Total Pageviews

Tuesday, May 5, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - 2



Bab 2
Jam hampir menunjukkan pukul dua pagi. Jamuan perpisahan baru saja selesai. Penghuni rumah itu juga sudah masuk ke kamar untuk beradu. Yang tinggal hanya Dhia seorang saja mengemas ruang tamu. Teman-temannya ingin membantu, tetapi gadis itu berkeras mengarah mereka masuk berehat memandangkan masing-masing akan menempuh perjalanan yang jauh esok hari. Sedang leka mengemas, Dhia terasa ada sesuatu menyentuh di bahunya.
“Oi mak kau rimau!” Jantung rasa hendak luruh. Semangat terbang melayang. Pantas Dhia menoleh. Kelihatan Zaira sedang menekup mulut menahan tawanya.
“Kau ni Zaira! Nak aku mati kena heart attack ke apa?” Sedikit tinggi suara Dhia menempelak. Bukannya dia marah, cuma mahu menyembunyikan perasaan takutnya tadi.
“Ampun, ampun.” Zaira meniru lagak menjunjung sembah berselang ketawa. Kata-katanya disambung selepas tawanya reda. “Kau ni Dhia, tak habis-habis mengata mak aku rimau. Aku ni bukan keturunan harimau jadian tau.”
“Siapa suruh usik aku?” Mata dibuntangkan. “Geram betul dengan minah gebu ni. Aku gigit nanti baru tau!”
Zaira tersenyum. “Penakut jugak kau ni ya? Ingatkan berani sangat.”
“Aku bukan takutlah! Cuma terperanjat saja,” sanggah Dhia. “Buat apa kau turun ni? Pergilah tidur. Besok kan nak jalan jauh?”
“Macam mana nak tidur kalau asyik teringat kau tinggal sorang dekat bawah ni? Meh aku tolong.” Zaira merasa kasihan pula biarkan Dhia mengemas sendirian.
Dhia senyum. Penyapu dan pengaut sampah dihulurkan kepada Zaira. “Sayang jugak kau dekat aku ya?”
“Sayang...,” sambut Zaira panjang. Badan sekeping Dhia dipeluk sekejap sebelum menyambut penyapu dan pengaut sampah yang diunjukkan. Mereka sama-sama tersenyum dan mula mengemas selepas itu. Satu jam kemudian ruang tamu kembali bersih seperti sedia kala. Mereka labuhkan punggung pada sofa melepaskan lelah.
“Dhia, kalau aku tanya kau marah tak?” suara Zaira memecah sunyi malam.
“Tanya dulu. Lepas tu aku fikir nak marah ke tidak,” usik Dhia.  
“Siapa mamat handsome yang hantar kau balik petang tadi?”
Dhia senyap seketika. Petang tadi puas dia mengelak dari menjawab soalan teman-temannya. Bila mereka bertanya, cepat-cepat dia buka cerita lain. Buat-buat tak dengar dan menyibukkan diri mengemas saki-baki barangnya. Bila melihat dia bersikap acuh tak acuh, mereka tidak bertanya lagi. Dan sekarang, sekali lagi soalan siapakah Zul Hafiz itu diajukan. Sebenarnya, mulut terasa berat untuk bercerita tentang Zul Hafiz kepada sesiapa. Bila hati tak berkenan, nak sebut nama pun tak suka. Sejak mula menyedari dan mengerti Zul Hafiz Zahin ada menyimpan perasaan kepadanya, nafas rasa sesak setiap kali lelaki itu dikaitkan dengannya. Dan perasaan kurang enak itu hadir sendiri tanpa dipaksa.
“Dia tu adik angkat mak ayah aku,” jawab Dhia padat dan ringkas tetapi jawapan itu tidak dapat memuaskan hati Zaira. Perasaan ingin tahunya memuncak tinggi.
“Yalah tu, adik angkat mak ayah kau? Kita orang dulu selalu pergi rumah kau tapi tak pernah nampak dia pun? Sejak kita tinggal sini, tak pernah pula aku nampak dia datang jumpa kau.” Zaira tidak percaya.
Dhia senyum kelat. Zaira tidak tahu bagaimana susah dan payahnya dia untuk mengelakkan diri dari Zul Hafiz. Kalaulah dia melayan, memang keraplah Zul Hafiz bertandang ke rumah ini.
“Siapa nama dia?” soal Zaira lagi. Dhia dan lelaki memang tak boleh sebati. Bila wujud lelaki kacak seperti siang tadi dalam hidup temannya ini, perasaan ingin tahu itu menjadi-jadi.
“Ya, betul adik angkat mak ayah aku. Mak ayah aku kan aktif persatuan belia. Mamat tu salah seorang dari budak-budak belia yang jadi adik angkat mak ayah akulah,” terang Dhia tidak berselindung.
Hui yo! Handsome abang angkat kau. Boleh masuk dalam senarai calon-calon suami. Cepatlah siapa nama dia?” Galak mata Zaira menyoal lagi.
“Calon suami tengkorak kau! Adik angkat mak ayah akulah. Bukan abang angkat aku.”
“Samalah tu. Adik angkat mak ayah kau, abang angkat kaulah kan?” Zaira bertambah teruja.
“Kalau dah adik angkat mak ayah aku, maknanya pakcik angkat akulah!” Bahu Zaira ditujah dengan jari telunjuk. Apalah bebal sangat kawan dia ni!
Zaira berfikir sejenak.
“Eh yalah!” Bekas tujahan jari telunjuk Dhia diusap seraya bibir tersenyum sumbing. “Tapi handsome sangatlah nak jadi pakcik kau. Tak layak... Tak sampai hati nak panggil pakcik kan? Cepatlah, siapa nama dia?”
Entah kali ke berapa Zaira bertanyakan soalan itu. Sudahnya Dhia mengalah juga.
“Zul Hafiz Zahin Bin Zakaria.” Dalam nada senafas tanpa intonasi Dhia menyebut nama itu.
Mang ai! Sedapnya nama. Sesedap rupa orangnya.”
Dhia menyeringai sinis memandang Zaira apabila mendengar pujian itu. Agak-agaklah kalau nak puji pun. Apa boleh makan ke? Sedap?! “Engkau ni, pantang nampak mamat handsome.”
“Yalah Dhia. Betul apa, mamat tu... Siapa nama dia tadi? Zul Hafiz Zahin? Handsome gila aku cakap kau... Kalau kau tak nak, kau rekomenlah dekat aku. Dia tu, lebih dari layak jadi calon suami aku tau.” Makin giat Zaira mengusik. Muka Dhia berubah kelat.
“Malas aku nak layan kau ni. Kalau bab mengarut, bagilah dekat kau. Tukang karut wayang kulit pun tak mengarut macam kau ni.” Dhia terus mengangkat punggungnya bangun dari sofa. Zaira ni lagi dilayan, nanti lagi melalut.
“Aku nak masuk tidur. Kalau kau nak berangankan Abang Zul jadi suami kau, duduklah situ sampai pagi.” Dhia bersuara sambil melangkah ke arah tangga.
“Alamak! Dah panggil ‘Abang Zul’ pulak. Tadi cakap ‘pakcik’? Panggil sajalah ‘Pak Cik Zul’. Ada orang jealous nampaknya. Jealous ke Dhia...?” usik Zaira lagi sambil membuntuti langkah Dhia. Perkataan tang ‘Abang Zul’ dan ‘Pak Cik Zul’ sengaja ditekan kuat cara sebutannya.
Jealous? Tak kuasa!” Jeling Dhia marah. Merapu saja dari tadi. Tak habis-habis nak menyakat.
Hahaha...,” tawa Zaira. Suka dapat mengusik sahabatnya ini. Bahu Dhia diraih lalu beriringan menaiki tangga menuju ke kamar tidur mereka.
Bagi Zaira, tiada siapa yang lebih mengenali hati dan perasaan Dhia selain dia. Dia tahu betapa utuh, tebal dan kuatnya tembok hati sahabatnya ini. Belum pernah naluri gadis Dhia ditembusi oleh perasaan cinta dari seorang lelaki. Selama lebih tiga tahun di sini, bukan tidak ada penuntut lelaki mendekati Dhia. Ramai yang mencuba nasib, termasuklah Firdaus tetapi seorang pun tidak berjaya. Mereka semua mengalah bila Dhia terus bersikap dingin. Firdaus tu saja yang kebal. Dhia biarkan sapaan cinta mereka berlalu begitu saja tanpa meninggalkan apa-apa kesan kepadanya. Memang hatinya keras untuk jatuh cinta. Sebab itu dia gelar Dhia ‘hati batu’. Siapalah agaknya yang mampu memecahkan tembok batu di hati Dhia ni? Hmm entahlah...
Keesokannya, awal pagi lagi penghuni rumah itu sudah bersiap. Dhia bersama rakan-rakan serumahnya, Zaira, Khairun Nisa, Yang Bainun, Fairus dan Janet duduk menunggu di ruang tamu. Suasana sungguh senyap dan sunyi. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Bersedih kerana bakal melalui detik perpisahan sebentar lagi.
Tepat pukul sepuluh pagi, Puan Rahimah, pemilik rumah sewa ini tiba untuk mengambil semula kunci rumah dari mereka. Zaira menyambutnya di muka pintu.
“Eh! Semua dah siap ke?” tanya Puan Rahimah sebaik sahaja terlihat beg-beg sudah tersusun di tepi pintu. Dia bergerak menghampiri gadis-gadis itu di ruang tamu.
“Ya kak. Dah tak sabar nak balik ni. Jasad saja ada dekat sini. Hati dah sampai kampung dah,” balas Khairun Nisa sekadar mahu menceriakan suasana pilu yang menyelubungi mereka.
“Jom akak hantar kau orang ke stesen bas. Nanti terlambat, ada juga yang meraung tak lepas balik.” Puan Rahimah mengukir senyum pada wajahnya.
“Baik kak.” Jawapan dari anak gadis-anak gadis itu bertindanan. Mereka kemudiannya bangkit meninggalkan ruang tamu.
“Eh! Muat ke kak? Beg kita orang ni besar-besar.” Terjuih muncung Zaira ke arah beg-beg mereka di tepi pintu.
“Apa tak muatnya pulak? Akak memang dah niat dari rumah tadi nak hantar kau orang semua. Tu pasal akak bawak kereta  tu.” Jari Puan Rahimah menunding ke arah kereta Toyota Alphard berwarna putih gading yang elok terparkir di tepi jalan di hadapan rumah. Sekoyong-koyong itu juga sebuah kereta Proton Perdana berwarna hitam berhenti di situ.
“Eh! Tu kan kereta mamat handsome yang hantar kau balik petang semalam Dhia?” tanya Yang Bainun. Matanya mencari Dhia Melati. Rupanya gadis itu sudah pun menyorok di belakang badan gempal Zaira.
“Yalah Dhia, Abang Zul tu. Rasanya dia datang jemput kau.” Zaira mengiyakan.
“Alamak! Macam mana ni?” rungut Dhia perlahan.
“Macam mana apa pulak? Pergi sajalah. Orang dah datang jemput. Tak payahlah kau susah-susah naik bas,” balas Zaira agak kuat. Butir bicara mereka sampai ke pendengaran Puan Rahimah.
“Pergilah Dhia. Orang dah datang jemput. Boleh tahan. Siapa tu?” soal Puan Rahimah ingin tahu.
Boyfriend dialah, kak. Siapa lagi?” balas Khairun Nisa sambil ketawa.
“Hei! Tak adalah. Kau nikan Nisa, memandai saja buat fitnah.” Dhia mencerlung tajam wajah Khairun Nisa. Kurang senang dengan penyataan yang diucapkan oleh rakannya tadi.
“Kawan sajalah kak..., bukan boyfriend Dhia. Dengarlah temberang si Nisa ni.” Dhia membela diri. Sengal betul minah lawak ni. Suka hati dia saja, rungut hatinya.
“Tak salah kalau betul pun, Dhia. Akak tahu dia baik orangnya. Muka bersih saja. Handsome! Sedap mata memandang.” Puan Rahimah memuji. Mata tidak lepas melihat pemuda yang sedang bersandar pada kereta Proton Perdana itu.
Hendak tersembul biji mata Dhia mendengar pujian spontan Puan Rahimah. Semua orang berkenan dengan Zul Hafiz, tetapi kenapa dia tidak? Mungkin betul seperti yang dikatakan oleh Zaira. Hatinya batu.
“Dah cepat. Nanti lambat,” gesa Puan Rahimah.
Segera mereka heret beg keluar dari rumah. Kemudian pintu dikunci rapi oleh Zaira sebelum anak kuncinya diserahkan kepada Puan Rahimah. Setelah itu mereka menuju ke kereta Puan Rahimah. Setelah selesai menyimpan beg, maka bermulalah sesi bersalam-salaman, berpeluk-pelukan dan berciuman pipi di antara mereka. Masing-masing mengucapkan kata-kata selamat dan doa agar mereka berjaya dalam hidup dan dapat berjumpa lagi. Muka dan mata mereka merah menahan hiba. Saat di hujung perpisahan itu terselit juga hilai tawa apabila Khairun Nisa berlawak jenaka.
“Jangan lupa hantar kad jemputan dekat kita orang bila kau nak naik pelamin dengan mamat tu Dhia,” ujar Khairun Nisa. Teman-teman yang lain mengiyakan sambil ketawa.
Zul Hafiz yang terdengar perbualan gadis-gadis itu tersenyum senang. Untung-untung masin mulut budak-budak ni, sisip doanya.
Dhia hanya senyum. Malas hendak melayan lagi gurauan itu. Biarlah mereka mengusiknya sepuas hati. Kalau dilayan, jawabnya sampai bila pun tak sudah. Nanti masing-masing terlepas bas, baru padankan dengan muka. Selepas teman-temannya masuk ke dalam perut kenderaan MPV Puan Rahimah dan mula bergerak meninggalkannya, Dhia melangkah longlai menghampiri Zul Hafiz. Lelaki itu yang masih bersandar pada kereta segera berdiri tegak dan mendapatkan Dhia. Beg yang digalas dan dijinjing oleh Dhia pantas diambil. Dhia biarkan saja. Wajah Zul Hafiz dipandang tak beriak.
“Kenapa datang jemput Dhia? Semalamkan dah cakap, Dhia boleh balik naik bas sendiri,” ucap Dhia mendatar. Pelik. Rasanya Zul Hafiz tidak tahu dia hendak balik kampung pukul berapa. Alih-alih muncul pula. Macam tahu-tahu dia nak balik sebelah pagi. Zul Hafiz perasan ada nada tidak puas hati dalam kata-kata Dhia itu tetapi dia abaikan.
“Abang sendiri yang nak datang jemput. Lagipun mak ayah izinkan abang jemput Dhia balik.” Zul Hafiz tahu gadis ini seorang anak yang baik dan patuh. Bila disebut saja mak dan ayahnya, Dhia pasti tak membantah.
“Suka hatilah. Jom! Nanti lambat sampai rumah.” Luahan kata-kata itu diiringi dengusan perlahan tanda protes. Dhia terus membuka pintu kereta dan melangkah masuk. Melihat riak wajah Dhia mencuka, segera Zul Hafiz menyimpan beg di dalam but dan terus ke tempat pemandu.
“Kita minum dulu ya Dhia? Abang laparlah. Belum minum lagi ni,” pelawa Zul Hafiz sebaik sahaja dia memasuki kereta. Sikap Dhia sebentar tadi terus dilupakan. Ini saja peluang untuk dia berdua-duaan bersama kekasih dalam diamnya ini.
“Tak mahulah. Dhia kenyang. Dah sarapan dengan kawan-kawan sebelum keluar rumah tadi.” Dhia menolak. Bukan tidak kasihan melihat wajah Zul Hafiz bergaris seribu menahan bunyi keriut perutnya yang dapat dia dengar. Cuma dia rasa kurang senang bersama Zul Hafiz sekarang ini.
“Sekejap pun jadilah Dhia. Abang lapar betul ni. Dekat rumah tadi abang sempat minum teh secawan saja,” pujuk Zul Hafiz lagi.
Ada aku kisah? Peduli apa aku kau makan ke tak! bebel hati Dhia. Dia diam sejenak. Otak berfikir. Dia bukannya tak berhati perut sangat. “Okeylah. Sekejap saja, tapi Dhia tak nak makan.”
“Kalau tak nak makan, Dhia minum saja. Okey?”
“Yalah, yalah. Minum saja,” jawab Dhia malas. Dia hairan dengan Zul Hafiz. Lelaki di sebelahnya ini, hati kering ke ataupun tak ada hati langsung? Sedikit pun tak terasa bila dia buat sikap layan tak layan ini. Menjawab dan bercakap dengan Zul Hafiz pun nak tak nak saja. Takkan perasaan lelaki ini tidak tercuit sikit pun?
“Kita singgah kedai makcik dekat simpang luar jalan besar tu ya,” cadang Zul Hafiz lalu menggerakkan kereta Perdananya. Dhia diam tidak membalas. Mengiyakan pun tidak. Menidakkan pun tidak.
Selepas itu, sepanjang waktu mereka di kedai makan dan juga dalam perjalanan pulang ke kampung, mereka senyap tidak berbunyi. Sunyi dan sepi. Zul Hafiz fokus kepada pemanduannya. Dhia memandang keluar kereta. Tiada sepatah bicara menyulami perjalanan mereka. Zul Hafiz biarkan saja Dhia melayan perasaannya sendiri. Mata mengerling seketika kepada gadis itu.
Satu hari nanti abang pasti, Dhia akan mengerti juga perasan abang ni, bisik hati kecil Zul Hafiz Zahin.
Setengah jam kemudian, kereta Perdana Zul Hafiz memasuki perkarangan rumah ayah dan ibu Dhia. Ahmad Mukhriz dan Ahmad Mirzad terlompat-lompat kegembiraan kala melihat kereta Zul Hafiz.
Yahoo! Kak Dhia balik! Kak Dhia balik!” jerit Mirzad adik Dhia Melati yang bongsu.
“Mak! Kak Dhia dah sampai!” laung Mukhriz. Kedua telapak tangan diletakkan ke mulut agar jeritannya bergema hingga ke ceruk dapur. Puan Intan dan Encik Ibrahim ketika itu berbual kosong di meja makan di ruang dapur segera memanjangkan leher ke depan sebaik sahaja mendengar laungan itu.
“Dhia dah sampai, bang. Panjang umurnya. Baru disebut-sebut dah tiba. Jom kita ke depan,” ajak Puan Intan seraya meninggalkan kerusi yang diduduki. Encik Ibrahim turut bingkas bangun dan mengekori langkah sang isteri.
Di halaman rumah.
“Ijad, Riz tolong keluarkan beg Kak Dhia dari dalam but,” pinta Zul Hafiz. Dua beradik ini sudah dianggap seperti keluarganya juga. Kemudian segera Zul Hafiz berlari ke sebelah pintu Dhia pula. Gadis itu masih lagi termenung jauh. Entah apalah yang difikirkan hingga tidak sedar mereka sudah sampai. Dhia terpinga-pinga ketika Zul Hafiz membuka pintu untuknya. Pantas kaki menapak keluar sambil melorek senyuman kelat tanda berterima kasih. Nampak sangat tidak ikhlas.
“Apa yang kau bawak balik ni kak? Beratlah beg kau ni. Semalam satu beg besar abang Zul hantar. Hari ni pun boleh tahan jugak,” suara Mukhriz bertanya. Dua buah beg milik kakaknya sudah dikeluarkan dari but kereta.
“Harta karun,” jawap Dhia Melati dua patah.
“Wah! Kayanya kau kak? Ada harta karun...,” celah Mirzad. Percaya dengan omongan kosong itu.
“Harta karun tu bukulah sengal!” marah Mukhriz kepada adiknya. Lambat sangat pikup.
“Ooo... Katalah buku, kan senang.” Mirzad mengangguk faham. Dhia tersenyum melihat keletah kedua-dua adiknya.
“Bukan ke buku tu ilmu? Dan ilmu tu lebih berharga, waima dari harta karun sekali pun.” Dhia berfalsafah. Berharap Mirzad yang baru hendak masuk alam remaja itu faham akan maknanya.
“Mak mana Riz?” Dhia menambah kata-katanya dengan pertanyaan. Pandangan ditalakan kepada Mukriz.
“Tu... ha...” Mucung Mukriz mengarah ke pintu rumah.
Dhia terus menghampiri ibu dan bapanya yang menanti di beranda. Zul Hafiz langsung tidak diambil kisah. Ditinggalkan saja di belakang.
“Assalamualaikum.”
Encik Ibrahim dan Puan Intan menyambut ucap sejahtera itu. Lalu Dhia dakap erat ibunya. Melepas rindu yang teramat sangat.
“Rindu mak,” luah Dhia sambil tunduk mencari tangan kanan Puan Intan. Tangan itu diraih lalu dicium dengan penuh hormat. Kemudian dia beralih pula kepada ayahnya.
“Ayah,” sapa Dhia lembut. Selepas bersalaman pipi ayahnya pula dicium dengan penuh rasa kasih.
“Itulah kamu! Belajar tak adalah jauh sangat. Kuala Pilah tu saja, tapi balik kampung empat lima bulan sekali,” suara tua Encik Ibrahim seakan merajuk.
“Ayah, Dhia bukannya tak nak balik selalu. Kan sibuk belajar. Ayah jugak yang pesan suruh Dhia belajar rajin-rajin. Jadi contoh pada adik-adik,” pujuk Dhia sambil tersenyum manis kepada bapanya itu.
“Sudahlah tu, bang. Tak payahlah nak buat drama swasta. Dhia dah balik pun kan?” ujar Puan Intan. Dhia tersenyum mendengar canda ibunya.
“Alah mak, bukan Dhia tak tahu. Mak nak cover line la tu. Takut dia yang cengeng,” usik Dhia pula. Puan Intan tersengih.
“Ajaklah si Zul tu masuk minum dulu bang. Lagi bagus ajak makan tengah hari sekali. Intan kan dah siap masak.” Anak mata Puan Intan terarah kepada Zul Hafiz di penjuru laman.
Dhia sudah tidak keruan. “Alahai, apasal mak ajak abang Zul singgah pulak ni?”  
“Jom masuk Dhia. Tukar baju. Lepas tu tolong mak siapkan meja. Boleh kita makan sama-sama.” Puan Intan memandang semula ke laman.
“Riz..., Ijad..., bawak beg kakak masuk dalam bilik,” arah Puan Intan kepada dua puteranya yang masih berdiri di sisi Zul Hafiz. Selepas itu dia menggamit pula Zul Hafiz tanda mempelawa jejaka itu singgah ke rumahnya. Kemudian Puan Intan paut lengan Dhia dan menarik anak gadisnya melangkah beriringan masuk ke dalam. Sambil itu mulutnya becok bertanya itu dan ini. Sesaat kemudian bayang dua beranak itu hilang ke dalam rumah.
Segera Mukhriz dan Mirzad menjinjing beg Dhia. Berkerut muka masing-masing menahan beban beg yang berkilo-kilo beratnya itu.
“Sini Ijad, biar abang yang angkatkan.” Beg di tangan Mirzad diambil. Simpati pula melihat badan sekeping Mirzad terhuyung-hayang berusaha mengangkat beg dengan kudratnya yang tak seberapa tu. Pandangan Zul Hafiz terarah kepada Mukriz pula. “Riz boleh tak?”
“Riz okey bang... Rizkan lelaki. Takkan berat macam ni pun, tak boleh angkat.”
“Riz! Ijad! Apa lagi tu? Cepatlah masuk. Ajak Abang Zul tu sekali,” laung Encik Ibrahim dari anjung.
“Jom bang. Ayah ajak singgah dulu tu.” Mukriz mengulangi pelawaan ayahnya.
“Yalah,” balas Zul Hafiz. Dihampiri Encik Ibrahim sambil menjinjing beg Dhia. Sebaik sahaja berada di hadapan Encik Ibrahim, tangannya dihulurkan. Sempat juga dia berangan agar lelaki hampir sebaya abahnya ini bakal menjadi bapa mertuanya satu hati nanti.
“Bang Brahim,” tegur Zul Hafiz perlahan. Mukhriz dan Mirzad yang mengekor di belakangnya tadi terus masuk ke dalam rumah.
“Mari masuk dulu Zul. Kak Intan jemput makan tengah hari,” pelawa Encik Ibrahim ramah seraya menyambut tangan lelaki muda itu.
“Tak apalah bang. Terima kasih. Saya kenyang lagi ni. Sebelum balik tadi, saya dah singgah makan dengan Dhia dekat pekan,” tolak Zul Hafiz penuh jujur.
Sejuk hati Encik Ibrahim melihat tingkah laku dan mendengar tutur kata Zul Hafiz yang beradap ini. Dia tidak putus asa. Zul Hafiz dipelawa sekali lagi. “Kalau kenyang sekali pun, singgahlah dulu. Kita minum saja.”
“Betul bang, saya kenyang lagi ni. Tak payahlah susah-susah. Terima kasih.” Pelawaan itu ditolak penuh hormat. Risau juga, takut Encik Ibrahim berkecil hati. “Lagipun saya nak hantar mak pergi ambik baju dekat kedai Kak Tijah. Ini pun dah terlambat, bang. Nanti bising mak dekat rumah tu.”
“Kalau macam tu, tak apalah. Pergilah balik cepat. Nanti lama mak kamu tunggu. Sampaikan salam abang pada mak dan ayah kamu ya, Zul.”
“Insya-Allah bang. Saya mintak diri dulu. Maaf bang, saya tak dapat singgah lama,” pohon Zul Hafiz lagi.
“Tak apa, abang tak kisah. Lain kali sajalah kita makan sama-sama.” Bahu anak muda itu ditepuk perlahan sebagai tanda dia tidak ambil hati pelawaannya ditolak.
“Saya hantar beg ni ke dalam dulu, bang.” Zul Hafiz menghala pandangnya kepada beg yang masih dijinjing.
“Tak apa Zul, biar saja dekat sini. Nanti abang suruh Riz angkat bawak masuk,” balas Encik Ibrahim. Tangannya mengusap pula belakang badan sasa milik lelaki yang telah berjaya memikat hati tuanya. Berkenan sungguh dia kepada Zul Hafiz Zahin. Besar hatinya, jika jejaka tampan lagi baik budi pekerti ini menjadi menantunya. Tentu terjamin masa depan anak perempuan tunggalnya dan juga cucu-cucunya yang bakal lahir nanti.
“Saya balik dulu, bang. Assalamualaikum,” mohon Zul Hafiz untuk beredar.
“Waalaikumussalam...,” sambut Encik Ibrahim pula.
Dengan sebaris senyuman Zul Hafiz meninggalkan Encik Ibrahim. Setelah memasuki keretanya, sebelum beredar, ditekan hon keretanya beberapa kali. Encik Ibrahim pula mengangkat tangan sebagai balasan. Ketika kereta teruna itu bergerak keluar dari perkarangan rumah, Encik Ibrahim mula memasang angan. Agak-agaknya ada tak jodoh Dhia dengan Zul? detak hatinya. Senyuman meleret di bibir bila terbayang Zul Hafiz menjadi menantunya.
Ketika Encik Ibrahim menghala ke dapur, Dhia baru sahaja keluar dari biliknya. Terbesit rasa syukur dalam hati gadis itu kala melihat tiada kelibat Zul Hafiz bersama orang tuanya.
“Abang Zul dah balik ke ayah?” Dhia berbasa-basi. Tercalit sedikit senyuman di bibirnya.
“Sudah,” sepatah Encik Ibrahim menjawab. Senyuman pada bibir anak daranya itu kelihatan lain di matanya. Hati curiga tetapi segera disanggah. Tidak mahu telahannya menjadi nyata. Apakah kelak angannya mahu bermenantukan Zul Hafiz musnah?
“Mari makan dengan ayah. Macam-macam mak kamu masak bila dengar kamu balik hari ni. Panggil sekali adik-adik kamu,” kata Encik Ibrahim kemudiannya.
Yes sir!” Dhia berdiri tegak lalu menghentak kaki kanan. Tangan diletak di atas kening memberi tabik hormat.
Tersenyum Encik Ibrahim melihatnya. Hai anak! Macam-macam peel, getus hati kecil Encik Ibrahim bahagia.
Selesai makan tengah hari, Dhia mengemas meja makan. Ayah dan adik-adiknya sudah ke masjid untuk solat zuhur berjemaah. Memang ayahnya mendidik adik-adiknya supaya rajin berjemaah di masjid tidak mengira waktu. Lebih-lebih lagi di hari cuti seperti hari ini. Selalu ayahnya mengingatkan mereka, setiap langkah yang diatur menuju ke masjid untuk solat berjemaah bersama saudara-saudara seislam yang lain, telah dijanjikan oleh Allah SWT dihapuskan segala dosa-dosa selagi tidak melakukan dosa-dosa besar.
Selepas mengelap meja, Dhia kemudian beralih ke sinki membantu ibunya mencuci pinggan mangkuk. Pinggan yang telah dicuci dilap dan kemudian disusun pada rak pinggan di tepi sinki. Dhia kerling sedikit wajah ibunya. “Mak tengah fikir apa ni?”
Puan Intan berhenti membasuh pinggan. Wajah anak gadisnya dipandang. Sedari tadi benaknya tersimpul soalan-soalan yang dirasakan amat penting untuk dirungkai oleh Dhia. Patutkah dia tanya soalan ini? Nalurinya berbisik. Kalau tak tanya tak dapat jawapan, Puan Intan berfikir lagi. Mesti ada sebab kenapa Dhia buat perangai macam tu. Alah, tanya sajalah! putus Puan Intan akhirnya. “Dhia, mak nak tanya sesuatu.”
“Tanyalah mak. Apa dia?” Tangan Dhia masih lincah menyusun pinggan mangkuk.
Emmm...” Puan Intan diam. Berat hati pula hendak bertanya.
Dhia alihkan semula anak mata melihat ibunya. Diusap perlahan bahu insan yang melahirkannya ini dengan penuh rasa kasih sayang. “Susah sangat ke benda yang mak nak tanya ni? Sampai macam tu sekali dahi mak berkerut.”
Puan Intan masih senyap.
“Apa dia ni mak? Tanya sajalah...” Intonasi suara diturunkan ke oktaf yang paling rendah. Dari air mukanya Dhia tahu, ada sesuatu yang mengganggu fikiran ibunya ini.
Puan Intan melepaskan keluhan berat. “Kenapa Dhia buat Abang Zul macam tu tadi?”
“Buat yang macam mana mak?” Soalan ibunya dibalas dengan soalan. Dia kurang jelas maksud pertanyaan ibunya.
“Mak tengok kamu buat endah tak endah saja dengan Abang Zul tu. Kenapa? Tak baik buat orang macam tu, Dhia.” Bagi Puan Intan, walaupun dia sedikit berusia tetapi pandangannya belum rabun dalam menilai tingkah laku anaknya ini.
“Eh! Mana ada mak? Dhia dengan Abang Zul okey saja. Cuma Dhia segan nak berbual atau nak bermesra dengan dia,” dalih Dhia.
“Mak tahu Dhia. Tak payah nak berdalih.”
“Tak adalah mak... Mak saja rasa macam tu.” Cepat Dhia mencantas kenyataan ibunya.
“Kalau mak ni salah, kenapa mak tak nampak Dhia cakap terima kasih pada Abang Zul tadi? Orang dah penat-penat jemput kamu balik, hantar sampai depan rumah lagi, kenapa tak reti nak cakap terima kasih? Itu budi bahasa namanya, Dhia. Lepas tu, muka muncung saja.”
Dhia garu belakang telinga. Kantoi sudah. Tentu kena ceramah kesedaran sekejap lagi. Terpaksalah tipu sunat. Kalau tidak, muak tadah telinga mendengar leteran ibunya. “Adalah mak... Dhia cakap terima kasih masa dalam kereta.”
“Cuba buat baik dengan Abang Zul tu, Dhia. Maniskan muka tu. Dapat pahala kalau kita senyum pada orang ni,” nasihat Puan Intan. “Mak perasan, selama ni kamu buat layan tak layan saja Abang Zul kamu tu. Apa orang cakap, bolayan?”
‘Abang Zul kamu’?! Bila masa pula Zul Hafiz jadi abang dia? Hati mula rasa semacam mendengar ayat yang baru terbit dari mulut ibunya tadi. Lain benar bunyi baris ayat ‘Abang Zul kamu’ yang digunakan oleh ibunya. Dalam benar maksudnya. Macam ada yang tersirat.
“Bila kamu ada di rumah ni, dia datang, air muka kamu terus berubah. Macam tak suka dia datang. Bila dia tanya, sepatah saja kamu jawab. Kadang-kadang mak tengok, kamu macam nak lari-lari dari dia. Nak mengelak jumpa dia.”
Dushh! Satu tumbukan tepat ke mukanya. Apa yang nyatakan oleh ibunya tepat belaka. Dhia garu tepi keningnya pula. Air liur ditelan terasa kesat apabila si ibu sudah boleh menelah apa yang dia rasa tentang Zul Hafiz.
“Dengar nasihat mak ni Dhia. Orang tua-tuakan dah pesan, orang berbudi kita berbahasa. Tak ada ruginya kalau kamu ubah sikap kamu tu,” kata-kata Puan Intan berhenti di situ seketika. Kerja mencucinya dan menyusun pinggan Dhia turut terhenti lama. Dia sebagai orang tua dan juga ibu kepada Dhia, wajib menyedarkan Dhia yang selama ini buta dalam menilai tingkah laku Zul Hafiz. Mungkin Dhia tidak perasan perubahan sikap Zul Hafiz itu, tetapi dia nampak. Dia yang terlebih dahulu makan garam, maka dia amat pasti apa yang terselindung di sebalik pandangan anak muda itu. Cara Zul Hafiz merenung anaknya adalah renungan seorang teruna yang menaruh kasih kepada si dara. Dia pasti, dan dia takkan silap. Dhia harus celik mata tentang itu. Alangkah bertuah anak gadisnya, antara ramai-ramai anak dara yang cantik-cantik dalam kampung ini, Dhia yang dipilih. Puan Intan mula memasang angan. Bangga rasanya kalau Zul Hafiz jadi menantunya. Siapa yang tak kenal anak Imam Zakaria tu. Baik, sopan santun, berbudi bahasa, hormat orang tua, rajin, cukup didikan agama, orang senang dan kacak pula. Baginya, Zul Hafiz memang calon menantu grade A.
Dhia Melati tancap memandang ibunya. Terbesit rasa kurang enak apabila melihat riak wajah si ibu. Nampak lain benar. Seperti ada sesuatu. Di satu sudut otaknya dia mula menelah, dan terasa telahan itu akan menjadi kenyataan. Apakah ibunya dapat merasa apa yang dia rasa? Ibunya tahu Zul Hafiz sebenarnya sukakan dia.
 “Dhia, mak ni dah tua. Banyak perkara yang mak nampak, tapi orang muda macam kamu ni tak nampak. Orang tua macam mak ni pandang dengan mata hati bukannya dengan mata kasar.” Puan Intan berkata semula dalam nada penuh pujukan. Dada Dhia terasa panas mendengar bait bicara ibunya ini. Janganlah ibunya meluahkan apa yang terlintas di fikirannya tadi.
“Mak rasa..., Abang Zul tu sukakan kamu Dhia.”
Dushh! Satu lagi tumbukan kena tepat di mukanya. Ini bukan tumbukan ala-ala angin sepoi-sepoi bahasa, tetapi ini pukulan knock-out. Dhia mengetap gigi selepas ungkapan kata Puan Intan itu berakhir. Nampaknya, emaknya pun sudah tahu apa yang tersirat di dalam hati Zul Hafiz.
“Mak boleh baca dari air muka dia. Cuma dia tak cakap saja. Agaknya dia segan dengan mak dan ayah ni.”
Dhia menundukkan kepala memandang hujung jari yang mencengkam kuat di bibir sinki. Telinga rasa tidak sanggup lagi hendak mendengar ayat-ayat seterusnya yang bakal tersungging dari mulut ibunya ini.
“Cubalah kamu buat baik dengan Abang Zul kamu tu, Dhia.” Puan Intan meminta sekali lagi. Kali ini nada suaranya lebih perlahan dan mendayu.
Ayat tu lagi, ‘Abang Zul kamu’. Tension! Tension! omel Dhia dalam hati. Takkan nak menjawab kata-kata ibunya itu. Nanti dikira anak derhaka.
“Mak tahu, kamu rasa macam tak bersedia lagi, tapi tak salah kalau kamu cuba. Terimalah dia perlahan-lahan. Mak tengok Abang Zul kamu tu tak ada cacat celanya. Sempurna serba-serbi. Bertuah kamu Dhia.” Bersungguh Puan Intan melobi Zul Hafiz di mata anaknya ini. Bukan senang nak jumpa calon menantu grade A. Dhia yang berdiam diri dibiarkan. Semoga segala yang dikatakan ini meresap masuk ke dalam otak anaknya.
“Mak cuma nak tengok kamu bahagia, Dhia. Abang Zul tu yang terbaik untuk kamu dan mak percaya kamu akan bahagia. Lagipun, keluarga Abang Zul kamu tu, bukan orang lain. Kita kenal mereka. Mak bapak, adik-beradik dia, semuanya baik-baik belaka. Paling penting kita tahu hati budi mereka. Boleh ya Dhia, kamu cuba? Kesian mak tengok Zul tu. Macam hidung tak mancung, pipi pulak yang tersorong-sorong.” Puan Intan menamatkan tuturnya dengan ayat menagih simpati. Minta-minta tersentuhlah naluri anak gadisnya ini.
“Yalah mak. Nanti Dhia fikirkan.” Baiklah dia mengalah. Kalau tidak, entah apa lagi maknya akan kata. Pujinya melambung-lambung. Kalau Zul Hafiz dengar setiap inci apa yang dikatakan oleh ibunya tadi, alamatnya tak sedar dirilah dek pujian.
Puan Intan tersenyum. Dia yakin, sedikit sebanyak kata-katanya itu berjaya menambat hati Dhia. Dia melepaskan nafas lega.
“Mak masuk solat zuhur dulu. Dhia fikir-fikirkanlah cakap mak ni sambil sambung basuh pinggan mangkuk ni, ya.” Puan Intan mencuci tangannya. Sebelum berlalu tangannya sempat menepuk perlahan bahu Dhia Melati. Gadis itu membalas dengan senyuman nipis. Tak tahu hendak berkata apa lagi.
“Mak tahu Dhia seorang anak yang baik dan mendengar kata,” puji Puan Intan. Moga terbuka hati Dhia untuk terima Zul Hafiz, besit doa Puan Intan dalam diam. Dhia perhati langkah ibunya dengan pandangan serba salah. Dalam kepala mula bertelingkah sendiri. Otak mula terasa tenat memikirkan cadangan ibunya tadi.
Dhia, itu bukan cadanganlah! Kalau mak dah guna ayat-ayat power macam tu, maknanya bukan cadangan tapi lebih kepada satu permintaan. Atau lebih tepat lagi satu perintah. Mampu ke kau terima perintah mak tu? Jangan tak dengar cakap mak tu, Dhia. Kata tadi tak nak jadi anak derhaka. Kenalah ikut cakap mak.
Aduh! Boleh kena migrain macam ni. Macam mana nak ikut cakap mak, kalau hati sendiri tak beria-ia. Masa mula-mula tahu perasaan Abang Zul dulu pun, aku dah rasa menyampah, meluat, benci, tak suka. Semuanya adalah! Tak boleh nak terima perasaan Abang Zul tu, sebab dalam hati, aku tak pernah sukakan dia. Jangan tanya kenapa kerana aku tak ada jawapannya.
Nak hidup berdua macam mana kalau keputusan yang dibuat tak sekata dengan apa yang ada dalam hati? Perasaan dua hati takkan selari jika tidak berpaksi pada titik yang sama. Titik yang bernama CINTA. Jatuh cinta pada dia atau nak cintakan dia? Tak mungkin! Itu pun jangan ditanya kenapa, sebab aku tak ada alasannya.
Cinta itu takkan lahir atas paksaan, atau kerana pujukan. Jauh sekali berlandaskan rasa kesian. Aku mahu cinta itu lahir sendiri. Tumbuh tanpa disedari. Cinta umpama matahari yang menerangi jiwa. Membara di hati. Menghangat dan memanaskan perasaan aku ni. Aku inginkan cinta yang mengalir dalam setiap urat nadiku. Cinta yang menjadi helaan nafas dan degup jantungku. Aku mahu cinta itu menjadi semangat dalam hidupku. Sebab itu aku abaikan semua lelaki yang hadir sebelum ini. Tak kiralah muka dia ala-ala Shah Rukh Khan ke. Ada iras-iras Norman Hakim ke, kerana aku bukannya memandang kepada paras rupa.
Firdaus? Tolak tepi! Perangai suka memaksa dia tu memang aku tak berkenan. Jangan kata hati aku nak bergetar bila melihat dia, meluat lagi ada! Abang Zul? Memang dia tak ada cacat cela. Aku tak nafikan dia seorang insan yang amat sempurna, tapi itu belum cukup buat aku gila nanar padanya. Abang Zul tak mampu buat aku jatuh cinta sampai mengigaukan dia. Aku bukannya harapkan seorang insan yang sempurna. Cukuplah jika lelaki itu mampu buat aku menyayangi dan mencintai dia selamanya. Dunia dan akhirat. Mungkin kedengaran aku ni terlalu memilih dan tak tahu bersyukur dengan apa yang ada di depan mata, tapi hati aku tak menginginkan dia.
Aku percaya, satu hari nanti cinta itu akan aku rasa bila Allah izinkan lelaki itu muncul depan aku. Hati aku bukan batu. Cinta aku satu dan ia bukan untuk Firdaus ataupun Abang Zul. Andainya cinta itu ada, akan aku pastikan ia berada pada yang hak. Itu janji aku! Maafkan Dhia mak. Dhia tak mampu tunaikan apa yang mak mintak.
Dhia mendesah perlahan. Kerja mencuci pinggan terus disambung.
Petang itu, Dhia berdiri di bibir tingkap mengambil angin petang. Lima bulan dia tidak pulang ke kampung kerana sibuk dengan persediaan untuk menghadapi ujian akhir. Bukannya dia tidak rindukan keluarga dan kampung halamannya ini, tetapi kekangan masa menghalangnya.
Dari tubir jendela dihalakan pandangannya ke tengah laman. Adik-adiknya leka bermain badminton bersama beberapa orang lagi kawan-kawan mereka. Beberapa helai rambut yang terjuntai di atas pelipis, dikuis ke tepi lalu diselit di celah cuping telinga. Tangan kanannya ditupang ke dagu. Postur badan dibetulkan supaya dapat mengimbangi posisi tubuhnya yang membongkok di birai tingkap. Anak mata masih lagi kejap memerhati adik-adiknya bermain badminton.
“Dhia!”
Satu suara menegur dari belakang disertai tepukan sedikit kuat di bahu kirinya.
“Oi mak kau rimau!” Cepat Dhia menoleh.
“Apa ni mak? Terperanjat la orang.” Muncung dipanjangkan.
“Kenapa termenung tepi tingkap? Tak manis! Nanti orang datang meminang pun ikut tingkap.” Puan Intan tidak hiraukan memek muka yang diekspresi oleh anaknya.
“Mana pulak termenungnya mak...?” Dhia tertawa kecil. Petua songsang manalah ibunya guna. Meminang ikut tingkap? Lawak antarabangsa betul.
“Dah! Jom kita ke dapur, minum petang. Mak ada goreng pisang tanduk.”
“Tak apalah mak. Dhia kenyang lagi. Nanti kalau Dhia nak, Dhia makan.”
“Suka hati kamulah,” balas Puan Intan. Dia berpaling dan menuju ke dapur semula.
Di dapur, Encik Ibrahim sudah melabuhkan punggungnya pada kerusi meja makan selepas mencuci tangan di sinki. Dia baru saja selesai membersihkan kebun pisang yang selebar kangkang kera di belakang rumah mereka.
“Mana Dhia, Intan? Tak nak minum sekali ke?” Encik Ibrahim bertanya apabila dia melihat isterinya berjalan sendirian dari ruang hadapan.
“Ada dekat depan. Intan dah ajak minum tapi dia tak nak. Katanya kenyang lagi,” jawab Puan Intan. Dia terus duduk di hadapan Encik Ibrahim. Air teh dituang ke dalam cawan lalu disuakan kepada suaminya.
“Intan ada tanya Dhia, apa rancangan dia lepas habis belajar ni?” Tangan menyambut huluran cawan dari isterinya.
“Intan belum ada tanya dia lagi, bang. Biarlah dia berehat dulu. Penat belajar pun tak hilang lagi, takkan abang nak suruh dia bekerja? Kesian dia bang.”
“Abang bukannya apa. Nanti kalau lama sangat berehat dekat rumah, takut dapat penyakit ‘M’. Mana taknya, dah sedap makan tidur, makan tidur saja. Abang tak naklah Dhia jadi macam anak Wak Seman tu. Dah sedap duduk rumah makan tidur saja sampai tak nak pergi kerja. Belajar tinggi-tinggi apa guna? Ilmu yang ada tak dimanfaatkan untuk bantu orang lain. Duit mak bapak berpuluh ribu habis hantar pergi belajar. Sudahnya sijil buat perhiasan dekat dinding.” Panjang Encik Ibrahim merungut. Puan Intan tersenyum. Suaminya berleter sudah seperti mak nenek.
Ish! Takkan abang tak kenal anak abang tu macam mana? Si Dhia tu, bukannya reti duduk diam. Pandailah dia nanti. Usahlah abang risau,” sanggah Puan Intan. Dia kenal sangat dengan anak perempuannya. Lebih kurang perangai suaminya juga. Tak reti duduk diam. Ada saja kerja nak dibuat.
“Kalau tak percaya, abang tengoklah nanti. Tak ada lama mananya Dhia tu nak memerap dekat rumah ni. Biarlah dia berehat sebulan dua dulu, bang. Boleh jugak dia tolong Intan buat kerja rumah. Boleh belajar memasak. Perempuan kalau belajar tinggi melangit sekalipun, kena jugak ke dapur. Dah kahwin nanti siapa nak masak untuk laki dia kalau tak reti memasak? Lainlah kahwin dengan orang kaya. Ada orang gaji.” Kali ini Puan Intan pula yang berleter panjang.
“Yalah, kalau awak dah cakap macam tu. Saya ikut saja.” Encik Ibrahim mengiakan kata-kata Puan Intan. Isterinya lebih akrab dengan Dhia, tentu dia lebih faham perangai anak gadis tunggal mereka itu. Air teh di tangan lalu dihirup perlahan. Selepas cawan dikembalikan semula ke atas piring, Encik Ibrahim menyambung kembali kata-katanya. “Intan, abang ada benda nak cakap ni.”
“Apa dia bang?” Puan Intan membalas pendek. Wajah suaminya dipandang.
“Abang rasa si Zul tu sukakan Dhialah. Awak perasan tak?”
“Intan perasan bang.”
“Tapi, abang tengok Dhia tu macam tak suka saja?”
“Bukannya Dhia tak suka. Katanya, dia segan dengan Zul tu. Intan dah nasihatkan dia tadi, bang. Bukan senang dia nak jumpa lelaki macam Zul tu,” jelas Puan Intan.
“Awak rasa kita ada can tak berbesan dengan Imam Zakaria?” Encik Ibrahim kembali memasang angan. Mengulum senyum di bibirnya membayangkan Dhia bersanding. Berpasangan pula dengan Zul Hafiz Zahin di atas pelamin. Tangan Puan Intan terhenti dari mencapai pisang goreng di dalam piring sebaik sahaja mendengar pertanyaan sang suami. Pantas jari-jemari tuanya menepuk perlahan tangan Encik Ibrahim di atas meja. Mata mengerling penuh makna.
“Amboi abang... Tak sabar nak bermenantu ke? Dhia tu baru habis belajar, bang. Kerja pun belum lagi.” Mata Puan Intan merenung tepat ke wajah suaminya. “Janganlah berangan jauh sangat bang. Ada hati pulak tu, nak berbesankan Iman Zakaria.”
“Eh! Awak tak suka ke Zul tu jadi menantu kita?”
“Apa pulak tak sukanya bang? Siapa tak kenal Zul tu. Satu kampung ni tahu perangai anak-anak Imam Zakaria tu macam mana. Keluarganya pun orang baik-baik jugak. Bangga saya kalau Zul jadi suami Dhia. Berapa ramai orang kampung kita ni berhajat nak jadikan Zul tu menantu dia orang, tapi anak kita jugak yang dia berkenan. Kalau jadilah Dhia tu dengan Zul, tiga hari tiga malam saya buat kenduri kahwin. Siap berarak lilin bagai. Kita tempah bunga api sekali. Sewa kugiran jugak,” balas Puan Intan berjela.
“Hah! Tadi mengata abang, berangan jauh sangat konon. Yang Intan tu, bukan berangan ke namanya?” perli Encik Ibrahim pula. Puan Intan tersenyum meleret.
“Yalah bang... Siapa yang tak bangga kalau dapat menantu macam Zul tu. Sejuk hati saya ni kalau ada menantu macam dia. Kita kenal Zul tu pun bukan sehari dua. Lama dah, semenjak dia remaja lagi.”
Suasana senyap seketika. Masing-masing sibuk memasang angan-angan. Setelah beberapa detik berlalu Puan Intan kembali menyambung bicaranya.
“Kalau kita saja yang berkenan dan Dhia pulak tak suka, tak jadi jugak bang. Manalah tahu, kut-kut dia sukakan orang lain.” Puan Intan mengutarakan kebimbangannya.
“Intan tak nak Dhia jadi macam Intan. Apa yang Intan lalui dulu, kalau boleh Intan tak mahu berlaku pada Dhia. Intan takut Dhia jadi macam Intan. Terlampau ikutkan rasa hati, Intan tinggalkan semuanya. Selama ni Intan didik dia elok-elok supaya dia jadi anak yang sayangkan keluarga. Hormatkan keluarga. Paling penting Dhia mengutamakan keluarga,” suara Puan Intan penuh sayu. Sejarah hidupnya yang berlaku dua puluh tujuh tahun yang lampau kembali menerjah ingatan. Ia bermain-main bagai putaran wayang gambar. Selama ini hanya dia dan suaminya saja yang tahu kisah silam hidupnya.
Waktu itu puas dia menanggung derita. Hidupnya cuma bertemankan linangan air mata. Ada waktunya, dia rasa seperti mahu berputus asa kerana tidak berupaya berdepan dengan hidupnya apatah lagi untuk menempuh masa depan. Mujurlah ketika itu, suaminya ini muncul dan menyelamatkannya. Suaminyalah yang banyak membantu, memberi semangat untuk terus cekal menghadapi dugaan hidup. Seterusnya membawa dia keluar dari lembah penderitaan itu.
“Hmm... Entahlah Intan. Abang doakan yang terbaik saja untuk anak kita tu. Dhia tu satu-satunya anak perempuan kita. Abang kalau boleh, biarlah dia dapat yang terbaik. Sudahlah, jangan diungkit-ungkit cerita lama.” Bukanlah dia mahu menidakkan ketentuan Allah SWT, tetapi dia sebagai seorang bapa pasti ingin melihat kebahagiaan itu menjadi milik anaknya. Tentu mahu yang terbaik untuk anaknya. Bagi dia, sebagai manusia haruslah berusaha dan berikhtiar. Selebihnya tawakal dan berserah kepadaNYA.
“Dahlah bang. Jangan kita berangan sangat. Perlahan-lahanlah. Dhia tu, baru sangat habis belajar. Si Zul pun tak pernah cakap apa-apa lagi. Kita yang pandai-pandai buat tafsiran sendiri. Mintak-mintak adalah jodoh mereka berdua.” Puan Intan mematikan bicaranya sebaik sahaja dia mendengar bunyi deruman motosikal di hadapan rumah mereka.
Di halaman rumah.
“Woi Dhia! Kenapa balik tak bagitau?” jerit Siti Naufal sejurus sahaja enjin Honda EX5nya dimatikan.
“Yalah! Senyap-senyap saja kau balik. Sampai hati kau buat kita orang macam ni?” Ain Farhana yang membonceng di belakang Siti Naufal pula menyampuk.
Siti Naufal menurunkan tupang motosikalnya setelah Ain Farhana melompat turun dari tempat duduk belakang. Lalu mereka melangkah cepat menghampiri Dhia Melati yang sudah menunggu di beranda rumah. Dhia geleng kepala. Cantik betul budi bahasa kawan-kawannya. Datang rumah orang main jerkah-jerkah saja. Ucap salam pun entah ke mana. Ni kalau dengar dek makcik-makcik kampung ni, harus tak jadi nak buat menantu. Brutal sangat.
Langkah sahabatnya diperhati. Mereka dahulu satu sekolah dari darjah satu hingga tingkatan lima. Ketika di sekolah rendah saja mereka bertiga berada di dalam kelas yang sama. Jejak sekolah menengah, mereka berasingan kelas kerana dia ditempatkan di kelas pelajar-pelajar pintar. Namun tidak bermakna Siti Naufal dan Ain Farhanah tidak cerdik. Ain Farhana habis sahaja sekolah, terus tinggal dengan kakaknya di Kuala Lumpur. Di sana dia bekerja di sebuah butik milik seorang mak datin. Siti Naufal pula, habis SPM terus masuk kolej GIAT MARA. Ambil kursus jahitan. Habis belajar dia membantu ibunya menguruskan kedai jahit milik keluarganya di kampung ini.
“Assalamualaikum...,” perli Dhia kepada dua orang rakannya itu sebaik sahaja mereka berdiri di hadapannya.
Sorry, sorry. Assalamualaikum...,” ucap Siti Naufal kemudian diikuti oleh Ain Farhana. Mereka tersedar selepas disindir oleh Dhia.
“Waalaikumussalam... Macam tu la... Baru nampak sopan sikit. Ni tak, main sergah-sergah,” ujar Dhia sambil tersenyum.
“Jemput masuk. Duduk dulu ya. Aku pergi buat air untuk kau orang.” Tangan Dhia menghala ke kerusi rotan yang terletak di sudut kanan ruang beranda, isyarat menyuruh Siti Naufal dan Ain Farhanah duduk di situ.
“Tak payahlah Dhia. Aku dan Ain dah minum dekat kedai aku tadi.” Siti Naufal menolak. Dia dan Ain Farhana kemudiannya melabuhkan punggung di kerusi rotan. Dhia terbantut langkah ingin ke dalam rumah. Lantas turut mengambil tempat duduk pada kerusi bersebelahan Siti Naufal.
“Mana kau orang tahu aku dah balik?” Rasanya dia tak beritahu Siti Naufal atau Ain Farhana bila dia akan pulang ke kampung. Tiba-tiba terpacul. Macam tahu-tahu saja. Hairan juga. Apa, budak dua orang ni ada pakai bomoh ke?
“Tengah hari tadi Abang Zul dan mak dia datang kedai aku. Dialah yang bagitau kau dah balik,” terang Siti Naufal.
“Aku pulak jumpa Abang Zul dekat kedai Pak Cik Midon. Lepas dia bagitau aku kau dah balik, aku pergi kedai Naufal ajak dia datang sini,” jelas Ain Farhana pula.
“Ooo..., aku ingatkan kau orang ni hidung super sonic. Boleh bau aku dah balik.” Dhia melawak. Siti Naufal dan Ain Farhana ketawa.
Apasal tak cakap kau nak balik?” Siti Naufal bertanya. Tangan kanannya sempat menampar bahu Dhia. Bibir dijuihkan tanda marah. Dhia menyeringai.
“Aku fikir malam nanti baru nak telefon. Memandangkan kau orang dah tahu aku dah balik, jadi tak payahlah aku telefon. Hah! Yang kau ni Ain, bila balik kampung? Kau tak kerja ke? Ponteng kan?!” Dhia segera menukar topik. Takut nanti terbuka pula cerita pasal Zul Hafiz menjemputnya.
“Bos aku bagi aku cuti seminggu. Jadi aku baliklah jenguk orang tua aku. Lepas ni aku tak tahu bila lagi aku boleh balik,” jelas Ain Farhana. Ada perubahan riak pada wajahnya. Nampak sedih.
“Kenapa? Kau banyak kerja ke lepas ni.”
“Bos Ain nak hantar dia pergi Australia.” Siti Naufal menyampuk.
“Hah! Australia? Jauhnya? Buat apa?” Terlopong mulut Dhia.
“Wah! Beruntungnya kau, Ain... Aku ni, usahkan seberang laut, Kuala Lumpur tu pun seumur hidup aku baru dua kali aku jejak kaki ke sana. Itupun rombongan masa sekolah dulu.” Terbit sedikit perasan cemburu tetapi rasa itu cepat-cepat dipadamkan.
“Alah Dhia, bukannya kau saja. Aku pun macam tu jugak. KL tulah yang paling jauh aku selalu pergi. Itupun temankan mak aku pergi beli kain ela,” celah Siti Naufal.
“Rezeki aku... Bos aku nak bukak cawangan butik dekat sana. Jadi dia promote aku sebagai manager untuk uruskan cawangan tu. Mungkin dalam dua tiga minggu lagi aku berangkatlah. Sekarang ni pun aku tengah sibuk ambil kelas bahasa Inggeris. Biar slang aku berabuk macam orang Australia. Cuba kau dengar ni, what a good day to day, ” kata Ain Farhana. Nada suaranya dibesar dan digaraukan sedikit pada ayat bahasa Inggeris. Terkekek-kekek ketawa Dhia dan Siti Naufal.
“Lain macam bunyi kau speaking. Sekali dengar okey. Dua kali dengar, bunyi dah lain. What a good die to die. Hahaha...” Tawa Dhia bersambung.
Hui yo! Cayalah kau, Ain. Respect aku. Tabik spring! Sebijik macam orang Australia dah,” usik Siti Naufal pula. Bertambah kuat tawa Dhia Melati. Ain Farhana juga merah muka ketawa.
 “Alhamdulillah, kau dah berjaya sekarang ni. Aku tumpang bangga,” ujar Dhia setelah ketawa mereka reda. Gembira dengan kejayaan temannya ini. “Berapa lama kau dekat sana?”
“Entah. Aku pun kurang pasti,” ujar Ain Farhana.
“Aku rasa, mesti kau dekat sana lama. Nak uruskan cawangan baru bukannya kerja senang,” suara Dhia.
“Betul tu,” celah Siti Naufal.
“Mintak-mintak janganlah lama sangat. Kurus keding aku nanti lama sangat tak makan sambal belacan mak aku,” balas Ain Farhana seraya disambut hilai tawa Dhia Melati dan Siti Naufal.
“Hai, anak dara-anak dara. Maghrib dah dekat, tak reti-reti nak berhenti berborak?” tegur Puan Intan di muka pintu. Dia kemudian menghampiri ruang rehat di tepi beranda.
“Eh! Makcik Intan. Kita orang nak baliklah ni,” jawab Siti Naufal. Bukannya dia tak tahu ragam Puan Intan. Boleh tahan juga tegasnya. Kalau ada yang tak berkenan, dia akan beritahu depan-depan saja.
“Ya makcik, kita orang nak balik ni,” tokok Ain Farhana pula.
“Dhia tak buatkan air untuk kamu ke?” Puan Intan kerling wajah Dhia.
“Kita orang dah minum tadi makcik. Tu yang tak bagi Dhia buat air. Lagipun tak elok banyak sangat minum air manis. Nanti muda-muda lagi dah kena kencing manis. Kesian kita orang. Kahwin pun belum lagi ni. Dah la kita orang ni memang manis orangnya.” Siti Naufal melontarkan senyuman kepada Puan Intan.
“Yalah tu Naufal. Cepat betul kamu berangan nak kahwin,” balas Puan Intan sambil bibir mengukir senyuman.
“Jom kita balik, Naufal. Karang mak aku bising aku balik lambat.” Ain Farhana bingkas bangun dari kerusi dan menghampiri Puan Intan. Lalu tangan dihulurkan. Tunduk menyentuh dahinya pada tangan Puan Intan dengan penuh rasa hormat. Siti Naufal juga turut melakukan perkara yang sama.
“Nanti kirim salam pada mak kau orang berdua. Hati-hati bawak motor tu. Dah dekat nak maghrib ni” nasihat Puan Intan kepada teman rapat anak daranya ini.
“Oh ya! Sebut pasal kirim salam baru aku teringat. Abang Zul kau ada pesan, suruh sampaikan salam dia kalau jumpa kau.” Ain Farhana sempat berkata ketika dia menyarung seliparnya.
Berdesing telinga Dhia Melati mendengar ayat itu. ‘Abang Zul kau’ yang digunakan oleh Ain Farhana sama makna dengan ‘Abang Zul kamu’ yang digunakan oleh ibunya. Bila pula Zul Hafiz jadi hak mutlak dia? Mana ada cap mohor dekat dahi Zul Hafiz mengatakan lelaki itu dia yang punya. Elegi betul dia dengan ayat ini.
Tak cukup dengan mak gunakan ayat tu, kau pun sama jugak ke Ain? Dhia Melati merungut dalam hati. Riak kurang senang puas ditahan. Ibunya pula yang tersenyum koyak hingga ke telinga. Dalam hati Puan Intan berbunga-bunga apabila mendengar ujaran Ain Farhana itu. Terdengar-dengar bunyi paluan kompang di gegendang telinganya. Mula berangan bermenantukan Zul Hafiz Zahin.
Di sebalik senyum lebar Puan Intan, ada hati yang terusik. Siti Naufal tiba-tiba tayang wajah cemberut. Kenapa agaknya?

No comments:

Post a Comment