“Kenapa awak tak biarkan saya cuba dulu? Kenapa awak tak
benarkan saya ada dalam hati awak? Saya muncul bukan untuk menggantikan tempat
Aziz. Saya hadir untuk buat awak lupakan Aziz. Saya ingin bahagiakan awak,
Zizah. Izinkan saya.”
Azizah diam. Otak bertelingkah. Hati bersoal jawab.
Kenapa Iskandar terlalu memahami perasaannya? Memang itu yang dia rasakan
sebenarnya. Terlalu sukar untuk membenarkan Iskandar menghuni hatinya kerana
Aziz. Enggan menerima Iskandar disebabkan oleh Aziz. Air mata mula bergenangan.
Dengan suara yang ditahan, Azizah tuturkan kata-kata ini.
“Awak terlalu sempurna Iskandar. Saya takut tersalah menilai kesempurnaan awak
tu. Dulu, saya pernah buat silap. Saya terlalu memandang kepada kesempurnaan
hingga sanggup melukakan hati Aziz. Tapi kesempurnaan itulah yang telah
mengecewakan saya.”
Iskandar senyap agak lama. Mungkin sedang cuba memahami
apa yang dia cuba sampaikan.
“Awak takut tersalah menilai kesempurnaan saya?”
Perlahan Azizah mengangguk.
“Awak takut terima saya kerana saya sempurna? Awak takut
untuk lupakan Aziz kerana saya sempurna? Awak takut kesempurnaan saya ini akan
mengecewakan awak?”
Azizah diam tidak membalas.
“Zizah..., kesempurnaan luaran takkan kekal. Apa yang
awak lihat dengan mata kasar akan pudar. Yang perlu awak nilai, yang perlu awak
lihat adalah keikhlasan hati dan perasaan saya kepada awak. Saya tidak menilai
awak melalui lahirian awak. Yang saya lihat adalah hati awak. Saya mengenali
awak sudah lama, Zizah. Dari kita kecik lagi. Awak jujur, kuat semangat, baik,
tidak pernah memandang rendah kepada orang lain. Awak juga tak pandai
berpura-pura. Sebab itu saya sukakan awak.”
Tersentuh hati dan nalurinya kala Iskandar menyusun patah
kata itu. Semakin banyak kebaikan Iskandar dia lihat, semakin hatinya jadi
tidak menentu.
“Apa yang jadi kepada awak dan Aziz sebenarnya?” Iskandar
menyoal tiba-tiba.
Azizah menyambut renungan redup lelaki itu. Mata mereka
bertatapan lama. Air mata yang mula mencemari pipi, disapu perlahan dengan
tapak tangan. Segera Iskandar menghulurkan kepadanya sehelai sapu tangan.
“Saya tahu, awak tak pernah ceritakan kepada sesiapapun,
apa yang telah terjadi antara awak dan Aziz. Bila awak tidak pernah bercerita,
jadi awak tidak pernah meluahkan apa yang awak rasa selama ini. Sebab itulah
awak terlalu susah nak lupakan apa yang berlaku. Awak susah nak lupakan Aziz.
Awak juga susah nak terima kenyataan apa yang terjadi.”
Lelaki itu diam selepas itu.
“Zizah...”
Lembut suara Iskandar memanggilnya.
“Pandang saya.”
Perlahan-lahan Azizah panggung kepalanya melihat
Iskandar.
“Saya tahu ianya susah, tapi awak kena terima hakikat. Kisah
awak dan Aziz telah lama berlalu. Cara untuk awak mula belajar lupakan dia,
adalah dengan meluahkan apa yang awak rasa. Bercerita, agar perit yang awak
rasa tu reda. Zizah, awak cerita pada saya apa yang berlaku antara awak dan
Aziz sampai awak sanggup sia-siakan usia awak ni.”
Pujuk lelaki itu bersama suara lembut. Pandangannya juga amat
redup. Terkaku Azizah seketika. Suara lembut dan pandangan redup Iskandar itu, membuatkan
dadanya berdebar pantas. Lama dia cuba menenangkan dirinya.
“Semuanya berpunca dari kehadiran seorang lelaki.” Azizah
kesat sisa air mata dengan sapu tangan milik lelaki itu. Akhirnya dia akur
dengan permintaan Iskandar.
No comments:
Post a Comment