“Apa ni Encik Ameal? Sakitlah!” Dhia mengaduh. Dia cuba melepaskan
tangannya dari genggaman Ameal, tetapi jari-jari lelaki itu erat menarik
tangannya. Memaksa dia berjalan bersama.
“Encik Ameal sakitlah. Tak payahlah tarik-tarik macam ni.
Saya boleh jalan sendirilah!” Dhia masih lagi cuba melepaskan tangannya dari
genggaman Ameal. Berbiratlah tangan jawabnya.
Ameal tidak peduli kata-kata Dhia. Lengan gadis itu terus
ditarik melangkah menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas bersamanya.
“Encik Ameal! Apa ni?! Sakit tangan saya.” Tanpa sedar
Dhia memukul tangan Ameal yang menariknya.
“Diam! Saya cium mulut awak yang celopar tu, baru awak
tahu! Melawan cakap saya saja dari tadi. Kalau awak tak diam, saya cium awak
betul-betul nanti!”
Erk! Cium?!
Pantas tangan yang memukul Ameal tadi menutup mulutnya sendiri. Mabuk ke apa
lelaki ni? Atau buang tabiat?
Di dalam pejabat Ameal, Dhia duduk diam di sofa. Mata
tidak berani melihat Ameal. Kecut perutnya bila teringatkan ugutan tadi. Orang
lelaki ni kalau dia cakap sekali, dia main-main sebenarnya. Kalau dua kali diulang,
bermakna memang dia ada hati nak lakukan, tapi... kalau dah tiga kali bercakap
benda yang sama, maksudnya memang dia nak buat betul-betul. Mujur Ameal baru
ulang dua kali perkataan cium tu. Kalau masuk tiga kali, entah apalah yang akan
jadi agaknya. Ish! Seriau! Buatnya
datang gila Encik Ameal mampus aku, detak Dhia. Pagi tadi bukan main
bersemangat hendak berhadapan dengan lelaki ini. Baru sebut nak dicium, terus
patah seribu keberaniannya.
“Siapa suruh awak balik awal semalam?” soal Ameal
tiba-tiba selepas lama mereka berdiam diri.
“Mmmana ada saya balik awal semalam Encik Ameal? Sssaya
balik pukul lima apa?” Dhia mula gemuruh.
“Ya, saya tahu tapi ada saya suruh awak balik semalam
ke?” Suara Ameal bertambah tinggi oktafnya.
“Tttak ada. Dddah pukul lima saya baliklah,” gugup Dhia
bersuara.
“Gagap-gagap pun masih berani lagi nak menjawab,” perli
Ameal. “Dah pukul lima pun, kalau saya kata belum boleh balik, jangan balik.
Awak tahukan kerja ni masih banyak lagi. Kalau tak buat cepat-cepat bila nak
habis.”
“Encik Ameal kena faham, saya baru kerja.”
“Habis tu, kalau awak baru kerja tak bolehlah buat
kerja?!” lengking Ameal bersama muka merah semula.
“Bbbukan macam tu...” Dhia garu belakang tengkuk. Liur
ditelan cuba mencari keberanian untuk membalas. “Dalam satu hari banyak sangat
benda yang saya belajar. Mana boleh masuk.”
“Awak kan belajar tinggi, takkan otak awak lembab sangat?
Jangan nak bagi alasan bodohlah!”
“Alasan bodoh apa bendanya? Betul apa yang saya cakap.
Otak saya ni bukan komputer. Boleh simpan semua benda sekelip mata bila tekan
butang save.” Dhia beranikan diri
melihat wajah Ameal. “Encik Ameal pernah dengar tak pantun ni? Buah cempedak di
luar pagar. Ambil galah tolong jolokkan. Saya budak baru belajar. Kalau salah
tolong tunjukkan. Bukan tolong marahkan!”
“Ada saja jawapan awak kan? Yang siap berpantun bagai ni
kenapa? Nak tolong tunjukkan apa, kalau awak tu malas nak belajar? Baru buat
kerja sikit, dah mula curi tulang.”
“Sikit apa benda kalau dah berlonggok macam gunung ni?”
Nak jugak aku korek bijik mata dia ni. Buta ke apa?
No comments:
Post a Comment