Bab 4
Malam itu tidur Dhia Melati lena sekali. Mimpinya indah.
Mimpi yang sama mendatanginya sebelum-sebelum ini. Walaupun mimpinya pelik,
tetapi bermimpikan lelaki misteri itu bagi Dhia tetap indah.
“Dhia..., Dhia... Bangun cepat. Solat subuh.”
Alamak... Kacau daun betullah! Siapa kacau tidur aku ni?
Aku karate karang baru tau! Dhia mengeliat lalu mengalih posisi badan.
“Dhia... Bangunlah. Kata nak keluar awal-awal pagi.
Cepatlah. Nanti terlambat.”
Nak jugak kena wachaa ni! Kacau sajalah! Tubuhnya terasa
digoyang. Dhia merenggangkan sedikit kelopak matanya. Berat sungguh rasa bagai
digantung berkilo-kilo batu. Sedaya-upaya mata dibuka.
“Eh! Mak?” Terkedu saat dia melihat wajah ibunya
terpampang depan mata. Mujurlah tak wachaa
betul-betul. Kalau tidak naya saja
makan penampar pagi-pagi ni.
“Ya... Bangunlah. Nanti kamu terlewat. Kata nak pergi
cari kerja.”
Bingkas Dhia bangun apabila mendengar kata-kata Puan
Intan. Tiba-tiba semangatnya ditiup kuat. Berkobar-kobar rasanya.
Tepat pukul sembilan tiga puluh pagi, Dhia sudah terpacak
di platform bas Terminal One di bandar Seremban. Di hadapannya tergantung papan
tanda tertera nama tempat yang ingin dituju.
‘SENAWANG’
Manalah dia orang dapat nama tempat ni? Pelik benar
bunyinya. Agaknya mungkin dari ringkasan perkataan SENAng WANG. Yalah...,
tempat tukan kawasan perindustrian. Senang orang dapatkan kerja untuk mencari
wang. Pasal tulah nama tempat tu macam tu kut, omel Dhia.
Selepas hampir lima belas minit Dhia menunggu, kelihatan
sebuah bas masuk ke platform itu. Dhia terus saja memanjat tangga bas sejurus
ia berhenti. Satu jam kemudian, bas yang dinaiki Dhia memasuki kawasan perindustrian
terpenting di Negeri Sembilan. Jelas terpampang papan tanda bertulis ‘SENAWANG’
di tepi jalan. Loceng bas ditekan sebaik sahaja dia terbaca papan tanda itu.
Selepas bas itu hilang dari pandangannya, Dhia mula mengatur langkah.
“Dari mana aku nak mula ni?” Diamati keadaan sekeliling. Di
hadapannya terdapat blok bangunan di sepanjang jalan. Dalam fikiran mahu segera
selesaikan rancangannya hari ini supaya dia boleh pulang semula ke kampung
secepat yang boleh. Dhia tidak mahu kedua ibu bapanya risau.
“Yang depan ni dululah,” putus Dhia. Dia menyeberangi
jalan raya.
Tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang laju
menghampiri Dhia. Serentak itu beg sandangnya direntap kuat hingga dia berpusing
beberapa kali lalu tubuh kurusnya tercampak ke atas jalan raya. Dhia cuba
bangkit tetapi kepalanya terasa sakit. Pandangan mata turut kabur. Di pipi seperti
ada sesuatu yang mengalir. Tangan meraba. Melekit. Belum sempat melihat apa
yang ada di tangan, matanya terus tertutup rapat dan dia rebah di situ.
Setengah jam sebelum itu.
Ameal baru saja bangun. Sepanjang malam dia berjaga untuk
menyiapkan kertas kerja yang perlu dibentangkan dalam mesyuarat pada pukul
sebelas pagi hari ini. Inilah akibatnya kalau suka menangguhkan kerja. Akhirnya,
dia terpaksa bersengkang mata hingga ke awal pagi untuk menyiapkan kertas
cadangan itu di saat-saat akhir. Sepatutnya kertas cadangan itu perlu diserahkan
kepada papanya pada minggu lepas lagi, tetapi dia sibuk pula dengan
aktiviti-aktiviti sosialnya.
Kedua belah tangan diregangkan ke atas sambil mengeliat.
Kemudian tangan ditarik ke kanan dan ke kiri. Selepas itu dibawa ke hadapan.
Setelah selesai acara senaman ringkas, selimut tebal yang menutupi sebahagian tubuhnya
diselak. Ameal mengalihkan badannya ke kiri lalu duduk di birai katil seraya
tangan kiri mencapai jam digital di atas meja sisi. Dipusingkan muka jam menghadapnya.
“Hah! Pukul sepuluh suku?!” Ameal terjerit kuat. Dia
melompat bangun dari katil.
“Macam mana boleh lewat bangun? Jam ni tak berbunyi ke?!
Mampus kena bebel dengan papa.” Jam dilontarkan ke atas katil. Sah-sah jam itu
akan menjadi mangsa untuk dipersalahkan bila dia dimarahi oleh papanya nanti.
Lebih tepat lagi sebagai alasan. Alarm
tak bunyilah papa..., harus skrip ini yang keluar.
Ameal berlari ke bilik air. Lima minit kemudian dia keluar
semula. Serupa tak mandi saja? Sekejap sangat. Entah bersabun, entahkan tidak?
Mandi koboi agaknya. Tak pun mandi cara P. Ramlee. Colek mata kanan, colek mata
kiri dah selesai. Mesti ada bau air liur basi lagi ni. Hehehe...
Pantas Ameal bergerak ke almari pakaian. Dicapai saja
baju dan seluar yang bergantungan. Lantaklah! Tak payah nak belek padan ke
tidak, getus Ameal. Segera baju dan seluar disarungkan ke badan. Kemudian dia bergerak
ke almari solek. Tiub minyak rambut diambil dan dicalit sedikit ke tapak
tangan. Setelah diratakan, kedua belah telapak tangan lalu dilurutkan ke rambut
tanpa melihat cermin. Sempat juga dia menyembur minyak wangi. Sehelai tali
leher dikeluarkan dari almari sebelah meja solek dan terus disangkut ke bahu.
Sekilas Ameal memandang pada jam tangan ketika memakainya.
“Dekat sepuluh setengah?! Sempat ke sampai ofis ni?” Tidak
berlengah Ameal berlari keluar dari bilik. Laju kakinya melangkah menuruni anak
tangga. Kunci kereta yang tersangkut di dalam key box di atas almari kasut diambil seraya sebelah lagi tangan mencapai
kasut yang sememangnya sedia ada di atas almari. Kasut dijinjit kemudian
dicampakkan ke dalam kereta selepas pintu dibuka. Ketika enjin kereta
dihidupkan, Ameal teringat sesuatu. Tergopoh-gopoh dia berlari semula ke dalam
rumah. Hampir saja dia terlanggar orang gajinya.
“Opocot kau!”
Mak Mah mengurut dada terkejut.
“Sorry Mak
Mah!” Tangan diangkat sedikit tinggi memohon maaf tanpa berpaling memandang Mak
Mah. Tangga terus dipanjat menuju ke tingkat atas.
“Lupa nak ambil proposal.
Aku dahlah lambat!” Ameal merungut. Pintu bilik ditolak kuat. Berdentum
bunyinya apabila pintu dan dinding berlaga. Beg bimbit di atas meja kerja
ditarik kasar. Beberapa helai kertas yang berada di bawahnya jatuh bertaburan
ke atas lantai.
“Ah! Lantaklah!” Ameal menyumpah sendiri. Ketika menuruni
tangga, Mak Mah masih berdiri di kaki tangga menunggu Ameal.
“Meal tak nak sarapan dulu? Mak Mah dah siapkan kalau Meal
nak sarapan.” Mak Mah bertanya seraya memandang Ameal dari atas hingga ke
hujung kaki. Apasal nampak pelik
sangat Ameal hari ni? Tercetus tanda tanya di hatinya. Hendak juga dia bertanya.
Apabila melihat anak muda itu kelam-kabut begitu, dibatalkan saja niatnya itu.
“Tak apalah, Mak Mah. Meal dah terlewat ni. Papa mana,
Mak Mah?”
“Papa dah lama pergi pejabat,” jawab Mak Mah.
“Alamak..., matilah aku.” Ameal berkata perlahan. Kepala
digaru tanpa sebab. Bukan dia takut dimarahi oleh papanya, cuma dia tak suka
dibebel lagi. Pening kepalanya. Jarang sekali mereka bercakap dalam keadaan
yang baik tanpa bertelingkah. Muak juga asyik bertekak saja.
“Apa dia Meal?” Mak Mah bertanya, bila terdengar Ameal
berkata sesuatu.
“Tak ada apa-apa, Mak Mah. Meal pergi kerja dulu ya.”
Ameal ambil tangan kanan Mak Mah lalu dicium lembut. Dia amat menyayangi dan
menghormati perempuan tua ini. Walaupun Mak Mah hanya sebagai orang gaji, Ameal
menganggap Mak Mah seperti ibu kandungnya sendiri. Mak Mah sebenarnya sudah
lama bekerja dengan keluarganya. Semenjak papa dan mamanya berkahwin lagi.
Ditambah pula Mak Mah sebatang kara. Tiada suami dan anak. Pada keluarganya
saja tempat Mah Mah bergantung dan menumpang kasih.
“Mak Mah! Nanti boleh tolong kemaskan bilik tak? Tadi Meal
tak sempat nak kemas. Sorry Mak Mah,”
pinta Ameal.
Semenjak dia pandai menguruskan dirinya, Ameal tak
benarkan Mak Mah menjaga keperluannya lagi. Kecuali bab makan. Kemas bilik
tidur, cuci dan gosok pakaian, semuanya dilakukan sendiri. Dia tak mahu
menyusahkan Mak Mah. Wanita itu sudah semakin berumur. Tidak sampai hati mahu
membebankan Mak Mah lagi. Cukuplah Mah Mah jerih menjaga, mendidik dan mengasuh
dia dan adiknya ketika mereka kecil selepas mamanya meninggal dunia dua puluh
tahun yang lalu. Ketika itu dia baru berumur lima tahun. Manakala adik perempuannya
masih lagi bayi. Papa mereka selalu tiada di rumah. Sibuk dua puluh empat jam dengan
perniagaan walaupun selepas mama mereka meninggal ketika masih berpantang
melahirkan Anya. Apa yang Ameal tahu Mak Mah kata mamanya meninggal kerana
sakit gila meroyan dan bentan. Menurut doktor pula, mamanya meninggal dunia
akibat dari penyakit kemurungan yang terlampau. Selepas itu Mak Mah yang
menjaga mereka dua beradik, sebab itulah dia dua beradik lebih rapat dengan Mak
Mah. Dan kerana itu juga, Ameal kurang mendengar kata-kata papanya. Apa saja
yang dinasihatkan oleh papanya, tiada satu pun yang berbekas. Jika Mak Mah yang
menyuruh pasti dia menurut tanpa membantah.
“Tak apa. Nanti Mak Mah kemaskan. Hati-hati bawak kereta. Jangan laju sangat,” pesan
Mak Mah. Ameal angguk kepala sebelum melangkah ke pintu.
Jam di dashboard
kereta Mazda 6 2.0 Skyactiv berwarna hitam metalik milik Ameal menayangkan
angka 10:45 pagi. Tinggal lima belas minit sebelum mesyuarat bermula. Ameal
masih lagi terperangkap dalam kesesakan jalan raya menuju ke pintu tol masuk ke
Senawang. Dihentak tangannya pada stereng melepaskan angin marah. Sambil
mendengus, sekilas dia melihat cermin pandang belakang. Baru Ameal menyedari
rambutnya masih belum tersisir rapi. Dilurut rambutnya menggunakan lima jari.
Kemudian tali leher yang tersangkut di bahu dipakai pula. Dia meraba bawah
kerusi mencari kasutnya dan terus disarungkan.
“Apa hal tak bergerak-gerak lagi ni? Time lambat nilah macam-macam hal pulak jadi. Selalunya tak adalah jammed sampai macam ni. Lepas ni, confirm aku beli big bike.
Senang nak mencelah,” rungut Ameal.
“Alahhh... Cepat la...” Dia sekali lagi melihat jam digital
pada dashboard.
Aliran trafik mula bergerak perlahan. Ameal hembus nafas
lega. Apabila sampai di simpang menghala ke kawasan perindustrian Senawang, dia
memberi lampu isyarat untuk membelok. Tiba-tiba sebuah motosikal yang dipecut
laju memotong keretanya. Ameal menarik sekilas stereng kereta bagi mengelak
dari melanggar motosikal itu.
“Apa ni?! Bawak
motor macam orang hilang akal!” Penunggang dan pembonceng motosikal dipandang
geram.
“Eh! Apa hal tu?” Ameal melihat ke hadapan. Walaupun
jaraknya sedikit jauh, tetapi dia dapat melihat dengan jelas kejadian yang
sedang berlaku. Segera Ameal menekan brek kaki. Kereta dipandu ke pinggir
jalan. Brek tangan ditarik setelah keretanya berhenti. Turun sahaja dari kereta
Ameal berlari menghampiri perempuan itu.
“Cik! Cik!” Ameal memanggil. Kepala gadis itu dipangku.
“Cik! Cik! Cik boleh dengar suara saya tak?” Dia raut ke
tepi rambut yang menutupi wajah gadis yang terbaring senyap.
“Ya Allah! Darah!” Ameal tergamam kala melihat seluruh muka
perempuan itu dipenuhi darah yang membuak keluar dari luka di tepi dahinya.
“Kesiannya... Celaka punya peragut. Hidup menyusahkan
orang saja!” sumpah Ameal. Beberapa buah kereta yang lalu turut berhenti untuk
mengetahui apa yang telah terjadi.
“Kenapa ni dik?” tanya seorang lelaki kepada Ameal.
“Budak perempuan ni kena ragutlah bang,” jelas Ameal.
“Budak ni cedera! Cepat telefon ambulan,” kata lelaki itu
lagi.
Ameal melihat semula gadis yang terkulai di pangkuannya.
Darah semakin banyak mengalir.
“Pendarahannya teruk. Nak tunggu lama takut bahayakan
nyawa dia. Tak apa, saya hantar dia ke hospital.” Tanpa berfikir panjang Ameal
terus mencempung perempuan itu ke keretanya.
Selepas seorang lelaki membuka pintu belakang keretanya, Ameal
baringkan perempuan itu perlahan-lahan. Beg sukan yang sentiasa disimpan dalam
kereta segera diselongkar, lalu menarik keluar sehelai tuala kecil lantas
diikat ketat ke kepala perempuan itu bagi menghentikan pendarahannya. Beg sukan
kemudiannya dialas pada kepala. Segera dia menutup pintu kereta dan berlari ke
bahagian pemandu. Ameal menghidupkan enjin kereta.
Tumpuan diberikan sepenuhnya kepada jalan raya. Gear
kereta ditukar. Pedal minyak ditekan. Kereta meluncur semakin laju. Sesekali Ameal
menoleh ke belakang bagi melihat keadaan gadis itu. Tuala di kepalanya sudah lencun
dengan darah. Kini darahnya membasahi beg dan kerusi kereta Ameal pula. Dia
tidak peduli. Apa yang lebih penting nyawa perempuan itu selamat.
“Kau bertahanlah. Sekejap lagi kita sampai hospital.”
Ameal bersuara seolah-olah perempuan itu mendengari kata-katanya. Pedal minyak
ditekan lagi. Kereta semakin laju bergerak.
Tiba sahaja di hospital, Ameal terus menghala ke bahagian
kecemasan. Hon ditekan berkali-kali. Pintu kaca bahagian kecemasan terbuka
luas. Dari pintu itu muncul beberapa orang petugas. Ameal bergegas keluar dari
kereta.
“Tolong bang! Ada orang cedera.”
Petugas itu masuk semula ke dalam mengambil pengusung. Ameal
buka pintu belakang dan mencempung keluar gadis itu. Selang beberapa saat petugas
tadi datang semula. Perlahan-lahan Ameal meletakkan tubuh kaku itu di atas
usungan.
“Dekat sini tak boleh letak kereta. Nanti ambulan nak
masuk susah. Lepas parking adik
datang sini semula,” beritahu salah seorang jururawat. Ameal berlalu tanpa
membantah. Dalam hati tidak putus-putus berdoa agar tiada perkara buruk berlaku
kepada gadis itu.
“Ya Allah, kau selamatkanlah dia,” bisik Ameal.
******
Prang! Bunyi
sebiji cawan kaca terhempas ke lantai. Encik Ibrahim yang menunggu isterinya di
luar rumah segera berlari menuju ke dapur.
“Kenapa Intan?” Dia melihat isterinya terbongkok-bongkok
mengutip serpihan cawan kaca.
“Entahlah, bang. Tiba-tiba saja cawan ni terlepas dari
tangan Intan.”
Jelas di penglihatan Encik Ibrahim, tangan isterinya
terketar-ketar. Lantas dia mendekati isterinya.
“Tak apa, Intan. Biar abang bersihkan. Intan pergi duduk dulu.”
Encik Ibrahim mengambil serpihan kaca dari tapak tangan isterinya. Kemudian dia
menyambung mengutip saki-baki serpihan kaca di atas lantai. Puan Intan bergerak
lesu ke kerusi meja makan. Perlahan dia melabuhkan punggungnya di situ.
“Bang, Intan rasa... Intan tak jadilah ikut abang ke
kebun. Kepala Intan tiba-tiba rasa sakit. Badan rasa tak sedap. Macam nak demam
saja.” Gundah-gulana di hatinya cuba dilindungi. Dadanya berdebar-debar dan terasa
panas tiba-tiba. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Kenapa dengan aku ni? Tak
sedap hati saja. Ya Allah..., janganlah ada perkara buruk berlaku, sisip doa
Puan Intan sendirian.
“Tak apalah kalau Intan tak tolong abang hari ni. Lagipun
tak banyak kerja yang nak dibuat. Intan berehat saja dekat rumah. Masak pun tak
payah. Balik tengah hari nanti abang singgah kedai Midon beli lauk,” balas
Encik Ibrahim. Serpihan kaca di tangan dibuang ke dalam tong sampah dan datang menghampiri
isterinya.
“Boleh ke abang buat kerja sorang saja hari ni?” suara Puan
Intan perlahan. Terasa bersalah membiarkan suaminya bekerja di kebun kelapa sawit
tanpa bantuan dia.
“Abang meracun sajalah hari ni.” Perlahan Encik Ibrahim
mengusap belakang badan Puan Intan.
“Abang pergi dulu ya? Intan berehat saja dalam bilik. Jangan
lupa kunci pintu,” pesan Encik Ibrahim. Dia kemudiannya berlalu meninggalkan Puan
Intan. Sebelum keluar dia memandang isterinya sekilas.
“Kenapa dengan Intan hari ni? Muka nampak pucat betul.
Agaknya memang dia nak demam agaknya. Hmmm... Aku balik awal sikitlah hari ni,”
guman Encik Ibrahim.
******
Di telinga Ameal jelas kedengaran suara doktor dan jururawat
bersilih ganti. Timbul pelbagai pertanyaan di fikirannya. Bagaimana agaknya
keadaan gadis itu? Teruk ke kecederaannya? Hati bertambah tidak tenang. Walaupun
dia tidak mengenali gadis tersebut, tetapi nalurinya diasak untuk bertanggungjawab
atas keselamatan gadis itu. Dia seperti cacing kepanasan menunggu di luar bilik
rawatan kecemasan. Tidak berhenti-henti dia mundar-mandir di depan pintu. Sekejap
ke hulu, sekejap ke hilir. Hampir saja dia bertembung dengan seorang gadis,
namun tidak diendahkan. Sesekali dia berhenti di hadapan pintu melihat ke dalam
tetapi hampa. Hanya bayang-bayang saja yang dapat dilihat pada kain tabir putih
yang direntangkan.
Tiba-tiba telefon bimbit di dalam poket seluar berbunyi
nyaring. BlackBerry ditarik keluar dari poket. Pada skrin telefon tertera nama si
pemanggil.
‘PAPA’
“Alamak! Mampus aku...” Ameal melihat jam di tangan.
12:00 tengah hari.
“Meeting!”
Ameal tepuk dahi. Dengan berat hati butang hijau ditekan.
“Helo pa,” jawab Ameal perlahan.
“Ameal Qin Amri! Sampai bila nak buat perangai macam ni?
Langsung tak bertanggungjawab. Kan papa dah cakap, hari ni Meal kena bentangkan
proposal untuk tender syarikat
Wakasugi Corp tu. Sekarang ni dah pukul berapa? Meal tak sampai-sampai ofis
lagi! Dah tahu Meal ada hal penting hari ni, kenapa malam tadi balik lewat?
Pukul berapa Meal balik semalam hah? Pukul berapa bangun?!”
Belum sempat Ameal menjawab soalan bertubi-tubi itu,
suara papanya kembali menjerit-jerit di sebelah sana.
“Kalau proposal
Meal tu ada masalah, tak sempat kita nak buat pembetulan. Macam mana kita nak
jumpa wakil Wakasugi Corp tu petang ni? Papa tak kira, Meal mesti datang
sekarang jugak! Papa bagi masa satu
jam untuk Meal sampai ofis. Dengar tak?!” Bertambah nyaring suara papanya di
hujung talian.
“Ya pa..., Meal dengar, tapi Meal dekat hospital sekarang
ni. Meal tak dapat masuk meeting. Tak
apalah, sekejap lagi lepas Meal selesai dekat sini Meal telefon papa balik. Bye.” Tanpa menunggu balasan dari
papanya dia terus menekan butang merah untuk memutuskan talian. Nada dering telefon
ditukar kepada silent mode. Ameal
pasti papanya tentu akan telefon semula. Bagi dia sekarang ini, nyawa gadis
yang sedang dirawat di dalam wad kecemasan itu lebih penting. Ameal menjenguk lagi
ke dalam bilik itu.
Pintu bilik rawatan kecemasan tiba-tiba ditarik. Seorang jururawat
keluar dari situ. Ameal menghalangnya.
“Macam mana dengan budak perempuan tu kak?”
“Maaf dik. Akak nak cepat. Dia perlukan darah.” Jururawat
itu mula hendak berlari tetapi Ameal menahannya.
“Darah jenis apa kak?”
“O negatif.”
“Kalau saya derma darah lagi cepat kak. Saya tahu, banyak
procedure perlu dilalui sebelum darah
boleh di bawa keluar dari bahagian tabung darah. Nanti lambat kak!” Segera Ameal menyerahkan kad penderma darah
yang sentiasa tersimpan di dalam dompetnya. Lantas kad beralih tangan. Jururawat
itu membaca dengan teliti setiap informasi yang tertulis pada kad tersebut.
Kepalanya dianggukkan beberapa kali.
“Baiklah! Mari ikut akak ke dalam.” Pintu ditolak dan tangan
dihalakan ke dalam bilik membenarkan Ameal masuk.
“Doktor, kita ada penderma di sini.” Kad milik Ameal
diserahkan kepada doktor.
Ameal mula mengeluarkan hujahnya supaya doktor itu juga
setuju untuk membenarkan dia menderma darah. “Memandangkan doktor kesuntukkan masa,
lebih baik saya menderma darah. Nyawa dia dalam bahaya doktor. Lebih cepat
doktor buat proses ni, lebih tinggi peluang untuk menyelamatkan nyawa gadis ni.
Setiap butir tentang kesihatan saya semua tercatit di dalam kad tu.”
Doktor keturunan Melayu itu membaca setiap inci maklumat
yang tertera pada kad dengan teliti. “Baiklah! Awak pun tak ada
penyakit-penyakit yang merbahaya seperti HIV, hepatitis, syphilis or else. Tak ada thalassemia also. Dekat sini pun tertulis last awak menderma enam bulan yang lepas. Okey, we may proceed.” Doktor itu memberi
persetujuan. Kad dikembalikan semula kepada Ameal.
“Nurse, buat preparation. By the way, awak related to
this girl?” Doktor itu memandang kepada Ameal.
“No. I don’t know her. Saya yang bawak dia ke sini lepas dia kemalangan diragut
tadi,” jawab Ameal.
“Okey. Baring di sini.” Doktor itu menunding ke arah
katil sebelah.
Ameal sedar darah jenis O(-) paling sukar diperolehi. Sebab
itulah dia selalu mendermakan darahnya. Setiap tahun dia akan menderma sebanyak
dua kali. Mungkin dengan darahnya ini mampu menyelamatkan satu nyawa seperti
yang berlaku hari ini. Sama juga seperti dia dahulu. Pernah diselamatkan oleh
seseorang selepas orang itu menderma darah kepadanya. Lagipun, jika selalu
menderma darah ia dapat meningkatkan sistem imuniti dan kesihatan tubuh badan.
“Adik duduk berehat dekat luar dulu ya.” Jururawat tadi
berkata selepas semuanya selesai. Kapas beriodin diletakkan pada pelipat lengan
Ameal. Kemudian dilekat pula dengan pita.
Ameal bangun dari katil sambil membengkokkan sendi
sikunya sekali dua. Dialih pandangan ke katil sebelah, di mana gadis itu masih
terbaring kaku. Dia masih tak sedar lagi? Hati Ameal berbisik.
Doktor dan jururawat masih sibuk membersihkan luka di
kepala perempuan itu. Luka di kepalanya sudah pun dijahit. Rambutnya juga habis
dicukur gondol. Darah yang memenuhi mukanya pula kelihatan kekeringan.
“Adik tunggu luar ya. Sekejap lagi akak bawak kan milo,” kata jururawat itu
lagi.
Ameal melangkah keluar dari kamar kecemasan. Dia duduk di
bangku yang disediakan di luar bilik rawatan itu. Beberapa minit kemudian
jururawat wanita tadi muncul bersama secawan milo panas di tangan. Minuman itu
diserahkan kepada Ameal.
“Terima kasih, kak.” ucap Ameal. Jururawat itu hanya
tersenyum dan masuk semula ke dalam bilik kecemasan. Setelah milo habis diminum,
Ameal bangun menuju ke tong sampah yang terletak berhampiran dengan tandas
tidak jauh dari tempat duduknya untuk membuang cawan kertas itu. Ketika dia
melintasi pintu tandas tiba-tiba seorang perempuan keluar dari dalam tandas
tersebut. Lalu mereka bertembung.
“Maaf, saya tak sengaja.”
“Tak mengapa. Awak tak sengaja. Saya pun tak perasan
awak,” jawab wanita itu sambil merenung ke arah Ameal tanpa berkelip. Lima saat
berlalu.
“Ahemm... Ahemm...” Ameal cuba menyedarkan wanita
itu yang kelihatan seperti sedang mengelamun.
“Oh! Saya pergi dulu. Maaf ya!” Wanita itu menunduk malu
dan terus melangkah pergi.
Ameal kemudian kembali ke kerusi tadi. Punggungnya dilabuhkan
semula ke situ.
“Aku nak tunggu sampai betul-betul pasti budak perempuan
tu selamat.” Ameal berbicara kepada diri sendiri. Ketika itu juga seorang
jururawat lain keluar dari bilik rawatan kecemasan.
“Alhamdulillah..., budak tadi selamat dik. Sekejap lagi
nak bawak dia pergi buat MRI dan CT scan untuk pastikan tahap kecederaan
pada otaknya, dan juga pada lain-lain bahagian badan. Akak nak ambik beberapa form yang perlu adik isi. Nanti akak datang balik,” kata jururawat
itu dan terus ke kaunter di hujung koridor.
“Syukur... Alhamdulillah.” Ameal meraup tangan ke muka.
Lega rasa hati bila dikhabarkan begitu. Risau juga jikalau budak perempuan itu
tak dapat diselamatkan. Kasihan keluarganya nanti. Ameal melihat jam di
tangannya.
“Hah! Alamak!” Dikeluarkan telefon bimbit dari poket.
Tertulis di skrin telefon itu ‘21 missed
call’.
“Masak aku kali ni.” Pantas Ameal berlari keluar dari ruang
kecemasan menuju terus ke tempat keretanya diparkir.
******
Ain Farhana meneruskan perjalanannya ke kafe apabila
lelaki itu terus beredar selepas mereka bertembung di hadapan tandas tadi. Setelah
membeli beberapa bungkus makanan di kafe, Ain Farhana melalui koridor yang sama
mahu menuju ke lif. Sempat juga dia mencari kelibat lelaki itu. Dua kali mereka
bertembung. Sekali di hadapan bilik kecemasan. Kali kedua di hadapan tandas.
Sekarang jejaka kacak tidak kelihatan di mana-mana. Dah balik agaknya, cetus
fikiran Ain Farhana. Kaki meneruskan langkah. Entah apa malang nasib, sewaktu
dia melalui koridor di ruang kecemasan sekali lagi dia hampir terlanggar
sesuatu. Kali ini bukannya lelaki tadi, tetapi pengusung yang sedang ditolak
keluar dari bilik rawatan kecemasan oleh beberapa orang jururawat.
“Minta maaf ya, kak!” pohon Ain Farhana seraya kedua
tangan dilekapkan ke dada.
“Kenapa adik guna lif ni? Lif ni untuk kegunaan kecemasan
saja. Lif untuk orang awam di bahagian sana,” kata salah seorang jururawat itu
sambil jarinya menunding ke arah yang dikatakan.
“Oh! Ya ke kak?! Maafkan saya. Saya tak tahu. Saya tak
pernah datang sini. Patutlah saya sorang saja yang ada dalam lif ni tadi. Maaf
ya kak!” Ain Farhana tersenyum sumbing apabila menyedari kesilapannya.
Ketika Ain Farhanah melepasi jururawat-jururawat itu, dia
terdengar suara halus mengerang kesakitan. Hatinya tergerak mahu melihat tubuh yang
terlantar di atas usungan. Dia jengahkan kepala melihat. Diamati wajah gadis
itu. Eh! Macam kenal. Macam pernah nampak tapi dekat mana ya?
“Ya Allah! Dhia!” jerit Ain Farhana. Dia menolak jururawat-jururawat
itu ke tepi. Tubuh Dhia diterkam. Dia mengenali wajah sahabat baiknya ini walaupun
kepala Dhia Melati berbalut tebal begitu.
“Dhia! Kenapa dengan kau ni Dhia? Apa dah jadi ni? Macam
mana kau boleh ada dekat hospital ni? Kak! Kenapa dengan kawan saya ni kak?” Ain
Farhana memandang jururawat-jururawat itu.
“Adik kenal ke budak ni?” soal salah seorang jururawat.
“Kenal kak! Dia ni kawan baik saya. Satu kampung dengan
saya tapi macam mana dia boleh ada dekat sini? Kenapa jadi macam ni? Bagitau saya kak! Apa dah jadi dengan
kawan saya ni?” Air mata Ain Farhana mula mengalir. Dielus perlahan pipi temannya
ini. Dhia masih mengerang.
“Nanti akak ceritakan. Mari ikut akak dulu. Zila, Jue dan
Kila hantar patient ni ke bilik MRI.
Selesai tu nanti, terus tolak masuk wad 4A ya,” arah jururawat itu kepada tiga
lagi jururawat yang bersamanya.
“Mari kita ke kaunter depan. Nanti akak ceritakan.
Memandangkan adik kenal dengan patient
ni, so akak nak tahu beberapa details tentang dia. Boleh?!”
“Boleh kak! Boleh!” balas Ain Farhana. Air mata diseka
perlahan. Wajahnya sudah comot apabila maskara dan celak yang terhalit tebal di
mata menjadi kembang dek air mata.
******
“Ada kurang tak sakit kepala Intan ni?” tanya Encik
Ibrahim kepada isterinya sambil tangan laju memicit kepala Puan Intan.
“Ada kurangnya, bang. Tak payahlah abang picit lagi.
Intan rasa dah lega sikit ni. Intan nak bangun masak.” Puan Intan bingkas
bangun dari pembaringan.
“Tak payah masak, Intan. Lauk yang abang beli dekat kedai
Midon tengah hari tadi kan masih banyak lagi. Cukup untuk makan malam. Intan
rehat saja.” Encik Ibrahim menarik tangan isterinya supaya kembali berbaring di
atas katil. Puan Intan akur. Dia meluruskan semula tubuhnya di atas tilam.
“Dah pukul berapa ni bang? Dhia tak balik-balik lagi ni!
Dari dia keluar pagi tadi sampai sekarang, telefon pun tidak.” Hati Puan Intan resah
setiap kali dia teringatkan Dhia. Dadanya berdebar-debar. Seperti ada sesuatu
yang tidak kena. Kan baik kalau Zul Hafiz dapat menemani Dhia ke Senawang.
Tidaklah hatinya gundah-gulana kerisauan seperti sekarang ini. Sayangnya jejaka
itu ke Pahang pula petang semalam. Mencari benih anak ikan Patin, kata Puan
Zainon. Dengan berat hati dia benarkan Dhia pergi seorang diri. Sebab itulah,
seawal pagi dia mengejutkan Dhia. Lagi cepat Dhia berangkat ke bandar, cepat
juga Dhia pulang semula. Namun hari sudah masuk ke petang, khabar berita dari
Dhia masih belum ada.
“Baru pukul tiga. Senawang tu bukannya dekat, Intan.
Tentu dia balik naik bas yang paling akhir pukul lima nanti. Sebelum pukul enam
sampailah Dhia tu,” jawab Encik Ibrahim.
“Saya risaulah bang. Sejak Dhia keluar pagi tadi sampai
sekarang, tak tahu apa khabar berita. Sampai ke tak dia di Senawang? Dapat ke tak
kerja? Jumpa ke tak rumah sewa? Saya takut ada benda buruk berlakulah bang...”
Puan Intan memegang erat tangan suaminya. Kali ini dia tidak berdaya lagi
menyembunyikan perasaan bimbangnya.
“Awak ni Intan, kenapa fikir sampai ke situ? Dia sibuk
agaknya ke sana ke sini cari kerja. Nak cari rumah lagi sampai terlupa nak
telefon. Insya-Allah..., tak ada apalah tu.” Encik Ibrahim cuba memujuk.
Ditepuk lembut tangan isterinya sekali dua. Suasana sunyi seketika.
Trutttt... trutttt... Trutttt... truttt...
“Telefon tu bang. Cepatlah pergi jawab. Dhia telefon
agaknya.” Puan Intan menolak badan suaminya supaya segera bangkit pergi
mengangkat ganggang telefon. Baru lega rasa hatinya kalau yang telefon itu
memang benar Dhia Melati.
“Yalah... Abang pergi jawab.” Encik Ibrahim bangun dan
menapak keluar dari bilik.
Bunyi deringan telefon sudah berhenti. Sayup-sayup
kedengaran suara suaminya menjawab panggilan. Puan Intan melebarkan cuping
telinga, supaya dia dapat mendengar perbualan itu. Dia ingin pastikan bahawa
panggilan itu benar-benar panggilan dari Dhia. Selagi dia tidak terima sebarang
berita tentang anaknya itu, dia takkan rasa tenang.
Tiga minit berlalu. Encik Ibrahim kembali ke bilik.
Langsir bilik diselak perlahan. Kakinya melangkah masuk, tetapi dia berhenti di
muka pintu. Matanya memandang tepat ke arah Puan Intan. Kala itu isterinya sudah
duduk di birai katil.
“Kenapa bang?” tanya Puan Intan cemas. Dada mula terasa
panas semula. Jantung sudah tidak tenteram. Dia tahu ada sesuatu yang tidak
kena telah terjadi. Naluri keibuannya dapat merasakan. Wajah Encik Ibrahim kelihatan
murung dengan air mata mula bergenangan, membuatkan Puan Intan boleh meneka apa
yang ingin dikatakan oleh suaminya itu.
“Ya Allah! Dhia! Dhia! Apa dah jadi dengan Dhia bang? Apa
dah jadi?!”
No comments:
Post a Comment