya sudah dibuka untuk Iskandar, semua itu tidak penting lagi. Tiada sebab untuk mengenang kisah duka, ketika mereka sedang cuba melakar momen indah bersama.
Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata lelaki itu tadi. Tutur yang kedengaran benar-benar ikhlas.
“Saya muncul bukan untuk menggantikan tempat Aziz. Saya hadir untuk buatkan awak lupa tentang Aziz. Saya ingin bahagiakan awak, Zizah. Izinkan saya.”
Bait-bait itu amat menyentuh hati perempuannya. Kuasa Allah SWT itu maha besar. Tanpa perlukan alasan, jikalau DIA sudah menetapkan inilah jodohnya, sedetik itu juga hatinya terbuka untuk terima Iskandar. Dia yakin, dia sudah bersedia untuk mengenali keikhlasan hati dan perasaan lelaki itu. Bukannya menilai kesempurnaan luaran Iskandar, seperti Iskandar yang tidak menilai luaran dia.
Iskandar perlu tahu keputusan yang telah dia ambil ini. Segera Azizah mencapai telefon bimbit di atas meja sisi. Nombor pada paparan senarai pemanggil yang terakhir diterima oleh telefonnya, disimpan di dalam daftar nombor telefon, dengan meletakkan nama ‘Matahariku’ sebagai nama pengenalan kepada nombor telefon Iskandar.
Kenapa ‘Matahariku’?
Bukankah Iskandar seperti matahari kepadanya? Matahari yang menyinari hatinya yang telah lama mendung. Matahari yang telah mengusir hujan dalam hatinya. Matahari yang membawa musim bunga dalam hatinya. Sekali lagi bibirnya tersenyum bahagia. Setelah selesai, Azizah mula menaip mesej.
Krn awak sudi trima saya yg x smpurna ni, & awak sanggup kita jd sprti pinang yg dibelah 2 tp x sama rata, saya akn blajar trima awak dlm hidup saya
Selepas membaca sekali lalu ayat yang ditaip itu, simbol penghantaran mesej ditekan. Dia menanti seketika. Mengharap Iskandar membalasnya. Tidak lama menanti, telefonnya mengeluarkan bunyi menandakan ada mesej yang diterima.
Yahooo... Trima kasih. Inilah brita yg plg gembira buat saya. Jgn risau, kita akn jd pasangan yg spadan & secocok. Blh jd lbh dr isi dan kuku. Trima kasih, yahoo...
Dia senyum. Tangan menaip lagi untuk membalas mesej itu.
Jgn nak suka sgtlah! Saya baru nak bljar trima awak. Blum lagi 100% confirm trima awak tau!
Ikon penghantaran mesej di tekan.
Saya akn pastikan awak 100% trima saya. Saya yakin kita akn serasi. Trima kasih sekali lg krn buka hati awak utk saya. Trima kasih sayang. Saya tgah busy, nnti kita jumpa okey. Luv U...
Tidak pula dia rasa nak pengsan apabila Iskandar memanggil dia sayang. Tidak juga rasa marah bila lelaki itu ucap love you. Soal hati memang pelik.
Semakin lebar senyumannya sebaik sahaja dia usai membaca pesanan Iskandar itu. Tanpa sedar, skrin telefon dikucup sekali sebelum diletakkan semula di atas muka meja. Selepas sekian lama, hatinya tidak pernah seteruja ini. Bahagia benar rasanya. Perlahan-lahan tubuhnya direbahkan pada tilam. Anak mata mula merenung siling.
 “Aziz...” Dalam waktu dia merasa bahagia ini, nama lelaki itu meniti di bibirnya. Bayangan wajah Aziz ketika remaja muncul di layar mata. Peristiwa yang terjadi turut tergambar di benaknya. Biarlah ini menjadi kali terakhir dia mengingati nama Aziz dan juga kejadian sedih itu. Selepas ini dia akan lupakan semuanya. Akan dibuang jauh segalanya. Dia mahu hidup bahagia. Itu tekadnya.

3 comments: