Total Pageviews

Sunday, May 10, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - Teaser 17




“Besok kita balik, Yaya terus ikut kak Dinalah, ya?” pinta Kak Dina bersama mulut yang penuh.
“Balik dengan akak?”
“Haah! Naik kereta dengan akak dan Along. Terus pergi rumah akak. Tidur rumah akak,” ujar Kak Dina lagi.
Nasi yang baru hendak masuk ke dalam mulut diletakkan semula ke dalam pinggan. “Kenapa kak?” Yaya capai gelas dan menyisip air sirap seteguk dua.
“Along kena pergi kursus seminggu dekat Kedah. Isnin petang Along bertolak. Hari Selasa minggu lagi sekali baru balik. Kak Dina tinggal sorang dekat rumah.”
Seminggu nak tinggal rumah Along? Lamanya... Rumah Along tu dahlah jauh dari tempat kerja aku, gumam Yaya.
“Boleh ya Yaya, temankan kak Dina?”
Yaya pandang wajah Kak Dina. Berat mulut hendak menerima permintaan Kak Dina. Kalau tinggal di rumah Kak Dina, jawabnya dia terpaksa keluar lebih awal dari biasa untuk pergi kerja. Sudahlah jauh, hendak menghadap jalan jammed lagi. Elok-elok setengah jam boleh sampai PAC, dari rumah Kak Dina jadi dua jam! Itu untuk pergi kerja saja. Balik lagi. Tak sanggup dia, walaupun hanya untuk seminggu.
“Tak payah!”
Serentak Yaya dan Kak Dina menoleh ke pintu. Along tiba-tiba terpacul di situ. Along melangkah memasuki bilik. Kain langsir pintu yang diselak dilepaskan.
“Kan kita dah bincang? Dina tinggal rumah mama saja. Sekarang kenapa nak ajak Yaya tidur rumah kita pula?” tanya Along. Keras juga suaranya. Jelas menunjukkan Along tidak setuju.
“Kenapa tak boleh pula ajak Yaya tidur rumah kita?” soal Kak Dina semula. Riak air muka Kak Dina segera berubah.
“Banyak sebabnya kenapa tak boleh.”
“Apa yang tak boleh?” Kak Dina tak puas hati. Yaya yang tersepit di tengah-tengah antara Along yang sedang berdiri di kirinya dan Kak Dina yang duduk di sebelah kanannya, hanya diam. Sekejap anak mata lari kepada Along. Sekejap beralih kepada Kak Dina. Dah serupa menonton rali badminton pula.
“Abang kata tinggal rumah mama saja. Janganlah degil sangat.” Along tajamkan suaranya. Menunjukkan kata-katanya tidak boleh dibangkang. Yaya pandang Along.
“Dina tak selesa tidur rumah mama!” balas Kak Dina. Suaranya juga kuat memangkas kata-kata suaminya. Yaya pandang Kak Dina pula.
“Rumah mama kot. Bukan rumah orang lain. Bukannya Dina tak biasa rumah mama,” tegas Along. Yaya toleh kepada Along.
“Memanglah rumah mama! Dah Dina tak selesa, nak buat macam mana. Abang faham tak?” bantah Kak Dina.
Boleh patah tengkuk Yaya asyik dongak tunduk, dongak tunduk saja. Dia gosok belakang tengkok. “Kak Dina, dengarlah cakap Along tu,” celah Yaya memujuk.
“Kenapa pula?” Wajah Yaya Kak Dina cerlung tepat.
“Banyak sebabnya... Satu, kita berdua ni perempuan. Kita saja yang ada dalam rumah kak Dina tu. Katakanlah ada apa-apa yang berlaku, contohnya, rumah masuk pencuri ke. Apa yang boleh kita buat? Katakanlah ada kemalangan dekat rumah tu melibatkan kak Dina, bukan Yaya mintak ya, cuma katakanlah. Tak larat Yaya nak angkat kak Dina ni. Lagipun Yaya mana ada lesen memandu. Jangan kata lesen memandu, pandu kereta pun tak reti. Kalau Yaya tinggal rumah kak Dina, ish! Susah Yaya nak pergi kerja. Nak naik apa? Takkan kak Dina nak hantar Yaya, lepas tu patah semula pergi ofis kak Dina? Jauh tu...”
“Tengok! Yaya pun tahu fikir macam tu. Banyak buruk dari baiknya kalau Dina tinggal rumah kita. Lagipun untuk seminggu sajakan? Abang balik nanti, abang teruslah ambik Dina bawak balik rumah kita,” cantas Along.
“Ya kak Dina. Rumah papa ramai orang. Kalau ada apa-apa hal, kan senang?” celah Yaya pula.
“Minggu depan appointment dengan doktor, boleh abang mintak tolong mama hantarkan. Kalau nak sangat, biar Yaya temankan Dina dekat rumah mama,” cadang Along. Kak Dina senyap.
“Yaya macam mana?” Along angkat dagu bertanya kepada Yaya.
“Kalau rumah mama, Yaya okey saja. Tak jauh sangat dari tempat kerja Yaya. Rumah mama pun tak jauh sangat dari tempat kerja kak Dina. Maknanya tengah-tengahlah,” jawab Yaya.
“Hmm... Yaya nak pergi kerja pun senang. Boleh pergi dengan Ayin,” tambah Along lagi.
“Itu yang Yaya suka sebenarnya kan?! Tinggal rumah mama supaya lagi senang nak dekat dengan Ayin?” tempelak Kak Dina tiba-tiba. Dia terus cuci tangan dan bangkit memanjat katil. Tubuh dihempas kuat ke tilam dan mengereng membelakangkan Along dan Yaya.
Aik! Dah tsunami balik? Apa hal Kak Dina ni? Salah ke kalau aku sentiasa nak dekat dengan Ayin? Tunang aku kot. Kalau tidak dekat rumah, dekat ofis pun aku boleh menempel dengan Ayin. Kan satu tempat kerja, desis Yaya. Yaya pandang Along. Angkat bahu isyarat bertanya, kenapa dengan Kak Dina. Along pandang Yaya. Angkat bahu, tanda menjawab tidak tahu. Dua-dua garu kepala. Pening dengan ragam Kak Dina.

2 comments:

  1. Rasanya memang Dina ni buang tebiat. Dia nak Yaya dengan Along bukan Ayin. Dan rasanya memang jodoh Yaya dengan Along. Allah adalah pemilik hati kita.

    ReplyDelete
  2. Ataupun dina nak kat ayin agaknya.

    ReplyDelete