Total Pageviews

Saturday, August 22, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 29



Azizah matikan langkahnya sebaik sahaja tiba di ruang parkir yang dikhaskan bagi staf TESCO. Rasanya, di sini saja tempat paling selamat dan sesuai untuk mereka berbicara. Tidak sibuk dengan kenderaan dan orang ramai keluar masuk.
Berbicara? Heh! Jangan harap. Gerenti bertekak punya. Iskandar mungkinlah takkan meninggikan suara kepadanya, tetapi dia ni yang cepat naik angin puting beliung.
Tubuh disandarkan pada dinding di tepi ruang parkir. Selang beberapa saat kemudian Iskandar tiba di sisinya pula. Lelaki itu turut melakukan perkara yang sama. Menupangkan tubuh sasanya ke dinding.
“Nak lagi?”
Iskandar ajukan coklat Ferrero Rocher yang tinggal separuh itu ke depan matanya. Segera dia menggeleng.
“Tak nak?” Iskandar bertanya lagi.
Belum sempat dia menjawab soalan yang ditanya, Iskandar sudah memasukkan sisa coklat yang dia gigit tadi ke dalam mulutnya. Kejang badan Azizah. Tidak percaya dengan tindakan Iskandar itu. Sanggup Iskandar makan lebihannya? Orang tua-tua kata, makan sisa orang, nanti mudah mendengar cakap orang tu. Bagus juga begitu. Biar Iskandar ikut telunjuk dia lepas ni.
“Kenapa?” Iskandar perasan Azizah sudah membuntangkan mata kepadanya.
“Otak saya pun perlukan serotonin untuk meredakan perasaan saya juga...,” jelas Iskandar.
Apa-apalah mamat oi! Azizah sudah membuka mulut, tetapi Iskandar yang terlebih dahulu bersuara.
“Kenapa saya rasa awak macam nak melarikan diri dari saya saja? Apa yang saya dah buat sampai awak marah sangat dan tak nak jumpa saya?”
“Kenapa awak cakap dengan Kak Siti yang kita nak bertunang bulan depan?” Belum tiba masanya mereka berbincang hal yang ditanya oleh Iskandar sebentar tadi. Tujuan kenapa Iskandar berbohong kepada Kak Siti adalah perkara pertama yang perlu Iskandar jawab.
“Apa salahnya saya cakap macam tu? Setiap kata yang keluar dari mulut kita ni, satu doa sebenarnya Azizah. Manalah tahu, masa saya bercakap tu, pintu langit tengah terbuka. Doa saya tu, terus diangkat oleh malaikat untuk menghadap Allah SWT. Dan Allah SWT makbulkan. Bertuah saya.”
“Jangan nak beranganlah! Kan saya dah kata kena tunggu lagi tiga bulan. Itupun belum tentu saya setuju lagi tau!”
“Saya akan buat sampai awak setuju. Awak ingat lagi cabaran saya?”
“Cabaran yang mana?” Azizah cuba mengingati.
“Awak tak ingat sekarang tak apa. Saya akan ingatkan awak bila sampai masanya nanti.”
“Apa-apa sajalah!” Bercakap dengan Iskandar ni kadang-kadang memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Masakan tidak dia selalu naik angin. Bila ditanya, Iskandar tak pernah jawab dengan tepat. Mesti nak menyimpang ke lain. Tapi..., kenapa dia rasa tak nak marah sekarang ni hah? Serotonin dia dah merembes ke? Ini mesti gara-gara coklat yang Iskandar suap tadi. Ceh! Menyesal makan. Kalau tidak, senang-senang boleh hamput mamat ni cukup-cukup.
Terasa malas hendak melanjutkan perkara cabaran yang diperkatakan oleh Iskandar. Perkara yang kedua ni, lebih penting. Banyak persoalan yang perlu Iskandar jawab.
“Dah banyak kali saya tanya awak tapi, setiap kali saya tanya, pandai awak mengelak. Kali ini saya mahu awak cakap terus terang. Cerita dekat saya perkara yang sebenarnya.” Serius mukanya dipandangkan ke hadapan. Tidak ada yang menarik pun di hadapan dia ini, selain daripada deretan kereta-kereta pelbagai jenama milik staf-staf TESCO. Termasuklah kereta dia yang diletakkan di hujung sana.
“Saya bersumpah akan mengatakan yang benar sahaja. Tiada yang tidak benar melainkan yang benar belaka.” Iskandar menyatakan ikrarnya.
“Ingat ni dalam court ke apa?” Iskandar, memang tidak akan pernah serius, gerutu Azizah dalam hati.
“Saya nak memuaskan hati awak saja. Nanti awak kata saya berbohong pula.”
Lelaki itu sengih mengusik. Dalam keadaan tegang begini, Iskandar masih nak menyakat dia. Azizah mendengus. Cuba menyabarkan hatinya.
“Boleh tak awak jangan main-main? Saya malas nak ulang soalan dua tiga kali.” Dia melirikkan matanya kepada Iskandar. Cukup menggambarkan betapa seriusnya dia ketika ini.
“Apa benda yang awak selalu tanya, tapi saya belum jawab?” tebak Iskandar selepas melihat wajah Azizah beriak tegas.
Cepat Azizah kalih menghadap Iskandar. Tubuhnya diangkat menjauhi dinding. “Ooo... Buat-buat lupa?”
“Tak sayang... Saya betul-betul tak ingat.”
“Awak nampak ni.” Entah berapa kali dah dia tayang penumbuk dia ni depan mata Iskandar. Masih belum ada peluang cecah ke muka lelaki itu saja lagi. Rasanya kali ini, mahu bertelur juga kepala mamat ni.
“Awak nampak ni?” Iskandar menunjukkan pula baki dua biji Ferrero Rocher serta menayang otot di lengannya. “Kekuatan saya ni, cukup untuk memaksa awak telan coklat ni dua bijik sekaligus. Biar lagi banyak serotonin dalam kepala awak tu. Tak adalah awak asyik nak marah saja.”
Tak sanggup haih nak kena suap dengan Iskandar lagi. Secara paksa pula tu. Azizah hembus nafas perlahan bagi meredakan baran yang berwap di dalam dadanya ini. Dia ambil masa seketika untuk menenangkan perasaannya. Mungkin ada betulnya kata-kata Iskandar ketika mereka berada di dalam lif tadi. Kalau dia asyik nak meradang saja, maka perbincangan ini takkan berlangsung dengan baik.
“Baiklah. Kali ni saya soal awak elok-elok, baik-baik. Penuh sopan santun,” sinikal Azizah berkata.
“Saya pun sedia mendengar dan menjawabnya,” balas Iskandar penuh selamba kemudiannya.
“Nombor satu, dari mana awak tahu pasal saya dan Aziz? Nombor dua...” Terhenti kata-katanya apabila Iskandar mencelah.
“Ooo..., pasal tu... Saya ingatkan awak dah lupa pasal tu. Tak sangka pula awak masih ingat. Penting sangat ke? Banyak ke soalan awak ni? Ada nombor satu, nombor dua?”
“Tengok! Macam mana saya tak marah. Awak asyik mengelak saja dari menjawab.” Bertambah kelat wajah Azizah. Diketap sekuat hati giginya menahan geram.
“Okey... Sorry... Awak teruskanlah bertanya berapa soalan pun yang awak suka. Tanya saja apa yang awak nak tanya.”
“Nombor dua, dari mana awak tahu pasal saya dan Khairi Izlan? Nombor tiga, awak dah tahu semua kisah saya, sejarah saya, tetapi kenapa awak masih bertanya apa yang jadi antara saya dan Aziz? Yang keempat, apa tujuan awak buat saya macam ni? Nombor lima, kenapa awak bohong saya? Nombor enam, kenapa awak permainkan saya?” Kata-katanya tamat selepas enam soalan itu.
“Tak nak sambung genapkan sepuluh soalan?”
Errrmmm...!” Dia menderam kuat.
Sorry... Okey, saya jawab. Kalau tidak awak jadi harimau jadian pula nanti.”
Ya Allah... Kau tambaklah segunung kesabaran dalam hati aku ni... Bertambah laju Azizah menghela udara, supaya sejuk panas dalam dadanya.
“Saya akan jawab enam soalan awak tu sekaligus, Zizah. Dan lepas ini, saya tak mahu awak bertanya, awak sebut, ataupun awak kenangkan semua benda yang dah lama berlalu tu. Saya nak awak berubah. Berubah jadi lebih baik dari sekarang. Dan saya yang akan mengubah awak. Awak setuju?”
Tengoklah! Macam mana dia tak geram? Tak habis-habis buat deal. Tunainya tidak.

No comments:

Post a Comment