“Hah! Kamu! Tunggu apa lagi? Cepat ikut saya,” arah Ameal
kepada Dhia pula. Dia berlalu meninggalkan meja Marissa menuju ke hujung
koridor di mana pejabatnya berada. Dhia tidak membalas. Dituruti langkah Ameal.
Hatinya berperang semula. Apakah yang bakal Ameal lakukan kepada dia agaknya?
Ameal memasuki pejabatnya dan terus menuju ke arah meja
lalu meletakkan beg bimbit hitam di atas meja itu. Dhia Melati yang mengekor di
belakang tidak dipedulikan. Seperti gadis itu tidak wujud saja. Ameal bergerak
pula ke arah coats stand di bucu
bilik. Kemudian dia menggantungkan kotnya di situ. Dengan gaya selamba penuh macho,
Ameal menuju semula ke meja kerjanya sambil melipat kedua belah lengan baju
hingga ke paras siku. Ikatan tali lehernya dilonggarkan sedikit supaya rasa
selesa. Dhia Melati berdiri memerhati setiap tingkah laku lelaki itu dengan
hati bercelaru. Otak ligat berfikir apa yang akan dia hadapi selepas ini. Tindakan
jenis apa yang akan dikenakan kepadanya. Hari ini, terlebih rajin dari biasa
betul otaknya bekerja. Tak habis-habis memikirkan kebarangkalian perkara yang bakal
terjadi kepada dia sebentar lagi.
Ketika Ameal menarik kerusi, gadis itu juga melakukan
perkara yang sama. Dhia menarik kerusi di hadapan meja Ameal dan segera
melabuhkan punggung sebelum Ameal sempat duduk di kerusinya.
“Siapa suruh kamu duduk? Ada saya suruh kamu duduk ke?!”
sergah Ameal kuat.
“Mmmaaf Encik Ameal.” Tergesa-gesa Dhia bangun semula.
Kerusi tertolak kuat hingga jatuh ke lantai. Pantas Dhia menegakkan dan
membetulkan semula kerusi itu di tempatnya. Matanya terkebil-kebil memandang
Ameal. Menunggu arahan dari lelaki itu untuk menyuruh dia duduk. Saat ini, dia
betul-betul rasa tidak tentu arah. Hendak tergelak Ameal dibuatnya apabila
melihat muka kelabu Dhia Melati tika itu.
Ameal mengambil tempat duduk di kerusi dan merenung tepat
kepada Dhia. Tiada sepatah kata keluar dari mulutnya. Dhia terus menunggu.
Takkan nak jadi pak pacak depan lelaki ni? Kepala yang tidak gatal digaru.
Kemudian tangan membetulkan pula tudungnya. Tak betul ke tudung dia? Sampai begitu
sekali Ameal memandangnya.
“Eeencik Ameal, boleh tak saya duduk?’
“Tak!”
“Kkkenapa tak boleh? Kkkerusi ni untuk diduduk. Bbbukan
untuk dipandang!”
Ewah! Budak perempuan ni berani betul menjawab. “Memang
kerusi ni untuk diduduk, tetapi bukan untuk awak duduk! Berdiri selagi saya tak
kata boleh duduk.”
“Tapi, kaki saya penat betul ni, Encik Ameal. Saya raca
macam dah nak tercabut kepala lutut lepas encik bawak saya panjat tangga yang berpusing-pusing tu. Kepala saya ni
pun dah berpusing-pusing dibuatnya. Saya duduk ya?”
“Saya kata tak! Awak tak faham ke?” Ameal mengherdik
kuat.
Berpintal terus usus besar dan kecil Dhia. Bibir digigit.
Tidak berani berkata lagi. Dia sendiri tidak tahu kenapa tadi mulutnya berani
sangat menjawab. Mungkin kerana dia cuba menghilangkan rasa gemuruhnya bila direnung
tajam oleh Ameal.
Tuk... Tuk... Tuk.. Pintu pejabat Ameal diketuk dari luar.
“Masuk!” arah Ameal.
Fuh!
Alhamdulillah... Aku belanja makan orang yang masuk ni, sebab dah selamatkan aku
dari jadi santapan mata singa jadian ni, desis Dhia.
No comments:
Post a Comment