Terus sepasang kening Azizah bertaut lurus. Kerut di dahi
memanjang hingga ke pelipis.
“Iiiskandar tahu pppasal Khairi?!” Mata dia tidak
berkerdip memandang Rozaini. Kedut di dahi semakin bertambah.
Dia mula teringatkan kembali semua pertanyaan-pertanyaan
Iskandar pada malam mereka berpicnic
di luar rumah ini. Dalam benak timbul persoalan. Kalau Iskandar dah tahu semua
pasal dia, kenapa Iskandar masih bertanya apa yang terjadi antara dia dan Aziz?
Kenapa Iskandar masih nak tahu bagaimana dia dan Aziz berpisah? Mungkin
Iskandar berlakon buat-buat bertanya, tapi kenapa pula? Sebab apa? Hati
berbisik galak. Otak bertambah buntu.
“Itu yang aku pelik. Macam mana Iskandar tahu semua
tentang kau? Bila aku tanya, dia senyap
pula. Tak jawab. Bila aku desak, Iskandar cuma cakap, dari mana dia tahu
tentang kau tu tak penting. Yang penting dia mahu jadi ubat kepada luka di hati
kau. Dia mahu jadi doktor merawat perasaan kau. Banyak kali juga aku tanya dia
semula. Alih-alih dia tanya aku balik, kenapa kau tak kahwin. Jadi, aku
ceritalah pada dia, apa sebabnya. Aku cakaplah, kau tak kahwin sebab kau rasa
bersalah pada Aziz. Kau rasa berdosa pada Aziz kerana kau dah hina dan caci
perasaan Aziz. Bila Aziz pergi, baru kau sedar, yang kau juga sebenarnya
sayangkan Aziz. Dan sebab itulah sampai sekarang kau tak boleh lupakan Aziz.
Bila aku cakap macam tu, kau tahu apa yang Iskandar cakap dekat aku?”
Lemah kepala Azizah menggeleng. Otak sudah tidak larat
berfikir.
“Dia mahu buat kau lupakan Aziz.”
“Tapi kenapa dia nak buat macam tu?” Azizah menyoal dalam
suara yang amat perlahan. Hati dan perasaan sudah tidak mampu lagi menebak
bagaimana Iskandar begitu banyak mengetahui tentang dia.
“Dia kata sebab dia sayangkan kau. Dah lama dia sayangkan
kau. Walaupun kau dan dia tidak pernah berjumpa selepas habis sekolah rendah,
dia selalu ambik tahu tentang kau
bila dia balik bercuti ke rumah keluarga dia. Bila dia tahu kau sanggup
sia-siakan hidup kau semata-mata kerana rasa bersalah pada Aziz, dia sedih. Dia
tak mahu kau terus siksa diri sendiri. Dia mahu kau lupakan Aziz. Dia mahu kau
hidup bahagia. Dan dia sanggup lakukan apa saja demi melihat kau gembira.”
Rozaini tidak bergarit melihat wajah Azizah. Air mata mula kelihatan
bergenangan pada peluput mata sahabatnya ini.
“Entah kenapa hati aku tersetuh bila dengar dia cakap
macam tu. Apa yang dia katakan, kedengaran sangat ikhlas pada aku. Aku dapat
rasakan kejujuran dia. Dia bukan sesiapa pada kau, Zizah. Bukan kawan, bukan
juga sahabat. Selepas sekian lama, dia muncul semula dan terus ambil berat
pasal kau. Dia bimbangkan kau. Apa yang buatkan aku kagum, Iskandar berani
pertaruhkan ego dia semata-mata mahu kau gembira semula. Sedangkan dia tahu,
dia mungkin akan malu sekiranya kau menolak dia. Aku pernah warning Iskandar, kau takkan senang-senang
lupakan Aziz. Tapi dia kata dia sanggup terima apa juga kemungkinan. Termasuk kau
reject dia. Iskandar kata, dia takkan
mengalah. Dia akan berusaha sehingga kau terima dia. Selepas melihat
kesungguhan dia, aku tak membantah. Malahan aku tolong dia bila dia nak tahu
apa-apa tentang kau. Katanya, dia ada cara untuk melembutkan hati kau. Selagi
rancangan dia tak berjaya, dia mintak aku rahsiakan pasal dia dari kau. Dan sekarang,
ternyata dia dah berjaya,” panjang Rozaini berbicara.
Azizah mengeluh. Nampaknya semakin bertimbun persoalan
yang tidak terjawab di dalam fikirannya ini. Dan dia semakin tidak faham
tentang Iskandar.
“Maafkan aku Zizah, sebab aku rahsiakan pasal Iskandar
dari kau,” pohon Rozaini buat yang kesekian kalinya.
Dia senyum nipis seraya mengangguk kecil. Dia tahu niat
Rozaini baik. Rozaini buat begitu semata-mata mahu melihat dia bahagia. Rozaini
sahabat sejatinya. Masakan Rozaini sanggup melihat sesuatu yang buruk berlaku
kepadanya. Azizah mendesah. Andai benar Iskandar ikhlas dan jujur kepadanya,
kenapa dia rasakan terlalu banyak rahsia Iskandar yang dia tidak tahu?
“Aku tahu kau sahabat aku yang paling baik, Zai. Aku pun
mintak maaf, kalau sepanjang beberapa hari ni, aku ada kecik kan hati kau.”
Cepat Rozaini raih tubuh Azizah, lalu dipeluk erat. “Kaulah
satu-satunya sahabat sejati aku, Zizah. Aku sanggup buat apa saja untuk kau.”
Air mata yang bergenangan tadi perlahan merembes ke pipi.
Segera diseka air matanya dan melepaskan rangkulan pada tubuh Rozaini.
“Sudahlah. Aku maafkan kau. Aku nak pergi kerja dulu ya.”
Azizah bangkit meninggalkan sofa.
“Kau tak tunggu Iskandar ke hari ni?”
Azizah geleng kepala.
“Buat sementara waktu ni, aku tak mahu jumpa dia.”
“Kenapa?” Cepat Rozaini menyoal semula.
Dia hanya menjongket bahu. “Aku nak tenangkan hati aku
dulu. Otak aku ni dah berserabut. Banyak sangat persoalan yang timbul dalam
kepala aku tentang Iskandar. Aku rasa, aku belum bersedia nak berhadapan dengan
dia selepas aku tahu, dia tahu banyak benda tentang aku.”
Azizah beredar dari ruang tamu dan menuju ke pintu.
No comments:
Post a Comment