“Kau nak pergi mana?”
Pertanyaan Rozaini dibuat acuh tidak acuh. Azizah diam
tidak membalas. Kunci rumah di atas almari segera dicapai dan terus menuju ke
pintu. Tika jari sibuk menyumbatkan anak kunci pada mangga, tangan Rozaini
singgah di bahunya.
“Takkan kau nak pegi kerja dah? Kau masuk kerja kan pukul
tiga.” Mata Rozaini ralit melihat Azizah yang sudah lengkap memakai uniform
TESCO. Beberapa ketika kemudian Rozaini mengerling pula kepada jam di dinding
ruang tamu.
“Baru pukul satu. Kan awal lagi?”
Masih juga tidak dijawab pertanyaan Rozaini itu. Pintu
jeriji di tolak ke tepi. Kaki sudah bersedia untuk melangkah keluar. Cepat
Rozaini meraih tangannya.
“Kau ni kenapa? Takkan kau masih marahkan aku kot. Iskandar
dah terangkan semuanya kan. Kenapa kau masih marah lagi? Kalau kau masih marah
pada aku, aku mintak maaf Zizah.” Lembut sahaja suara Rozaini. Nadanya berbunyi
jauh dan terkilan.
Terbantut kaki Azizah mahu menjejak lantai beranda.
Ditarik kakinya semula dan dia tegak berdiri di muka pintu. Tidak pula dia menoleh
kepada Rozaini.
“Aku bukannya sengaja nak sembunyikan pasal Iskandar dari
kau. Aku..., dah lama kenal kau Zizah. Dah berbelas tahun kita berkawan baik.
Semua pasal kau aku tahu. Suka, duka, menangis, ketawa, derita, bahagia,
merana, gembira kau, semuanya aku rasa. Aku sayangkan kau Zizah.” Rozaini
senyap seketika. Dia sedang menyusun ayat bagi memujuk sahabatnya ini.
Azizah tetap kaku. Muka dan badan masih menghadap ke luar
rumah.
“Sebab aku sayangkan kaulah, aku tak mahu kau terus tenggelam
dalam perasaan kau sendiri. Aku tak mahu kau musnahkan hidup dan masa depan kau.
Aku sebenarnya tak setuju kau buat macam ni pada diri kau Zizah. Dah lama aku
nak tegur. Tapi, aku takut kau kecik hati. Aziz tu dah jadi sejarah, Zizah. Sudah
tiba masanya kau lupakan dia. Aku nak kau hidup bahagia. Sebab tu aku setuju dengan
rancangan Iskandar nak pikat hati kau. Aku yakin dia boleh buat kau gembira.”
“Bagaimana kau boleh begitu yakin?” Tegas Azizah menyoal
tanpa berpaling kepada Rozaini.
Rozaini paut kedua belah tangannya pada bahu Azizah. Perlahan
dia menarik Azizah supaya menentang wajahnya. Azizah menurut tanpa membantah.
“Kadang-kadang keikhlasan seseorang itu kita boleh lihat
melalui air mukanya saja, Zizah. Itu yang aku rasa pada Iskandar. Hati aku
dapat rasa kejujuran dia.”
Azizah terdiam saat mata Rozaini menatapnya tidak
berkelip.
“Kau percaya cakap aku Zizah, Iskandar tu adalah yang
terbaik untuk kau. Dah lama dia sukakan kau. Dari kau orang sekolah rendah
lagi. Aku pun tahu pasal tu, sebab aku dulu satu kelas dengan dia. Aku tahu
masa sekolah dulu dia selalu usik kau. Cuma kau saja yang tak layan dia.”
Dia buat muka. Rozaini tidak ambil pusing.
“Kau tahu apa yang dia tanya aku lepas dia tahu aku ni kawan
baik kau?”
Perlahan dia gelengkan kepala. Ditayang muka seperti
tidak berminat, tetapi dalam hati, meronta-ronta hendak tahu. Selepas itu Rozaini
menarik sebelah tangannya lalu mengheret dia ke ruang tamu.
“Duduk dulu. Aku nak cerita dekat kau.”
Azizah menurut dengan patuh. Tidak pula dia membantah. Punggung
didaratkan pada sofa empuk di sebelah Rozaini.
“Kau dah tahukan first
time aku jumpa Iskandar dekat mana?”
“Hmm...” Senang sahaja dia menjawab. Kepala ditundukkan
memandang jari yang mengumpil kuku sesama sendiri.
“Kau tahu apa soalan pertama yang Iskandar tanya bila dia
tahu aku sekampung dengan dia?”
Azizah geleng lagi. Air muka masih beriak yang sama.
No comments:
Post a Comment