Total Pageviews

Tuesday, May 26, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 6




Kringgg... Loceng berbunyi nyaring dari bangunan sebelah. Itu menandakan waktu rehat pagi sudah bermula. Dhia kerling jam di tangan. Jarum jam menunjukkan tepat pukul sepuluh pagi. Dia berpaling melihat wajah Ameal pula. Ringan saja mulut hendak berkata, tetapi dia tidak berani bersuara. Lelaki itu masih tekun membelek kertas-kertas di atas meja.
“Ini awak asingkan. Letak sebelah sana.”
Dhia capai lalu diletakkan ke sisi. Selepas itu Ameal hulurkan lagi kertas lain.  
“Ini delivery schedule untuk bulan ni. Nanti awak asing-asingkan mengikut minggu. Baru senang nak plan mana yang perlu awak buat dulu.” Ameal menghulurkan kertas setinggi satu inci kepada Dhia.
Mak oi! Lagi tebal dari yang tadi. Muaklah nak menyusunnya nanti. Lambat-lambat Dhia menyambut huluran kertas itu.
“Cepatlah ambik kertas ni. Lembab sangat! Awak nampak ni! Bertimbun nak buat lagi. Kalau terhegeh-hegeh macam ni bila nak siap? Macam orang tak makan!”
Angin dalam perut Dhia sudah naik ke kepala. Waktu lapar-lapar begini memang cepat sabarnya hilang. Perut sudahlah bergendang sakan sedari tadi. Lelaki ini pula seperti sengaja cari hal. Nak kena kunyah-kunyah agaknya. Okey, sabar Dhia... Ingat, dia ni bos kau.
“Buat pengetahuan encik, saya memang tak makan lagi dari pagi tadi.” Dhia lembutkan suara cuba memohon simpati. Manalah tahu bos dia ini prihatin dan baik hati pula orangnya.
“Jangan cari alasan. Sajakan? Malas nak buat kerja!” lengking Ameal tinggi.
Dhia hembus nafas perlahan. Masih lagi cuba menokok rasa sabar dalam hati. “Bukan cari alasan encik. Perut saya dah menyanyi-nyanyi ni. Malam tadi saya makan biskut saja.”
Pap! Timbunan kertas dicampakkan ke atas meja. Terangkat pungung Dhia kerana terkejut.
“Awak ni! Pagi tadi dahlah lambat masuk kerja. Baru buat kerja sikit, dah lapar. Tak payah rehat! Tengah hari nanti baru keluar makan,” tempelak Ameal sambil mencerlung tajam.
Dhia tidak mampu lagi menambak rasa sabarnya. Ini apa hal nak baran tak tentu pasal? Bos ke, tak bos ke, kalau dah zalim mengalahkan Firaun macam ni kena juga pertahankan diri.

No comments:

Post a Comment