Why
you gotta be so rude?
Don't
you know I'm human too?
Why
you gotta be so rude?
I'm
gonna marry her anyway
Marry
that girl
Marry
her anyway
Marry
that girl
Yeah,
no matter what you say
“Aduh… Bingit
betullah telinga aku…”
Dia korek
telinga sendiri sebelum mencapai
telefon bimbit yang sedang galak bergetar di atas meja kerjanya. Sudah berpuluh
kali telefon itu mendendangkan lagu Rude
nyanyian Magic. Menyesal pula dia
jadikan lagu itu sebagai nada dering. Sekali berbunyi sedap didengar. Dua kali
berbunyi, okey lagi. Kalau dah tak berhenti-henti berbunyi seperti sekarang ni,
rasa macam nak hempaskan saja telefon ke lantai. Bila sudah berulang-ulang,
bukan lagi sedap didengar, bikin hati lagi panas, ada! Sebabnya, asyik orang
yang sama saja buat panggilan.
Selepas mengambil telefon bimbit tersebut, Azizah
memandang sekali imbas nama yang tertera pada skrin telefon.
‘Matahariku’
“Huh! Tak ada orang lain,” gerutu Azizah.
Rasa nak delete
saja nama ‘Matahariku’ tu. Tukar nama lain. ‘Mangkukku’ ke, ‘Malaunku’ ke, lagi
bagus. Tak pun, delete saja nombor ni.
Bukan nombor saja, dengan orang-orangnya sekali deletekan. Biar hidup dia aman semula seperti dulu. Masalahnya,
sanggup ke dia buang terus Iskandar yang sudah mula bertapak dalam hatinya ini?
“Matahariku lah sangatkan... Matahari apa benda kalau Iskandar
selalu buat dalam kepala aku ni macam ada puting beliung?” Masih lagi Azizah
merengus sendirian.
Telefon yang nyaring menyanyi diletakkan ke atas meja
semula. Kedua jari telunjuk disumbatkan ke dalam telinga. Tiba-tiba Azizah
terasa tangannya ditarik oleh seseorang.
“Telefon kau tu memekak saja dari tadi. Apasal tak angkat?”
Kak Siti tayang muka bengis sambil bercekak pinggang di
hadapannya.
“Malas nak jawablah kak...” Azizah tayang pula muka
sepuluh sen. Kalau tidak, harus pula telinga dia bingit dengan bebelan Kak
Siti.
“Siapa yang telefon sampai kau tak berani angkat ni?”
“Entah siapa tah!”
“Bank telefon? Kau tak bayar duit kereta ya?”
“Ish! Apa pula
tak bayar. Zah nilah peminjam yang paling baik tau, kak. Tak pernah miss pun bayar hutang.”
Telefon bimbit berbunyi lagi buat yang kesekian kalinya.
“Tak nak jawab, silentkan
lah... Kalau tidak off saja terus.
Peninglah kepala akak dari tadi dengar lagu tu.”
Jangankan Kak Siti, dia pun dah nak muntah mendengarnya.
Memanglah mamat tu tak tahu bahasa.
Kalau dah telefon berpuluh-puluh kali tu, orang tak angkat, faham-fahamlah
hendaknya. Makna orang tak naklah jawab atau terima panggilan dari kau. Tak
payahlah telefon lagi. Ini tidak, selagi tak dijawab, jari tu dok tekan redail saja.
“Okey kak. Zah silentkan,”
balas dia ketika Kak Siti beredar dari mejanya. Tak terfikir pula tadi yang
telefon ni boleh ditukar kepada mod getaran. Kenapalah akal dia tak panjang.
Bengap tak bertempat.
Azizah ambil semula telefon bimbitnya itu. Kali ini sudah
senyap. Baru saja hujung jari mahu menyentuh skrin untuk membisukan telefon
tersebut, ia berbunyi semula. Bukan nada dering, tetapi isyarat bahawa dia
telah menerima satu pesanan ringkas.
Azizah melihat siapa pengirimnya. Mesej dari ‘Matahariku’
alias mangkuk plus malaun rupanya...
Dia layarkan jari pada ikon pesanan ringkas untuk membaca.
Saya x tau knp awak x jwb
pnggilan saya. Mgkin tngah tido mati, ataupun tngah mandi. Mgkin juga dlm toilet
tngah melepas ;)
Huh! Ingat kelakarlah tu tulis macam ni. Badigol! Pandai pula hantar mesej. Cuba
dari tadi hantar mesej, tak adalah telefon dia ni memekak saja.
Azizah sambung membaca pesanan dari Iskandar itu.
Saya nak bgtau, ptg ni saya x
bleh hantar awak pergi kerja. Awak pergi sendiri okey. Mlm nnti kita jumpa. Luv
u sayang...
“Uwek! Love youlah sangatkan... Kalau awak love kita, awak takkan banyak tipu kita
tau! Awak takkan berahsia dari kita.” Dia mencebik pada telefon itu. Umpama
sedang mengejek kepada Iskandar.
“Kau ni kenapa Zizah? Dari tadi akak tengok kau ni lain
macam saja. Telefon berbunyi tak nak jawab. Lepas tu main jelir lidah dekat handphone. Sudahlah entah apa mimpi kau
datang kerja awal hari ni. Jangan kau mintak balik cepat pula.”
Kak Siti muncul semula di tepi mejanya.
Eh! Cantik juga idea Kak Siti ni. Dia balik awal,
maknanya dia boleh mengelak dari berjumpa Iskandar. Manalah tahu, kalau dia
balik kerja seperti biasa, Iskandar sudah menunggu depan pintu pagar rumah pula.
Kalau balik awal, bolehlah dia memerap dalam bilik, buat-buat sudah tidur kalau
Iskandar datang nanti.
Good!
Hahaha,sengal la jijah ni
ReplyDelete