Total Pageviews

Thursday, August 27, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 34



Tiga hari pertama belajar di Clara International Beauty Treatment Centre And Theraphy Acedemy, dia diajar teknik asas bersolek. Mengenali jenis-jenis alat solek dan cara menggunakannya serta kaedah menggunakan alat solek dengan betul. Apa yang mesti dan apa yang harus dielak ketika bersolek.
Azizah masih ingat lagi peristiwa pada hari pertama dia menghadiri kelas tersebut. Apabila Miss Ann, tenaga pengajar kelas mereka bertanya siapa di antara peserta kursus mengetahui jenis alat solek yang ditunjukkan serta cara penggunaannya, cepat dia mengangkat tangan.
“Ya, apa jawapannya?”
“Kalau tak salah saya, itu adalah two way cake compact powder.” Dengan penuh yakin dia menjawab. Kerek semacam.
“Ya, betul.”
Dia tersenyum lebar. Rasa bangga sedikit. Tak adalah dia kelihatan betul-betul zero dalam hal berkenaan alat-alat solek ini. Kenal juga apa nama barang.
“Awak tahu bagaimana cara penggunaannya?” tanya Miss Ann lagi.
“Nama pun dah two way cake. Tentulah guna dua cara. Cara yang pertama untuk disapu pada muka. Dan yang kedua, kita boleh makan.” Kembang hidungnya kerana percaya jawapan itu amat tepat. Tanpa rasa was-was lagi.
Dan...
“Hahaha...”
Bergema tawa setiap peserta kursus yang tak seberapa ramai itu. Yang musykilnya, ada pula terselit gelak besar seorang lelaki. Serasa dia, tiada peserta lelaki di dalam kelas ini, tetapi dari mana pula datangnya suara lelaki itu?
Pantas Azizah menoleh ke belakang. Rupanya Iskandar berdiri di situ. Malu jangan ceritalah. Kalau boleh diubah wajah dia ni, memang dia dah tukar dah. Buat pertama kali dalam hidupnya, dia tahu fungsi two way cake compact powder tu. Tak sangka pula two way tu bermaksud boleh dipakai dengan cara kering dan cara basah. Huh! Memalukan sungguh. Mujur juga tak terbuka seleranya nak jamah two way cake compact powder yang Iskandar beli tempoh hari. Kalau tidak, berbuih mulutnya. Yang Iskandar tu pun satu. Buat apalah datang menyibuk dalam kelas tu. Bila dia tanya buat apa datang, Iskandar jawab...
“Saya kurang percaya dengan awak ni. Manalah tahu kot-kot awak tak datang kelas bersolek tu. Lepas ni saya akan selalu singgah untuk buat sport check, supaya awak tak berani ponteng kelas.”
Ceh! Memang Iskandar faham betul perangai dia. Memang ada niat pun dia nak ponteng kelas bersolek tu barang sehari dua. Pening kepala belajar benda yang dia tidak minat ni. Susah betul nak masuk dalam otak. Nak faham apatah lagi. Yang paling buat dia sakit hati, Iskandar selalu menjadikan kejadian two way cake compact powder tu sebagai bahan untuk memaksa dia sentiasa menghadiri kelas tanpa gagal. Kalau dia berani ponteng, rahsia two way cake compact powder tu, akan sampai ke telinga Rozaini. Termasuk juga mama dan papanya. Tak suka betul Iskandar ugut dia macam tu. Mujur juga hati dah sayang. Kalau tidak, harus juga tulang belulang Iskandar patah sepuluh dia kerjakan.
Selepas hari keenam berkursus, Azizah terima berita baik dari Miss Ann. Awal minggu kedua, akan diadakan sesi ujian bagi mereka yang cepat mahir teknik bersolek. Ini kerana ada di antara peserta kursus jangka pendek itu, sudah ada asas bersolek dan mempunyai pengalaman menjadi pembantu jurusolek ataupun mak andam. Mereka menghadiri kelas ini sekadar untuk memperolehi sijil sahaja. Jadi mereka berpeluang menamatkan kursus dengan lebih cepat. Paling untung, diberi pula diskaun pada bayaran terakhir kursus.
Ini peluang keemasan bagi Azizah. Dia yang sememangnya tidak berminat menghabiskan tempoh dua minggu dalam kelas itu segera mendaftar nama untuk mengambil ujian tersebut. Bukan dia memerlukan sijil sangat pun. Buat apa? Lainlah dia memang ada perancangan untuk menjadikan jurusolek sebagai kerjayanya, atau nak jadi mak andam ke. Mak andam? Jurusolek? Jangan mimpilah kan...
Untuk lulus dalam ujian itu, dia perlu mahir tetapi bagaimana? Jangan katakan mahir, pandai pun tidak lagi. Takkan nak habiskan dua minggu dalam kelas tu? Boleh muntah hijau dia nanti. Lagipun, apa perlunya dia membazir masa sampai dua minggu dalam kursus tu. Setakat conteng muka sendiri, tak perlulah nak dapat sijil bagai. Tak payah nak terror make-up sangat. Apa jalan yang dia ada? Pening pula kepala memikirkannya.
Sedang leka Azizah memberatkan otak, interkom di atas meja tiba-tiba berbunyi. Segera ganggang diangkat. Manalah tahu itu panggilan dari bahagian kaunter yang mengalami kerumitan. Waktu kerja hanya berbaki tidak sampai sepuluh minit saja lagi. Untuk menyelesaikan masalah di kaunter bukannya seminit dua. Nanti terlepas pula permulaan kelas terakhir dia hari ini. Manalah tahu kot-kot ada tip-tip penting yang akan diajar oleh Miss Ann sebelum ujian dijalankan minggu depan.
“Wei Zah! Kau somonjak duo monjak ni, ghajin botol dapek bunga. Meh datang dopan ni, ambik bunga untuk ekau ni hah! Untunglah badan..., dapek bakal tunang romantik!”
Jelas suara Raja Faizah keluar dari corong telefon. Tiba-tiba saja menyergah. Bukan nak bagi salam dulu. Masuk air betul receptionist TESCO ni.
Tanpa berlengah segera Azizah menuju ke bahagian depan pejabat. Di hadapan meja Raja Faizah, berdiri seorang budak lelaki yang sama menghantar bunga untuk dia pada minggu lepas.
“Bunga untuk akak lagi ke, dik?”
Budak lelaki itu tersenyum seraya mengangguk kepala. Jambangan bunga matahari yang siap digubah dalam vas kaca dihulurkan kepada Azizah. Tentu mahal harganya ni. Banyak duit Iskandar?
“Adik tahu siapa yang kirim?” Sengaja bertanya. Manalah tahu, bukan Iskandar pula. Si AA tu ke yang hantar. Eh! AA kan tak ada dalam Malaysia ni?
Budak lelaki itu hanya menggeleng.
“Saya cuma budak delivery saja, kak. Yang lain-lain saya tak tahu. Kalau akak nak tahu, akak boleh telefon boss saya.”
“Mestilah bakal tunang ekau yang bagi. Lagi nak tanyo ko?” Raja Faizah mencelah.
Azizah sengih. Selepas menurunkan tandatangan pada resit penghantaran, dia segera kembali semula ke mejanya. Kad ucapan yang terselit di tengah-tengah gubahan bunga diambil selepas vas kaca diletakkan ke atas meja.
Hmm... Tulisan cakar ayam?
1st week
Berbaki 3 minggu lagi
Saya sudah terbeban dengan rasa rindu ini
Semoga segera bertemu
AA
“AA lagi?! Siapa dia ni hah?” Belakang telinga digaru kasar. Takkan dah pergi oversea pun masih boleh hantar bunga lagi? Benda-benda macam nilah yang dia tak suka. Benda yang boleh buat dia hidup di dalam keadaan tertanya-tanya. Hidup dalam keadaan begitu memang amat merimaskan.
Azizah belek kad ucapan itu. Mahu mencari nombor kedai yang bertanggungjawab menjadi orang perantaraan AA mengirimkan jambangan ini kepadanya. Setelah berjumpa, segera dia dail nombor kedai bunga yang tertera pada bahagian belakang kad ucapan.
“Helo.”
Suara perempuan dengan slanga Cina kedengaran menjawab panggilannya.
“Ini kedai bunga Blooming Your Heart ke?”
“Ya, ya. Manyak butut. Sini BloomingYour Heart flower shop. Ada apa hat amoi”
“Tadi you punya budak ada mari TESCO Seremban Jaya, hantar bungakan?”
“Ya, ada, ada. Itu Sunflower punya. Apa hat lu telipon? Itu flower sudah rosak ka?”
“Bukan..., saya mahu mintak tolong sama you. Saya mahu tahu, itu bunga siapa yang suruh you hantar mari sini?”
“Aya... amoi. Manyak soli la ha... Itu olang satu kali saja mali wa punya shop. Sudah order five delivery suruh wa anta munga sama you tiap-tiap minggu satu kali,” cerita perempuan Cina di talian hujung sana.
“Tiap-tiap minggu satu kali? Sampai bila?” Matanya sudah buntang. Serentak itu juga atas kening berlipat-lipat.
“Satu bulan. Itu olang cakap, dia kena pergi oversea satu bulan. So, dia order satu bulan punya delivery,” terang perempuan Cina itu lagi.
Memang gila kentanglah si AA ni. “You ada dia punya nama ke?”
“Tak da la... Itu form pun, dia kasi tulis nama AA saja ma...”
Azizah mengeluh.
“Itu macam, tak apalah hah. Banyak terima kasih.” Lalu ganggang diletakkan bersama keluhan yang terlepas buat kali kedua.
“Siapalah si AA ni agaknya. AA ini untuk apa hah? Apa makna AA ni? Takkan Ahmad Albab pula?” Tak semena-mena dia tersenyum nipis kala kepala mula terbayangkan cerita Tan Sri P. Ramlee itu.
“Ceh! Aku mana ada kawan nama Ahmad Albab,” keluh dia semula. Otak kembali runsing meneka siapa gerangan si AA ini.
Vas terisi bunga matahari segera di tolak ke tepi meja. Biar sahaja tinggal di atas meja kerja dia ini. Nak bawa balik pun takut. Nanti Rozaini tanya dia macam-macam. Sudahlah Rozaini tu sekarangan jadi sahabat baik Iskandar. Siap jadi spy tak bergaji untuk Iskandar lagi. Buatnya Rozaini gatal mulut cerita pada Iskandar yang dia terima kiriman bunga, tak pasal saja. Bunga yang diterima minggu lepas pun dia simpan di pantri. Dah nak layu pun. Kak Siti pun mati-mati ingatkan bunga itu dari Iskandar.

1 comment: