“Awak tahu tak dalam coklat ni ada antioksida?” Mata
Iskandar jatuh merenung kepada tiga biji Ferrero Rocher di atas tapak
tangannya.
“Tak habis lagi cerita pasal coklat?” perli Azizah. Dia
jeling Iskandar di sebelahnya.
Dari coklat Ferrero Rocher di tapak tangan, Iskandar
beralih memberi perhatian kepada gadis di sisinya. “Antioksida melambatkan
proses penuaan. Kajian juga mendapati penggemar coklat, purata jangka hayatnya
lebih panjang 0.95 tahun dari bukan penggemar coklat.”
“Saya tahulah awak tu doktor, tak payahlah awak buat
kelas kedoktoran dekat sini,” sinis dia membalas.
Iskandar senyum tidak ambil hati.
“Memandangkan awak tengah marah sekarang ni, lebih baik
awak makan coklat ni.” Iskandar hulurkan sebiji coklat yang telah pun dibuka
pembalutnya ke depan mata Azizah. “Tak adalah awak nampak tua sekejap lagi. Dan
umur awak pun makin panjang.”
Dia tancap tepat anak mata Iskandar. Lelaki itu tetap
tersenyum kepadanya. Dalam hati, geram sudah sampai tahap melampau. Iskandar ni
nak memujuk dia ke, atau nak bagi hati dia lagi sakit? Azizah melangkah masuk
ke dalam lif sebaik sahaja pintunya terbuka.
Iskandar turut melangkah masuk dan terus menekan satu
butang. Di dalam lif dia menyambung kembali kata-katanya. “Serotonin dalam otak
awak tu nanti boleh mengubah perasaan marah awak kepada rasa sayangkan saya.
Coklat ini juga sebagai tanda perdamaian kita. Maafkan saya, kalau saya buat
awak marah.”
Coklat itu Iskandar suakan ke mulutnya.
“Apa ni?”
“Saya nak suapkan awak coklat nilah,” terang Iskandar.
“Jangan buat kerja gilalah.” Dari rasa sayang kepada
Iskandar, lebih baiklah dia rasa marah. Setimpal dengan kesalahan Iskandar yang
dah banyak menipu dia ni.
“Saya mintak maaf kalau saya ada menyakitkan hati awak.
Saya mintak maaf kalau saya ada buat salah pada awak. Saya tak tahu, apa yang
ada dalam hati awak tu, Zizah. Apa puncanya awak marahkan saya pun, saya tak
tahu.”
Iskandar memandang redup kepadanya.
“Memang saya marahkan awak. Awak nak tahu sebab apa saya
marah?”
“Memang saya nak tahu. Tapi kalau awak marah-marah macam
ni, macam mana kita nak berbincang elok-elok.” Coklat di tangannya disuakan
lagi ke mulut Azizah.
“Saya boleh makan sendirilah.” Dia capai coklat dari tangan
Iskandar. Sepantas itu juga Iskandar melarikan tangannya menjauhi dia.
“Kalau nak, biar saya suapkan. Manalah tahu awak bukan
nak makan, awak buang pula nanti. Kalau tak makan, maknanya rasa marah awak
pada saya takkan hilang.”
Hati makin geram. Azizah mengangkat tinggi tangannya.
Bersedia untuk melepaskan penumbuk kepada Iskandar, tetapi terasa perit pula pada
lengan yang lagi satu. Rupanya jejari lelaki itu sudah kejap menggenggam di
situ. Iskandar senyum senget kepadanya.
“Ingat Zizah... Sekeras dan sekuat mana pun awak, takkan
terlawan kudrat saya seorang lelaki ni. Dalam lif ni pun hanya kita berdua
saja. Kalau saya nak apa-apakan awak, boleh saja. Awak nak saya cium awak?”
Dia sudah menelan air liur. Jangan pula masa ni Iskandar
nak buat gila dia tu.
“Awak nak ke saya cium awak?” Sekali lagi Iskandar
bertanya, tetapi kali ini lebih tegas.
Gerun pula melihat renungan Iskandar dan senyuman gatal
yang terlorek pada bibir lelaki itu. Laju kepalanya digelengkan.
“Kalau tak nak, makan!” Semakin hampir Iskandar suakan
coklat itu ke mulut Azizah.
Spontan dia menggigit pada coklat itu dengan pantas.
Pintu lif terbuka. Sekuat tenaga dia rentap lengan dari genggaman Iskandar, dan
berlari keluar dari lif itu. Muka sudah berbahang menahan geram, marah dan
malu.
No comments:
Post a Comment