Bab 9
Selepas menghidangkan dua cawan kopi O panas untuk kedua
orang tuanya yang sedang berehat di beranda, Dhia masuk semula ke dalam rumah
lalu bersembunyi di belakang pintu. Sudah beberapa hari dia mencari kekuatan untuk
berbincang dengan ibu dan ayahnya. Malam ini, sekali lagi dia cuba memberanikan
diri. Sekarang dia menunggu peluang yang sesuai untuk berhadapan dengan mereka
berdua.
“Macam mana dengan mesyuarat JKKK petang tadi, bang?”
soal Puan Intan membelah sunyi malam. Hanya kedengaran suara televisyen yang ditonton
oleh kedua anak lelakinya di ruang tamu.
“Biasalah... Ada saja masalah orang-orang kampung ni nak
diselesaikan. Penduduk kampung kita ni ramai. Banyak ragamnya, jadi banyak jugalah
masalahnya,” omel Encik Ibrahim. Tangan mencapai cawan kopi O dan dihirup
perlahan. Selepas mengembalikan cawan ke piring, dia kembali bersuara. “Lepas
mesyuarat tadi terus siapkan dewan untuk temu duga. Tuan Pengurus bagitau, ada satu syarikat dari Senawang
nak datang besok pagi. Mereka tengah cari pekerja baru.”
“Bagus juga tu bang. Anak-anak muda kampung kita ni kan
ramai.”
“Lulus temu duga nanti, mereka akan datang sendiri ambik pekerja dan terus bawak ke asrama yang disediakan.
Budak-budak sekarang ni, beruntung betul. Bukan macam kita dulu. Sekarang ni
kerja datang cari dia orang. Bukannya dia orang yang kena pergi cari kerja. Dah
tu, disediakan pulak macam-macam
kemudahan. Kalau malas jugak, tak
tahulah abang nak cakap apa lagi,” bebel Encik Ibrahim lagi.
Dhia di sebalik pintu pantas berfikir. Inilah peluang
dia. Jalan untuk melunaskan hajatnya untuk pergi bekerja kini sudah terbentang.
Cara untuk lari dari Zul Hafiz sudah terbuka. Keberanian segera dikukuhkan. Dia
keluar dari persembunyiannya.
“Ayah..., mak..., kalau Dhia pergi temu duga tu boleh
tak?” Dhia memandang redup raut muka kedua ibu bapanya. Kalau ingin pergi
mencari kerja seperti dahulu, pasti mak dan ayahnya tak izinkan. Menangis keluar
air mata darah sekalipun mereka tetap takkan setuju.
“Boleh ya ayah..., mak...?” pujuk Dhia lagi.
“Nantilah dulu Dhia. Dhia kan belum sembuh betul? Takkan
cepat sangat nak pergi kerja? Besok bila kerja, dah sibuk pulak sampai lupa jaga kesihatan. Tak payahlah Dhia...,” bantah Puan
Intan panjang. Berat benar hatinya mahu mengizinkan Dhia pergi. Cukuplah sekali
dia hampir kehilangan anak perempuan tunggalnya ini.
“Mak..., Dhia dah cukup sihat dah... Doktor pun cakap
Dhia dah okey kan? Kalau tak sembuh lagi, takkan doktor hentikan rawatan
susulan Dhia? Lagipun dah hampir lima bulan mak...” Pandangan Dhia beralih pula
kepada ayahnya. “Boleh ya ayah? Ayah izinkan ya?”
Encik Ibrahim dan Puan Intan berpandangan sesama sendiri.
Masing-masing berat hendak buat keputusan.
“Temu duga tu kan diadakan di sini, tak payahlah Dhia
susah-susah nak pergi cari kerja. Kalau dapat kerja tu, dia orang datang ambik. Budak-budak kampung ni pun tentu
ramai yang dapat kerja dekat situ jugak.
Jadi mak dan ayah tak perlu risau tentang keselamatan Dhia. ” Dhia bentangkan
poin-poin kukuh agar keduanya setuju. Namun ibu dan ayahnya tetap senyap.
“Bolehlah mak? Dah lama sangat Dhia berehat dekat rumah.
Dhia janji, kali ini Dhia akan jaga diri Dhia baik-baik. Boleh ya mak...?” Air
mata sudah berada di tubirnya. Tunggu masa nak berderai saja. Anak mata memandang
kepada orang tuanya bagai merayu-rayu minta simpati.
Puan Intan tunduk merenung lantai. Serba salah rasa di
hati apabila melihat air muka anaknya beriak sedih begitu. Agak lama Dhia
menunggu jawapan dari mereka. Jika ayahnya setuju, ibunya pasti menurut. Keputusan
terletak di tangan ayahnya. Sekarang, semuanya terpulang kepada ayahnya saja.
“Ayah..., boleh ya Dhia pergi temu duga tu?”
“Baiklah. Ayah izinkan,” suara Encik Ibrahim perlahan.
Walaupun susah hendak buat keputusan, tetapi dia terpaksa juga. Tidak sampai
hati Encik Ibrahim melihat wajah Dhia yang penuh berharap itu.
“Terima kasih ayah.” Sorotan mata dibuang kepada ibunya
pula. Ibunya mengangguk lesu. Melihat gerak balas itu, lantas Dhia meluru dan
berlutut di hadapan ibunya lalu dipeluk erat tubuh tua itu.
“Terima kasih mak! Terima kasih.” Pipi ibunya dicium
rakus.
Tiada apa yang dapat diungkap oleh Puan Intan. Senyumnya
hanya dalam paksa. Kalau sudah Dhia yang bersungguh-sungguh, hendak dibuat apa
lagi. Tidak mengapalah, izinkan saja dia pergi. Lagipun, sampai bila dia nak simpan
Dhia dalam rumah ini. Walhal dia tahu anaknya ini jenis yang macam mana. Tidak
suka duduk diam saja. Kalau sudah tiba maut seseorang itu, di bawah ketiak ibu
bapanya juga boleh bertemu ajal. Dia berdoa semoga Dhia sentiasa dilindungi
Allah SWT walau di mana berada nanti. Bukankah pemergiannya itu untuk keluarga
mereka juga?
Esoknya, pagi yang amat ceria buat Dhia. Semangat
berkobar-kobar. Hati rasa tidak sabar untuk menghadiri sesi temu duga. Seawal
pagi gadis itu sudah bersiap.
“Ayah! Cepatlah sikit. Nanti kita lambat,” gesa Dhia. Dia
sudah bersedia menunggu ayahnya di luar rumah. Sedangkan Encik Ibrahim masih
lagi duduk bersarapan di meja makan.
“Awak tengoklah anak dara awak tu Intan. Tak sabar-sabar.
Tercekik abang dibuatnya,” rungut Encik Ibrahim kepada isterinya.
“Yang abang tu pun satu, cepatlah sikit minum. Sempat
lagi baca surat khabar. Itukan surat khabar semalam.” Surat khabar yang sedang
dibaca oleh suaminya diambil lalu dilipat dua kemudian diletakkan ke sisi.
“Eh! Ya ke, surat khabar semalam?” Encik Ibrahim
berseloroh. Senyuman dihadiahkan buat isteri tercinta.
“Ayah! Cepatlah. Nanti ramai orang dekat dewan tu!” Jeritan
Dhia semakin tinggi. Fail berisi resume, dan segala sijil-sijilnya didakap erat
ke dada.
“Ya Allah! Sabarlah sekejap Dhia oiii... Tak lari mana
dewan tu!” sahut Encik Ibrahim dari dalam rumah pula.
“Memanglah dewan tu tak lari, yah... Karang orang datang
temu duga ramai. Lambat nanti giliran Dhia.”
“Tak ada mananya lambat Dhia. Kunci dewan ada dekat ayah
ni,” tukas Encik Ibrahim. Nasi goreng masih lagi disudu ke dalam mulutnya. Puan
Intan menggeleng kepala melihat kerenah suami dan anaknya. Hiruk-pikuk. Seorang
terjerit di luar, seorang lagi terpekik di dalam. Kecoh!
“Cepatlah ayah...” Dhia menggesa lagi. Kaki dihentak ke
lantai tanda protes. Ayah ni sengaja tau! rungut hatinya.
“Yalah, yalah. Ayah nak keluarlah ni.” Akhirnya Encik Ibrahim
mengalah. Sakit tekaknya terjerit-jerit. Pagi-pagi lagi dah buat latihan vokal.
Kalau ada masuk pertandingan karaoke tak apalah juga. Berbaloi terjerit-jerit
macam ni. Dia bangkit meninggalkan kerusinya setelah menghirup kopi O
sekali-dua. “Tak lurus masuk ke perut nasi goreng abang hari ni, Intan. Anak
kesayangan awak tu punya pasallah ni!”
Puan Intan tersenyum. Kasihan juga dengan suaminya. Tadi
digegas oleh Ahmad Mukhriz dan Ahmad Mirzad minta dihantar ke sekolah kerana
mereka terlewat bangun. Sekarang, baru hendak duduk bersarapan, digesa pula
oleh Dhia Melati.
“Anak kesayangan abang jugak!” jawab Puan Intan pula. Tangan suaminya diraih dan dicium
sebelum Encik Ibrahim beredar.
“Intan jangan lupa pulak
hari ni masak lebih sikit. Abang nak jemput orang-orang yang datang buat temu
duga tu makan tengah hari dekat rumah kita.”
“Ya bang, Intan ingat. Intan ni belum tua sangat nak jadi
pelupa,” sendanya sebelum suaminya itu berlalu. Encik Ibrahim membalas dengan
tawa kecil.
Tiba di dewan kampung mereka, baru hati Dhia merasa lega.
Wakil syarikat Masyhur Industries belum sampai lagi. Pemuda-pemudi yang ingin
memohon kerja juga masih belum ada yang hadir. Ini bermakna dia akan menjadi
calon pertama untuk ditemu duga. Senyumnya meleret. Apa pun jawatan yang ditawarkan
kepadanya nanti, dia akan terima saja. Tak perlu memilih sangat. Asalkan, dia
boleh pergi jauh dari kampung ini. Bukan dia tak sayangkan keluarganya cuma dia
perlu lari dari Zul Hafiz Zahin.
******
Hampir setengah jam Zul Hafiz mengukur ruang tamu rumahnya.
Ke hulu, ke hilir dia menapak. Rasanya karpet di ruang tamu ini sudah nipis
dipijak-pijak. Dia melangkah ke tubir jendela pula. Berdiri di situ seketika.
Ah! Tak juga rasa tenang. Dia mengeluh lagi. Kulit kepala digaru kasar. Seperti
tadi, ruang tamu itu dikelilingi lagi. Hati gelisah tidak menentu. Berita yang
diterima dari Puan Intan ketika singgah di rumah Dhia pagi tadi, buatkan dia
benar-benar tak senang duduk. Semua yang dilakukan serba tidak kena. Mengeluh
usah dikira. Berpuluh kali!
Aku tak boleh biarkan dia pergi. Kalau dia pergi, dia
akan bertambah jauh dari aku tapi, apa alasan supaya aku boleh halang dia?
Abang Brahim dan Kak Intan sendiri dah izinkan, keluh Zul Hafiz.
“Kamu kenapa ni Zul?! Dari tadi mak tengok kamu ni lain
macam saja. Tak sihat ke?”
Pantas Zul Hafiz berpaling memandang ibunya. Entah bila
ibunya berada di situ. Tak perasan pula dia. Puan Zainon menghampiri Zul Hafiz.
Tapak tangan singgah ke dahi anaknya. Bimbang sekiranya Zul Hafiz benar-benar tidak
sihat. Kerja-kerja di ladang kelapa sawit dan di kolam ikan masih banyak yang
perlu diuruskan.
“Tak panas pun! Apasal
mak tengok kamu ni macam orang tak sihat saja?” Puan Zainon buat muka pelik.
Memang lain macam benar perangai anak terunanya hari ni. “Ke kolam ikan pun
kamu tak pergi. Kebun tu, kamu tak jengok ke? Hari ni kan budak-budak Indon tu dah mula kerja.”
“Zul dah pergi jengok kolam ikan tu tadi, mak. Kebun tu pulak, ayah pergi tengok. Zul ada kerja
sikit. Tengah buat buku kira-kira ni,” terang Zul Hafiz seraya mata mengarah ke
buku log yang terbuka luas di atas meja.
“Kerja apa yang kamu buat, mak tak nampak pun? Asyik mengeluh
saja adalah!” sangkal Puan Zainon pula. Muka dirapatkan sedikit ke buku log di
atas meja. Ingin melihat lebih dekat andai benar seperti yang dikatakan oleh
Zul Hafiz.
“Sudah! Berhenti buat kerja kamu ni sekejap. Tolong
hantar mak pergi kedai kak Tijah. Mak nak tempah baju,” pinta Puan Zainon lebih
kepada satu arahan.
“Mak ni, tak habis lagi ke buat baju? Almari mak tu, dah
padat sangat dah. Rasanya, baru bulan lepas mak buat baju. Pakai pun belum
lagi, dah nak buat yang lain pulak?”
omel Zul Hafiz panjang dengan wajah kurang setuju.
“Baju yang hari tu, mak nak pakai kenduri rumah kak Intan
kamu hujung minggu ni,” balas Puan Zainon. Tangan mencapai beg plastik berisi
kain ela di atas almari berhampiran meja di ruang tamu.
“Habis tu, baju yang mak nak tempah ni, nak pakai kenduri
rumah siapa pulak?” soal Zul Hafiz
lagi. Jika begini gayanya, asalkan ada rumah kenduri saja buat baju baru,
katakanlah sepanjang tahun ini ada lima puluh jemputan, jawabnya kena beli
almari baju barulah, tukas benak Zul Hafiz.
“Banyak tanya pulak
kamu hari ni. Kain tu kan abang Zaidi kamu belikan. Tempah sajalah dulu, lepas
tu simpan. Kalau lambat hantar, lambat siapnya. Kedai Kak Tijah tu, tempahan
yang dia terima bukan sikit. Banyak...,” bebel Puan Zainon berjela pula. Pantas
tangan anaknya ditarik. “Sudah! Mari cepat!”
“Yalah... Zul hantarkan...” Gugusan kunci di atas meja
dicapai. Dengan langkah separa longlai Zul Hafiz menuruti jejak ibunya. Dia
keberatan hendak menghantar ibunya ke kedai jahit Puan Khadijah itu kerana tidak
mahu berjumpa dengan anak Puan Khadijah. Sejak kebelakangan ini, sikap Siti
Naufal lain benar. Tutur kata dan tingkah lakunya sangat berbeza. Tidak seperti
sebelum ini.
“Tengok tu! Jalan pun slow
macam orang tak cukup makan. Cepatlah sikit...,” gesa Puan Zainon apabila dia
mendapati Zul Hafiz jauh tertinggal di belakangnya.
Penggera kereta dimatikan oleh Zul Hafiz. Pantas Puan
Zainon buka pintu kereta dan masuk ke dalamnya tanpa menunggu anaknya. Tiba di
hadapan kedai jahit milik keluarga Siti Naufal, Zul Hafiz hanya menunggu di
dalam kereta sahaja.
“Kamu tak nak masuk sekali ke Zul?” tebak Puan Zainon.
“Tak payahlah mak. Zul tunggu dalam kereta saja.”
“Lama kamu kena tunggu ni. Tengok tu, ramai orang dalam
kedai Kak Tijah tu.” Telunjuk Puan Zainon lurus menunding ke arah kedai jahit
milik sahabatnya.
“Tak naklah mak. Segan. Perempuan saja isinya dalam kedai
tu. Zul tunggu sini sajalah.”
“Suka hati kamulah.” Puan Zainon lalu melangkah ke kedai
jahit.
Selepas kelibat ibunya hilang ke dalam kedai, cermin
tingkap kereta dinaikkan. Butang pendingin udara ditekan. Kemudian jarinya
beralih pula kepada radio. Punat ‘ON’
disentuh. Seketika kemudian suara DJ ERA mula kedengaran dari corong pembesar
suara. Kerusi dan badan direbahkan serentak. Kelopak mata kemudiannya dikatup
rapat. Baru saja ingin menikmati alunan lagu yang diputarkan, tiba-tiba tingkap
keretanya diketuk bertalu-talu. Dia kalih memandang.
“Naufal! Apalah hendaknya budak ni?” cetus Zul Hafiz
kurang senang. Kerusi dilaraskan semula dan tingkap kereta diturunkan sedikit.
“Abang Zul tak nak masuk dulu ke?” pelawa Siti Naufal
dengan suara yang sengaja dimanjakan sebaik sahaja tingkap kereta bergerak ke
bawah.
“Tak apalah. Abang tunggu dalam kereta saja.” Zul Hafiz tersenyum
tawar.
“Alahhh... Masuklah kedai Naufal dulu... Dekat dalam
Naufal ada buat air. Kuih pun ada. Boleh abang minum.” Semakin manis Siti
Naufal mengukir senyuman. Zul Hafiz mula tidak keruan. Nafas rasa sesak
tiba-tiba.
“Eh! Abang baru teringatlah. Abang kena jumpa Abang
Brahim sekejap,” dalih Zul Hafiz. Lebih baik dia pergi sebelum Siti Naufal mula
mendesaknya untuk singgah.
“Tak apalah Naufal. Lain kali saja ya. Abang pergi dulu.
Tolong pesan dengan mak abang, suruh dia tunggu sini bila dah selesai nanti.”
Segera injak cekam dipijak. Gear satu dimasukkan. Tekan padel minyak dan terus
berlalu. Tidak sempat Siti Naufal hendak berkata apa. Hanya terbatuk-batuk
kecil apabila terhidu asap dan habuk yang berkepul-kepul ditinggalkan oleh
kereta Zul Hafiz.
“Ada hal nak jumpa Pak Cik Brahim konon... Cakap sajalah
nak jumpa Dhia. Eee...
menyampahnya... Sikit-sikit Dhia. Asyik-asyik Dhia. Apa! Dia ingat aku ni
tunggul kayu ke? Aku puaslah buat baik, dia layan pun tidak. Hish! Sakit betul hati aku. Yang Abang
Zul ni bengap sangat kenapa? Dia tak tahu ke Dhia tu tak sukakan dia? Cubalah
mengurat aku ni. Siang-siang aku dah terima. Tak payah nak bersusah payah. Orang
dah offer, jual mahal pulak!” bentak Siti Naufal sendirian.
Terjuih-juih bibirnya mengomel. Dia kembali semula ke kedainya bersama perasaan
sebal berbuku di dada.
“Tak apa Naufal... Sabar... sabar... Masa kau akan tiba jugak. Jangan berhenti usha Abang Zul tu. Satu hari nanti bila
Dhia reject dia, baru dia tahu. Masa
tu, confirm Abang Zul datang cari aku.
Aku ni pun tak kurang cantiknya,” bisik Siti Naufal memujuk diri sendiri.
******
Selesai sesi temu duga, Dhia melangkah keluar dari dewan
serba guna itu. Dia melihat Zul Hafiz sudah berada di perkarangan dewan. Lelaki
itu berpeluk tubuh sambil menyandar pada kereta seraya memandang kepadanya.
Hendak berpatah masuk semula ke dalam dewan sudah terlambat. Zul Hafiz datang
menghampirinya.
“Dhia dah habis temu duga?”
“Dah.”
“Ayah masih dekat dalam?”
“Ayah kena tunggu sampai habis.”
“Dhia nak balik ke?”
Kepala mengangguk lemah.
“Jalan kaki?”
Angguk lagi.
“Abang hantarkan.” Terus saja lengan Dhia ditarik menuju
ke keretanya. Tidak sempat Dhia hendak membantah. Mata melilau ke sekeliling.
Bimbang ada yang melihat perbuatan Zul Hafiz ini. Tiba di rumah, Dhia tergamam
ketika melihat Zul Hafiz turun dari keretanya. Tak sangka pula Zul Hafiz hendak
singgah di rumahnya.
“Abang nak jumpa Dhia sekejap,” beritahu Zul Hafiz ketika
membuka pintu untuk Dhia. Tanpa menunggu balasan dari gadis itu, dia terus
menuju ke beranda rumah dan duduk di ruang rehat. Tidak berkelip mata Dhia
melihat lelaki itu. Pelik benar sikapnya.
“Boleh Dhia duduk sini sekejap?” Tangan Zul Hafiz
menghala ke salah sebuah kerusi rotan saat gadis itu melalui beranda.
Dengan langkah yang terhenti-henti Dhia hampiri Zul Hafiz
dan duduk di situ. Terasa canggung apabila Zul Hafiz tancap merenung wajahnya.
Anak mata dialih melihat ke laman rumah. Cuba lari dari renungan tajam Zul
Hafiz. Tanpa sedar dia mengeluh perlahan.
“Abang mintak maaf kalau Dhia rasa tak selesa dengan
tindakan abang tadi,” lirih Zul Hafiz berkata.
“Abang ada benda nak cakap ke?” soal Dhia mendatar.
Kata-kata Zul Hafiz tidak diendahkan walaupun tika ini hatinya hangat membara.
Kalaulah ada yang terlihat perbuatan Zul Hafiz tadi, tentu bertebaran gosip
tentang mereka serata kampung.
“Abang tak tahu nak cakap macam mana,” suara Zul Hafiz
setelah agak lama membisu.
“Cakaplah. Apa dia?” Wajah lelaki itu dijeling sekilas. Lain
benar riaknya. Dalam hati mula berdoa. Janganlah Zul Hafiz buka cerita soal
hati dan perasaan. Mahu mati tergolek dia dekat sini. Zul Hafiz garu kepala.
Kemudian diusap-usap pula mukanya. Jelas dia sangat tidak keruan. Hati Dhia
yang tidak berapa sedap bertambah rimas melihat keadaan Zul Hafiz begitu.
“Abang nak cakap apa sebenarnya ni?”
Zul Hafiz masih lagi seperti tadi. Gelisah! Puas dia
berfikir bagaimana hendak memulakan bicaranya.
“Tak boleh ke Dhia tangguhkan cadangan Dhia nak bekerja
tu?” soal Zul Hafiz tanpa dapat ditahan lagi.
“Hah?” Dhia tersentak. Kenapa dengan lelaki ini? Apa hak Zul
Hafiz nak halang dia? Dia bukan isteri Zul Hafiz. Hati mula panas.
“Maafkan abang kalau soalan abang ni tak kena caranya.” Sepertinya
Zul Hafiz dapat merasa apa yang terdetik di dalam kepala Dhia ketika ini. “Abang
bukannya nak halang Dhia pergi, cuma abang risaukan keadaan Dhia. Dhia kan baru
sembuh. Biarlah Dhia betul-betul sihat dulu. Lepas tu barulah Dhia bekerja.”
Hei! Yang sibuk-sibuk risaukan aku kenapa? Badan aku, aku
tahulah, aku ni sakit ke, sihat ke. Yang kau memandai-mandai nak mengatur hidup
aku ni kenapa? tempelak hati Dhia.
“Abang jauh sekali nak melarang Dhia. Abang tahu, hidup
Dhia, masa depan Dhia adalah hak Dhia untuk tentukannya. Bagaimana Dhia nak mengaturkannya
pun terpulang kepada Dhia,” luah Zul Hafiz lagi. Pertanyaan dalam otak Dhia bagai
dapat dibaca dan dijawab oleh Zul Hafiz.
“Abang cuma ambil berat tentang Dhia dan keluarga Dhia.
Niat abang ikhlas, Dhia. Abang tahu mak dan ayah Dhia berat hati nak lepaskan Dhia.
Mereka tak mahu kejadian dulu berlaku lagi. Abang tahu mereka risau. Mereka
takut. Kesian mak ayah Dhia. Kalau kejadian tu berulang, abang tak tahu macam
mana mak dan ayah Dhia nak hadapinya semula,” tutur Zul Hafiz berjela.
Niat ikhlas konon. Kesiankan mak ayah aku ke, atau kau
tak mahu aku pergi jauh tinggalkan kau? Tolonglah! Mak ayah aku pun bagi aku
pergi. Yang kau beriya-iya halang aku ni kenapa? Apa yang berlaku pada aku lepas
ini, itu semua kerja Allah SWT. Tak payahlah kau nak susah hati, bentak hati
Dhia lagi.
“Abang tahu, hidup kita ini dah ditentukan oleh Allah SWT.
Apa yang sudah berlaku dan bakal terjadi semuanya dah diatur olehNya. Walaupun
kita cuba mengelak, kalau kehendak Allah SWT inginkan ia berlaku, tetap akan
berlaku jugak.” Tutur Zul Hafiz
terhenti seketika. Otaknya ligat cuba menyusun ayat-ayat yang boleh
meninggalkan kesan di hati Dhia.
Abang Zul ni ada deria keenam ke apa? Boleh tahu apa yang
ada dalam kepala aku. Ke ada tertulis dekat muka aku? Atau ada CCTV dalam
kepala aku? Dhia menunduk merenung lantai.
“Abang risaukan Dhia. Macam tu jugak dengan mak dan ayah Dhia tapi, kalau Dhia dah putuskan nak jugak bekerja, tak mengapalah. Abang ni
bukannya sesiapa bagi Dhia nak halang Dhia. Cuma abang harap jagalah diri Dhia
baik-baik.” Jujur Zul Hafiz berkata. Mata masih belum berkalih dari memandang
Dhia. Dia benar-benar berharap agar setiap kata-katanya tadi, berjaya mengubah
niat Dhia. Sudah berbulan-bulan dia berusaha merapatkan jurang yang ada di antara
mereka. Bermacam-macam yang dilakukan demi menambat hati Dhia. Walaupun dia
tahu aras penerimaan Dhia terhadap dirinya masih seperti dulu, namun dia tidak berputus
asa. Tidak sanggup rasanya ingin berpisah jauh semula, dan mensia-siakan segala
usahanya selama ini. Kalau boleh diluahkan apa yang terbuku di dadanya ini,
sudah tentu lain skrip yang terkeluar dari mulutnya sebentar tadi. Entah kenapa,
dia tak mampu. Dhia, abang sayangkan Dhia. Abang cintakan Dhia. Abang tak
sanggup biarkan Dhia pergi jauh dari sisi abang. Abang tak mahu berpisah dengan
Dhia, tetapi sayang, baris kata-kata ini hanya bergema di hatinya.
Setelah sekian lama membiarkan Zul Hafiz berkata-kata,
kini tiba pula giliran Dhia membalasnya. Dia tarik nafas dalam-dalam dan
dihembus perlahan. Lalu kepala dipanggung memandang kepada Zul Hafiz. Sumpah!
Lelaki di hadapannya ini memang cukup sempurna. Badan tinggi, tubuh sasa dan
tegap, tangannya kelihatan tidak terlalu berurat, kulit cerah bersih, alis
kening tebal, matanya bundar bersinar, hidung mancung, bibirnya menawan dan
rautnya pula tampan. Memang persis Norman Hakim. Tidak hairan Zul Hafiz menjadi
kegilaan semua anak dara di kampung ini. Namun itu semua tak mampu menyentuh dan
menggetarkan hati perempuannya.
Perlahan Dhia bersuara. “Dhia berterima kasih kepada
abang, kerana abang sudi ambil berat tentang Dhia dan keluarga Dhia. Dhia hargainya.
Apa yang Dhia buat ni, demi masa depan keluarga Dhia jugak. Keputusan Dhia ni, semuanya semata-mata kerana keluarga
Dhia. Tentang kesihatan Dhia, abang janganlah risau. Alhamdulillah..., Dhia dah
sihat. Mak dan ayah pun izinkan Dhia pergi. Insya-Allah, Dhia akan jaga diri
Dhia baik-baik. Kalau takdir Allah sudah tertulis kemalangan dulu tu berulang lagi,
ataupun apa saja jenis musibah menimpa Dhia, itu sudah kehendak Dia. Cuma Dhia
berdoa semoga Allah SWT sentiasa melindungi Dhia,” bicara gadis itu seikhlas
mungkin. Semoga Zul Hafiz mengerti dan faham. Keputusannya muktamad. Tak perlu
dipujuk rayu lagi.
“Kalau begitu kata Dhia, abang doakan semoga Dhia berjaya,”
bungkam Zul Hafiz dalam nada kecewa. Dia sudah kehabisan kata-kata. Nampaknya
Dhia memang nekad ingin pergi. Dan petang itu, suasana antara mereka yang
sememangnya sejuk beku dari dahulu berlalu dengan begitu dingin sekali.
No comments:
Post a Comment