Banyak kali juga dia menyoal Rozaini tentang Iskandar.
Sampai berbuih tepi bibir dia ni. Balik-balik, jawapan yang sama juga Rozaini
berikan.
“Mana boleh aku bagitau
kau... Aku dah janji dengan orang tu, aku tak boleh bukak mulut cerita apa-apa dekat kau.”
Tiada jawapan dari Rozaini, Azizah buat sesi soal jawab
sendiri. Orang tu siapa? Orang mana yang dimaksudkan oleh Rozaini? Orang tu,
ada kena-mengena ke dengan Rozaini dan Iskandar? Walaupun jawapan itu tidak ada
padanya, hendak juga dia fikirkan. Sampai bingung otaknya asyik bertanya
sendiri.
Tak puas hati, dia tebak lagi Rozaini. Masih lagi jawapan
serupa yang diulang-ulang. Jemu telinganya mendengar. Hujung-hujung, dia lancar
perang dingin. Perang dingin ke, perang atas angin ke, pun tak juga jalan.
Rozaini buat tak reti saja. Memang tak makan saman betul minah sorang tu. Boleh Rozaini buat selamba, bila dia tayang muka
masam berkerut empat puluh empat lapis ni. Hilang sabarnya, dia karate juga Rozaini
tu nanti. Tapi, tak sampai hati pula. Dia ni, cakap saja lebih. Rozainilah
satu-satunya sahabat paling baik yang dia ada. Tak ada orang yang setia berdiri
di sisinya selain Rozaini tika dia sedih atau gembira. Rozainilah yang paling
memahaminya. Takkan dia nak jadikan Rozaini seteru pula?
Sekarang ini, sudah habis ihktiar Azizah. Tidak tahu
bagaimana lagi mahu merungkai persoalan Rozaini tahu pasal dia dan Iskandar.
Tak tanya Iskandar?
Ish! Tak nak haih.
Malu la... Kalau Iskandar nak cerita, okeylah. Kalau Iskandar pun serupa perangai
Rozaini, berdalih-dalih, cenggelat-cenggelat,
tak ke dia juga yang malu. Nampak macam dia desperate
sangat nak tahu.
Diam tak diam, hari ini masuk hari keempat Azizah
berperang dingin dengan Rozaini. Dia boikot tidak mahu bercakap dengan Rozaini.
Empat soalan yang Rozaini tanya, dia jawab sekaligus dengan sepatah ayat. Walaupun
soalan-soalan itu tidak bersangkut paut.
“Entah!”
“Apa yang entah?” Rozaini cerlung muka Azizah.
Dia balas dengan mengangkat bahu pula. Rozaini menggeleng
kepala.
“Takkan sebab aku tak nak cerita pasal Iskandar, kau
berhari-hari tak nak cakap dengan aku? Aku dah janji la dengan Iskandar, jangan
cakap apa-apa dekat kau...”
Akhirnya tembelang pecah juga. Rozaini sudah berjanji dengan
Iskandar rupanya.
“Ooo...” Azizah bercekak pinggang.
“Ops!
Terlepas!” Cepat tangan Rozaini menutup mulut sendiri.
“Sejak bila pula kau buat pertemuan sulit dengan Iskandar
ni? Sejak bila kau berkomplot dengan dia? Sejak bila kau pandai membelakangkan
aku?” Azizah tayang muka bengis.
“Alah... Janganlah kau marah aku. Aku dah janji dengan
Iskandar. Kalau aku mungkir janji, aku boleh
dikategorikan sebagai orang munafik tau...”
“Banyaklah kau punya munafik!”
“Ya... Tulah yang Iskandar bagitau aku. Orang yang mungkir janji, tergolong dalam golongan
orang-orang yang munafik.”
Huh! Dah jadi ustaz pula ke si Iskandar tu? Memang pandai
betul mamat sorang tu manipulate otak si Rozaini ni. Azizah merungut
dalam hati. Wajah Rozaini ditenung seperti hendak ditelan hidup-hidup.
“Kalau kau nak tahu juga, okey! Kau boleh tahu, tapi
bukan dari mulut aku.”
Rozaini mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket
baju uniform kilang yang dipakainya. Skrin telefon bimbit mula ditekan-tekan.
Dia perhati perbuatan Rozaini dengan muka berkerut. Nak telefon siapa pula?
“Waalaikumussalam. Hari ni kau datang tak?”
Siapa yang nak datang? Hati mula tertanya-tanya.
“Kau kan sekarang dah jadi driver dia. Hari-hari hantar dia pergi dan balik kerja.”
Rozaini bercakap dengan Iskandar ke? Azizah sudah rasa
pelik. Rozaini ada nombor telefon Iskandar? Sejak bila pula dia orang berdua ni
pandai bertelefon-telefon? Dia tak pernah tahu pun?
“Sebab kau tak bagi aku cerita, kau cerita dekat dia,
macam mana aku boleh tahu pasal kau. Dia dah marah dekat akulah... Berapa hari
dah dia tak nak bercakap dengan aku. Ni semua kau punya pasallah, mintak aku
berjanji bagai.”
Rozaini senyap seketika. Mendengar Iskandar berkata-kata
di hujung sana. Entah apalah yang si Iskandar tu ‘goreng’ agaknya.
“Aku tak kira. Kau kena cerita juga dekat dia. Kami ni
tinggal serumah tau! Berulat mulut aku ni kalau tak bercakap dengan dia.”
Azizah mengetap bibir. Nampaknya, banyak benda yang dia
tak tahu tentang Rozaini dan Iskandar. Dari pertuturan Rozaini itu, dia dapat
meneka sahabatnya ini selalu berhubung dengan Iskandar. Bunyinya seperti sudah
kamceng sangat.
“Ya... Masuk hari ni, dah empat hari dia tak nak bercakap
dengan aku. Hmm... haa... angguk
geleng saja. Kau settle kan hari ni
juga.”
Ceh! Siap mengadu kepada Iskandar pula tu.
“Alah... Patient
kau mana yang tak serius tu, suruhlah nurse
saja yang rawat. Patient kau yang
dekat rumah aku ni, lagi serius kes dia! Boleh buat dia sakit jiwa kau tahu
tak? Bukan dia saja, dengan aku-aku sekali gila nanti. Lagipun, bukan kau
sorang saja doktor dekat hospital tu.”
Patient? Nurse? Iskandar tu doktor ke? Biar betul? Nampaknya, Rozaini memang
betul-betul dah jadi bestfriend
Iskandar. Selama dia bersama Iskandar ni, dia sendiri pun tak tahu Iskandar tu
seorang doktor. Bertugas di hospital mana pun dia tak tahu. Alih-alih Rozaini
pula yang lebih arif. Memang hantu betul kawan dia sorang ni. Tak boleh jadi
ni. Gigi yang lama diketap kuat sudah naik nyilu. Geram betul dia kepada
Rozaini.
“Kau keluar nanti tolong belikan aku apa yang patut. Aku
nak mandi, lepas tu tidur. Tengah hari nanti baru aku bangun makan,” pesan
Rozaini selepas panggilan itu ditamatkan. Langsung Rozaini melangkah menaiki
tangga untuk ke tingkat atas tanpa menghiraukan Azizah yang dah hampir terjojol
biji mata.
Ada ke dia beritahu Rozaini yang dia nak keluar sekejap
lagi? Dah macam burung hantu kawan dia tu. Siang membuta, malam berjaga. Nilah
susahnya kalau bekerja syif. Tak habis-habis Azizah menggerutu dalam hati.
No comments:
Post a Comment