Bab 5
Ameal parkir keretanya di hadapan pintu masuk syarikat.
Selepas mencapai beg bimbitnya, tergesa-gesa dia memasuki bangunan itu. Laju
saja Ameal meluru ke arah tangga. Bukan bangunan ini tidak memiliki lif, cuma
dia sudah terbiasa. Lebih suka menggunakan tangga yang berpusing-pusing itu. Segera
mata tangga dipanjat untuk ke tingkat tiga, di mana pejabatnya dan papanya
berada. Sebaik sahaja pintu ditolak, Marissa setiausaha Encik Aidil Amri
merangkap setiausaha Ameal juga, a.k.a
girlfriend nombor satu Ameal terus meluru
mendapatkannya.
“Apasal you
lambat sangat? Papa you tengah
tunggu.” Marissa berkata laju.
“I ada hal tadi. Sorry.”
Senyuman diberikan kepada Marissa seraya tangan mengusap bahu gadis itu. Langkah
kemudian diteruskan menuju ke pejabat papanya.
“Meal! Tunggu sekejap!” Pantas Marissa menarik lengan
Ameal. “Kenapa you ni?! You accident ke tadi? Habis baju seluar you kena darah,” tanya Marissa dalam
nada cemas. Ameal dibelek dari atas hingga ke bawah. Risau melihat keadaan
fizikal pengarang jantungnya yang bertompok-tompok kesan darah pada pakaian.
“Jangan risaulah. I tak ada apa-apa. Tadi I tolong hantar one girl ke hospital.”
“You langgar
dia ke?” soal Marissa lagi. Semakin bertambah garis kedut di atas dahinya.
“Tak. Dia kena ragut. I
nak pergi jumpa papa, okey?” Selepas Marissa mengangguk, derap diteruskan
semula menuju ke bilik papanya. Namun Marissa menariknya kembali.
“Meal, kenapa you
pakai macam ni? Dah serupa badut I
tengok. Baju biru, necktie kuning,
seluar warna kelabu. Kasut you mana?
Pakai sport shoes pulak.” Mulut Marissa
berkicau tanpa berhenti seperti murai tercabut ekor.
Gulp! Ameal
tertelan air liur sendiri. Dia yang begini kacak disamakan dengan badut pula.
“Macam badut? Apa yang you mengarut ni Is?”
Tanpa menunggu Marissa menjawab, Ameal kembali meneruskan
langkahnya.
“Tulah! Cakap I,
you tak nak percaya. Cuba you pusing sikit ke kanan. Tengok dalam
cermin tu.” Marissa terjerit kecil memandangkan jarak Ameal sudah sedikit jauh
darinya. Cepat Ameal memandang ke arah kepingan cermin berderetan pada dinding
yang dijadikan penambah dekorasi ruang lalu menghala ke pejabat papanya.
“What the hell!”
Ameal menyumpah perlahan. Terhenti langkahnya seketika di situ. Terkedu melihat
dirinya sendiri. Dia memandang semula ke arah Marissa. Gadis itu sudah pun
tersenyum lebar kepadanya.
‘‘Patutlah dekat hospital tadi semua orang padang aku
semacam saja. Perempuan yang dekat toilet
tu pun sama. Agaknya Mak Mah pun perasan jugak
pagi tadi, tapi kenapa Mak Mah tak tegur pun?” bebel Ameal panjang. Sambil
menghampiri pejabat papanya, mulut mengomel tidak henti. Tangan mengetuk pintu
pejabat papanya beberapa kali.
“Masuk!”
Ameal pulas tombol pintu sebaik sahaja dia mendengar suara
papanya. Daun pintu ditolak dan dia melangkah masuk.
“Baru nak masuk pejabat, Meal? Tengok jam pu...” Kata-kata
Encik Aidil terhenti. Bingkas dia bangun dan laju menghampiri anaknya.
“Kenapa ni Meal?! Meal cedera dekat mana ni? Habis baju,
seluar kena darah. Tadi Meal kata dekat hospital. Kenapa? Meal accident? Hospital mana Meal pergi? Papa
telefon kenapa tak angkat?” Dilabuhkan kedua-dua belah tangan pada bahu Ameal.
Dipusingkan badan Ameal ke kanan dan ke kiri. Hilang terus ayat-ayat amarah
yang berlegar di benaknya semenjak pagi tadi. Belas kasihan pula kepada Ameal.
Terselit juga rasa kesal kerana menyangka Ameal yang bukan-bukan. Fikirnya
Ameal sengaja buat alasan berada di hospital.
Ameal garu kepala. Banyak sungguh soalan papanya.
“Pa..., Meal okey. Tak ada apa-apa. Bukan Meal yang accident. Meal tolong orang. Lepas tu,
Meal hantar dia pergi hospital. Bla...
bla... bla...” Ameal bercerita dari mula hingga akhir peristiwa yang
berlaku kepadanya sepanjang hari ini.
“Alhamdulillah, budak tu tak ada apa-apa. Apa yang Ameal
lakukan tu besar pahalanya. Ameal dah selamatkan satu nyawa,” puji Encik Aidil.
Ada juga sifat terpuji dalam diri anaknya ini, walaupun perangainya
kadang-kadang tak berapa semenggah. Tak tahu pula selama ini Ameal rajin
menderma darah.
“Pa..., Ameal mintak maaf banyak-banyak. Ameal dah
menyusahkan papa. Meal mintak maaf jugak
pasal projek Wakasugi Corp tu.”
“Tak apalah Meal. Nak buat macam mana, benda dah jadi.”
“Meal mintak maaf ya, pa.”
“Dahlah tu. Sebenarnya sebelum tengah hari tadi wakil
Wakasugi Corp telefon cancel meeting.
Mereka terpaksa balik Jepun sebab ada masalah di main factory mereka. Jadi mereka tawarkan kepada kita untuk buat pembentangan
proposal Meal tu depan top management dan owner Wakasugi Corp. Kita akan ke sana tengah hari esok.
Penerbangan dan penginapan akan ditanggung sepenuhnya oleh Wakasugi Corp. Nanti
Meal packing baju lebih sikit. Kita di
sana mungkin dalam dua ke tiga minggu. Mereka mahu kita melawat beberapa buah kilang,”
terang Encik Aidil Amri dengan panjang lebar.
Ameal diam mendengar sambil menggerakkan kepala ke atas
dan ke bawah tanda memahaminya. Mujur juga nasibnya baik kali ini. Kalau tidak
besar juga masalah yang perlu dihadapi oleh papanya. Tahu sajalah, orang Jepun
memang mengambil berat tentang disiplin. Mungkir janji dan tidak menepati waktu
adalah salah satu perkara yang menunjukkan betapa tidak bagusnya sikap dan
disiplin diri seseorang itu. Dan orang itu tak lain dan tak bukan adalah dia.
Ameal mengeluh perlahan.
“Maafkan Meal papa pasal proposal tu.”
“Meal, papa dah nasihat banyak kali tapi Meal tak pernah
ambil berat semua teguran papa. Apa yang papa lakukan adalah untuk kebaikan
Meal jugak. Malang tak berbau Meal,
contohnya gadis yang Meal selamatkan tadi. Katakanlah satu hari nanti tiba-tiba
papa ditimpa musibah, papa meninggal dunia atau tak larat nak uruskan syarikat
kita, adakah masa tu Meal sudah bersedia untuk mengambil alih tanggungjawab
papa? Papa ni makin lama makin tua Meal. Kalau Meal tak ubah sikap Meal ni dari
sekarang, papa takut satu hari nanti Meal terlambat. Meal mahu tengok
satu-satunya warisan yang ditinggalkan oleh keluarga arwah mama ni berkubur?”
Buat yang kesekian kalinya Encik Ibrahim menasihati anaknya. Bahu Ameal ditepuk
perlahan seraya melihat wajah Ameal yang sedikit muram.
“Meal faham pa. Meal akan cuba berubah.” Hatinya
benar-benar terkesan dengan kata-kata papanya sebentar tadi. Ameal memasang
azam. Detik ini, dia menanam semangat baharu untuk berubah menjadi lebih baik
dan terbaik. Dia tak mahu lagi papanya menganggap dia seorang yang tidak
bertanggungjawab. Dia mahu menjadi Ameal yang lebih matang dari segi tindakan
dan perlakuan. Tekadnya, biarlah ini adalah kali yang terakhir dia membebankan
papa dengan masalah yang disebabkan oleh sikapnya sendiri.
“Sudahlah. Pergi tukar baju ni. Sekejap lagi kita meeting pasal proposal Meal tu. Meal tolong bagitau
Marissa, telefon semua orang panggil masuk bilik meeting lagi lima belas minit. Masih sempat lagi nak buat
pembetulan dan penambahbaikan kalau proposal
Meal tu ada masalah,” arah Encik Aidil Amri.
“Baik pa... Meal keluar dulu.” Baru saja Ameal ingin
beredar, papanya memanggil kembali.
“Ameal!”
Ameal berpaling.
“Yang Meal pakai baju macam badut ni kenapa?” soal Encik
Aidil. Bibir dikulum menyembunyikan senyum. Fesyen terbaru ke? Fesyen musim
mana? Pelik sangat nampaknya.
Papa pun kata dia macam badut juga? Tak boleh jadi ni.
Kena tukar baju cepat-cepat. Kalau tidak, jatuh sahamnya. Kalau pekerja nampak,
lagi hebat. Tiga bulan cerita dia pakai baju macam badut ni tak habis pusing
satu kilang. Tak sudah-sudah dijaja oleh operator yang lebih ramai perempuan
dari lelaki tu. Ameal tersenyuman tawar. Tanpa membalas dia beredar. Dia
singgah di meja Marissa menyampaikan pesanan papanya tadi.
“Is, tolong telefon semua supervisor dan head of
department. Papa nak meeting lagi
fifteen minutes. Ini kunci kereta I. You
suruh budak office-boy tu hantar
kereta I pergi car wash. Basuh sekali seat
belakang. Suruh budak car wash basuh
bersih-bersih sikit. Nanti tak hilang bau hanyir darah. Beg dan baju dalam
kereta hantar dobi sekali.” Kunci kereta di hulurkan kepada Marissa, lalu gadis
itu menyambutnya.
“Okey darling...
As your wish...” Marissa bersuara
manja.
Ameal terus menuju ke pejabatnya. Ketika menolak pintu, fikirannya
terlintas sesuatu.
“Macam mana agaknya dia sekarang ni? Dah sedar ke belum? Alamak!”
Ameal tepuk dahinya sendiri. “Kenapa aku tak bagi nombor telefon dekat nurse tu tadi? Kalau tak, boleh pihak
hospital telefon aku kalau ada apa-apa. Aku pulak
boleh pergi macam tu saja.”
“Meal! Kenapa you
tercegat dekat situ lagi? Cepatlah! Sekejap lagi nak meeting. Nanti bising lagi papa you,”
tegur Marissa.
“Is, you tolong
cari nombor telefon Hospital Tuanku Jaafar,” pinta Ameal.
“Okey, nanti I
carikan. You tu cepatlah sikit.”
Ameal angguk kemudiannya hilang di balik pintu.
Bab 6
Encik Ibrahim dan Zul Hafiz berdiri di hujung kaki katil
sambil bersandar ke dinding. Mereka memerhati tubuh Dhia yang terbaring lesu.
Masing-masing diam membisu. Saat seperti ini, tidak tahu apa yang ingin
dibualkan. Puan Intan pula duduk di birai katil. Wajahnya sembab. Matanya pula bengkak.
Sepanjang perjalanan dari kampung ke hospital ini, tidak henti-henti dia
menangis. Puas Encik Ibrahim dan Zul Hafiz memujuk, tetapi tangisannya tetap
mendayu-dayu. Berkali-kali Puan Intan menyatakan kekesalannya tidak menghalang
Dhia pergi ke Senawang. Jika dia menghalang, pastinya kecelakaan itu tidak akan
menimpa Dhia. Anak perempuan tunggalnya ini takkan terlantar begini.
Wajah Dhia Melati tidak berhenti diusap. Nama Dhia juga entah
berapa kali diseru namun masih tiada sahutan. Hiba sungguh hatinya. Perasaan
ibu mana yang tidak sedih melihat keadaan anak kesayangan terlantar bagai tiada
nyawa. Ya Allah, kau selamatkanlah anak aku, doanya.
Dari pandangan mata kasar, kecederaan yang dialami oleh
Dhia tidaklah separah mana. Hanya satu balutan tebal di kepala serta sedikit
kesan calar di beberapa tempat di tangan kirinya, tetapi hingga sekarang Dhia
masih belum sedarkan diri.
Tempias kesedihan Puan Intan terpercik kepada Zul Hafiz.
Pemuda itu juga mengeluh. Terasa dirinya turut bersalah. Kalaulah dia
membatalkan niatnya ke Pahang petang semalam, tentu pagi ini dia dapat menemani
Dhia sekalipun tidak diminta oleh Puan Intan, tetapi nak buat apa lagi, benda
sudah berlaku. Inilah kata orang tua-tua, sesal kemudian tiada gunanya. Seperti
Puan Intan dan Encik Ibrahim, dia juga risaukan keadaan Dhia. Melihat gadis
yang dicintainya dalam diam ini kaku tidak bergerak, hatinya terasa pedih umpama
belati menikam ke dada. Ikut rasa hati, mahu saja dia memeluk gadis itu. Ingin
sekali menggenggam erat jari-jemari halus Dhia, supaya ion-ion cintanya
mengalir ke dalam tubuh Dhia. Biar getar perasaannya ini dapat dirasakan oleh
Dhia dan sekaligus menyedarkan gadis itu dari koma.
Encik Ibrahim menghampiri Puan Intan. Tidak sampai hati
membiarkan isterinya terus-terusan bersedih. “Bersabarlah Intan. Insya-Allah,
Dhia tak apa-apa. Kita berdoa supaya Dhia selamat dan cepat sedar. Tu saja yang
boleh kita buat sekarang ni.”
Pujukan itu bukan hanya kepada isterinya sahaja. Dia juga
sedang memujuk hatinya sendiri. Rasa bersalah tercalit di dalam hati kerana
atas izinnya Dhia pergi. Dengan izinnya juga semua ini terjadi. Altagfirullahhalazim...
Cepat Encik Ibrahim tersedar. Dhia Melati anaknya. Bohong jika dikata tiada
sedih di hati bila melihat keadaan anaknya begini. Namun dia harus reda dan
tabah demi isterinya. Andai dia turut sama berduka, isterinya akan bertambah
sedih nanti. Bukankah semua yang terjadi ini kehendak Allah SWT. Bukan salah
sesiapa juga bukan silap sesiapa.
“Abang, kenapa
Dhia jadi macam ni? Kenapa mesti Dhia?! Intan tak mahu kehilangan Dhia, bang...
Dhialah satu-satunya anak perempuan kita. Kalau terjadi apa-apa macam mana
Intan nak hidup?” Puan Intan kembali mengangis teresak-esak.
“Sabar kak Intan. Insya-Allah Dhia tak apa-apa. Kita
tunggu doktor datang sekejap lagi. Nanti kita tanya keadaan dan tahap kecederaan
Dhia,” tutur Zul Hafiz perlahan. Belas benar hatinya melihat keadaan Puan Intan
ketika ini.
Sejurus kemudian, seorang doktor keturunan Sikh ditemani
oleh seorang jururawat menghampiri mereka. Encik Ibrahim menarik lengan Puan
Intan agar berdiri dan menjauhkan diri dari katil. Mereka bergerak ke tepi
untuk memberi ruang kepada doktor itu memeriksa keadaan Dhia Melati.
Sekilas doktor itu memberikan senyuman kepada mereka sebelum
mencapai fail yang tergantung di hadapan katil. Beberapa helaian kertas di
dalam fail itu diselak dan dibaca. Doktor itu menulis sesuatu di atas lampiran
kertas dan kemudian fail itu disangkut semula. Dari poket jaket koton putih
labuh separas lutut, ditarik keluar sebatang pen torch light. Mata kanan Dhia dibuka, lalu menyuluh ke dalam anak
mata. Untuk beberapa ketika, dia beralih ke sebelah kiri mata Dhia pula. Selepas
menyelitkan pen torch light ke dalam poket,
dia memakai pula stetoskop yang tersangkut di leher. Lantas corongnya
dilekapkan ke dada Dhia. Rentak jantung Dhia didengar. Cuba mengesan jika
terdapat sebarang keganjilan. Bacaan BP juga direkodkan. Sampul besar yang
terletak di atas meja di hujung kaki Dhia diambil pula. Gambar x-ray dikeluarkan.
Dihala ke cahaya lampu di siling dan direnung untuk beberapa ketika. Diteliti
satu persatu gambar-gambar x-ray itu.
Puan Intan, Encik Ibrahim dan Zul Hafiz hanya memerhati.
Setelah doktor itu selesai dengan kerjanya, baru Encik Ibrahim bersuara. “Bagaimana
keadaan anak saya, doktor?”
“Dia mengalami gegaran otak. Dari imej MRI, kami tak
menjumpai sebarang darah beku di dalam otaknya. Mungkin dia hanya mengalami
kecederaan otak yang tidak serius. Anak pakcik sangat bernasib baik. Kami sudah
mengambil langkah-langkah yang sepatutnya bagi mengurangkan bengkak pada otak.
Dia mungkin berada dalam keadaan koma untuk beberapa jam lagi. Pakcik jangan
risau, anak pakcik akan selamat,” jelas doktor itu.
“Alhamdulillah..., syukur aku padaMU Ya Allah!” Kedua telapak
tangan diraup ke muka. Terasa lapang dadanya tatkala ini. Encik Ibrahim meraih
tangan doktor itu. Disalam kemas dan dienjut beberapa kali. “Terima kasih
doktor. Terima kasih banyak-banyak.”
“Sama-sama. Kami cuba lakukan yang terbaik,” balas doktor
itu lalu menuju ke katil pesakit lain. Encik Ibrahim dan Zul Hafiz berbalas senyuman
lega. Bimbang yang bersarang di dada mereka kini reda.
“Assalamualaikum!”
Encik Ibrahim dan Zul Hafiz berpaling. Salam dijawab
serentak.
“Oh! Kamu Milah,” sapa Encik Ibrahim.
Puan Jamilah menghampiri Puan Intan. Dihulur sepuluh jarinya
untuk bersalaman dengan Puan Intan. Huluran itu disambut lesu. “Macam mana keadaan
anak kamu, Intan?”
Puan Intan hanya menggoyangkan kepala. Tiada kata yang
mampu diucapkan.
“Doktor kata, dia tak apa-apa. Tak lama lagi sedarlah,”
balas Encik Ibrahim. “Nasib baik anak kamu nampak si Dhia ni, Milah. Kalau tak,
abang tak tahu apa yang jadi pada dia.”
“Itulah, bang Brahim. Mujur Ain terserempak dengan Dhia.
Kalau tak, entah bilalah kita tahu pasal Dhia ni,” keluh Puan Jamilah pula. Tangannya
mengusap belakang badan Puan Intan yang masih membisu. Simpati Puan Jamilah
mencurah-curah atas nasib malang yang menimpa temannya ini. “Saya tak sempat
nak tanya Ain tadi. Dia sibuk menguruskan Dhia sementara tunggu abang sampai. Abang
tahu apa yang jadi sebenarnya?”
“Ain telefon tadi pun cuma cakap Dhia kemalangan saja. Dia
cerita ada orang jumpa Dhia kemalangan dan orang tu hantar Dhia ke hospital ni.
Aku terus mintak tolong Zul hantarkan aku dan Intan ke sini. Bila aku sampai,
Dhia dah masuk wad. Ain pulak dah balik
KL,” jelas Encik Ibrahim. Matanya memandang keluar tingkap. Suasana sudah semakin
gelap. “Kita solat maghrib dulu, Zul. Milah, kamu boleh tolong temankan Intan?”
“Boleh bang.” Puan Jamilah mengangguk kecil. Pandangannya
beralih semula kepada Puan Intan. Dilabuhkan punggungnya di sebelah wanita itu.
Tangan Puan Intan diambil dan digenggam erat untuk memberi kekuatan kepada
temannya ini. “Sabar Intan. Insya-Allah..., Dhia tak apa-apa. Kita sama-sama
berdoa supaya dia selamat. Kalau kau nak apa-apa bantuan, aku ada dekat sini.
Aku akan tolong kau. Suami aku pun terpaksa duduk di wad dua tiga hari lagi.”
Tiada apa yang mampu dikatakan oleh Puan Intan. Mukanya
disembamkan ke bahu Puan Jamilah. Sisa-sisa air matanya tumpah lagi.
Usai solat maghrib, Encik Ibrahim dan
Zul Hafiz melangkah keluar dari surau.
“Zul! Abang pergi wad kecemasan sekejap nak
tanya pasal kemalangan Dhia pagi tadi. Sementara tu, kamu tolong belikan
makanan.” Encik Ibrahim mengeluarkan dompet dari poket belakang seluar. Not
lima puluh ringgit dihulurkan kepada Zul Hafiz Zahin. “Nah! Ini duitnya. Kamu
beli untuk kita bertiga dan kak Milah sekali.”
“Eh! Tak payahlah bang Brahim. Pakai
duit saya saja.” Zul Hafiz menolak perlahan tangan Encik Ibrahim.
“Janganlah macam tu, Zul. Dahlah kamu
tolong hantar abang dan kakak ke sini. Minyak kereta pun kamu isi. Takkan makan
pun kamu nak bayar jugak?” potong
Encik Ibrahim.
“Sudah! Simpan saja duit kamu tu,” kata
Encik Ibrahim lagi. Nadanya sedikit tinggi.
Zul Hafiz mengangguk kecil bila suara
lelaki di hadapannya ini bertukar tegas. Duit yang di hulurkan disambut.
“Nanti abang tunggu kamu di pintu lif
tu.”
“Baiklah bang,” balas Zul Hafiz. Sorotan
matanya menghantar langkah Encik Ibrahim menuju ke wad kecemasan. Dilepaskan
keluhan kecil. Kakinya lalu diatur ke kafeteria.
Di wad kecemasan, Encik Ibrahim terus menuju
ke kaunter pertanyaan lalu menyapa seorang jururawat perempuan keturunan India
yang bertugas di situ. “Selamat malam nurse.”
“Selamat malam. Ada apa-apa yang boleh
saya bantu encik?” balas jururawat itu penuh sopan. Senyuman manis terhias di
bibirnya.
“Boleh saya tanya tentang anak saya, nurse?”
Jururawat itu mengerut dahi. Hairan. “Anak
encik? Kenapa dengan anak encik?”
“Anak saya kemalangan pagi tadi. Saya
nak tahu apa yang jadi sebenarnya. Ada sesiapa boleh bantu saya?”
“Siapa nama anak encik?”
“Dhia Melati Binti Ibrahim. Sekarang dia
di wad 4A.”
“Sekejap ya, encik. Biar saya periksa
dulu,” balas jururawat itu. Tangannya lincah menekan beberapa punat di papan
kekunci. Seketika matanya meliar di skrin komputer membaca setiap maklumat yang
terpapar di skrin itu.
“Oh! Budak perempuan yang kemalangan diragut
pagi tadi. Sekejap ya, encik.” Jururawat itu berdiri dan menjengah melihat
sekeliling. Dia memandang ke pintu. Tangannya melambai kepada seseorang yang
berada di dalam kumpulan kecil di situ.
“Kak Nab! Kak Nab! Sini sekejap. Encik
ni nak tanya pasal anak dia. Budak yang kemalangan ragut pagi tadi tu.”
Encik Ibrahim beralih memandang ke arah
jururawat yang sedang menghampirinya. Dia tersenyum nipis kepada jururawat itu
lantas menyapanya. “Nurse.”
“Encik ni keluarga Dhia ke?” Jururawat
yang memakai tanda nama Zainab itu bertanya inginkan pengesahan.
“Ya, nurse.
Saya ayah Dhia,” balas Encik Ibrahim.
“Dah lama encik sampai? Dah melawat
Dhia?” soal Zainab lagi.
“Lama jugak nurse. Saya dari ataslah ni, melihat Dhia.”
“Mari kita duduk dulu, encik.”
Mereka menghala ke deretan kerusi berhampiran
kaunter pertanyaan. Setelah punggung masing-masing mencicah bangku, Encik
Ibrahim mula bersuara. “Saya nak tahu hal sebenarnya, nurse. Apa terjadi pada anak saya tu? Siapa yang selamatkan dia?”
“Macam ni sajalah, encik. Sebenarnya
kami pun tak tahu apa yang terjadi. Lelaki yang hantar Dhia ke sini pagi tadi
pun, tak dapat kami kesan lagi. Menurut kata lelaki tu, Dhia terlibat dalam
kemalangan ragut. Dia jugak menderma
darah kepada Dhia. Selepas selesai menderma darah, lelaki tu terus menghilangkan
diri. Kami tak sempat nak ambil butir-butir peribadi dia sebab masa tu kami
dalam keadaan kecemasan. Dia ada bagi
kad penderma darah tapi saya tak ingat pulak
apa namanya. Doktor pun sama, tak perasan sangat. Nasib baik kami bertembung
dengan rakan sekampung Dhia. Kalau tidak, kami buat report polis saja kerana tak ada sebarang pengenalan diri pada
Dhia,” cerita Zainab panjang lebar.
“Kalau macam tu tak apalah, nurse. Kalau boleh saya nak jumpa orang
yang dah selamatkan nyawa anak saya tu untuk ucap terima kasih.” Encik Ibrahim
terdiam seketika. Ralat sungguh rasa hati kerana tidak dapat berjumpa dan
mengenali lelaki itu.
“Memandangkan kita pun tak tahu siapa
dia, tak apalah. Biarlah Allah SWT saja yang balas jasa dan budi baik dia. Insya-Allah,
dengan izinNYA saya tentu jumpa dia satu hari nanti,” bungkam Encik Ibrahim
perlahan. Kata-kata itu lebih merupakan satu doa sebenarnya.
“Yalah, encik. Biarlah Allah SWT saja
yang membalasnya,” tambah Zainab pula. “Saya kena balik ni, encik. Saya mintak
diri dulu, ya. Encik jangan risau, insya-Allah anak encik tak apa-apa. Nurse-nurse di sini akan sentiasa
memantau keadaan anak encik,” sambung Zainab lagi.
“Terima kasih, nurse.” Encik Ibrahim berdiri selepas jururawat itu bangun untuk
beredar.
“Sama-sama,” balas Zainab dan berlalu
pergi.
Encik Ibrahim menyusun langkah keluar
dari wad kecemasan menuju semula ke lif tadi. Mindanya tertanya-tanya siapakah
gerangan lelaki yang telah menyelamatkan Dhia. Ingin sekali dia bertemu untuk menyatakan
penghargaan terhadap jasanya yang amat besar itu. Mudah-mudahan dia
berkesempatan menemui lelaki itu. Andai mereka bertemu akan dilakukan apa saja
yang termampu untuk membalas budinya. Itu janji dia.
******
Pintu pejabatnya kedengaran diketuk beberapa kali. Belum
sempat Ameal menyahut memberi kebenaran untuk masuk, pintu itu sudah pun
berkeriut dibuka. Dari pintu yang ditolak luas kelihatan satu susuk badan
memasuki pejabatnya.
“Hai bos! Mimpi apa hari ni? Ataupun buang tabiat?” sergah
Firdaus.
“Engkau ni Fir, ketuk sekali dua saja terus terjah
masuk.” Jeling Ameal sekilas. Matanya kembali tertumpu ke skrin komputer.
Kertas-kertas yang berteraburan di atas meja dibelek. Sesekali dia mencatat
sesuatu di atas kertas itu. Kemudian kembali semula memandang skrin komputer.
Sibuk sangat lagaknya.
Tanpa menunggu dipelawa, Firdaus terus duduk pada kerusi
di hadapan Ameal. Diperhati gelagat kawan baik merangkap bos nombor duanya ini.
Tidak pernah dia melihat Ameal bekerja setekun ini. Nampak beria benar Ameal
menyiapkan kerjanya. Firdaus diam tidak mahu bersuara. Takut mengganggu Ameal
pula.
“Ada apa kau cari aku ni?” tanya Ameal selepas beberapa
detik berlalu. Tangannya masih di papan kekunci.
“Kitakan dah janji nak main boling malam ni. Lama aku dan
Zack tunggu kau dekat bawah. Dah pukul tujuh lebih kau tak turun-turun jugak. Aku telefon kau tak angkat pula. Tu
pasallah aku naik atas ni cari kau,” jawap Firdaus panjang.
Ameal terhenti seketika. Pen pada jari diletakkan ke atas
meja. Direbahkan badannya perlahan ke penyandar kerusi. Jari-jemari meraut
rambut kemudian disulamkan sesama sendiri di belakang kepala. Pandangannya
mendarat di wajah Firdaus. “Aku betul-betul lupalah pasal tu! Sorry Fir. Aku tak boleh pergi. Aku
tengah sibuk. Pasal tu malas nak jawab telefon tadi. Amendment proposal aku ni tak siap lagi. Besok aku nak ke Jepun.”
“Itu yang aku pelik. Apasal
kau tiba-tiba rajin pulak? Tak pernah
aku tengok kau macam ni.” Firdaus tertawa kecil.
“Aku terpaksa habiskan semua kerja ni sebelum aku ke
Jepun besok. Lagipun aku dah letih dengar orang tua aku tu asyik membebel
nasihatkan aku tiap-tiap hari. Papa aku tu dah tua. Kesian pulak aku tengok. Dah tiba masa aku serius bantu dia di syarikat
ni.”
“Biar betul? Aku tak salah dengar ke ni? Selalunya kau
buat tak kisah saja bila papa kau berleter. Maknanya kau nak berubahlah?” usik
Firdaus disertai senyuman sinis.
“Bukan berubah semua. Aku cuma nak jadi baik sikit saja.
Kau pun kenal aku ni macam manakan?”
Firdaus ketawa. Dia faham dan kenal sangat dengan Ameal
ni. “Kau betul tak boleh pergi ni?”
Ameal mengangguk perlahan. Tangannya mencapai semula pen
di atas meja. “Kau dan Zack sajalah pergi.”
“Kalau macam tu tak apalah. Kalau kau tak ada, aku pun malas
nak pergi. Lebih baik aku ajak Juwita pergi dating.”
Firdaus bangkit dari kerusi. Sebelum dia melangkah dia mengenyitkan mata.
Ameal tayang kedua ibu jari. Senyum terukir di bibir. “Habis
tu si Zack macam mana?”
“Pandai-pandai dialah. Siapa suruh tak nak cari girlfriend,” jawab Firdaus disulam tawa.
Ameal turut tertawa perlahan sambil menggelengkan kepala.
Firdaus lebih kurang perangai dia juga. Selalu bersosial tetapi pasangannya seorang
tu sajalah, si Juwita. Budak kerani bahagian Purchasing. Kata Firdaus, pening kepala kalau pasang awek ramai sangat.
Takut tak boleh handle. Firdaus bukan
seperti Ameal. Womanizer! Bagi
Firdaus, Juwita hanyalah sekadar mengisi masa lapangnya saja. Calon Mrs. Firdausnya sudah ada.
Setelah Firdaus hilang di balik pintu, Ameal kembali menghadap
kerjanya. Seketika kemudian interkom di atas meja pula berbunyi.
“Meal! Datang ofis papa. Bawak sekali proposal tu.
Boleh kita buat dan semak sama-sama,” suara Encik Aidil membelah kesunyian.
“Okey pa! Sekejap lagi Meal datang.”
“Sebelum tu Meal telefon kantin. Order untuk papa nasi goreng kampung, telur mata kerbau dan sirap
laici. Mintak dia orang hantarkan ke ofis papa. Order untuk Meal punya sekali. Kita mungkin balik lewat malam ni,”
suara Encik Aidil lagi.
“Okey pa!” kata Ameal sepatah. Panggilan diputuskan.
Segera dia mengemas kertas-kertas yang bertaburan di atas meja. Kemudian
beralih pula ke komputer ribanya. Ditekan butang save untuk menyimpan setiap kerja-kerjanya tadi. Selepas itu,
butang shutdown pula diklik. Komputer
riba dan kertas-kertas itu diambil. Sebelum langkah diatur keluar dari pejabat dia
buat panggilan ke kantin dan memesan makanan untuk dia dan papanya.
Sambil mengatur langkah ke pejabat papanya Ameal
tersenyum sendirian. Buat julung-julung kali di dalam sejarah hidupnya dia pulang
lewat dari pejabat. Dan buat pertama kalinya juga, dia bersungguh-sungguh
melakukan kerjanya. Selama ni aku malas saja. Bukannya aku tak boleh buat, pujinya
kepada diri sendiri. Terasa bangga apabila dia mampu mengubah sikapnya.
Malam itu hampir jam dua pagi, baru semua kertas cadangan
siap sepenuhnya. Carta pai, carta graf berserta maklumat-maklumat penting yang
perlu dimasukkan juga sudah lengkap dan siap dicetak. Beberapa keping gambar
syarikat, kawasan kilang, kemudahan yang tersedia dan juga bahagian pengeluaran
serta mesin-mesin yang terdapat di syarikat mereka juga sudah disunting untuk
tayangan slide. Ameal tersenyum lega apabila
papanya berpuas hati dengan hasil kerjanya.
“Macam nilah yang papa mahukan dari Meal. Papa tahu Meal
boleh buat. Cuma Meal saja yang malas. Tak nak berusaha bersungguh-sungguh.
Harap-harap perubahan ini bukannya untuk sementara,” bodek Encik Aidil. Sengaja
memuji begitu biar berkobar semangat anaknya ini untuk terus berubah. Tak
adalah hangat-hangat tahi ayam candu saja.
“Meal cuba pa,” balas Ameal bangga. Hidung kembang dua
taman.
“Sekarang kita balik, berehat dan tidur secukupnya. Besok
tak payah masuk ofis. Tinggalkan proposal
ni atas meja Marissa. Besok Marissa boleh print
dan binding. Nanti papa suruh office-boy hantar rumah bila dah siap.”
“Baik pa.”
Sampai sahaja di rumah, Ameal terus membersihkan diri.
Biar terasa segar dan selesa sedikit badan yang letih sebelum berbaring di atas
katil empuknya. Ketika hampir terlena, wajah gadis yang berlumuran darah
melintas di dalam kepala. Segera dia bangkit semula dan menghampiri meja kerja.
Blazer yang tergantung di kerusi diambil
lantas secebis kertas yang disimpan di dalam kocek bahagian dalam dikeluarkan.
Selepas blazer digantung semula pada
kerusi dia kembali ke katilnya. BlackBerry di atas meja sisi tepi katil
dicapai, lalu mendail nombor yang tertera di atas cebisan kertas itu. Nada
dering berbunyi seketika.
“Helo, selamat pagi. Hospital Tuanku Jaafar. Kami sedia
membantu anda,” jawab seorang operator penuh ramah.
“Helo, boleh saya tanya mengenai keadaan seorang pesakit
perempuan yang ditimpa kemalangan ragut pagi tadi?”
“Maaf, encik. Peraturan telah menetapkan bahawa kami tak
boleh sewenang-wenangnya memberi maklumat tentang pesakit kami kepada sesiapa
selain ahli keluarga terdekat. Boleh saya tau encik siapa?”
“Saya yang hantar dia ke hospital pagi tadi. Saya cuma
nak tahu keadaannya saja.”
“Oh! Ya ke encik? Boleh berikan saya nama pesakit
tersebut,” pinta operator itu.
“Saya tak tahu,” balas Ameal.
“Saya cuba check
dalam sistem kami dulu, encik. Kalau tak ada nama pesakit mungkin susah sikit.
Sebentar ya encik,” kata operator itu lagi.
Hampir seminit berlalu.
“Ya encik. Kami ada satu kes kemalangan ragut pagi tadi. Dia
selamat.”
“Boleh saya tau siapa nama dia?” soal Ameal lagi.
“Namanya....”
Tuttt... Suara
di hujung talian tiba-tiba hilang.
“Helo! Helo! Helo!” Ameal jarakkan telefon dari telinga,
lalu dibawa ke hadapan mata. “Alamak..., time
ni la kau nak habis bateri pulak...”
Telefon diletakkan semula di atas meja sisi.
“Sekurang-kurangnya aku tahu dia selamat,” gumam Ameal
perlahan. Tubuh dihumbankan semula ke atas tilam. Penat sungguh rasanya hari
ini. Sedetik, dua detik, tiga detik, dia terus terlena selepas itu.
No comments:
Post a Comment