Bab 3
Seminggu berlalu. Rasa bosan sudah sampai tahap maksima.
Ini baru seminggu. Kalau lagi lama, mahunya meroyan. Dia perlu buat sesuatu.
“Huhhh...” Dhia mengeluh panjang. Semenjak balik, sudah
habis sebuah rumah dia bersihkan. Dari beranda sampai ke dapur, semuanya cantik
teratur. Dari laman depan hingga belakang rumah, bersih tak bersepah. Siap cat
rumah lagi. Macam nak berayalah pula. Berpuluh ringgit juga duit ayahnya habis
bila telinga ayahnya tidak tahan dengar dia asyik merengek minta dibelikan cat.
Hari ini, semua kerja-kerja rutinnya juga sudah selesai dilakukan. Memasak pun
menunya yang ringkas-ringkas saja. Hendak mengulai atau merendang memang dia tak
berapa pandai lagi.
Lepas ni nak buat apa? detik hati Dhia. Jenuh berfikir
apa lagi yang perlu dilakukan untuk menghilangkan rasa bosannya. Dia bukannya
spesies orang yang tahu duduk diam. Letih litak rasa satu badan, jikalau
seluruh tulang sendi tidak digerakkan. Boleh berkarat otak kalau dibiarkan.
Hendak jumpa sahabatnya, Ain Farhana sudah pulang semula
ke Kuala Lumpur. Siti Naufal pula sibuk menguruskan kedai jahit. Selepas
pertemuan mereka minggu lepas, hanya sekali saja Siti Naufal datang bertandang.
Itupun Siti Naufal singgah sekejap ketika dalam perjalanan balik dari pekan
Kuala Pilah. Siti Naufal tergesa-gesa hendak pulang kerana terpaksa menyiapkan tempahan
baju yang banyak diterima. Ayahnya pula jarang melekat di rumah hendak minta
tolong menghantarnya ke kedai Siti Naufal. Sentiasa sibuk dengan urusan kelab
belia dan JKKK kampung.
“Huhhh...” Dhia mengeluh lagi. Kalaulah dia tahu
menunggang motosikal, kan bagus. Jangankan motosikal, basikal pun dia tak reti
nak tunggang. Tak tahulah nanti, dia bawa motosikal ke, ataupun motosikal yang
bawa dia. Sahih, dalam parit depan rumah ni dia tertiarap.
Memang dari kecil lagi Dhia fobia kepada kenderaan beroda
dua. Peristiwa yang berlaku ketika dia berumur enam tahun buatkan Dhia sawan
bagai nak gila bila disuruh belajar menunggang basikal atau motosikal. Kali
pertama Dhia belajar menunggang basikal, dia gunakan basikal tua milik ayahnya.
Fizikal basikal tua yang besar serta berat tidak sepadan dengan tubuhnya yang
kecil. Tambahan basikal tersebut mempunyai palang di tengah, menyebabkan dia
sukar menunggang dengan baik. Palang basikal dikepit di bawah ketiak. Manakala
sebelah kakinya pula melalui bawah palang untuk diletakkan pada pengayuh
sebelah. Maka kedudukan badannya berada dalam keadaan yang senget.
Hendak dijadikan cerita, ketika itu Dhia memakai kain
baju kurung. Malang nasibnya, kain yang dipakai tersangkut pada rantai basikal.
Lalu berbelit di roda belakang. Akibatnya, Dhia jatuh tertonggeng dengan kain
terlondeh separas lutut di dalam parit di depan rumah. Kawan-kawannya ketawa
bagai hendak pecah perut. Berminggu-minggu dia tidak keluar rumah. Diajak
bermain pun dia tak mahu. Malu sungguh. Bertahun-tahun cerita jatuh basikal itu
menjadi bahan lawak teman-teman sepermainannya. Taubat nasuha Dhia tidak mahu lagi
belajar menunggang basikal. Itulah sebabnya sampai dah besar panjang begini pun,
Dhia masih tak reti menunggang motosikal dan basikal. Dia tak berani!
Sepanjang seminggu Dhia berada di rumah, Zul Hafiz sudah entah
berapa kali menunjukkan muka. Ada saja halnya. Nak ambil salinan minit
mesyuaratlah. Nak jumpa Encik Ibrahimlah. Nak benda itulah, inilah. Naik rimas
Dhia dibuatnya. Tahu-tahu sajalah, kalau Zul Hafiz datang siapa yang lebih
teruja. Tentulah Puan Intan. Dia minta Dhia buatkan airlah. Disuruh ambilkan
kuihlah. Ada saja yang diarah oleh ibunya. Seperti sengaja beri peluang kepada
Zul Hafiz berjumpa Dhia. Pandai betul Puan Intan mencucuk jarum. Sanggup bersusah
payah supaya angannya menjadi kenyataan.
Inilah antara perkara yang menjadi alasan paling kukuh
buat Dhia untuk segera bertindak. Lagi lama dia melayan sikap Zul Hafiz Zahin dan
juga kerenah ibunya, makin sebal kepala otaknya. Lemas rongga pernafasannya. Malam
ni, lepas makan dia mesti berbincang dengan ayahnya, putus Dhia. Dalam kepala, mula
mengarang ayat-ayat yang harus dituturkan bagi menawan hati orang tuanya itu.
“Harap ayah setuju,” doa Dhia.
Malamnya, usai makan malam Dhia tidak membantu ibunya
mengemas meja makan seperti biasa. Dia terus membancuh secawan kopi lalu dibawa
ke ruang tamu. Hairan Puan Intan melihat tingkah laku anaknya itu. Selalunya Dhia
tidak begitu. Tiba-tiba pula rajin membancuh air untuk suaminya tanpa perlu
disuruh. Mesti ada yang tak kena, Puan Intan serkap jarang.
Di ruang tamu, Encik Ibrahim tekun menonton Buletin Utama
di siaran TV3. Dhia menghampiri ayahnya dan meletakkan cawan air kopi di atas
meja.
“Air kopi ayah,” pelawa Dhia.
“Hmm... Biar situ dulu. Nanti ayah minum.” Pandangan
Encik Ibrahim beralih sekejap ke arah Dhia Melati. Kemudian matanya kembali semula
ke peti televisyen. Encik Ibrahim seperti isterinya juga. Sudah terhidu ada
sesuatu yang tidak kena pada Dhia.
“Ayah..., Dhia ada perkara nak cakaplah.”
Dah agak dah... Mesti ada sesuatu. Apalah agaknya ni,
tebak hati tua Encik Ibrahim. Matanya masih tidak beralih dari skrin
televisyen. “Dhia nak cakap apa?”
“Dhia nak mintak izin ayah ni.”
“Cakaplah. Mintak izin apa?” Tumpuan Encik Ibrahim
kembali semula ke wajah Dhia yang berdiri di sisinya. Air muka anaknya jelas tergaris
kerut keresahan.
Dada Dhia berombak laju. Nafasnya juga turut tidak
teratur. Pipi mulusnya pula sudah bertukar kemerahan. Adoi ai... Darah gemuruh datang dah... Tak kira! Aku kena cakap jugak ni. Bismillahhirrahmanirrahim... “Dhia
ingat besok nak pergi Senawanglah, ayah. Dhia nak pergi cari kerja. Boleh tak,
yah?”
Dhia berhenti seketika menelan air liurnya. “Peninglah
kepala duduk rumah tak buat apa-apa. Rasa macam membazir masa. Lagi cepat Dhia
bekerja, lagi cepat Dhia boleh bantu mak dan ayah.”
Encik Ibrahim teringat kata-kata Puan Intan tentang Dhia
minggu lepas. Betul juga kata isterinya. Tak ada lama mananya Dhia nak duduk memerap
di rumah. “Dhia rasa bosan ke duduk rumah?”
“Tak..., bukan macam tu. Dhia bukannya tak suka duduk
rumah. Maksud Dhia..., Dhia boring
asyik duduk rumah saja. Rasa bengap otak ni kalau tak berfikir.” Bukan ke bosan
dan boring tu maknanya sama? Ah! Balun
sajalah, janji ayah setuju, desis Dhia.
“Kalau macam tu, Dhia ikut ayah pergi pejabat persatuan
belia. Nanti ayah rekomen Dhia pada Tuan Pengurus. Mana tahu ada jawatan yang
sesuai untuk Dhia.” Encik Ibrahim utarakan cadangan. “Dhia pun suka buat
kerja-kerja kemasyarakatan ni kan? Nanti bolehlah bantu ayah jalankan
program-program kelab belia. Kelab belia pun kekurangan kakitangan untuk menyelia
program.”
Apa?! Ikut ayah pergi kelab belia? Oh! No... Selisih simpang malaikat empat
puluh empat. Tak nak! Lagi selalulah aku jumpa Abang Zul nanti. Aku lagi nak
lari jauh dari dia. Kalau dekat situ, alamatnya Abang Zul asyik nak berkepit
saja dengan aku. Eeee... ngerinya...
Pantas Dhia menolak.
“Tak naklah, yah. Bukan Dhia tak nak tolong. Dhia lebih
suka cari pengalaman baru. Lagi cepat Dhia bekerja, kan lagi bagus. Boleh Dhia
bantu meningkatkan ekonomi keluarga kita. Tak naklah jadi penganggur terhormat
lama-lama.” Dhia Melati memandang ayahnya bersama muka meminta simpati. Mintak-mintak
ayah setujulah, sisip doanya. Dia kemudian bersimpuh dan tangannya dilabuhkan ke
atas riba si ayah. Riak muka dihibakan lagi.
“Dengan siapa Dhia nak pergi? Takkan nak pergi sorang? Senawang
tu kan jauh? Lepas Dhia cari kerja besok, sempat ke Dhia balik sini semula?”
Encik Ibrahim tidak keruan. Hatinya berat hendak melepaskan Dhia pergi
sendirian.
“Senawang tu dekat saja, yah. Dhia pergi sorang, naik
bas. Ayah janganlah risau... Pandailah Dhia jaga diri nanti.” Dalam hati Dhia
tersenyum. Ayahnya hampir setuju nampaknya.
“Besok Dhia keluarlah awal pagi. Selesai cari kerja, Dhia
nak cari rumah sewa. Lepas tu, Dhia balik cepat-cepat. Dhia janji dengan ayah,
Dhia terus saja balik. Tak pergi mana-mana. Boleh ya ayah?”
Encik Ibrahim berfikir sejenak. Biarlah Dhia pergi. Lagi
pun niatnya baik, hendak membantu keluarga. Takkan nak halang pula. Memang itu
tujuannya dia menghantar Dhia belajar hingga ke menara gading, supaya Dhia
menjadi seorang yang berguna kepada keluarga dan juga masyarakat. “Baiklah.
Ayah izinkan, tapi dengan syarat. Hati-hati pergi besok. Dan..., balik awal.
Faham?!”
“Faham ayah.”
“Besok sebelum keluar mintak duit dulu dengan ayah.”
“Okey ayah. Terima kasih ya, yah.” Terus Dhia hadiahkan ciuman
di pipi kiri dan kanan Encik Ibrahim. Berseri-seri mukanya kegembiraan. Puan
Intan yang sedari tadi berdiri di balik langsir di antara ruang tamu dan dapur,
tersenyum mendengar perbualan dua beranak itu.
“Alhamdulillah.” Puan Intan panjatkan kesyukuran. Bangga
benar hatinya apabila Dhia Melati tidak seperti budak-budak muda lain yang
lebih suka menganggur tak buat apa-apa. Contoh terdekat, anak Wak Seman tu. Namun
terbesit juga rasa risau Dhia pergi seorang diri. Kalau berlaku apa-apa macam
mana?
Tanpa berlengah, langkah Puan Intan laju menuju ke meja
telefon. Ganggang diangkat dan beberapa punat nombor ditekan. Seketika bunyi
nada dering bergema dan selepas itu kedengaran suara di corong sana.
“Helo! Assalamualaikum. Kak Non, Intan ni. Zul ada tak
kak Non?”
Alahai mak dhia msti nk mntk zul temankn dhia.....mesti tension je dhia nnt
ReplyDelete