“Kenapa aku nampak kau lain macam sangat hari ni?” Dari
atas kepala hingga ke kaki Rozaini menilik Azizah.
“Lain macam mana?” Azizah faham soalan Rozaini itu,
tetapi dia sengaja buat-buat tak faham. Rozaini temannya dari kecil. Sahabat
sejati, sejiwa dan seraganya. Semua tentang dia, luar dan dalam Rozaini
tahu. Sikit saja dia berubah, Rozaini
dapat menghidu. Tak boleh sorok celah mana pun.
“Ni! Apasal
nampak lain sangat.” Telunjuk Rozaini melayang-layang di depan mukanya sendiri.
“Ceria semacam. Sekejap senyum, sekejap tersengih. Dah serupa orang tengah
bercinta.”
Eh! Nampak sangat ke? Azizah telan air liur. Cepat dia
kawal riak mukanya. Tidak mahu Rozaini terus meneka. Nanti berpuluh-puluh soalan
pula diterjah kepadanya. Takut nanti tak terjawab saja. Lagi satu, cuping
telinga dia ni belum cukup tebal untuk menghadam setiap kata-kata Rozaini yang
tentunya tak akan habis-habis mengusik dia. Buat masa sekarang, dia tak mahu
Rozaini tahu tentang Iskandar.
“Apa, aku senyum pun salah ke?”
“Memanglah senyum tu tak salah..., tapi senyum kau tu
macam ada makna. Sepanjang yang aku ingat, dah lama muka kau tak berseri-seri
macam ni. Ini mesti ada apa-apa ni?”
Cepat Azizah memangkas. “Eh! Mana ada apa-apa. Aku...,
aku biasa saja. Mata kau tu yang dah kero agaknya.”
Rozaini buntangkan mata. “Apa kau kata...?”
Sahabatnya itu sudah menghampiri bersama jari yang
bersedia untuk menyerang. Kalaulah hinggap ke badan sepit ketam Rozaini tu,
harus terbit darah di kulitnya.
“Tak, tak, tak... Kaulah kawan aku yang paling cantik.”
Azizah angkat kedua belah tangan tanda mengalah.
“Jom aku belanja kau sarapan.” Tangan Rozaini yang ingin
mencubitnya tadi segera ditarik. Lalu diheret ke muka pintu.
“Wei! Tunggulah
aku nak mandi dulu. Busuklah bau badan aku ni.” Rozaini menarik tangannya
semula.
“Busuk apa bendanya? Kau kan kerja dalam air-cond. Berpeluh pun tidak.”
“Tak busuk kata kau? Meh
sini, bau ketiak aku ni.” Rozaini mengangkat tinggi lengannya dan dihala kepada
Azizah.
“Ceh! Pengotor
la kau ni Zai. Tak ada kerja aku nak cium bau ketiak kau tu.”
“Tak nak pula. Tadi kata tak busuk. Badan aku, aku tau la
busuk ke tidak. Kau tunggu sekejap aku nak mandi.”
“Ketiak bau bangla,
ada hati nak suruh aku cium.”
Rozaini ketawa besar ketika melangkahi tangga.
“Bau bangla
nilah yang buat Idham tergila-gilakan aku tau! Sehari tak hidu sampai
termimpi-mimpi dia.” Rozaini melawak.
Sayup-sayup dia mendengar suara Rozaini itu dari tingkat
atas. Azizah tersenyum. Memang Rozainilah satu-satunya insan yang selalu
menggembirakannya selama dia berduka ini. Sekarang, dia sudah ada Iskandar.
Iskandar yang bakal menceriakan dan mewarnai kisah hidupnya.
Iskandar... nama itu terbesit lagi dalam hati. Bersama
rasa yang semakin mekar mewangi.
No comments:
Post a Comment