Total Pageviews

Monday, August 3, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 10



Kusyuk lelaki itu mendengar ceritanya. Sepatah ayat pun tidak mencelah.
“Saya dan Aziz memang rapat. Dia amat memahami saya. Dia tidak pernah menghina kekurangan saya. Saya pun tidak pernah rasa malu dengan kekurangan dia. Apa yang kurang pada saya, dia ada lebihnya. Apa yang kurang pada dia, saya ada lebihnya.”
“Macam pinang dibelah dua?”
Baru kali ini Iskandar menyampuk. Pertanyaannya juga tiada nada. Hambar dan mendatar. Azizah kerling Iskandar. Riak yang terbias pada wajah lelaki itu terlalu sukar ditafsir. Iskandar memandang kepadanya. Renungan itu seperti mengandungi sesuatu. Azizah ukir senyum nipis. Sekadar untuk mententeramkan hatinya yang mula terasa dijentik oleh pandangan lelaki itu. Anak mata dijauhkan dari wajah Iskandar.
“Itu yang mama saya kata. Mama saya kata, saya dan Aziz seperti pinang dibelah dua.”
“Kita?”
Azizah berpaling semula kepada Iskandar. Apa kena-mengena pula dia dan Iskandar dalam cerita flash back ni?
“Kita?” Azizah menyoal Iskandar semula. Kurang faham maksud soalan itu. 
“Kita ni tak sepadan ke?”
Dahi berkerut. Baru Azizah mahu membuka mulut untuk membalas, Iskandar menyoal lagi.
“Kita ni tak secocok ke digandingkan bersama? Tak boleh jadi seperti isi dan kuku?”
“Iskandar..., awak tak bolehlah samakan diri awak dengan Aziz. Aziz lain.”
“Lain yang macam mana Zizah? Awak tak pernah buka hati awak untuk mengenali saya, bagaimana awak nak tahu kita ni serasi bersama ataupun tidak?”
“Awak tak faham Iskandar. Awak terlalu sem...”
Iskandar cantas lagi kata-katanya.
“Kalau awak kasar, saya boleh bimbing awak supaya awak jadi lembut. Awak rajin mengemas. Saya pula pandai memasak. Malahan saya sanggup buat kelas masakan khas untuk mengajar awak memasak, kalau awak mahu. Kita belum pernah mencuba, bagaimana kita nak tahu kita ni boleh bekerjasama ke tidak.”
Apa yang Iskandar melalut ni? Ke Iskandar dapat hidu dia mungkin nak reject Iskandar? Azizah hilang kata-kata untuk membalas.
“Kenapa awak senyap Zizah?”
Nafas dihembus kuat. Dengusan Azizah itu sampai ke telinga Iskandar.
“Awak marah dengan soalan saya?” Iskandar mencerlung kepada Azizah.
“Awak terlalu sempurna Iskandar. Awak ada paras rupa. Awak seorang lelaki yang sangat baik. Dari perangai awak, tingkah laku awak, percakapan dan cara berfikir awak, memang awak layak untuk jadi pemimpin keluarga, tapi bukan dengan saya.”
“Cuba bagi saya alasan, kenapa saya tidak boleh bersama awak?” Serius suara Iskandar menyoal.
Azizah telan air liur. Hati ditabahkan untuk berani meluahkan apa yang dia fikir sepanjang dia berbaring di atas katil di dalam biliknya tadi.
“Awak pandai serba-serbi, Iskandar. Awak banyak kelebihan. Layakkah saya yang kematu, keras macam batu ni bergandingan dengan awak yang handsome ni? Cukup baikkah saya yang berperangai kasar ni untuk bersama dengan awak? Awak lelaki yang sangat bagus segala perbuatan dan kelakuan. Saya ni pula terlalu banyak kekurangan. Bolehkah saya berubah jadi lebih baik demi awak?” Azizah diam sebentar. Liur ditelan perlahan. Dia berkalih duduk lalu menentang Iskandar.
“Takkan terbayang oleh awak sebanyak mana kekurang saya ni, Iskandar. Saya langsung tak ada kelebihan untuk menutupi kekurangan awak. Bukan ke dalam perkongsian hidup itu, adalah untuk saling melengkapi? Siapa yang mempunyai kelebihan akan menyempurnakan kelemahan pasangannya. Dan begitu juga sebaliknya. Tetapi di antara awak dan saya tidak sama sekali. Mana adil kalau awak saja yang mampu melengkapi saya. Tetapi saya...”
“Zizah..., saya tak mintak pun awak jadi sempurna untuk saya. Saya tak harap awak ada kelebihan. Cukuplah saya ada untuk melengkapi awak. Saya tak mintak lebih dari awak Zizah. Saya cuma nak awak terima saya dalam hidup awak. Kerana sayang saya kepada awak ni, melebihi dari segala kekurangan yang ada pada awak.”
Iskandar juga beralih duduk. Mereka kini saling berpandangan.
“Iskandar..., awak mungkin tak ada masalah untuk terima kekurangan saya. Tapi saya ada maruah, Iskandar. Bagaimana saya nak terima awak, kalau saya sedar, saya tahu,  saya banyak kekurangan. Langsung tiada kelebihan!”
Iskandar mengeluh.
“Saya tak nafikan, awak lelaki yang sangat baik. Penyabar. Boleh layan perangai dan kata-kata kasar saya ni.”
“Tak cukup baikkah saya untuk awak?” sayu Iskandar bersuara.
“Bukan itu yang menjadi persoalannya. Masalahnya, saya yang tak cukup baik untuk awak. Lelaki sesempurna awak, seharusnya mencari seorang perempuan yang sempurna juga. Bukan perempuan macam saya. Barulah boleh dikata orang, bagai pinang dibelah dua. Awak dan saya, mungkin boleh jadi seperti pinang di belah dua, tetapi tak sama rata. Pinang di sebelah awak akan lebih besar dari pinang di bahagian saya.”
Lelaki itu tetap cerlung memandangnya. Tidak sanggup untuk bertentang mata, Azizah larikan pandangannya ke lantai simen yang kesat dan menggerutu.
“Saya tahu kenapa awak terlalu berat untuk terima saya, Zizah.”
“Tak... Awak takkan tahu.” Cepat Azizah menangkis kata-kata itu.
“Walaupun kita baru bertemu semula, tapi saya mengenali awak, Zizah. Dah cukup lama saya memahami awak.”
Kembali Azizah mencari wajah Iskandar. Dia benar-benar tidak mengerti akan makna ayat yang baru meniti di bibir lelaki itu.
“Sebenarnya, awak tak boleh terima saya kerana Aziz. Awak tak sanggup lupakan Aziz. Awak tak berani menggantikan saya di tempat Aziz kerana Aziz dah lama ada di dalam hati awak tu. Betulkan?”
Tidak mampu Azizah menjawab pertanyaan itu. Soalan yang terlalu berat untuk dia balas.

No comments:

Post a Comment