“Kau balik dari kampung petang semalam, mama aku ada
pesan apa-apa tak?” soal Rozaini ketika mereka menunggu pelayan menghantar
pesanan.
Azizah tepuk dahinya sendiri.
“Allah Zai... Aku betul-betul lupalah nak pergi rumah
kau.” Memang dia tak teringat langsung mahu ke rumah orang tua Rozaini petang
semalam. Padahal, kebiasaannya dia akan singgah di rumah Rozaini untuk mengambil
barang-barang yang dikirim oleh ibu Rozaini, sekiranya sahabat dia ini tidak
pulang ke kampung bersamanya. Kerana marah dan geramkan Iskandar, dia terlupa
hendak ke sana.
Dia menyampah kepada Iskandar tu, cerita semalam. Hari
ini, sudah ada rasa asing bercambah dalam hatinya. Mungkin terlalu cepat,
tetapi dia tidak mahu memaksa. Biar semua tumbuh sendiri tanpa digesa.
“Hoi!”
“Oi mak kau!” Segera Azizah memandang Rozaini.
“Kau ni kenapa Zai? Terperanjatlah aku!” Dada yang
berhenti berombak seketika, segara diurut perlahan. Dipuja semula semangat yang
terbang melayang.
“Boleh pula dia berangan.” Rozaini mula menyuap roti
canai ke dalam mulutnya.
Entah bila masa pelayan menghantar pesanan mereka. Tidak
sedar pula. Asyik betul dia berangankan Iskandar.
“Macam mana kau boleh lupa nak singgah rumah aku? Kau
tahu tak, berapa lama mama aku tunggu kau? Mama aku pergi rumah kau, tapi kau
dah tak ada. Dia malaslah nak telefon kau suruh patah balik. Dia telefon aku,
tanya kenapa kau tak datang rumah ambik
barang yang dia nak kirim tu.” Rozaini berkata dalam mulut yang penuh dengan
roti canai dan kari kambing.
Memang kurang sopan betul. Lebih kurang dia juga perangai
si Rozaini ni. Cuma Rozaini tidaklah sekeras dia. Pelik juga, macam manalah si
Idham tu boleh tersangkut dengan Rozaini, minah
ala-ala brutal ni? Cinta itu benar-benar buta dan memang tidak mengenal siapa.
Seperti dia dan Iskandar juga. Azizah senyum lagi.
“Hah! Tengok! Senyum sorang lagi. Kau ni dah kenapa? Kena
sawan senyum ke apa?” Rozaini tunak memandang sahabat di depannya ini.
“Senyum saja kot. Itupun jadi masalah ke?”
“Apa-apalah...” Rozaini malas bertanya lagi. Roti canai
disumbat lagi ke dalam mulut. Dikunyah laju dan ditelan.
“Apasal tak
singgah rumah aku semalam?” Buat yang kesekian kalinya Rozaini menyoal Azizah
dengan soalan itu.
Azizah tahu dia bersalah. Bukan sengaja dia tak pergi ke
rumah orang tua Rozaini. Dia memang terlupa.
“Maaflah Zai... Aku betul-betul terlupalah.” Dia tayang
muka sedih, memohon simpati supaya tidak dimarahi.
“Kau ni pelik betullah Zizah. Tak pernah kau macam ni.
Malam tadi, berapa kali aku telefon kau. Line
asyik engaged saja. Tah dengan siapa kau
bergayut. Lama lepas tu aku telefon balik. Line
okey, tapi kau tak angkat pula. Kalau kau tidur pun, selalunya kau tak pernah tidur
mati. Sekali saja aku telefon. Lepas kau tak angkat, malas aku nak dial lagi. Aku
ingat mungkin telefon kau tertinggal dalam kereta ke, tertinggal dekat ruang
tamu ke.”
Tertinggal dalam kereta apanya? Masa tu dia tengah syok dating dengan Iskandar depan pintu
pagar. Telefon pula dalam bilik. Mana nak dengar. Dia perasan ada missed call dari Rozaini ketika dia save nombor telefon Iskandar malam tadi,
tapi dia fikir panggilan Rozaini tu tak penting. Kalau penting, tentu Rozaini
telefon dia berkali-kali selagi dia tidak menjawab panggilannya.
“Sorry, sorry,
sorry. Memang salah aku. Aku terlupa sangat nak singgah rumah kau.”
“Apa benda yang mama dan papa kau bincangkan masa kau
balik kampung hari tu?” Rozaini mengangkat kening.
“Bincang? Eh! Mana ada bincang apa-apa. Tak ada yang
penting pun...”
“Mana boleh tak ada bincang apa-apa? Ini mesti ada
perkara penting.”
“Tak ada!” tegas Azizah menyanggah.
“Mesti ada. Kalau tak, kenapa kau lupa nak singgah rumah
aku sebelum balik?”
Azizah kelu.
“Emmm... Aaaa...
Errr....” Dah macam-macam bunyi keluar dari mulutnya.
“Kau jangan nak tipu aku, Zizah. Aku tahu...”
Rozaini tancap memandangnya. Sengih yang tersungging di
bibir Rozaini kelihatan lain di matanya.
“Kkkau tahu apa?” Dalam hati rasa berdebar-debar.
“Aku tahu la..., apa yang kau cuba sembunyikan dari aku.
Aku tahu kenapa muka kau ni ceria semacam saja sejak aku balik kerja tadi. Kau
pikir aku tak tahu?”
“Yalah aku tahu, kau tahu. Tapi aku nak tahu apa yang kau
tahu?” Sudah berbelit-belit Azizah bertanya.
Rozaini tersenyum sinis.
Janganlah Rozaini tahu pasal Iskandar. Muak aku kena
bahan nanti, dalam hati Azizah mula libang-libu.
“Nampaknya tak lama lagi merasalah aku makan nasi
minyak.”
Glup!
“Nnnasi minyak? Sssiapa punya nasi minyak?”
Rozaini mengecilkan matanya. “Kura-kura dalam perahu,
dalam perahu pun ada kerbau. Pura-pura tak tahu, tapi aku yang tahu dulu dari
kau!”
Terus Azizah berdiri. Mampus! Rozaini dah tahu. Dari mana
dia tahu? Air liur sampai kering dia telan.
“Aku dah habis makan,” beritahu Rozaini.
Mata Azizah beralih ke pinggan Rozaini. Dua keping roti
canai sudah licin. Entah bila masa pula si Rozaini ni membedal roti canai tu.
Dia punya belum berusik pun lagi.
“Kau nak makan ke tak ni?” Rozaini turut berdiri di depan
Azizah.
Perlahan dia geleng kepala.
“Yalah... Orang tengah tak ada selera. Tak lalu nak
makan. Pasal dalam kepala mula terbayang-bayang. Oh Iskandar... Aku rindukan
kau,” usik Rozaini.
Iskandar?! Lutut rasa goyah. Dia rasa nak rebah jam-jam
tu juga. Dalam kepala mula berserabut dengan pelbagai persoalan. Mana pula Rozaini
tahu pasal Iskandar? Azizah mahu menyoal, tetapi mulut terasa berat untuk
bersuara.
“Kalau tak nak makan, jom baliklah. Aku dah mengantuk ni.
Kau kerja petangkan?”
Perlahan-lahan dia mengangguk.
“Sekejap lagi, adalah tu orang datang rumah kita. Nak ajak
kau keluar. Tak apa, kau boleh makan dengan dia karang.”
Azizah makin keliru.
No comments:
Post a Comment