Total Pageviews

Sunday, August 23, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 30



“Awak tahukan saya memang dari sekolah rendah lagi sukakan awak?”
“Ya... Yang itu saya dah tahu. Tak payahlah nak ulang cerita lagi.” Azizah mendengus kasar. Iskandar senyum. Memang kawlon betul hati mamat ni. Sabar sungguh menghadap perangai dia yang brutal.
“Sejak saya tak sama sekolah dengan awak, saya tak pernah risau awak akan diminati oleh budak lelaki lain. Sebab saya tahu, awak ni jenis yang tak suka menjalinkan hubungan serius dengan lelaki. Tapi saya kecewa bila Ridzwan bagitau saya awak rapat dengan Aziz.”
“Ridzwan? Ridzwan yang mana ni?” Azizah mencelah. Tanda soal muncul dalam kepala.
“Ridzwan budak sebelah rumah saya yang satu kelas dengan awak masa sekolah menengah dulu.”
Hmm... Ridzwan yang itu rupanya... Ridzwan tulah yang telah menunjukkan rakaman perbualan komplot Khairi dan Zahim kepadanya.
“Masa tu saya balik cuti pertengahan tahun tingkatan empat. Sebenarnya, setiap kali balik kampung saya mesti pergi rumah awak. Menyorok celah pokok rimbun tepi rumah awak tu, semata-mata nak tengok muka awak. Sejak saya belajar di UK saja saya tak buat lagi kerja macam tu.”
“Kenapa pula?” Dalam hati, rasa baran mula surut. Tak sangka pula Iskandar sukakan dia sampai macam tu sekali.
“Sejak saya pergi UK, saya tak pernah balik Malaysia. Mak ayah saya tak mampu nak tanggung duit tambang pergi balik, tapi tak bermakna saya dah lupakan awak. Awak sentiasa ada dalam hati saya. Setiap kali saya telefon keluarga saya, saya mesti tanya umi pasal awak. Zizah dah kahwin ke belum? Setiap kali umi kata belum, lega hati saya. Saya selalu berdoa supaya jodoh saya dengan awak, Zizah.”
Terpempan Azizah dibuatnya dengan pengakuan Iskandar itu.
“Umi tahu selama ni saya sukakan awak, sebab tu bila saya kata nak meminang awak cepat saja umi setuju. Awak tak tahukan masa sekolah menengah dulu saya selalu sekodeng awak?”
Dia menggeleng laju.
“Nak jumpa awak, saya takut awak reject saya. Tambahan, saya tahu awak tak pernah sukakan saya. Saya balik cuti sekolah pertengahan tahun masa tingkatan empat, masa tulah saya selalu nampak Aziz di rumah awak. Jealous betul saya masa tu. Kecewa hati saya bila tengok awak sangat rapat dengan Aziz. Tapi saya pujuk hati saya sendiri. Salah saya juga tak berani nak terus terang pada awak.
Bila balik cuti akhir tahun, sekali lagi saya kecewa bila Ridzwan bagitau saya yang awak sudah renggang dengan Aziz kerana bercinta dengan Khairi Izlan. Ridzwanlah yang cerita pada saya punca pertengkaran awak dan Aziz tu. Ridzwan juga bagitau saya semua perasaan kecewa yang Aziz luahkan pada dia. Rakaman video belakang bangunan makmal tu pun Ridzwan ada tunjukkan pada saya.
Walaupun saya tak pernah ada hubungan dengan awak, tapi cerita yang disampaikan oleh Ridzwan, buat saya rasa macam dah putus cinta. Tambah sakit hati bila tengok budak lelaki tu selalu datang rumah awak setiap kali saya sekodeng awak. Masa tu, saya dapat rasa apa yang Aziz rasa. Perasaan kami sama, tak sanggup tengok awak bahagia bersama Khairi. Tapi saya lagi teruk kot, sebab dah dua kali kecewa. Kalau Aziz lari pergi rumah kakak dia, saya pula ambik keputusan untuk habiskan cuti di rumah nenek saya. Sejak tu, saya tak pernah lagi ambik tahu atau tanya sesiapa pasal awak.”
Sekali lagi Azizah terkedu. Mata tidak beralih dari merenung lelaki itu. Tak pernah dia menyangka, hubungan sementara antara dia dan Khairi dahulu telah melukakan dua hati.
“Tapi rasa sayang saya pada awak ni Zizah, susah nak dibuang. Awak cinta pertama saya. Dari saya kecik pula tu. Memang payah nak lupakan. Hati saya ni, kuat berusaha nak lupakan awak, tapi perasaan saya yang ikhlas sayangkan awak mengatasinya. Akhirnya hati saya berlembut juga. Sebelum saya berangkat ke UK saya risik pasal awak dari Ridzwan. Syukur betul saya masa tu bila dengar awak dah putus dengan Khairi. Sejak tu, saya tak pernah lupa tanya pasal awak setiap kali saya telefon umi. Sekarang awak dah tahu, bagaimana saya tahu semua pasal awak?” Iskandar mengakhiri kata-katanya yang agak panjang itu dengan soalan bertujuan untuk memastikan kepuasan hati Azizah yang terlalu ingin mengetahui cerita sebenarnya.
“Kalau awak tahu saya dah putus dengan Khairi, buat apa awak tanya Rozaini kenapa saya tak kahwin dengan Khairi?”
“Saya belum habis cerita lagi sayang... Sabarlah... Sebenarnya saya nak tahu apa yang terjadi selepas awak dan Khairi putus. Saya pelik, kenapa awak tak kahwin-kahwin sampai sekarang? Awak tak kahwin pasal awak kecewa dengan Khairi tu ke, atau tak kahwin sebab saya selalu berdoa supaya jodoh awak bersama saya? Sebab tu saya tanya Zai. Dan saya dapat jawapannya dari Zai kenapa awak sanggup buat macam ni pada hidup awak. Bukan sebab Khairi tapi sebab Aziz rupanya.”
Azizah terdiam mendengarnya.
“Soalan kenapa saya dah tahu tapi masih bertanya kepada awak tu, ini sebabnya. Tujuannya, saya nak awak luahkan apa yang ada dalam hati awak tu. Saya tahu, selama ini awak tak pernah luahkan apa yang tersimpan dalam hati awak. Rasa sedih, kecewa, bersalah, berdosa, semua rasa tu awak tak pernah ceritakan kepada sesiapa. Awak simpan dan tanggung sendiri. Awak pernah dengar orang cakap beban perasaan tu akan berkurangan, bila kita meluahkannya?”
Azizah bisu tidak membalas. Kepala tunduk memandang lantai.
“Sebab itulah diadakan sesi kaunseling bagi mereka yang mempunyai masalah dalaman ni. Melalui sesi kaunselinglah mereka meluahkan perasaan, supaya mereka rasa lega dan tidak terbeban. Kaedah inilah yang saya gunakan ke atas awak, Zizah. Saya tidak mahu awak terbeban dan tertekan dengan segala perasaan yang awak simpan dalam hati awak tu.”
Dagu semakin rapat ke dada. Dia malu. Betapa Iskandar sanggup melakukan apa saja demi dia. Tidak tersentuh lagikah hatimu wahai Azizah?
“Zizah, saya tak pernah berbohong pada awak. Apa yang saya cerita ni adalah benar. Tidak ada sebab untuk saya berbohong. Waktu tu, belum tiba masanya saya berterus terang bagaimana saya tahu semua tentang awak. Saya ingat, saya akan bagitau awak selepas awak berubah dan terima saya. Tak pernah terlintas dalam hati saya nak mempermainkan awak, Zizah. Saya simpan semua perasaan saya selama ini untuk awak, bukannya untuk mempermainkan hati dan perasaan awak. Apa guna saya buang masa menunggu ruang untuk merapati awak, kalau hanya untuk suka-suka? Tidak, Zizah. Itu bukan saya. Rasanya sudah berulang kali saya bagitau awak. Saya ikhlas dengan awak. Saya sayangkan awak.”
Sungguh berjela Iskandar meluahkan perasaannya. Buatkan Azizah terkasima mendengarnya. Menyentuh jauh ke dasar hati dia. Kini benak mula berbicara, sanggupkah dia menolak lelaki sebaik ini?
“Sekarang awak dah tahu. Awak faham kenapa saya buat semua ni?”
Azizah angguk perlahan. Kepala yang sudah tertunduk tidak berani dipanggung melihat Iskandar. Entah apa yang dia rasa ketika ini. Malu? Bersalah? Sungguh lelaki ini terlalu baik kepadanya. Sanggup melakukan apa saja demi dia. Tidak cukup bagus lagi ke Iskandar? Masih ragu-ragukah dia untuk terima Iskandar?
“Sekarang giliran awak pula tunaikan janji awak.”
Azizah angkat kepala dan memandang Iskandar buat seketika. Selepas itu kembali menjatuhkan kepala memandang hujung kasutnya.
“Janji apa?”
“Tunaikan janji yang awak buat tadi. Awak berjanji pada saya yang awak nak berubah, jadi lebih baik dari sekarang. Dan awak setuju, saya yang akan mengubah awak.”
Berjanji untuk berubah jadi lebih baik tu ada, tetapi bersetuju membenarkan Iskandar untuk mengubah dia tu, bila?

No comments:

Post a Comment