Total Pageviews

Showing posts with label Benci / Cinta Awak Budak Nakal. Show all posts
Showing posts with label Benci / Cinta Awak Budak Nakal. Show all posts

Saturday, May 16, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - Teaser 20




“Mak angkat Yaya dekat kampung apa khabar?” Chad bersuara selepas mengelap tepi bibirnya dengan napkin.
“Alhamdulillah sihat,” balas Yaya dua patah. Itupun lambat-lambat. Masakan tidak, spaghetti masih dikumam di dalam mulut. Tidak ditelan-telan dari tadi.
“Ada masa, Yaya bawak saya balik ke kampung Yaya.”
Jam-jam tu juga rasa nak termuntah balik apa yang baru dia telan. “Bbbuat apa?” Nafas jadi semput tiba-tiba.
“Saja nak berkenalan dengan mak angkat dan keluarga Yaya.”
Cepat-cepat Yaya letak garfu di tangan ke dalam pinggan. Gelas air kosong dicapai dan dia meneguk laju air tersebut. Hampir juga mahu tersedak.
“Gelojoh!” tegur Chad.
Yaya tidak endahkan. Apa yang Chad katakan sebelum itu lagi penting. “Nak buat apa kenal dengan keluarga Yaya?”
“Mestilah saya nak kenal keluarga Yaya dan keluarga Yaya perlu kenal saya. Dia orang patut tahu dengan siapa Yaya berkawan. Dengan siapa Yaya selalu keluar.”
Sekadar berkawan saja tak perlulah Chad kenal semua ahli keluarga dia, tapi dengan siapa pula dia selalu keluar? Azhan? Azhan perempuan. Rasanya tak jadi masalah kalau Mak Ina tak tahu pun. Dengan Ayin? Itu pun rasanya okey kot. Ayin tunang dia. Dengan Chad? Masuk ni, baru dua kali mereka keluar. Mana ada selalu? Lagipun, dia mahu berterus terang pada Chad. Dia dah bertunang, tak manis mereka selalu keluar bersama. Makanya, tidak relevan lagi permintaan Chad untuk berkenalan dengan semua ahli keluarganya tu. Nanti lain pula tanggapan Mak Ina, Pak Long dan Mak Long. Dah bertunang dengan Ayin tapi bawa lelaki lain balik ke rumah untuk dikenalkan. Yang jadi masalahnya sekarang, nak bagitau Chad ni macam mana? Takkan terus cakap saja, Chad... Yaya dah ada tunang, macam tu?! gumam hati Yaya bersoal jawab sendiri.
“Nanti-nantilah. Chad tahukan, Yaya pun baru balik dari kampung?”
“Maksud Chad, bukan dalam waktu terdekat ni. Chad pun nak bincang dengan mama dan papa dulu.”
Hati Yaya berdetak keras tidak semena-mena. Rasa ada sesuatu yang tidak kena. “Chad nak bincang apa dengan Encik Kamil dan Puan Julita?”

Thursday, May 14, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - Teaser 19




“Dah dua hari Chad telefon aku, cari kau.”
Memang sudah agak lama Chad tidak menghubunginya. Sejak sibuk dengan Ayin ni, soal Chad pun terlupa. “Chad cakap apa?”
“Tak ada apa. Cuma dia cari kau. Aku katalah kau balik kampung jenguk mak angkat kau. Pukul tiga setengah tadi dia telefon lagi. Dia ingatkan kau dah balik dari kampung,” beritahu Azhan. Tangan capai plastik di atas lantai.
Apa yang Chad mahukan agaknya? tukas Yaya. “Kau ada cerita pasal aku dengan Ayin dekat dia ke?”
Cepat Azhan gelengkan kepala. “Aku nak kau sendiri cerita dekat dia.”
Yaya mengeluh perlahan. “Nanti aku cari masa yang sesuai bagitau dia. Kau jangan risau Azhan. Aku akan cari jalan untuk kau dan Chad.” Yaya paut perlahan bahu Azhan.
“Kau tak perlu risau pasal aku, Riya. Aku dah biasa macam ni. Memang aku sukakan Chad, tapi aku tak mahu menaruh harapan tinggi pada dia. Kalau ada jodoh, aku terima. Kalau tak ada pun, aku terima juga. Yang penting, kau tu. Selesaikan hal kau dan dia,” tutur Azhan seraya mengambil tangan Yaya di bahunya lalu digenggam erat.
“Nak berterus terang pada Chad dan keluarganya pun satu masalah pada aku. Macam mana nak mulakan pun aku tak tahu. Aku tak mahu sakitkan hati mereka,” bungkam Yaya perlahan. Bungkusan plastik di atas lantai dijinjit bersama dengan bungkusan yang diambil dari tangan Ayin tadi. Dia melangkah perlahan menuju ke ruang dapur lalu meletakkan semua bungkusan itu di atas meja makan.
Azhan membuntuti di belakang. “Nanti kita fikirkan. Chad pun lambat lagi nak balik kan?”
Tiba-tiba loceng berbunyi.
“Aku bukak kan pintu,” beritahu Yaya. Dia menapak menghampiri pintu utama semula. Tombol pintu ditarik. Siapa pula yang datang petang-petang ni? Ayin berpatah balik ke? Ada barang yang tertinggal agaknya, bisik Yaya.
 “Assalamualaikum...”
Bebola mata terus membulat. Mulut ternganga. Badan mengeras. Terkejut! Ini orang ke hantu? Baru saja namanya disebut sudah tertonggok di depan pintu. Orang ni memang betul-betul panjang umur, atau dia yang bakal pendek nyawa sekejap lagi?

Tuesday, May 12, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - Teaser 18




“Saja nak tengok kawasan sekeliling rumah kau orang ni selamat ke tidak,” balas Ayin. Yaya dan Azhan saling bertukar pandangan.
“Ini apartmen kot Encik Azrin. Tentulah selamat. Dekat bawah tu, berapa punya ramai pak guard Bangla.” Memang tak logik betul tanggapan bos dia ni.
Management pasang berpuluh pak guard pun belum tentu selamat Azhan...,” ulas Ayin.
“Kenapa pula?” tebak Yaya.
Ayin kalih kepada Yaya. “Yin risau mamat-mamat dekat sini, mengurat Sinar.”
Ceh! Yaya juling mata ke atas. Tak boleh blah betul statement tunang aku ni.
“La..., sebab tu ke? Encik Azrin jangan bimbanglah. Selagi Riya tinggal dengan saya, saya secara suka dan relanya, menawarkan diri menjadi bodyguard Riya, dan juga mata-mata tak bergaji encik.” Azhan tayang giginya, menyeringai.
Ceh! Ni lagi sorang. Yaya juling lagi matanya ke atas. Sabar sajalah dapat tunang dan kawan yang macam ni.
Ayin senyum memandang Azhan. “Okey, awak tolong tengok-tengokkan tau.”
“Yin tak percayakan Sinar ke?” Dia ni tak adalah secantik mana sampai ramai yang terpikat dan nak memikat.
 “Bukan Yin tak percaya, cuma berhati-hati. Yin sayangkan Sinar. Tak nak kehilangan lagi,” balas Ayin sambil mata redup menyapu raut Yaya.
Fui yooo... Romantik gila tu...,” celah Azhan. Dia pula yang teruja. Yaya sudah memerah muka. Pap! Bahu Azhan ditampar.
Wei! Sakitlah!”
Yaya buat tidak tahu. Kacau daun saja minah sebelah ni. Orang baru nak tangkap feeling. “Sinar masuk dululah. Kesian mama dan papa dekat bawah tu kalau Yin lama dekat sini.” Yaya tarik pintu besi dan pulas tombol pintu kayu. Plastik yang dijinjit diletakkan ke atas lantai. Kemudian bungkusan pada tangan Ayin diambil. “Kita jumpa besok dekat pejabat ya,” kata Yaya.
“Sehingga itu, Yin akan merindui Sinar.”
“Aduh! Meleleh hati aku.”
Buk! Yaya siku perut Azhan. “Pergilah masuk!” Mata dijelingkan kepada Azhan.
Azhan mengerut kening menahan senak. “Yalah..., aku masuk. Tak nak kacau daun.”
I love you,” ucap Ayin sebelum Yaya menutup pintu. Yaya tertunduk malu. Secebis senyuman bahagia terlorek di bibirnya.
Hui yooo... Tak lelap tidur malam ni.” Suara Azhan kedengaran dari dalam dapur.

Sunday, May 10, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - Teaser 17




“Besok kita balik, Yaya terus ikut kak Dinalah, ya?” pinta Kak Dina bersama mulut yang penuh.
“Balik dengan akak?”
“Haah! Naik kereta dengan akak dan Along. Terus pergi rumah akak. Tidur rumah akak,” ujar Kak Dina lagi.
Nasi yang baru hendak masuk ke dalam mulut diletakkan semula ke dalam pinggan. “Kenapa kak?” Yaya capai gelas dan menyisip air sirap seteguk dua.
“Along kena pergi kursus seminggu dekat Kedah. Isnin petang Along bertolak. Hari Selasa minggu lagi sekali baru balik. Kak Dina tinggal sorang dekat rumah.”
Seminggu nak tinggal rumah Along? Lamanya... Rumah Along tu dahlah jauh dari tempat kerja aku, gumam Yaya.
“Boleh ya Yaya, temankan kak Dina?”
Yaya pandang wajah Kak Dina. Berat mulut hendak menerima permintaan Kak Dina. Kalau tinggal di rumah Kak Dina, jawabnya dia terpaksa keluar lebih awal dari biasa untuk pergi kerja. Sudahlah jauh, hendak menghadap jalan jammed lagi. Elok-elok setengah jam boleh sampai PAC, dari rumah Kak Dina jadi dua jam! Itu untuk pergi kerja saja. Balik lagi. Tak sanggup dia, walaupun hanya untuk seminggu.
“Tak payah!”
Serentak Yaya dan Kak Dina menoleh ke pintu. Along tiba-tiba terpacul di situ. Along melangkah memasuki bilik. Kain langsir pintu yang diselak dilepaskan.
“Kan kita dah bincang? Dina tinggal rumah mama saja. Sekarang kenapa nak ajak Yaya tidur rumah kita pula?” tanya Along. Keras juga suaranya. Jelas menunjukkan Along tidak setuju.
“Kenapa tak boleh pula ajak Yaya tidur rumah kita?” soal Kak Dina semula. Riak air muka Kak Dina segera berubah.
“Banyak sebabnya kenapa tak boleh.”
“Apa yang tak boleh?” Kak Dina tak puas hati. Yaya yang tersepit di tengah-tengah antara Along yang sedang berdiri di kirinya dan Kak Dina yang duduk di sebelah kanannya, hanya diam. Sekejap anak mata lari kepada Along. Sekejap beralih kepada Kak Dina. Dah serupa menonton rali badminton pula.
“Abang kata tinggal rumah mama saja. Janganlah degil sangat.” Along tajamkan suaranya. Menunjukkan kata-katanya tidak boleh dibangkang. Yaya pandang Along.
“Dina tak selesa tidur rumah mama!” balas Kak Dina. Suaranya juga kuat memangkas kata-kata suaminya. Yaya pandang Kak Dina pula.
“Rumah mama kot. Bukan rumah orang lain. Bukannya Dina tak biasa rumah mama,” tegas Along. Yaya toleh kepada Along.
“Memanglah rumah mama! Dah Dina tak selesa, nak buat macam mana. Abang faham tak?” bantah Kak Dina.
Boleh patah tengkuk Yaya asyik dongak tunduk, dongak tunduk saja. Dia gosok belakang tengkok. “Kak Dina, dengarlah cakap Along tu,” celah Yaya memujuk.
“Kenapa pula?” Wajah Yaya Kak Dina cerlung tepat.
“Banyak sebabnya... Satu, kita berdua ni perempuan. Kita saja yang ada dalam rumah kak Dina tu. Katakanlah ada apa-apa yang berlaku, contohnya, rumah masuk pencuri ke. Apa yang boleh kita buat? Katakanlah ada kemalangan dekat rumah tu melibatkan kak Dina, bukan Yaya mintak ya, cuma katakanlah. Tak larat Yaya nak angkat kak Dina ni. Lagipun Yaya mana ada lesen memandu. Jangan kata lesen memandu, pandu kereta pun tak reti. Kalau Yaya tinggal rumah kak Dina, ish! Susah Yaya nak pergi kerja. Nak naik apa? Takkan kak Dina nak hantar Yaya, lepas tu patah semula pergi ofis kak Dina? Jauh tu...”
“Tengok! Yaya pun tahu fikir macam tu. Banyak buruk dari baiknya kalau Dina tinggal rumah kita. Lagipun untuk seminggu sajakan? Abang balik nanti, abang teruslah ambik Dina bawak balik rumah kita,” cantas Along.
“Ya kak Dina. Rumah papa ramai orang. Kalau ada apa-apa hal, kan senang?” celah Yaya pula.
“Minggu depan appointment dengan doktor, boleh abang mintak tolong mama hantarkan. Kalau nak sangat, biar Yaya temankan Dina dekat rumah mama,” cadang Along. Kak Dina senyap.
“Yaya macam mana?” Along angkat dagu bertanya kepada Yaya.
“Kalau rumah mama, Yaya okey saja. Tak jauh sangat dari tempat kerja Yaya. Rumah mama pun tak jauh sangat dari tempat kerja kak Dina. Maknanya tengah-tengahlah,” jawab Yaya.
“Hmm... Yaya nak pergi kerja pun senang. Boleh pergi dengan Ayin,” tambah Along lagi.
“Itu yang Yaya suka sebenarnya kan?! Tinggal rumah mama supaya lagi senang nak dekat dengan Ayin?” tempelak Kak Dina tiba-tiba. Dia terus cuci tangan dan bangkit memanjat katil. Tubuh dihempas kuat ke tilam dan mengereng membelakangkan Along dan Yaya.
Aik! Dah tsunami balik? Apa hal Kak Dina ni? Salah ke kalau aku sentiasa nak dekat dengan Ayin? Tunang aku kot. Kalau tidak dekat rumah, dekat ofis pun aku boleh menempel dengan Ayin. Kan satu tempat kerja, desis Yaya. Yaya pandang Along. Angkat bahu isyarat bertanya, kenapa dengan Kak Dina. Along pandang Yaya. Angkat bahu, tanda menjawab tidak tahu. Dua-dua garu kepala. Pening dengan ragam Kak Dina.