Bab 7
Masa bergerak pantas. Kini empat bulan sudah berlalu. Ameal
semakin sibuk dengan tugas dan tanggungjawab baharu setelah Masyhur Industries
Sendirian Berhad berjaya mendapat tender dari syarikat Wakasugi Corp. Dia juga
kerap ke Jepun menguruskan perjanjian usaha sama itu.
“Tahniah Meal!” ucap Encik Aidil.
Atas dasar kepercayaan dan kesungguhan yang ditunjukkan
oleh Ameal, Wakasugi Corp telah bersetuju memberi tiga tender usaha sama.
Semakin bangga Encik Aidil dengan Ameal. Dia bersyukur, kali ini Ameal
betul-betul berubah walaupun tidak sepenuhnya. Hidup sosial Ameal masih begitu.
Cuma sekarang dia pandai mengatur masanya agar tidak mengganggu kerja di
pejabat. Malam ini dia keluar dengan Tina, lusa bersama Emalin. Tulat, Liyana
pula. Dengan Marissa usah dikira! Hari-hari di pejabat asyik menempel saja. Berkepit
macam belangkas. Encik Aidil tutup sebelah mata. Dia faham, Ameal masih berdarah
muda. Naluri ingin berseronoknya masih kuat memberontak. Dia biarkan, asal
Ameal tahu batasnya dan tidak menjejas prestasi kerja.
“Papa tak sangka Meal berjaya sampai macam ni,” tambah
Encik Aidil lagi. Tubuh sasa Ameal didakap erat. Tangannya menepuk beberapa
kali belakang Ameal.
“Terima kasih sebab papa percayakan Meal. Meal janji,
Meal akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan keuntungan syarikat
kita.”
“Papa tahu Meal boleh diharapkan,” puji Encik Aidil. Bahu
anaknya ditepuk-tepuk.
“Papa jangan lupa meeting
kita dengan pasukan kerja yang lain lepas lunch
ni. Meal nak bincang pasal projek baru tu. Meal nak dengar pandangan dan
cadangan dari staf-staf lain.”
“Kalau macam tu Meal keluar lunch dengan papa,” pelawa Encik Aidil.
“Tak apalah. Papa pergi dulu. Meal dah janji dengan Marissa
nak lunch sama-sama. Kalau tak, dia
merajuk. Muak pulak nak pujuk,” omel
Ameal. Encik Aidil tersenyum. Antara ramai teman wanita Ameal, Marissalah yang
paling rapat dengan anaknya. Anak perempuan Datuk Idris Manan itu boleh
dikatakan pilihan pertama Ameal.
“Yalah,” jawab Encik Aidil. Kemudian dia menyambung
kata-katanya. “Papa nak bagitau, Datuk
Idris Manan datang nanti. Papa yang ajak dia masuk meeting tu. Sebagai partner,
papa nak jugak dengar idea dia.”
“Elok jugak.
Tak adalah dia makan elaun buta saja tiap-tiap bulan,” balas Ameal kurang
senang. Dari dulu lagi dia tak suka sleeping
partner papanya itu. Tahunya cukup bulan minta cek saja. Tak pernah
langsung mahu menyumbang tenaga dan buah fikiran. Persen saham yang dimiliki
sikit saja tapi lagaknya lebih daripada tuan empunya syarikat.
“Tak baik Meal cakap macam tu. Dia tukan bakal bapa
mertua Meal. Kalau Marissa dengar tak ke kecik hati?”
“Bapa mertua apa macam tu? Silap hari bulan lepas kahwin,
botak kepala Meal ni dia kikis. Meal tak nak! Lagipun Meal belum ada rancangan
nak kahwin dengan Marissa,” pangkas Ameal bersama muka mencuka.
“Dah Meal usung Marissa tu ke hulu ke hilir, takkan tak
nak kahwin?” tegas Encik Aidil pula.
“Bawak pergi
jalan-jalan saja pun dah nak kena kahwin ke, papa? Habis tu, kawan-kawan
perempuan Meal yang lain tu, macam mana? Dia orang pun selalu jugak Meal usung ke sana ke sini,” balas
Ameal kurang senang. Main paksa-paksa ni yang dia kurang gemar.
“Habis tu Meal tak nak kawinlah?” tebak Encik Aidil.
Suaranya sudah berubah.
“Bukan tak nak, cuma belum sampai masa. Bila tiba masanya
nanti, Meal pilihlah siapa yang layak jadi isteri Meal. Tak semestinya
Marissa.”
“Meal kena ingat, masa syarikat kita ada masalah kewangan
dulu, papa Marissa yang bagi bantuan. Walaupun tak banyak tetap dah
menyelamatkan syarikat kita ni.”
“Alah! Papa saja yang bagi muka. Kalau kita nak bayar
balik duit Datuk Idris Manan tu sekarang ni pun boleh. Syarikat lebih dari
mampu pa!”
“Ini bukan soal duit Meal. Ini soal budi dan jasa. Soal janji.”
“Janji apa pa? Cuba papa bagitau Meal.”
“Sampai masa nanti papa bagitau. Sekarang ni tak payahlah kita nak bertekak pulak pasal Datuk Idris Manan tu. Papa
keluar lunch dulu,” tutur Encik
Aidil. Lebih baik dia segera beredar. Kalau tidak, perbualan berkisar tentang
Datuk Idris Manan ini tentu akan bertambah panas. Dia tahu Ameal tak gemar
dengan sahabatnya itu. Anaknya Ameal suka, bapanya pula Ameal benci. Bagaimana dia
mahu melunaskan janji kepada sahabatnya itu kalau begini gayanya? Hmmm... macam
manalah nanti? Entahlah! Pening jugak
kepala, rengus Encik Aidil.
Ketika dalam mesyuarat Ameal mengumumkan kejayaan
syarikat yang telah memperolehi usaha sama dari Wakasugi Corp. Gemuruh sekali
tepukan yang diterima olehnya. Tepukan paling kuat mestilah dari papanya.
Kembang kuncup hidung Encik Aidil Amri. Bangga sungguh! Kakitangan yang berada
di situ turut mengucapkan tahniah kepada Ameal.
“Kita sudah memiliki mesin-mesin untuk kebanyakan proses
yang perlu dijalankan. Hanya perlu menambah dua lagi production line dan menaik taraf di beberapa bahagian. Syarikat akan
menghantar beberapa orang pekerja untuk menjalani latihan pengukuhan skil
selama sebulan di Jepun. Kita turut mengadakan in house training bagi semua operator-operator untuk meningkatkan
lagi tahap kemahiran. Apa yang membimbangkan adalah keupayaan kita dari segi
pengeluaran. Kita perlukan kapasiti tenaga pekerja yang ramai. Sebelum MOU ditandatangani,
saya harus bentangkan strategi keupayaan tenaga pekerja kita terlebih dahulu.
Jadi saya perlukan pandangan anda semua untuk selesaikan masalah ini.”
Ameal teguk air mineral di dalam botol di hadapannya.
Kering pula rasa tekak. Tidak pernah dia bercakap panjang lebar dalam mesyuarat
seperti hari ini. Selalunya dia jadi ‘pak dengar’ saja. Tukang anguk, angguk,
geleng, geleng. Sekarang, jawatan itu sudah beralih tangan. Datuk Idris Manan
yang duduk di sebelah papanya di hujung meja pula yang terangguk-angguk dan
tergeleng-geleng. Orang tepuk, dia bertepuk. Entah faham entah tidak.
“Kita suruh operator buat OT,” cadang Firdaus.
“Saya rasa cadangan tu tak sesuai. Ia penyelesaian jangka
pendek. Lagipun melibatkan kos yang banyak,” cantas Encik Aidil Amri.
“Kita letak iklan di luar pagar kilang dan di beberapa
tempat yang menjadi tumpuan orang ramai sekitar Senawang untuk cari pekerja
baru,” cadang Kamal, jurutera bahagian
Moulding pula.
“Itu idea yang baik tapi kita perlukan tenaga pekerja
secepat yang mungkin. Tunggu mereka datang untuk interview akan ambil masa.” Ameal duduk di kerusinya. Kedua tangan
menupang dagu. “Apa kata kita pergi ke kawasan perkampungan di sekitar daerah berhampiran.
Saya rasa kawasan luar bandar ni ramai budak-budak muda yang masih menganggur.
Kita buat konsep interview bergerak.
Maknanya kita pergi kepada mereka, untuk menawarkan peluang pekerjaan. Bukannya
menunggu mereka datang kepada kita bertanyakan tentang perkerjaan. Kita sewa
flat berhampiran untuk dijadikan asrama. Kita tawarkan insentif dan elaun yang
bagus. Tentu mereka berminat,” terang Ameal panjang lebar.
“Idea yang bagus bos,” sokong Zakuan yang merupakan salah
seorang sahabat baik Ameal selain Firdaus.
“Macam mana semua, setuju dengan cadangan Ameal tadi?”
soal Encik Aidil. Dia kemudian memandang pula kepada Datuk Idris Manan. Teman
baik merangkap rakan kongsi lima persennya. “Macam mana Idris? Okey ke cadangan
Ameal tu?”
“Bagus cadangan Ameal tu. Aku setuju,” balas Datuk Idris
Manan sambil mengangguk laju.
Ameal mencebik dari jauh. Yalah tu! Macam faham.
“Baiklah. Kalau semua dah setuju, saya luluskan cadangan
ini. Bila kita nak mulakan Meal.” Encik Aidil halakan pandangan kepada Ameal.
“Kita mulakan dalam minggu depan juga,” balas Ameal.
“Fatimah kamu sediakan semua keperluan untuk interview tu. Soal pengangkutan, guna
saja van syarikat. Kamal dan Zakuan, awak pergi sekali dengan Fatimah untuk jalankan
sesi interview. Lepas ni kita bincang
lokasi interview. Saya juga nak awak
semua fikirkan insentif dan elaun terbaik untuk kita tawarkan kepada semua
pekerja-pekerja kita. Kita juga perlu buat penilaian dalam kos operasi apabila
kita menambah kemudahan perumahan untuk pekerja ni,” arah Encik Aidil seraya
melihat wajah setiap kakitangannya. Mereka semua mengangguk faham. Kemudian dia
menghalakan anak matanya kepada Marissa. “Is! Catat keputusan meeting ni.”
“Yes bos! Is
akan masukkan dalam minit,” balas Marissa manja.
Mesyuarat itu berakhir setelah semua perkara dibincangkan
dan masalah yang timbul diselesaikan.
“Aidil, aku nak jumpa kau lepas ni,” suara Datuk Idris
Manan kepada Encik Aidil sebaik sahaja mesyuarat tamat.
“Okey. Kau tunggu dekat ofis aku,” jawap Encik Aidil pula.
Datuk Idris Manan melangkah keluar selepas semua kakitangan lain beredar.
Ameal di hujung meja memerhati dengan perasaan kurang
senang mendongkol di hati. Entah apalah orang tua tu nak? Belum cukup bulan
lagi takkan dah mintak cek? Selepas bayang Datuk Idris Manan hilang, Ameal
bangun dari kerusinya. Ketika melalui Encik Aidil, papanya menyapa.
“Meal! Tadi papa telefon Mak Ngah. Papa ingat hujung
minggu ni nak balik kampung. Dah lama kita tak balik jenguk atuk dan nenek,” kata
Encik Aidil seraya mengeluh kecil. Jarang sekali dia dan anak-anaknya pulang ke
Batu Pahat. Bukan saja terlalu sibuk dengan perniagaan, tetapi ada sebab lain
kenapa dia berat hati ingin selalu pulang ke sana. Terlalu banyak kenangan pahit
di kampung halamannya itu. Dan kenangan pahit itulah yang menjadikan dia
berjaya seperti sekarang.
“Meal rasa tak dapat ikutlah, papa. Meal banyak kerja,” ujar
Ameal.
“Bukan ke hujung minggu ni Anya balik pa?” sambung Ameal lagi
bertanyakan tentang adik perempuannya.
“Sebab tulah papa nak balik hujung minggu ni. Papa nak bawak Anya balik sekali. Tak apalah,
kalau Meal banyak kerja,” balas Encik Aidil.
“Okey pa. Kita jumpa dekat rumah nanti.”
Encik Aidil Amri angguk. Dia bangun membuntuti langkah
Ameal keluar dari bilik mesyuarat itu. Datuk Idris Manan pasti sudah
menunggunya. Biasanya jika ada hal saja sahabatnya itu mahu berjumpa. Rasanya
boleh diagak. Tentu tentang janji mereka dahulu.
******
“Dhia! Ada telefon.”
Muka ibunya tersembul dari balik langsir
pintu. Dhia yang sedang berehat di atas katil segera bangkit.
“Dari siapa mak?” soal Dhia ketika melepasi ibunya.
“Zaira...,” jawab Puan Intan berlagu panjang. “Rajin jugak dia telefon kamu.”
Dhia tersenyum mengiyakan kata-kata ibunya itu. Di antara
lima orang bekas rakan serumahnya dahulu, Zairalah yang paling akrab dengannya.
Dhia hampiri meja telefon. Seraya duduk di kerusi, ganggang dicapai dan dibawa
ke telinga.
“Assalamualaikum,” suara Dhia perlahan.
“Waalaikumussalam. Kau apa khabar, Dhia? Sihat? Suara
macam biskut Marie lemau saja ni, kenapa?” soal Zaira di hujung sana.
“Alhamdulillah. Aku sihat. Terima kasih sebab ambil berat
tentang aku,” balas Dhia masih dalam nada tiada semangat.
“Aku mintak maaf Dhia. Sejak kau kemalangan, sampai
sekarang, aku belum ada sekali pun pergi melawat kau.”
“Tak apa, aku faham. Batu Pahat tu kan jauh. Macam mana
kau nak datang tengok aku. Kampung aku ni cerok. Lagipun kaukan kerja. Aku tak
kecik hati pun.”
“Tapi lepas ni aku boleh selalu melawat kau!” Tiba-tiba
nada suara Zaira kedengaran riang.
“Hah! Boleh datang melawat aku? Kenapa?” getus Dhia pelik.
“Mak aku bagitau,
tadi Pak Long aku telefon. Dia ajak aku kerja dekat syarikat dia di Senawang.”
“Bapak saudara kau yang tinggal Seremban 2 tu ke?” Dia
memang tahu Zaira ada saudara di Seremban. Menurut Zaira mereka tidak rapat
kerana jarang berjumpa. Sebab itu Zaira tidak pernah ke rumah Pak Longnya.
“Haah! Bila dia tahu aku dah habis belajar, dia ajak aku
kerja dengan dia. Aku apa lagi, terus terimalah!” cerita Zaira penuh teruja.
“Baguslah.” Bertambah lemah suara Dhia apabila mendengar
cerita Zaira itu. Dia mendengus perlahan.
“Aku tumpang gembira untuk kau. Hmmm... Nampaknya, aku
saja yang masih terperuk dekat rumah. Mak ayah aku tak bagi aku kerja lagi. Dia
orang kata biar aku sihat betul dulu,” luah Dhia. Ada nada hiba pada suaranya
itu.
“Betullah apa yang mak dan ayah kau cakapkan tu.”
“Masalahnya aku dah betul-betul sihat. Dah empat bulan
lebih pun! Naik pening kepala aku duduk rumah saja tau,” bungkam Dhia lagi.
Geram pula rasa hati Zaira menyokong ibu dan ayahnya.
“Boring aku
asyik tidur, baring, tidur, baring saja. Badan pun dah gebu. Silap hari bulan
saiz badan aku ni mesti sama maca kau.”
Zaira terkekek mendengar Dhia menceceh begitu. “Sabar
sajalah Dhia. Bila aku dah kerja dekat sana nanti, aku datang jumpa mak ayah
kau. Mintak izin dia orang.”
“Mintak izin apa?”
“Mintak izin pinang kau.” Zaira berlelucon. Tawa halusnya
terdengar lagi di corong sana.
“Banyaklah kau punya pinang. Pinang makan sireh adalah,”
balas Dhia geram. “Kadang-kadang kau ni buat lawak tak kena tempat dan masa la,
Zaira. Waktu aku tengah tension ni
kau buat lawak. Mana kelakar. Rasa macam nak terbakar adalah!”
“Aku gurau sajalah... Itu pun nak marah. Aku nak pinang
kau kerja sama-sama dengan aku dekat syarikat Pak Long aku tu. Nanti kita boleh
tinggal bersama macam dulu,” cadang Zaira.
Dhia tersenyum meleret mendengarnya. Bagus juga cadangan
Zaira. Tak adalah dia kena menghadap muka Zul Hafiz hari-hari. Dah naik mereng
otaknya melayan kerenah Zul Hafiz. Kalau tak kerana mak dan ayahnya, tak mahu dia
buat sesi beramah mesra bersama Zul Hafiz setiap hari. Selepas sesaat,
senyumannya terus mati. Kini diganti pula dengan keluhan.
“Lambat lagi ke kau nak kerja dekat syarikat Pak Long kau
tu? Aku dah boring tahap langit ke
tujuh dah ni.”
“Sabarlah... Sebulan dua saja lagi,” pujuk Zaira.
Sebulan dua? Sehari dua pun dia dah tak boleh tahan. Dhia
mendengus buat kesekian kalinya. Setelah beberapa minit mereka berbual,
ganggang telefon pun diletakkan. Dhia kembali mendesah berat. Punggung masih
melekat di kerusi sebelah meja telefon. Otak ligat berfikir. Jejari laju
memintal hujung rambut ikal yang sudah tumbuh panjang semula. Tidak betah dia mahu
duduk di rumah ini lebih lama lagi. Tak sanggup berhadapan dengan fiil Zul
Hafiz yang sentiasa menghimpit perasaannya. Benak semakin semak dengan layanan
Zul Hafiz yang terkadang sangat melampau. Sekarang Zul Hafiz kerap bertandang
ke rumahnya. Terlalu mengambil berat tentang dia. Semuanya selepas kejadian
kemalangan dahulu. Ketika melawat tangan lelaki itu tidak pernah kosong. Ada
saja yang dibawa. Buah-buahan, makanan, jajan. Dah rasa macam budak-budak pula
dibelikan ‘cikedis’. Majalah, buku,
CD dan bermacam-macam lagilah!
Rimas, lemas, jelak, muak semua bermukim di hatinya.
Ingin ditolak, tidak sampai hati. Takut mengguris hati Zul Hafiz. Lebih-lebih lagi
hati ibunya yang memang dah berkenan habis dengan jejaka itu. Susah betul bila
kena jaga hati orang ni. Sedangkan hati sendiri macam nak bernanah dah! Bukannya
Zul Hafiz tu tidak baik, malahan terlebih bagus tapi, tak tahu di mana
silapnya, hati dia tak pernah terbuka untuk Zul Hafiz. Dhia mengeluh lagi.
Baru sahaja dia bangun meninggalkan kerusi, terdengar
suara lelaki memberi ucap salam di depan rumah. Dahi berkerut berlapis-lapis. Hah! Baru terdetik dalam kepala, Zul
Hafiz sudah terpacul di depan pintu. Entahkan panjang umur, entahkan liat
nyawa? Tak boleh teringat langsung, muncul saja. Tension betul!
“Dhia! Tengok dekat depan tu. Abang Zul kamu datang nak
jumpa kamu tu,” jerit Puan Intan dari dapur.
Aduh mak! Apasal
Dhia jugak yang kena. Entah-entah dia
nak jumpa ayah ke, rungut Dhia dalam diam. Dengan perasaan yang tidak senang membara
di hati, Dhia menghentak kaki menuju ke beranda rumah. Mujur juga rumah ini
berlantaikan simen, kalau papan harus berdentam-dentum bunyinya. Mahu kopak
juga.
“Dhia apa khabar? Sihat tak hari ni? Ini abang belikan
untuk Dhia.”
Dhia pandang beg plastik yang dihulurkan. Buah anggur
merah lagi! Kena kencing manis lama-lama macam ni!
“Terima kasih. Masuk dulu bang. Dhia pergi buat air
sekejap.” Segera dia masuk semula ke dalam rumah meninggalkan lelaki itu.
Pandai-pandailah Zul Hafiz nak duduk di mana. Kerusi di beranda ke, kerusi di
dalam ke. Rumah ni pun, dah jadi macam rumah dia. Kan!
No comments:
Post a Comment