Total Pageviews

Sunday, May 17, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - 8


Bab 8
Selepas solat maghrib berjemaah, keluarga Encik Aidil Amri mengambil tempat di kerusi meja makan berbangku lapan itu untuk makan malam bersama-sama. Usai doa dibaca, nasi dan lauk-pauk mula disenduk. Berdenting bunyi sudu dan piring berlaga, diselang-seli suara berbual mesra. Sesekali terdengar juga mereka ketawa.
Sejak sekian lama, inilah hari yang paling gembira buat mereka sekeluarga. Jarang sekali mereka dapat berkumpul seperti ini. Anya dan Zaira yang duduk bersebelahan tidak berhenti berceloteh. Walaupun jarang bertemu, itu tidak membataskan kemesraan mereka. Cuma adik Zaira, Zainal saja kusyuk menghadap rezeki. Tiada kawan untuk dibawa lawan berbual, sebab itulah dia senyap.
“Tak boleh ke kamu tinggal lama sikit kali ni Aidil? Kamu baru saja sampai pagi tadi, malam ni dah nak balik Seremban semula. Kamu sudahlah jarang-jarang balik ke sini. Sesekali balik ni, apalah... salahnya tinggal seminggu dua,” suara Encik Kamal sambil menuang air kendi untuk mencuci tangan. Enam pasang mata tertumpu kepada Encik Aidil menanti jawapan.
“Ayah..., bukannya Aidil tak nak tinggal di kampung ni lama-lama. Masalahnya, masa tak mengizinkan. Banyak kerja yang perlu diuruskan. Ini pun Ameal terpaksa tinggal. Anya ni pun, masih sekolah lagi. Lusa nak balik kampus semula,” balas Encik Aidil beralasan.
“Kamu tu Aidil, tak ada alasan lain ke kamu nak bagi? Asyik kerja, kerja, kerja. Kalau nak dikira pasal kerja, sampai kiamat pun kerja tu tak habis Aidil oiii... Mak tahu, itu alasan kamu saja. Sebenarnya, kamu masih tak boleh lupa peristiwa dua puluh tujuh tahun dulu kan?” celah Puan Zabedah.
Encik Aidil menundukkan muka. Tiada niat di hati untuk menafikan telahan ibunya itu. Apa yang dikatakan oleh ibunya memang benar. Kerana peristiwa itulah dia berat sekali hendak menjejakkan kakinya ke kampung ini. Setiap kali dia pulang, setiap kali itulah deretan bayang-bayang silam penuh kedukaan, kehampaan dan kekecewaan menghiris naluri lelakinya.
“Mak..., kenapa nak sebut lagi cerita lama tu? Benda tu dah lama berlalu. Abang pun dah lupa agaknya. Mak saja yang selalu sebut-sebut tak habis-habis. Abang tu memang sibuk. Diakan businessman? Tentulah banyak kerja,” sanggah Ainul Aishah, membela abangnya.
“Macam manalah mak tak sebut selalu. Sebab arwah Tuan Baha dan anaknya si Baiduri tulah, abang kamu ni menderita. Merana! Patah hati sampai sanggup bawak diri ke Jepun. Sampai mati pun mak takkan lupalah! Setiap hinaan dan cacian keluarga mereka pada kita, terngiang-ngiang lagi dalam telinga mak ni! Kamu tengok, apa dah jadi dengan keluarga mereka sekarang. Balasan tuhan semua tu. Abang kamu ni, ada jugak balik ke sini tapi Baiduri tu, sampai sekarang ni, batang hidung pun tak pernah nampak. Entah mana dia menghilang. Hidup ke, mati ke, tak ada siapa yang tahu,” ceceh Puan Zabedah tidak berhenti. Sakit hatinya masih bersisa walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu.
“Sudahlah tu Bedah. Berapa kali abang cakap, jangan ungkit lagi cerita tu. Apalah salahnya kamu lupakan saja. Tak ada faedahnya kamu asyik sebut cerita yang sama!” bentak Encik Kamal tinggi. Suasana sunyi selepas itu.
“Cepat Aidil. Lambat bertolak, lambat jugak kamu sampai Seremban nanti. Sekarang pun dah dekat pukul lapan setengah. Anya dah habis makan?” Suara Encik Kamal memecah kesunyian. Matanya tertancap kepada Anya.
“Dah atuk,” jawab Anya ringkas. Sebenarnya dia masih lagi terkedu dengan kejadian sebentar tadi. Otak ligat berfikir tentang perkara yang dikatakan oleh neneknya. Bukan sekali dua dia mendengar hal itu disebut-sebut. Boleh dikatakan setiap kali mereka pulang ke kampung, neneknya pasti mengungkit hal yang sama. Apa yang berlaku sebenarnya?
“Ajak Zaira angkat beg masuk kereta ya,” pinta Encik Kamal. Anya mengangguk. Dia bingkas bangun dan mencuci tangan. Diikuti pula oleh Zaira selepas itu. Sejurus kemudian mereka melangkah terus ke bilik.
Encik Aidil terpaku di kerusinya. Statik di situ, seperti patung kayu. Kenangannya kembali mengimbau detik lalu. Baiduri..., rintih hatinya memanggil sebaris nama yang tidak pernah luput dari ingatan. Perubahan pada wajah Encik Aidil itu dapat dilihat oleh ibunya. Puan Zabedah dirundung rasa bersalah.
“Mak mintak maaf Aidil, kalau kata-kata mak tadi menyinggung perasaan kamu. Mak tak ada niat sebenarnya. Cuma, setiap kali mak pandang kamu, hati mak jadi sakit. Luluh rasa hati mak ni, Dil...” Puan Zabedah bangun dan menghampiri anaknya. Bahu anaknya itu ditepuk perlahan. “Kamu lupakanlah semua tu, Aidil. Selalulah bawak Ameal dan Anya balik ke sini. Biar mereka berdua kenal rapat dengan atuk dan nenek dia orang ni. Ini tidak, jarang sekali kamu balik. Kalau mak dan ayah hendak ke sana pun, sama jugak. Kamu bukannya ada masa nak melayan kami ni. Memanjang sibuk... saja. Mak dan ayah ni, makin lama, makin tua, Dil. Entah-entah umur kami ni tinggal setahun dua saja lagi.”
“Insya-Allah mak,” getus Encik Aidil lemah. Tidak tahu hendak menjawab apa lagi. Saat ini luka di hatinya mula berdarah kembali.
“Ainul! Kamu tolong mak kemas meja ni. Zainal! Kamu angkat pinggan dan cawan ni semua, letak dekat sinki. Cepat sikit, nanti boleh hantar Pak Long dekat kereta,” arah Puan Zabedah kepada anak dan cucunya.
Aip aip kapten...,” seloroh Zainal sengaja mengusik neneknya. Reda sedikit tegang di hati Puan Zabedah dengan keletah anak bongsu Ainul Aishah dan Zamri itu.
“Mari Aidil, Zamri. Kita turun ke bawah dulu.” Encik Kamal bergerak ke ruang hadapan mendahului anak dan menantunya.
Setelah beg disumbat ke dalam but, Encik Aidil dan Anya menghampiri Puan Zabedah dan Encik Kamal.
“Mak, ayah, Aidil balik dulu ya.” Tangan kedua orang tuanya itu dicium lembut.
“Selalulah balik sini Dil,” pinta Encik Kamal. Anaknya itu cuma mengangguk tidak bersuara.
“Anya balik ya tok, nenek,” Anya cium pipi datuk dan neneknya selepas bersalaman.
“Lain kali bila balik kampung, bawak Abang Ameal sekali tau,” pesan Puan Zabedah.
“Okey, Anya janji. Lain kali, Anya balik dengan Abang Meal sekali.”
Puan Zabedah tersenyum.
“Abang balik dulu, Ainul. Tolong jaga mak dan ayah. Kalau nak apa-apa bantuan, jangan segan-segan telefon abang. Kamu nak repair rumah kamu yang dinaik anai-anai tu, panggil saja tukang, lepas tu bagitau abang berapa kosnya,” kata Encik Aidil sambil memeluk tubuh adiknya itu.
“Insya-Allah, bang. Ainul memang selalu jenguk mak dan ayah. Abang tu, selalulah balik. Benda yang dah lepas tu, biarlah lepas. Abang lupakanlah,” gumam Ainul Aishah perlahan. Encik Aidil membalasnya dengan senyuman nipis. Dia mendapatkan adik iparnya pula.
“Pasal rumah kami tu, abang jangan risau. Duit simpanan kami ada,” tutur Zamri seraya bersalaman dengan abang iparnya. Encik Aidil angguk perlahan.
Setelah selesai bersalaman, Encik Aidil dan Anya melangkah memasuki perut kereta. Seketika kemudian, Encik Aidil kembali menjengahkan muka keluar dari tingkap kereta.
“Zaira! Jangan lupa. Bulan depan datang kerja dengan pak long tau. Bila nak datang nanti, kamu telefon pak long dulu.”
“Okey, pak long. Nanti Zaira telefon. Terima kasih ya pak long!”
Bye, Zaira. Kita jumpa bulan depan. Bye atuk, nenek, pak ngah, mak ngah, Zainal!” jerit Anya ketika kereta papanya mula bergerak menuju ke jalan besar.
Bye...!” laung mereka serentak.
Sudah lebih sejam, kereta Encik Aidil merentasi Lebuhraya Utara-Selatan. Masih ada separuh lagi baki perjalanan yang harus ditempuhi. Sepanjang perjalanan itu, Encik Aidil dan Anya diam membisu. Hanya suara dari corong radio menemani perjalanan mereka. Sesekali Anya berpaling kepada papanya. Dia tahu, papanya sedang memikirkan sesuatu. Sama seperti dia. Pasti terkenangkan perkara yang disebut ketika mereka makan malam tadi. Bergelora hati Anya dengan seribu soalan. Dia ingin sekali mengetahui perkara apakah yang berlaku pada dua puluh tujuh tahun dahulu, tetapi bagaimana dia hendak mulakan pertanyaan?
“Papa...,” panggil Anya setelah lama berfikir.
“Hmmm...”
“Papa tak nak berhenti rehat dulu ke? Dah lebih sejam papa memandu ni. Kalau papa penat kita berhenti dulu. Lepas tu kita tukar. Biar Anya memandu pulak.”
“Tak apa. Papa tak rasa penat pun.” Encik Aidil kerling seketika anak gadisnya.
“Kita berhenti dekat R&R Air Keroh boleh tak, pa? Anya nak pergi toilet. Lepas tu kita minum sekejap.”
“Boleh juga.” Encik Aidil memandang Anya seraya tersenyum. Nampak tawar hambar senyuman itu di mata Anya.
Tiba di R&R Air Keroh, Anya segera ke tandas awam. Setelah selesai dia menuju ke ruang restoran mencari papanya yang sedang menunggu di sana. Dari jauh dia melihat papanya duduk termenung di meja tepi dinding kaca menghala ke lebuhraya. Anya melangkah menghampirinya.
“Jauh termenung pa,” sapa Anya sebaik saja dia mengambil tempat duduk bertentangan dengan papanya.
“Tak adalah. Mana ada papa termenung,” dalih Encik Aidil. Sedaya upaya cuba bereaksi seperti tiada apa-apa.
“Yalah tu?” usik Anya pula.
“Ini hot chocolate untuk Anya. Anya nak makan apa-apa tak? Papa belikan.” Cepat Encik Aidil mengalih perhatian Anya.
Anya geleng kepala bersama senyuman manis buat papanya. “Masih kenyang lagi.”
Wajah papanya ditatap lembut. Anya kemudian berdehem beberapa kali bagi menyelaraskan suaranya.
“Pa..., kalau Anya tanya papa jangan marah ya.” Anya memulakan bicara. Air di dalam cawan dikacau perlahan. Otak ligat menyusun ayat untuk memulakan soalan. Hendak bertanya mesti kena dengan adapnya. Bimbang nanti menyinggung perasaan papanya pula.
“Anya nak tanya apa?”
“Hal yang nenek cakapkan masa kita makan tadi.” Anya berhenti seketika menelan liur. Ada perubahan riak di wajah papanya. Dia memberanikan diri untuk terus bertanya.
“Siapa Baiduri tu papa? Dia kekasih papa sebelum mama ke? Papa pun tak pernah cerita pada Anya kisah mama dan papa. Macam mana papa dan mama jumpa, bercinta dan kemudiannya berkahwin. Selama ni Anya cuma tengok gambar mama saja. Anya tak pernah kenal mama tu siapa. Boleh tak papa cerita,” pujuk Anya lembut.
Hmmmsss...” Encik Aidil melepaskan nafas seraya mengeluh. Bagaimana dia mahu menjawab soalan anaknya itu? Menjawab pertanyaan Anya, bererti dia akan bercerita tentang kisah silamnya. Menyelak sejarah hidupnya yang penuh dengan kepahitan. Meniup kembali api kekecewaan yang baranya tidak pernah terpadam.
“Papa, kalau Baiduri kekasih papa, macam mana papa boleh kahwin dengan mama? Setiap kali nenek sebut pasal ni, hati Anya selalu tertanya-tanya. Ceritalah papa. Anya tahu, cerita tu nanti akan mengguris hati papa tapi, papa kesiankanlah Anya. Papa hentikanlah tanda tanya yang sentiasa timbul dalam kepala Anya ni. Papa jangan risau. Anya dah cukup matang untuk terima semua kenyataan.” Sebaik mungkin Anya menyusun kata-katanya.
Encik Aidil diam membatu. Otak ligat berfikir. Bersediakan dia membuka pekung yang sekian lama ditutupi? Melihat seraut wajah anaknya yang dihurung seribu pertanyaan buatkan dia rasa serba salah. Lama dia berfikir mencari jawapan yang terbaik untuk disuakan kepada Anya. Dia menghela nafas panjang sebelum mula bersuara.
“Papa mintak maaf pada Anya, kalau cerita papa ni nanti buat Anya marah pada papa.” Sampai bila dia mahu sembunyikan peristiwa itu. Kalau sudah selalu disebut-sebut oleh ibunya, lambat laun anak-anaknya pasti akan tahu juga. Adalah lebih baik cerita itu keluar dari mulutnya dari Anya mengetahuinya melalui orang lain. Si Gadis menupang dagu. Deria pendengaran dibuka luas. Bersedia untuk mencerna setiap patah kata dari papanya sebentar lagi.
“Mama Anya bukan perempuan pertama dalam hidup papa. Papa jumpa mama sewaktu kami sama-sama bekerja di Jepun. Ketika itu papa baru saja tiba di sana untuk membina hidup baru. Baidurilah punca papa membawa diri ke Jepun.” Mata Encik Aidil Amri merenung jauh ke hadapan. Terimbau kembali setiap saat pedih itu. Tidak ada sedikit pun babak sejarah silam itu mampu dilupakan. Semuanya tersemat kukuh di lipatan memori. Setiap satunya diceritakan kepada Anya tanpa ditapis walau sedikitpun. Kisah bersama Baiduri. Kekecewaan hatinya hingga sanggup melarikan diri ke Kuala Lumpur, hinggalah pertemuannya dengan Sue Qin Man di Jepun. Semuanya diceritakan. Anya hanya diam mendengar. Tanpa sedar air matanya berjujuran. Hati benar-benar tersentuh. Betapa tragis sekali kisah hidup papanya ini.
“Selepas orang tua mama meninggal, mama seperti hilang arah. Keadaan mama bertambah teruk bila syarikat mendiang keluarga mama menghadapi masalah. Waktu tu, papa putuskan untuk berkahwin dengan mama demi membantu mama. Syarikat itulah yang kita miliki sekarang ni. Selepas sebulan kami pulang ke Malaysia, mama Anya memeluk islam dan kami berkahwin. Masa tu, atuk dan nenek di kampung pun tak tahu papa dah pulang ke Malaysia dan berkahwin. Pada awal perkahwinan kami, semuanya nampak indah. Walaupun pada hakikatnya, papa masih lagi tak dapat terima mama dalam hidup papa. Papa cuba melupakan Baiduri, tapi papa tak mampu. Selepas Abang Meal lahir, barulah papa ada kekuatan nak pulang ke kampung. Papa sangka Baiduri dah lupakan papa dan hidup bahagia tapi sebenarnya dia tak kahwin dengan Fuad. Dia melarikan diri ke KL mencari papa. Sampai sekarang Baiduri tak pernah balik semula ke kampung. Tak ada siapa yang tahu Baiduri di mana ataupun pernah berjumpa dia.” Encik Aidil melarikan matanya yang mula basah memandang keluar tingkap. Rasa kesal menghambat jiwanya. Dia menghela nafas panjang dan dihembus perlahan. Sebak di dada cuba dikawal. Setelah beberapa ketika, dia kembali menyambung cerita.
“Papa rasa sangat bersalah. Papa kahwin dengan mama atas dasar kasihan, bukannya kerana sayang. Papa tak pernah cintakan mama dan tak pernah cuba untuk mencintai mama. Selepas papa tahu Baiduri lari meninggalkan keluarganya kerana mencari papa, papa rasa ada peluang untuk bertemu dan hidup bersama Baiduri. Di luar pengetahuan mama, papa mencari Baiduri. Macam-macam cara papa guna untuk menjejak Baiduri. Akibatnya papa abaikan mama. Pada masa yang sama papa juga sibuk dengan urusan pejabat. Akhirnya hubungan kami menjadi semakin renggang dan dingin. Selepas sebulan Anya lahir, mama meninggal. Doktor kata kerana kemurungan yang melampau. Papa tahu, sikap papa sebenarnya yang membunuh mama. Papa biarkan mama kesunyian. Papa tak hiraukan mama, bila mama kesepian. Papa tak ada di sisi mama, bila mama perlukan papa. Papa gagal menjadi suami yang baik kepada mama. Papa tahu mama memendam rasa. Mama menderita tapi papa tak pernah peduli. Bila papa sedar kesilapan papa, semuanya sudah terlewat. Papa menyesal Anya! Papa menyesal kerana mengabaikan apa yang papa miliki, dan mengejar sesuatu yang tak pasti,” suara Encik Aidil semakin bergetar. Menahan hibanya sudah tentu.
“Papa tak pernah menghargai kasih sayang, cinta dan pengorbanan mama pada papa. Papa tak pernah buka hati papa untuk mama. Papa berdosa pada mama, Anya. Papa berdosa...,” rintih Encik Aidil penuh sesal. Perlahan air mata menuruni pipi. Walau ditahan, akhirnya ia merembes jua.
Pengakuan papanya benar-benar menyentuh hati Anya. Kesakitan, kepedihan dan penderitaan mama dan papanya, dapat dirasakan. Rasa sayu semakin merundung. Jujuran air mata juga bertambah lebat.
“Selepas mama meninggal, dari hari ke sehari perasan bersalah papa pada mama semakin menebal. Papa tak mahu terlalu memikirkan tentang mama, kesilapan papa pada mama dan rasa bersalah papa pada mama, jadi papa sibukkan diri papa dengan tugas-tugas di syarikat. Itu saja cara untuk papa lupakan mama, tapi sayang, nampaknya papa buat kesilapan yang sama kali kedua. Papa abaikan pula anak-anak papa seperti papa abaikan mama dulu. Papa serahkan bulat-bulat kepada Mak Mah untuk menjaga dan mendidik kamu berdua. Papa tak laksanakan tanggungjawab papa sepenuhnya. Maafkan papa Anya.”  Tangan anak gadisnya diraih dan diusap perlahan.
“Papa sedar, papa bersalah. Apa yang papa lakukan sebelum ni tak betul.”
Anya hanya membisu. Sudah hampir dua jam dia mendengar cerita silam papanya. Mencerna setiap rintihan papanya. Kotak suaranya sudah dipatri dengan rasa hiba yang terlampau hingga tidak mampu untuk berkata.
“Papa janji, lepas ini papa akan cuba perbaiki hubungan kita sekeluarga. Termasuk pada atuk dan nenek. Cukuplah papa melakukan kesilapan selama ini,” ucap Encik Aidil lirih.
“Sudahlah. Mari kita sambung perjalanan.” Encik Aidil melihat jam yang melekat di pergelangan tangan. Kemudian jejari menyapu perlahan titisan air matanya. Baki teh tarik yang sudah sejuk diteguk hingga habis. “Hari dah lewat malam, nanti lambat pulak kita sampai rumah.”
Anya masih diam membisu. Encik Aidil berdiri lalu mencapai tangan anaknya. Dipimpin tangan anak perempuannya itu berjalan ke tempat parkir. Anya hanya menurut.
“Papa..., Anya mintak maaf sebab paksa papa cerita semua kisah sedih papa ni,” tutur Anya sayu. Dia rasa bersalah kerana mengundang semula derita lama papanya. Tubuh lelaki yang bergelar ayah kepadanya ini diraih dan dipeluk erat.
“Sudahlah Anya. Tak Mengapa,” pujuk Encik Aidil seraya mengusap lembut pipi anaknya. Kucupan lembut didaratkan ke dahi Anya. Segala-galanya sudah terlerai. Pedih hatinya, duka dan lara perasaannya, rasa bersalah kepada keluarganya, kini terluah. Mungkin tidak semua, sekurang-kurangnya rasa itu sedikit reda dengan pengakuannya tadi. Apa yang lebih disyukuri, Anya menerima dengan hati terbuka. Seandainya nanti Ameal pula mengetahui tentang sejarah hidupnya ini, dia berharap Ameal juga seperti Anya.

No comments:

Post a Comment