Prolog
“Mati aku kalau mak ayah aku tau Zaira,”
suara Dhia sayu. Direnung raut Zaira meminta belas. Jari-jemari sahabatnya itu diramas
kemas penuh erat. Waktu ini dia amat berharap Zaira bisa membantu meredakan
kekusutan benaknya, walaupun sedikit.
“Tak boleh nak buat apa lagi, Dhia.
Benda dah berlaku. Aku pun tak tahu macam mana nak tolong kau,” balas Zaira
lemah. Tangan yang tidak digenggam oleh Dhia dipaut lembut ke bahu gadis itu. Dia
rasa sungguh simpati atas apa yang telah terjadi. Mereka seperti adik-beradik.
Apa yang Dhia alami, dia turut merasai. Umpama dicubit peha kanan, bukan saja peha
kiri terasa, malahan seluruh badan sakit sama.
Tangan Zaira dilepaskan. Sisa air mata
diseka. Esak yang masih berbaki cuba ditahan. Dhia berpeluk tubuh sambil mendesah
berat. Badan disandarkan pada sofa. Entah kenapa rasa tidak empuk pula sofa itu
hari ini. Seperti duduk beralaskan batu. Kasar dan menggerutu! Bila hati
haru-biru, perasaan bercelaru, fikiran pula buntu, beginilah jadinya. Semua
serba tidak kena. Sekali lagi Dhia mengeluh panjang. Pandangannya dilemparkan
keluar. Merenung jauh melalui pintu rumah yang terbuka luas. Lama dia
berkeadaan begitu. Mencari punca agar galau dapat dirawat. Biar hati kembali
jadi tenang, tapi apakan daya dia tak mampu.
Tas tangan dan beg pakaian yang
bergelempangan di atas lantai tidak dihiraukan. Badan yang melekit serta
berminyak tidak dipedulikan. Letih menempuh perjalanan beratus kilometer dari
utara ke Seremban juga tidak diendahkan, bila masalah ini menguasai seluruh
sistem badan. Masalah yang bukan dia cari. Gila ke sengaja menempah bala lagu
ni?! Tak cukup tanah berlari dibesit oleh emaknya nanti.
Andai kata dia punya kuasa boleh
mengundurkan putaran dunia, pasti dia takkan biarkan peristiwa itu terjadi.
Peristiwa yang membawa dia ke satu titik perubahan maha besar dalam hidupnya.
Perubahan yang dia belum bersedia untuk terima.
“Ya Allah..., kau bantulah aku,” keluh
Dhia berat. Lebih kepada berdoa sebenarnya. Jujuran air mata melimpah semula. Wajah
Zaira dipandang. Temannya itu hanya diam memerhati. Dia tahu, Zaira sedang memberinya
ruang untuk bertenang.
“Macam mana aku nak berdepan dengan dia
hari-hari, Zaira? Aku tak sanggup pandang muka dia. Kau pun tahukan, aku dengan
Encik Ameal tu macam mana?” luah Dhia. Air mata di pipi dikesat perlahan.
“Aku tahu kau tak sebulu dengan dia tapi
kau kena ingat, kau dan dia sekarang status dah berbeza. Bukan macam dulu
lagi,” nasihat Zaira. Tangan mengusap jari-jemari Dhia. Telinganya masih
terngiang-ngiang suara Dhia menangis teresak-esak di corong telefon menceritakan
kejadian itu awal pagi tadi. Terkejut dia. Sungguh tak disangka.
“Aku rasa macam nak gila sekarang ni,
Zaira!” Dhia mengetap gigi menahan sebak. Hendak saja dia menjerit sekuat hati.
Biar lepas semua sengsara di hati. Kalau orang nak kata dia gila, katalah!
Lantaklah! Pedulilah! Asalkan hati kembali tenang. Namun, akalnya masih waras. Sungguhpun
sedang bingung, dia tak sanggup nak terlolong-lolong.
“Sabar sajalah Dhia. Tentu ada sebab
kenapa perkara ni berlaku. Ada hikmahnya. Kita saja yang tak tau. Hanya Allah
SWT maha mengetahui Dhia, kenapa kau kena hadapi semua ni. DIA takkan menguji, kalau
kau tak mampu nak hadapi. Nanti kita fikirkan, macam mana nak selesaikan
masalah kau ni.” Zaira telan air liur. Dia berhenti sejenak. Berfikir untuk
merangkai kata. Dia perlu bijak berbicara supaya otak Dhia tidak bertambah
kusut jadinya.
“Yang paling penting, kita kena cari
jalan macam mana nak bagitau mak ayah
kau. Pusing balik pusing balik pun, kau kena jugak bagitau mereka. Sekarang
ni, kau pergi mandi dulu. Lepas tu solat. Biar tenang sikit hati kau tu. Doa
pada Allah SWT, semoga DIA permudahkan dan membuka jalan serta petunjuk untuk
kita selesaikan masalah ni,” sambung Zaira lagi. Bahu Dhia dielus perlahan.
Hati yang seperti dipanggang terasa
sejuk sedikit mendengar ujaran temannya. Harap-harap, Zaira dapat memikirkan cara
terbaik bagaimana hendak merungkai kekusutan ini memandangkan otaknya sudah
beku untuk berfikir. Totally jammed! Sekali
lagi Dhia alihkan sepasang matanya melihat keluar rumah. Merenung kosong dengan
otak tidak dapat berfungsi secara normal. Putus akal betul dibuatnya. Bagaimanakah
onak hidupnya bersama Ameal selepas ini? Dia cuba membayangkan. Argh! Tidak sanggup nak berangan tentang
masa depannya bersama apek muda tu. Tentu gelap gelita, hitam pekat! Tak
berwarna dan tak ada indahnya! Yang itu dia jamin seratus peratus.
Perlahan-lahan detik malam durjana
kembali berputar di layar mata. Serasa seperti baru sebentar tadi dia
melaluinya. Sedangkan, sudah lebih dua belas jam ia berlaku. Wajah Ameal dan
wajah-wajah mereka yang terlibat dalam peristiwa itu berlegar di dalam kepala. Arggghhh..., batin menjerit lagi. Kenapalah
dia terima cadangan Encik Aidil menyertai Ameal dan Firdaus ke Arau? Kalaulah
dia menolak, sudah tentu semua ini takkan berlaku.
Dhia mendesah lagi. Entah untuk yang ke berapa
kali. Sekarang hidupnya sentiasa saja berantakan dibuat oleh lelaki. Mula-mula
Firdaus, lepas tu Zul Hafiz, dan kini Ameal pula. Kalaulah membunuh itu tak
salah, memang dah lama dia tembak dengan senapang gajah ketiga-tiga lelaki tu.
Biar bersepai beribu. Biar lunyai! Baru padan muka mereka, lelaki-lelaki yang
dah buat hidup dia huru-hara.
“Dahlah tu Dhia... Jangan asyik mengeluh
dan menangis saja. Pergilah mandi dan solat,” pujuk Zaira seraya menolak tubuh
sekeping Dhia supaya bangun. Dia kemudiannya berdiri di hadapan Dhia, lalu
menarik kedua belah tangan Dhia memaksa temannya itu meninggalkan sofa. Dia tak
boleh biarkan Dhia terus hanyut begini. Asyik berkeluh-kesah sedari tadi. Dia
sedar, dia mesti membantu Dhia mengharungi detik-detik sukar ini. Walau tidak
dapat buat apa-apa, paling kurang dia harus beri sokongan moral. Biar kuat
sedikit semangat sahabatnya ini.
Dengan berat hati Dhia turuti saja. Dia
biarkan Zaira menarik tangannya. Hidup..., hidup. Kenapalah perlu ada masalah
dalam hidup ni? Hati kecil mengeluh lagi.
Best. Dah ada citer baru. X sabar
ReplyDeleteNak tahu kisah ni hehe
sabo...
Deletetunggu lusa esok (3/5) sambungan ya....
hehehe
Alamakkk....mcm xckup jerr...nak lagi...nak.lagi....hahah...
ReplyDeleteni baru prolog
Deletejadi kene ler pendek
kikiki
nak yg panjang tunggu esok tau
esok petang up bab 1.
yg ni gerenti panjang
hehehe
Alamakkk....mcm xckup jerr...nak lagi...nak.lagi....hahah...
ReplyDeleteBest i like :)
ReplyDeleteLike
ReplyDelete