“Ha... yang ini baru betul anggur Malaysia... Buah
berjuntai ke bawah sama macam buah anggur...” Yaya ambil beberapa biji buah
rambai dari tangan Shidan. Dia datang mendekati Ayin, lalu dihulurkan buah
rambai itu.
“Tak naklah! Nanti masam lagi,” rajuk Ayin. Jeran pun ia
juga. Takut masam lagi. Nanti bukan saja nampak Mekah, boleh lantas sampai ke
Madinah.
“Kalau masam takkanlah Shidan nak ambik makan? Dia dah biasa. Dia tahulah mana satu pokok yang
buahnya masam, mana satu buahnya manis,” pujuk Yaya. Ayin tetap geleng kepala.
Takut Yaya mengenakan dia. Bukan ke Yaya sekarang ni boleh tahan nakalnya?
Kalau tak nakal, Yaya takkan menyakat dia di PAC.
“Tak percaya tak apa... Biar Sinar yang makan dulu.” Yaya
kupas sebiji dan terus memakannya. “Emmm...”
Yaya pejam mata bersama kerut di dahi.
Padan muka! Masamlah tu. Ayin menyeringai sinis.
“Mmmanisnya... Sedap betullah...” getus Yaya bersama
mulut yang penuh. Ayin geram. Baki buah rambai dirampas dari tangan Yaya. Dia
juga mahu merasanya. Betul ke manis? Segera dikupas kulit rambai dan tanpa
berlengah terus dimakan.
Rias Ayin berubah suka. “Memang manislah!” katanya.
Sesaat selepas itu... “Wekkk...” Buah
rambai yang berbaur dengan air liurnya dimuntahkan. “Apasal tiba-tiba jadi pahit pula ni?!”
Yaya senyum. Dia melihat kepada sisa ludah Ayin yang
bertepek di atas tanah. “Yang Yin pergi gigit bijik dia buat apa?” Yaya geleng kepala. Macam-macam betullah Ayin
ni.
“Orang makan rambai bijiknya
jangan digigit, jangan ditelan. Kena buang. Kalau telan nanti masa buang air
besar, kot pegang kepala paip, bang!” jenaka Shidan.
Kerut dahi Ayin terbentuk seribu. Memang tak ingin dia
makan buah-buahan kampung ni lagi. Ada saja yang tak kena. Masamlah, manislah,
lepas tu jadi pahit pula. Jeran! Ayin berpaling. Enggan melihat kepada Shidan
dan Yaya yang tidak habis lagi mentertawakannya. Nak kata kecil hati, tidaklah.
Cuma terasa saja. Bukan salah Shidan dan Yaya pun. Dia yang gelojoh sangat. Tiba-tiba
mata Ayin tertancap pada sebatang pokok. Cepat dia berlari menghampiri pokok
itu. Yang ini dia confirm buahnya
sangat manis. Sebab dia pernah rasa dan buah ini juga yang digunakan untuk
melastik Yaya dulu. Tangan dijulang dan merengkuh dahan pokok tersebut. Pantas dia
meregut beberapa biji buah ceri sebesar ibu jari yang merah ranum.
“Sinar nak buah ni?” tanya Ayin. Sebelah tangah masih
berpaut pada dahan pokok, dan sebelah lagi menyuakan buah ceri kepada Yaya.
Yaya datang menghampiri Ayin. Baru sahaja tangannya menadah untuk menerima buah
ceri, tiba-tiba buah ceri bertebaran di udara. Sejurus kemudian Ayin menjerit
kuat.
“Adoi! Adoi! Adoi!” Dahan ceri terlepas dari tangan. Ayin
kemudian terlompat-lompat sambil kedua belah tangan menjalar ke seluruh badan.
Juga mengibas-ngibas di kepala dan belakang tengkuknya.
Yaya cemas. “Kenapa Yin?” Ayin yang dah serupa beruk kena
belacan dipandang tanpa berkelip.
“Kak Yaya! Tu...” Shidan menunding ke atas kepala Ayin.
“Kerengga!” kata Shidan lagi. Sarang kerengga berada betul-betul di atas kepala
Ayin. Meremut keluar dari sarangnya lalu jatuh ke atas kepala Ayin. Cepat-cepat
Yaya tarik Ayin menjauhi pokok ceri. Tanpa sedar dia turut membantu menepis
kerangga yang merayap ke seluruh badan Ayin.
“Tanggal baju ni Yin,” arah Yaya sambil tangan menarik
t-shirt Ayin ke atas. Ayin turut sahaja. Dalam keadaan masih terlompat-lompat
Ayin menanggalkan bajunya. Baju itu Yaya ambil dan dikibaskan ke badan Ayin
membuang kerengga yang melekat pada tubuhnya. Habis kemerahan kulit badan Ayin.
Ayin tidak lagi melompat. Bekas gigitan kerengga yang terasa perit diusap seraya
mengaduh. Kasihan Yaya melihatnya. Takkan dia nak sama menyapu kesan gigitan
kerengga itu? Ayinkan tak berbaju.
“Okey tak Yin?” Dia hanya mampu mengajukan soalan.
“Oookey...” balas Ayin tersekat-sekat. Selang beberapa
saat... “Adoi! Adoi! Adoi!” Ayin terlompat-lompat semula. Yaya kalut. Sudah
tidak ada lagi kerengga di badan Ayin, tetapi mengapa Ayin masih terjerit-jerit
kesakitan?
“Kenapa bang?” Shidan turut panik.
“Dia masuk dalam seluar!”
Hah! Dalam seluar? Yaya
keras. Takkan nak tolong tanggalkan seluar Ayin pula? Gila!
No comments:
Post a Comment