Total Pageviews

Thursday, May 21, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 1




Hati terasa lega sebaik sahaja melihat pintu pagar utama syarikat dari kejauhan ini. Langkah semakin dilajukan. Baru Dhia hendak melangkah melepasi pintu pagar, tiba-tiba dia dipanggil.
“Cik! Cik! Sekejap!”
Dhia berpaling memandang. Seorang lelaki separuh umur lengkap berpakaian seragam pengawal keselamatan datang menghampirinya.
“Ya pakcik?”
“Nama siapa?”
“Hah?”
“Nama siapa?” Pengawal keselamatan itu mengulangi pertanyaannya sekali lagi.
“Dhia Melati. Kenapa pakcik?”
“Macam mana nak eja?” tegas lelaki tua itu bertanya.
Dhia melihat lelaki tua itu sudah bersedia dengan sebatang pen dan sebuah buku di tangannya. “D.H.I.A jarak M.E.L.A.T.I.”
Lelaki itu mula menulis di dalam buku itu.
“Kenapa pakcik?” Dhia bertanya sekali lagi. Hendak juga tahu kenapa pakcik ini berminat sangat nak tahu namanya. Takkan pakcik ni berkenankan dia pula? Ish! Selisih malaikat empat puluh empat. Teruk sangat ke dia ni? Alih-alih lelaki tua pula yang sukakannya.
“Pakcik kena catat nama-nama pekerja yang datang lewat dalam buku ni. Nanti senang HR nak cross check dengan puch card,” beritahu pengawal keselamatan itu.
Ooo... nak ambil nama saja. Ingatkan nak buat apa. Heh! Macam dekat sekolah pula. Kena tulis nama dengan pengawas bila datang lewat. Sekilas Dhia melihat tanda nama pada baju seragam lelaki tua itu. ‘HALIM’.
“Tak apalah Pakcik Halim. Saya dah lambat ni. Saya pergi dulu ya.”
“Kenapa lewat?”
Ish! Aku dahlah lambat. Pakcik ni nak bersoal-jawab pulak. “Lewat bangun pakcik.”
“Lain kali jangan lewat. Dekat sini, undang-undangnya ketat,” beritahu Pak Cik Halim.
“Ya! Ya! Pakcik. Terima kasih kerana ingatkan saya. Lain kali saya tak lambat lagi. Saya pergi dulu ya.” Dhia segera berpaling ingin meninggalkan pondok jaga itu.
“Cik ni orang baru ke? Tak pernah nampak pun sebelum ni?”
Aduhhh! Ni yang nak hangin ni. Masa ni jugak lah pakcik ni nak buat sesi suai kenal. Lain hari tak boleh ke pakcik? Aku ni dah lambat. Okey, Dhia. Bawak bersabar... Ingat, orang tua kena hormat! Dhia menoleh semula.
“Haah pakcik. Hari ni baru mula kerja. Saya dah lambat. Masuk dulu ya, pakcik.” Segaris senyuman diukir buat warga emas itu. Dhia meneruskan langkahnya semula. Dan...
Tinnnnn! Skretttt...
“Oi mak kau rimau!” Terpelanting semangatnya. Dhia mengurut dada kelegaan. Nyaris! Seinci saja kakinya hendak terkena tayar motorsikal berkuasa tinggi ini. Ah! Jangan-jangan Firdaus. Dhia teliti kenderaan dua tayar itu. Mula membuat perbandingan. Motosikal lelaki ini tak serupa dengan motosikal Firdaus. Confirm bukan Firdaus, detak Dhia. Kalaulah Firdaus, harus juga dia sorok mukanya dalam baju.
“Oi mamat! Kau buta ke apa? Melulu saja masuk. Tak nampak orang? Bawak motor tu slow-slow tak boleh ke? Macam mat rempit! Kalau kena aku tadi macam mana? Dah tahu lambat, berhenti la dekat sini dulu. Senang pakcik guard ni nak ambik nama kau,” sembur Dhia bertalu-talu. Entah kenapa, anginnya tak semena-mena jadi tidak elok. Mungkin tempias daripada rasa marahnya kepada diri sendiri kerana terlewat. Aku dahlah lambat. Ada saja yang menghalang. Tadi pak guard tu, sekarang mamat motor ni pulak! guman Dhia geram.

No comments:

Post a Comment