Bab 10
Beberapa hari berlalu selepas sesi temu duga kelmarin,
hidup Dhia yang sememangnya tidak berapa tenang, bertambah tidak tenteram.
Setiap hari hatinya berdebar-debar menanti jawapan. Apakah dia berjaya atau
sebaliknya? Adakah permohonannya diterima ataupun ditolak? Pantang telefon
berbunyi, bergegas Dhia pergi menjawab dengan harapan, panggilan itu adalah
untuk dia. Akhirnya, debar penantian tiba ke penghujung sebaik sahaja dia
menerima panggilan dari Masyhur Industries. Dia diterima bekerja di syarikat itu.
Jawatan yang ditawarkan juga sangat bagus. Production
Planner. Segera dipanjatkan rasa kesyukuran pada yang Esa.
Sebaik sahaja ganggang telefon diletakkan, Dhia berlari
mendapatkan ibunya yang sedang menyapu di halaman rumah. “Mak! Mak! Mak!”
“Apa kamu ni, Dhia? Terjerit-jerit sampai nak terkeluar
anak tekak. Kamu tu perempuan. Malu kalau orang dengar!” tegas Puan Intan
dengan mata terbeliak. Dhia buat tidak tahu sahaja teguran ibunya itu. Berita ini
lebih penting untuk disampaikan.
“Ayah mana, mak? Dhia ada berita gembira nak bagitau ni.”
“Ayah pergi jumpa Abang Zul kamu sekejap. Nak mintak
tolong budak-budak belia uruskan kenduri hari Ahad ni. Apa berita gembira yang
kamu nak cakapkan, Dhia?”
Ibunya, kalau tidak menyebut nama Zul Hafiz dengan ayat
‘Abang Zul kamu’ tu, memang tak sah. Pedulilah! Lepas ni aku takkan dengar lagi
ayat tu, getus Dhia.
“Dhia dah dapat kerja tu, mak!” Tubuh ibunya terus
didakap erat. Gembira bukan kepalang.
“Baguslah,” balas Puan Intan kurang bersemangat. Pelukan anaknya
tidak dibalas.
“Mak tak suka ke?” bungkam Dhia. Pelukannya dileraikan. Wajah
ibunya ditenung.
“Bukan mak tak suka. Cuma mak risau saja.” Penyapu lidi disandarkan
ke perdu pohon rambutan. Puan Intan berpaling dari wajah Dhia Melati, cuba
menyembunyikan perasaan sayunya.
“Mak...,” seru Dhia perlahan. “Mak kan dah izinkan Dhia
pergi sana. Janganlah buat muka sedih macam ni. Dhia pergi bukannya untuk
bersuka-suka. Bukan ke Dhia dah janji pada ayah dan mak, Dhia akan jaga diri
Dhia baik-baik.”
“Entahlah Dhia. Hati mak ni terasa berat nak lepaskan
kamu pergi lagi,” tutur Puan Intan. Nafasnya dilepas kuat.
“Insya-Allah mak, takkan ada benda buruk berlaku.”
“Bila Dhia dekat sana, siapa nak tengok-tengokkan Dhia?”
“Mak ni..., selama Dhia berlajar dekat Kuala Pilah dulu
tu, tak ada siapa pun yang jaga Dhia? Dhia dah biasalah mak, hidup berdikari.”
“Dulu lain, sekarang ni lain,” sangkal Puan Intan lagi.
Peristiwa hampir kehilangan anaknya ini kembali terlayar diingatan.
“Apanya yang lain mak? Sama saja. Bezanya dulu Dhia pergi
belajar. Sekarang ni, Dhia pergi bekerja. Keadaannya tetap sama. Insya-Allah...
Janganlah mak risau tentang Dhia. Sepatutnya mak doakan kesejahteraan dan
keselamatan Dhia.”
“Yalah! Mak ikut sajalah cakap Dhia,” balas Puan Intan
lesu. Nak buat macam mana lagi. Turuti sajalah kehendak anak daranya yang sudah
beria-ia ini. Puan Intan mengeluh.
“Terima kasih mak,” ucap Dhia gembira. Tangan Puan Intan
dikucup syahdu.
“Besok Dhia ikut mak pergi pekan Kuala Klawang. Sementara
mak beli barang-barang untuk kenduri, Dhia boleh pergi beli barang-barang
keperluan yang nak bawak pergi
nanti.”
“Mana boleh naik bertiga motor ayah tu mak? Nanti Dhia
tulis apa barang yang Dhia perlukan, mak tolong belikan.”
“Mana boleh macam tu! Buatnya mak tak jumpa ke, atau tak
tahu barang yang macam mana kamu nak, kan susah. Bila orang syarikat tu nak
datang ambik kamu?”
“Selasa minggu depan. Hari Rabu Dhia dah mula bekerja,” balas
Dhia teruja.
Puan Intan terus menuju ke beranda.
“Mak nak pergi mana tu?”
“Telefon Abang Zul kamu. Mintak tolong dia hantarkan kita
beli barang besok pagi,” laju Puan Intan berkata.
Abang Zul lagi! Pening betul kepala aku, bungkam Dhia
seraya kaki menjejaki langkah ibunya ke dalam rumah. Ketika Puan Intan buat
panggilan, Dhia memasang telinga mendengar perbualan ibunya. Hati menggerutu
geram. Tentu Zul Hafiz sepuluh kali mengangguk kepala setuju menghantar mereka
ke pekan Kuala Klawang. Selepas mendengar ibunya memberi salam, cepat tangan
dihulurkan meminta ganggang.
“La..., kenapa tak bagitau
awal-awal Dhia nak cakap dengan Abang Zul? Dia dah letak telefon dah...”
Nak cakap dengan Abang Zul? Kirim salam! “Dhia nak telefon
Zaira lah mak... Zaira tentu terperanjat bila tahu Dhia yang dulu bekerja di
Senawang tu dari dia. Nanti, bolehlah kami tinggal serumah. Mak jangan risau,
lepas ni ada orang yang tolong jaga Dhia dekat sana.”
“Yalah...” Puan Intan membalas lembut. Bahu anaknya
diusap beberapa kali sebelum beredar ke dapur.
Hujung minggu itu kenduri doa selamat dan kesyukuran
berlangsung di rumah Encik Ibrahim. Riuh-rendah suasana dengan kehadiran orang-orang
kampung. Seperti kenduri kahwin pula. Mujur juga ahli belia 4B membantu. Ringan
sedikit beban Puan Intan dan Encik Ibrahim. Yang menjadi kepala a.k.a ketua menyenggara budak-budak
persatuan tu, tentulah Zul Hafiz Zahin. Dialah yang sibuk ke hulu, ke hilir,
mengarah buat itu dan ini.
“Jemputlah makan ya! Jangan malu-malu. Tambah nasi dan
lauk. Jangan risau tak cukup. Banyak lagi dekat luar tu,” kata Puan Intan,
sibuk melayan tetamu yang berada di dalam rumah.
“Zul, lauk untuk meja sebelah sini suruh budak-budak ni
tambah lagi. Dah nak habis dah ni,” arah Encik Ibrahim. Membantu pemuda-pemudi
belia 4B melayan tetamu di bawah khemah. Baju sudah lencon dek peluh. Anak-anak
lelakinya entah ke mana menghilang. Lepas selesai bacaan doa, batang hidung
langsung tak nampak-nampak.
Dhia Melati berdiri di beranda. Hendak membantu, kudratnya
tidak diperlukan. Sudah ramai sangat belia-belia 4B menolong. Pandangan beralih
ke bawah khemah. Dia terlihat seseorang yang sudah lama tidak ditemuinya duduk
di antara sekelompok wanita. Gadis itu sedang menjamu selera. Lalu dia bergerak
ke sana.
“Assalamualaikum Makcik Tijah, Makcik Zainon, Makcik
Jamilah. Dah lama sampai?” sapa Dhia sopan.
“Waalaikumussalam. Eh! Dhia. Meh! Mari duduk sini dengan makcik,” panggil Puan Zainon, ibu Zul
Hafiz Zahin. Tangannya terarah ke bangku kosong di sebelahnya. Siti Naufal yang
duduk bertentangan mula mencebik. Menyampah! Kacau daun betul si Dhia ni.
Tengah aku sibuk usha mak Abang Zul
ni, time tu jugaklah dia datang, desis Siti Naufal.
“Makcik dah makan?” Dhia hulurkan tangan berjabat dengan
semua rakan ibunya.
“Baru saja selesai. Macam mana keadaan kamu, Dhia? Dah sihat
betul ke?” tanya Puan Zainon.
“Alhamdulillah... Dhia dah sihat makcik.”
“Amboi... Lawanya anak dara Brahim dan Intan sejak
bertudung ni. Ayu sungguh. Sejuk mata makcik memandangnya,” puji Puan Zainon
ikhlas. Di matanya Dhia Melati kelihatan begitu cantik bertudung litup seperti
itu. Dhia yang sememangnya seorang gadis ayu bertambah jelita bila menjaga auratnya.
Dhia tersenyum. Dia tidak menjawab. Takut nanti salah bicara,
jadi riak pula. Nak kata dah sampai seru, mana ada dalam soal menutup aurat
tunggu dapat seru baru nak buat. Sedangkan hukumnya wajib.
Sakit hati dan telinga Siti Naufal mendengar pujian Puan
Zainon itu. Huh! Macamlah Dhia tu cantik sangat. Lebih kurang aku jugak. Bukannya jenis stok perempuan
Melayu terakhir pun! cantas hati Siti Naufal.
“Kau macam mana Naufal? Sihat? Lama betul aku tak jumpa
kau. Kita ni, nama saja duduk sekampung kan? Jumpa pun jarang.”
Siti Naufal terus menyuapkan nasi ke mulutnya. Sengaja
dia lambat-lambat menjawab soalan Dhia.
“Aku sibuk sangat. Banyak baju tempahan yang aku kena
siapkan,” balas Siti Naufal acuh tak acuh. Tangan mencuit-cuit lauk di pinggan.
Sedikit pun mata tidak dikalihkan memandang Dhia. Kalau diikutkan kata hati,
dia tidak mahu menghadiri kenduri ini. Memandangkan ibunya, beriya-iya menyuruh
dia kemari, diturutkan saja. Tambahan bila mengenangkan kenduri ini turut dihadiri
oleh Zul Hafiz, maka dia ke sini. Kalau tidak, jangan haraplah dia nak tunjuk
muka. Lebih baik tidur saja di rumah.
“Memang betul Dhia... Ramai betul orang datang tempah
baju sekarang ni. Maklum sajalah, lagi lima bulan dah nak raya. Tak menang
tangan makcik dan Naufal nak menjahitnya,” celah Puan Khadijah.
“Macam mana tak ramai orang yang menempah baju dekat kamu
Tijah, dalam kampung ni, bukannya tak
ada tukang jahit lain, tapi baju jahitan si Naufal nilah yang paling selesa
dipakai. Aku kalau orang lain yang buatkan, tak nak aku pakai. Rasa tak sedap.
Ada saja yang tak kena. Tersalah guntinglah. Tersalah sambunglah. Terlebih
ukurlah. Eeee... macam-macam hallah!”
tokok Puan Zainon pula.
Kembang kuncup hidung Siti Naufal mendengarnya.
Berbunga-bunga hati bila dipuji oleh ibu Zul Hafiz. Nampaknya cerahlah peluang dia.
Siti Naufal tersenyum. Mula memasang angan bakal menjadi menantu Puan Zainon satu
hari nanti.
“Ain macam mana Makcik Jamilah? Bila dia nak balik dari
Australia?” Tautan mata Dhia beralih kepada Puan Jamilah pula. Dia mengabaikan
layanan Siti Naufal padanya sebentar tadi. Pelik. Kenapa lain sangat sikap Siti
Naufal. Ah! Mungkin perasaan dia saja.
“Lambat lagi tu... Belum pun setahun dia dekat sana,” ujar
Puan Jamilah.
“Kamu macam mana Dhia? Tadi mak kamu cakap kamu dah nak
bekerja. Bila mula kerja?” tanya Puan Zainon pula.
“Ya makcik. Dhia dah dapat kerja dekat Senawang. Lusa
Dhia berangkatlah ke sana. Hari Rabu mula kerja.”
“Kamu pergi kerja tu, hati-hati Dhia. Buat kerja elok-elok.
Rajin dan berusaha sungguh-sungguh,” nasihat Puan Zainon sambil tangan menepuk-nepuk
lengan Dhia perlahan.
“Baik, Makcik Zainon. Terima kasih,” ucapan Dhia meluncur
sopan.
Bernanah telinga Siti Naufal mendengarnya. Hati meluap-luap
seperti gunung berapi menunggu saat untuk meletup. Sakitnya hati dia. Apasal semua orang sibuk sangat pasal
Dhia ni? Eloklah berambus cepat-cepat. Tak perlu nak kena bersaing dengan dia.
Abang Zul tu pun, bukan boleh ada dekat dengan Dhia. Nanti, muka aku langsung
dia tak pandang, gumam Siti Naufal geram. Nasi di dalam pinggan ditonyoh-tonyoh
hingga lumat.
Hari Selasa tiba. Selesai kenduri di rumah Dhia tempoh
hari, Zul Hafiz tidak lagi bertemu gadis itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia
rasa begitu berat hati berjumpa Dhia. Mungkin dia takut Dhia menghidu rasa
kecewa di hatinya ini. Atau sebenarnya di terasa hati? Nampaknya, dia tidak
berjaya mengubah keputusan Dhia. Dia hampa. Hendak tidak hendak terpaksalah terima
kenyataan yang dia sekali lagi tersisih jauh dari Dhia. Selepas ini, pastinya
semakin sukar untuk mendekati Dhia. Memang sudah jelas selama ini dia tiada
tempat di hati Dhia. Zul Hafiz mengeluh berat.
Gadis itu memang tidak sama seperti gadis lain di kampung
ini. Gadis lain, tak perlu dipanggil, tak susah nak dilayan. Mereka sendiri
datang menempel, tetapi Dhia Melati sangat jauh berbeza. Sukar dihampiri.
Hatinya memang payah dimiliki. Apatah lagi sikap dan bicaranya. Memang susah
hendak dimengerti.
Zul Hafiz melirik jam di tangan. Masa menunjukkan pukul
sembilan lima puluh pagi. Nak pergi ke tak jumpa Dhia? Dia berkira-kira. Seperti
kelmarin, ruang tamu rumahnya menjadi tempat wajib dia mundar-mandir. Sudah lebih
dua puluh kali dia tawaf di situ. Sambil ke hulu ke hilir, dia mencongak.
Patutkah dia pergi berjumpa Dhia? Kau jangan putus asa Zul. Jangan cepat mengalah.
Kau mesti terus berusaha. Lambat laun Dhia pasti sedar ketulusan hati kau. Betapa
ikhlasnya perasaan kau. Cepat pergi kejar dia. Jumpa dia. Katakan pada dia, kau
akan sentiasa menanti dia. Kau sayangkan dia. Cinta pada dia. Cepat!!! Sebelum
kau terlambat, kata hati Zul Hafiz Zahin.
“Ya! Aku mesti pergi jumpa Dhia,” tekadnya. Kunci kereta
dicapai lalu berlari menuju ke garaj. Kereta dipecut laju. Doanya semoga dia
sempat bertemu Dhia Melati. “Dhia, tunggu abang.”
Sementara itu di dewan orang ramai, semua pekerja baharu
Masyhur Industries sudah berkumpul. Bas yang akan membawa mereka ke Senawang
juga sudah lama tiba.
“Ada barang yang tertinggal Dhia?” Encik Ibrahim bertanya
seraya menghulurkan beg Dhia kepada pemandu untuk di simpan di bawah perut bas.
“Tak ada. Mak yang tolong Dhia packing semalam. Rasanya semua ada. Betul tak mak?” Dhia paling memandang
ibunya. Puan Intan hanya tersenyum kecil. Tawar sekali. Sedaya upaya dia tidak
pamerkan riak sugul dan risau pada wajahnya, tetapi apakan daya. Sekuat mana
sekalipun dia cuba sembunyikan, anaknya itu masih boleh melihat.
Adik-adik Dhia juga seperti Puan Intan, merasa sedih dan
bimbang terpaksa melepaskan kakak mereka pergi jauh. Seperti ibu bapa mereka, trauma
kemalangan yang menimpa Dhia masih menjadi igauan ngeri. Kejadian itu masih
jelas di ingatan mereka. Kerana itu perpisahan ini terlalu berat untuk mereka
terima. Maklumlah, Dhia Melati satu-satunya kakak mereka. Tiada dua atau tiga.
Tiada ganti, tiada tara.
“Kak Dhia, nanti selalu telefon kita orang tau!” Ahmad
Mukhriz menggenggam erat tangan Dhia.
“Riz..., Riz ni macam tak biasa pulak. Serupa jugak masa
akak belajar dulu. Akak dulu pun selalu telefon rumah kan?”
Ahmad Mukhriz mengangguk perlahan.
“Kak! Nanti selalu balik sini. Masa akak belajar dulu
akak jarang balik,” celah Ahmad Mirzad pula.
“Okey. Nanti akak selalu balik sini. Akak janji.” Dhia menghulurkan
jari kelengkengnya. Lantas disambut oleh Ahmad Mirzad. Seketika, jari
kelengkeng mereka bersulaman antara saru sama lain.
“Janji?”
“Janji!” ulang Dhia Melati.
Air mata Puan Intan mula mencemari pipi. Padangan Dhia kembali
kepada ibunya.
“Mak..., janganlah menangis. Tak senang hati Dhia nak
tinggalkan mak dalam keadaan macam ni. Dhia pergi untuk mencari rezeki bagi keluarga
kita.” Pantas tangannya memeluk tubuh tua itu. “Dhia janji akan jaga diri dan
kesihatan Dhia baik-baik. Mak jangan risau. Mak izinkan Dhia pergi ya?”
“Mak izinkan. Jaga diri baik-baik.” Lalu dipaut wajah
anaknya itu dan dicium kedua belah pipi Dhia. Dhia juga membalas ciuman Puan
Intan. Selepas menyalami ibunya, Dhia hampiri pula Encik Ibrahim. Tangan Encik
Ibrahim diraih. “Dhia pergi dulu ya, ayah?”
“Yalah. Ingat pesan ayah dan mak. Pandai-pandai jaga diri
di tempat orang. Jaga adap dan sopan. Kerja biar ikhlas dan jujur, baru berkat
rezeki kita. Ingat tu?” pesan Encik Ibrahim entah untuk yang ke berapa kali.
Kepala Dhia yang singgah di tangannya diusap perlahan.
“Ya, ayah. Dhia ingat.” Dhia Melati menghampiri
adik-adiknya pula. “Tolong akak jaga mak dan ayah ya.”
Mereka berdua mengangguk dan memeluk Dhia serentak.
“Kak Dhia! Cepatlah! Bas dah nak jalan ni,” jerit seorang
gadis dari tingkap bas.
“Ya! Ya! Nak naiklah ni,” sahut Dhia dari bawah.
Ketika badan bas mula bergerak perlahan, Dhia memandang
ke arah keluarganya. Hati mula dipagut hiba. Dia menguatkan semangat dan
tekadnya. Tangan dilambaikan seraya mengucap selamat tinggal. Perlahan-lahan
bas bergerak laju dan semakin laju. Meninggalkan debu-debu berterbangan di
udara. Ketika itu Dhia melihat kereta Perdana milik Zul Hafiz berhenti
berhampiran ibu dan bapanya. Lelaki itu tergesa-gesa keluar dari kereta.
Di kejauhan itu, Dhia melihat raut wajah Zul Hafiz jelas
menunjukkan kekecewaan dan kehampaan. Renungan mata lelaki itu membayangkan
segala-galanya. Dia dihurung rasa bersalah.
“Maafkan Dhia, abang. Dhia tak mampu terima abang. Dhia
tak boleh.”
No comments:
Post a Comment