Total Pageviews

Sunday, May 3, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - 1



Bab 1
Wajah anak lelakinya ditenung tidak berkelip. Umur sudah mencecah 25 tahun tetapi perangai, tak matang langsung! Sudah berbuih mulut menasihatkan, namun Ameal tetap juga begitu. Suka berfoya-foya dan tidak serius membantunya di syarikat. Semua kerja yang diamanahkan, dibuat sambil lewa. Masuk kerja lewat. Balik pula awal. Mana ada masa nak siapkan kerja kalau begitu gayanya. Jika dibuat pun, semuanya tak berkualiti. Seperti melepaskan batuk di tangga.
“Kan dah banyak kali papa bagitau, papa nak tengok proposal Meal siap minggu ni. Hujung minggu depan kita dah nak meeting dengan Wakasugi Corp.”
“Nanti Meal bagilah pa...” Ameal berdecit. Tengah kening digaru walaupun tidak gatal.
Encik Aidil geleng kepala. Entah kenapa Ameal begitu liat hendak mendengar kata-katanya. Mungkinkah kerana mereka tidak begitu rapat selama ini? Sikap Ameal amat jauh berbeza dengan adiknya. Anya, biarpun baru berumur 20 tahun kematangannya mengatasi abangnya ini. Anya menuntut di KLMU. Ameal pun bekas graduan universiti yang sama. Kursus yang diambil juga sama. Anak businessman, tentulah course yang diambil Business Management. Namun entah apa yang silap, cara berfikir kedua-duanya amat berbeza.
“Baiklah. Papa bagi beberapa hari lagi untuk Meal siapkan.” Wajah anak lelaki mirip iras isterinya yang berketurunan Cina itu ditancap lagi. Ameal diam tidak membalas. Hanya goyangan kepala yang terangguk ke atas dan ke bawah memberi jawapan.
Bingkai gambar isterinya, Nurul Huda Qin Binti Abdullah yang terpamer di sudut meja kerja Ameal dicapai. Cadangan isterinyalah untuk meletakkan nama keturunan keluarganya ‘Qin’ pada nama Ameal dan Anya. Ameal Qin Amri dan Anya Qin Amri. Amri di hujung nama kedua-dua anaknya pula diambil dari namanya sendiri. Aidil Amri.
“Meal buatlah arwah mama rasa bangga dengan Meal. Buktikan Meal boleh meneraju syarikat milik keluarga mama ni,” suara Encik Aidil lagi. Memang dia yang memaksa kedua-dua anaknya mengambil jurusan pengurusan perniagaan itu. Pada hematnya, siapa lagi yang akan mengambil alih syarikat ini kalau tidak mereka berdua. Jadi mereka haruslah mempunyai ilmu yang cukup di dada sebelum syarikat ini diserahkan kepada mereka berdua nanti. Selepas Ameal menamatkan pengajiannya, terus dia menggesa Ameal berkerja. Dia pun tidak tahu sama ada Ameal boleh dikategorikan sebagai pekerja syarikat ini atau tidak, kerana Ameal lebih kerap tidak masuk ke ofis dari datang bekerja. Mungkin Ameal tidak berminat. Sebab itulah begini perangainya. Puas juga dia bersabar. Kadang-kadang sengaja dia beri Ameal tugasan supaya Ameal datang ke pejabat. Namun cara itu terbukti gagal. Bila diugut elaun bulanannya akan dipotong, barulah nampak sedikit perubahan tetapi itu pun sekejap saja. Lepas tu perangai lama Ameal kembali semula.
“Papa tahu, Meal mungkin tak suka tapi Meal dan Anya satu-satunya pewaris Masyhur Industries. Mahu tak mahu, Meal kena jugak pikul tanggungjawab tu. Meal fikirlah baik-baik. Papa keluar dulu.” Sudah naik berbuih mulutnya berleter. Pantang bersua muka, pasti dia akan menegur perangai Ameal, tetapi bercakap dengan Ameal ibarat mencurahkan air ke daun keladi. Tidak meninggalkan bekas langsung. Masuk telinga kanan berlumba-lumba keluar ikut telinga kiri. Bingkai gambar isterinya diletakkan semula pada tempat asalnya. Dia bangkit dari kerusi dan melangkah menuju ke pintu.
Ameal hempas tubuhnya ke penyandar kerusi. Keluhan berat dilepaskan. Bukan dia tak suka atau tak berminat untuk mewarisi syarikat milik arwah ibunya ini, cuma dia fikir belum tiba waktunya untuk dia bergiat serius. Dia mahu berseronok sementara darah masih panas. Kerana itulah masanya banyak dihabiskan melepak bersama kawan-kawan di pusat hiburan atau meluangkan waktu bertemu janji dengan kekasih-kekasihnya. Dia belum puas mengharungi zaman mudanya. Ameal tahu sikapnya ini buatkan dia selalu dimarahi oleh papanya. Dia buat tak endah saja. Sikit pun tidak ada yang melekat di otaknya.
Fail yang disemak oleh papanya tadi ditutup dan dihempaskan ke tepi. Komputer riba yang terbuka juga ditutup. Tak ada semangat langsung hendak buat kerja. Pening asyik kena bebel saja.
“Huh! Kalau Firdaus dan Zakuan ada, boleh jugak ajak keluar petang ni. Pergi main boling buat release tension. Apa hal tah dua-dua pun cuti,” rungut Ameal. Kekasih-kekasihnya kan ada? Apa susah! Segera BlackBerry di atas meja dicapai.
“Helo sayang... I jemput you sekejap lagi?”
Baru sangat Ameal masuk kerja dah nak keluar. Mana tak baran Encik Aidil dibuatnya.
******
Wajah Dhia ditatap lama. Rindu sungguh pada seraut wajah itu. Hampir setahun korneanya tidak mencerna iras Dhia Melati. Kalaulah tak kerana perjanjian mereka, memang setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dia ke sini. Sepanjang tempoh perjanjian, Osman, teman sekuliah Dhia diarahkan untuk memantau perkembangan gadis itu. Dia tak mahu Dhia dikebas orang. Mujur juga sebarang berita kurang enak tidak pernah sampai ke telinganya. Selepas dihubungi oleh mata-mata tak bergajinya itu baru-baru ini, segera dia mengatur rancangan untuk ke mari.
“Dhia...”
Penuh romantik lelaki itu memanggil namanya. Walaupun berlagu nada suara itu, namun di telinga Dhia rentaknya sumbang. Tidak merdu dan tiada indahnya. Melodi ke laut, irama ke bukit. Temponya? Ke langit!
“Abang datang ni sebab nak tuntut janji yang Dhia buat pada abang dulu. Sekarang Dhia dah habis final exam. Abang pun dah kerja. Abang rasa, tiba masanya untuk Dhia tunaikan janji Dhia dulu. Dhia ingat apa janji tu?”
Wajah Firdaus dipandang pelik. Aikkk! Bila masa dia berjanji? Tak ada ribut tak ada angin tiba-tiba datang tuntut janji, apa hal?
“Janji apa ni Firdaus...? Dhia mana pernah janji apa-apa?” soal Dhia semula. Sumpah dia tak ingat. Rasanya dia belum miong lagi. Hilang ingatan pun tak. Gila jauh sekali. Entah bila masa dia berjanji.
“Takkan Dhia dah lupa? Abang masih ingat lagi!” Suara Firdaus sudah berubah.
Dhia garu kepala. Lagak seperti berpuluh-puluh ekor kutu bermastautin di situ. Untunglah rambut yang panjang mengurai separas bahu ini jenis senang dilurut seperti iklan syampu Rejoice. Guna jari pun boleh. Kalau tidak, dah tentu serabai lebih hebat dari rambut hantu Kak Limah balik rumah.
“Betul... Dhia tak pernah janji apa-apa pun.” Dhia bertegas, tetapi kata-katanya masih bernada lembut. Wajah dimaniskan dalam paksa. Walaupun sebenarnya dia rasa macam nak muntah setiap kali Firdaus membahasakan dirinya ‘abang’ kepada dia. Hakkk tui! Abang konon. Tak tergamak lidah dia nak panggil Firdaus abang, sekalipun Firdaus tua setahun darinya. Nak kata adik-beradik tak. Abang saudara jauh sekali. Abang..., eeee..., tengak bulu keting.
“Mana boleh Dhia lupa?! Dhia yang janji, lepas Dhia habis belajar baru kita bincang pasal hubungan kita.” Keras suara Firdaus mengingatkan kembali. Dia pasti Dhia ingat semua itu. Yang sahihnya, Dhia betul-betul tak ingat apa-apa. Gadis itu mengerut dahi hingga bertaut kedua-dua keningnya.
Ada ke dia cakap macam tu? Ah sudah! Dhia mula kalut. Sumpah tak ingat! Akhirnya Dhia mengalah. “Okey! Kalau ada pun Dhia cakap macam tu, itu tahun lepas. Sekarang Dhia baru saja habis belajar. Dhia pun nak kerja jugak. Nak bantu mak ayah Dhia. Nak bantu adik-adik yang masih bersekolah. Dhia tak ada masa nak bercinta-cinta ni. Janji tu dikira mansuh saja boleh ke?”
“Abang bukannya nak ajak Dhia kahwin sekarang. Abang pun banyak benda lain nak buat sebelum kita kahwin. Abang nak beli rumah. Abang nak beli kereta. Bila kita kahwin nanti, Dhia boleh hidup senang. Selesa. Abang cuma nak kita jalinkan hubungan saja.”
Alamakkk! Alapakkk! Alagapas! Bengong betullah mamat ni! Dah cerita bab kahwinlah pula... Macam manalah dia nak tolak jiwang karat mamat sorang ni? Adoi ai...
Aaaa... Errr... Emmm...” Tiba-tiba dia dapat penyakit gagap. “Aaaa... Errr... Firdaus tahukan, Dhia tak pernah ada hubungan dengan mana-mana lelaki? Dhia tak biasalah dengan benda-benda macam ni.”
“Pasal tak biasalah, kena biasakan. Atau sebenarnya Dhia nak tolak cinta abang?!” soal Firdaus bila dia mula terasa hati dengan alasan-alasan Dhia yang tak masuk di akal. Lontaran suaranya juga sudah berubah. Melodi vokal tidak lagi selembut tadi. Tangan pula mencengkam kuat di lengan Dhia.
Gadis itu kurang senang dengan perbuatan Firdaus. Terasa sakit pangkal lengannya bila dicengkam kuat begitu. Mata penuntut lain yang berada di hentian bas dan teksi itu mula memandang ke arah mereka. Apa hal ni? Buat cerekarama ke atau telenovela? Mungkin itu yang terpacul di fikiran masing-masing. Dalam keadaan seperti ini, Dhia kena bijak bertindak. Kalau tidak, mamat sengal ni tentu buat adegan tarik-menarik tangan. Nanti, jadi siaran langsung drama realiti. Penontonnya pula, semua yang ada di hentian ini.
“Bukan macam tu... Dhia tak reti la benda-benda ni semua. Cintan-cintun ni Dhia tak pandai. Firdaus pun kenal Dhia ni macam manakan? Boleh tak kalau Firdaus bagi Dhia sikit masa lagi untuk berfikir?” Perlahan-lahan lengan ditarik dari genggaman Firdaus. Lelaki seperti Firdaus ni, kena guna kaedah psikologi. Seperti menarik rambut dalam tepung. Kena lembut dan perlahan. Kalau tidak, tepung memutih di muka. Dia perlu menggunakan jalan yang sama seperti ketika Firdaus mencurahkan perasaannya dahulu.
Anak mata Firdaus memandang tepat ke wajah Dhia. Seriusnya yang amat. Dahulu Dhia sudah meminta tempoh setahun. Sekarang minta diberikan masa lagi. “Berapa lama Dhia perlukan masa?”
“Masa? Errr... Aaaa...” Dhia berfikir. Berapa lama ya? Kalau dia beri satu jangka masa, bila cukup waktunya Firdaus mesti tuntut balik. Contohnya, hari nilah.
Aaaa... Errr...” Apa nak jawab ni? Aiseyman... Tiba-tiba Dhia terpandang sesuatu.
“Eh! Teksi dah sampai. Dhia nak balik. Zaira dah tunggu. Bye!” Sepantas kilat Dhia berlari meninggalkan Firdaus lalu mendapatkan sebuah teksi yang kebetulan berhenti di perhentian itu untuk menurunkan penumpangnya. Belum sempat penumpang tersebut turun, Dhia sudah melompat masuk ke dalam perut teksi itu. Mujur tidak ada penuntut lain yang berebut dengannya. Kalau tak, sah-sah ada yang kena tumbuk.
“Pakcik! Pakcik! cepat jalan,” arah Dhia kepada pemandu teksi seraya tangan menepuk beberapa kali belakang kerusi pemandu. Cemas. Firdaus yang ditinggalkan langsung tidak dipandang. Cuma ketika teksi itu mula bergerak, barulah dia terdengar Firdaus memanggilnya. Dia pkakkan saja telinga.
Fuh! Lega. Lepas satu seksa hari ini,” omel Dhia perlahan. Kalau boleh dia tak mahu jumpa lagi lelaki tu, tetapi bagaimana? Kali ini dia mungkin terlepas. Firdaus bukannya jenis cepat mengalah dan putus asa. Firdaus sanggup buat apa saja semata-mata nak puaskan hatinya sendiri. Jika lelaki itu datang lagi menagih janji, macam mana? Apa harus dia buat? Apa lagi alasan dia? Bagaimana dia nak mengelak? Mana nak lari? Balik kampung? Boleh saja Firdaus mencari dia sampai ke kampung. Firdaus bukannya tak tahu kampung dia di mana. Kalaulah Firdaus cari hingga ke rumah orang tuanya, lagi haru. Apa nak beritahu kedua ibu bapanya nanti? Gila! Harus bersimpul-simpul urat saraf otak fikir tentang Firdaus. Sudahnya, sasau pula dia nanti.
Sementara itu di perhentian bas tadi, Firdaus masih lagi tercegat di situ. Termangu-mangu ditinggalkan oleh Dhia Melati.
“Tak mengapa Dhia. Nanti abang datang jumpa Dhia lagi,” tekad Firdaus. Buntut teksi yang semakin jauh dipandang tidak berkelip. Tiba-tiba, terbit sesuatu di fikirannya. Segera dia mendapatkan  motosikal Kawasaki 250 yang diparkir di pinggir jalan. Enjin pantas dihidupkan dan terus memecut laju ke destinasi yang baru saja terlintas di mindanya sebentar tadi.
Sampai saja di rumah sewa, teman serumah Dhia, Zaira dan Fairus sudah sedia menunggu di beranda. Zaira tarik muncung sedepa kepada Dhia. Semalam, mereka berjanji mahu ke pasar pada pagi ini untuk membeli barang-barang keperluan memasak bagi majlis perpisahan mereka malam nanti. Teringatkan itu, segera Dhia membayar wang sewa teksi. Dia kemudian melangkah laju menghampiri Zaira dan Fairus.
“Kenapa lambat sangat? Lama kita orang tunggu!” suara Zaira tegas. “Lambat pergi pasar apa yang ada?” sambung Zaira lagi. Fairus di sebelah hanya diam. Tak ada hati nak menambah. Kalau dia mencelah, alamatnya tidak ke pasarlah mereka nanti.
Sorry la... Aku terserempak dengan Firdaus tadi,” jawab Dhia. Sebut saja nama Firdaus ni pun, naik angin kus-kus. Geram!
“Hah! Apa? Firdaus datang jumpa kau? Bila? Dekat mana? Dia nak apa? Apa dia cakap?” aju Zaira. Kerut marah di muka terus hilang. Perihal Dhia dan Firdaus itu memang dia tahu sangat. Seorang lelaki yang separuh nanar gilakan seorang perempuan yang hatinya diperbuat daripada batu. Keras dan kaku. Perasaan cinta tak pernah ada untuk lelaki. Itu yang buat dia beria-ia ingin tahu.
“Haahlah Dhia. Apa hal mamat tu jumpa kau?” soal Fairus pula. Sudah lama tak dengar kisah Dhia dan Firdaus. Tiba-tiba timbul semula cerita mereka. Pelik juga.
“Dia datang nak tuntut...,” kata-kata Dhia mati di situ apabila terdengar bunyi hon motosikal ditekan bertalu-talu. Pantas kepala mereka serentak beralih ke arah jalan raya di depan rumah.
“Adoiii... Mamat ni datang sini pulakkk... Mati aku kali ni!” gumam Dhia.
“Sampai sini dia cari kaulah,” suara Zaira.
“Habislah kau kali ni Dhia,” tokok Fairus pula.
“Apa aku nak buat ni?” Dhia garu atas kepala tanpa sebab. Kali ini seperti berkepuk-kepuk pula kelemumur berada di atas kepalanya. Anak mata bersilih ganti memandang Zaira dan Fairus, seperti meminta bantuan agar dia diselamatkan dari lelaki itu.
“Apa lagi? Pergilah jumpa. Kau bukannya tak tau Firdaus tu macam mana,” ulas Zaira. Faham sangat dengan fiil Firdaus tu.
“Malaslah aku...”
“Dia dah ada depan rumah ni, macam mana pulak kau tak nak jumpa dia? Kau kena selesaikan hal kau orang berdua,” nasihat Fairus pula. Jika dibiarkan, memang takkan aman hidup Dhia asyik diganggu oleh Firdaus. Kasihan Dhia nanti.
“Ini yang aku lemah ni. Mamat tu bukannya faham apa aku cakap. Tak reti bahasa langsung. Nak aku cakap bahasa Nepal agaknya, baru dia faham.” rungut Dhia.
“Sejak bila kau pandai bahasa Nepal? Belajar dari Bahadur Gurung tukang sapu tu ke?” Zaira tersengih.
Dhia menjeling. “Buat lawak tak kelakar pulak kau masa ni! Aku kunyah kau karang, baru kau tahu!” Dhia mengetap bibir menahan geram.
“Pergi sajalah! Kalau tak nanti lagi lambat kita ke pasar,” gesa Zaira. Tangannya menolak tubuh Dhia perlahan.
“Yalah... yalah...” Dengan langkah longlai Dhia kembali menghampiri pintu pagar.
“Assalamualaikum Dhia,” sapa Firdaus sebaik sahaja gadis itu berhenti di hadapannya.
“Kenapa datang sini?” Terus disoal tanpa menyambut ucap sejahtera lelaki itu. Pura-pura tidak dengar. Hati kurang senang bila Firdaus sanggup menjejaknya hingga ke sini.
“Dhia belum bagi jawapan, sebab tu abang datang sini. Abang kena tau apa jawapannya, Dhia. Dah setahun abang tunggu. Dhia jugak yang janji.” Firdaus mendesak.
Memang dia ni bangsa orang yang tak reti bahasa gamaknya. Aku tak suka kaulah! Kau tahu tak...? Bengong! gerutu hati Dhia. Agak lama dia diam dan berfikir. Entah jawapan yang macam mana nak diberikan, dan entah bagaimana bunyi jawapan pula yang ingin Firdaus dengar.
“Baiklah. Kalau jawapan yang Firdaus mahukan, okey Dhia bagitau. Apa yang Dhia boleh cakap sekarang, kita berkawan saja dulu. Bagi Dhia masa untuk terima Firdaus. Berapa lama? Dhia tak boleh tetapkan. Soal hati tak boleh tergopoh-gopoh. Kita kenal hati budi masing-masing, kemudian baru kita ambil langkah seterusnya. Boleh?” Ini jawapan paling selamat buat masa sekarang. Jawapan yang boleh mengelakkan dia dari terus didesak oleh Firdaus.
Kini giliran Firdaus pula terdiam. Dia berfikir sejenak. Ini satu perubahan dan permulaan yang baik. Dia tahu gadis di hadapannya ini memang terlalu sukar untuk didekati, lebih-lebih lagi manusia berjantina lelaki. Sekurang-kurangnya Dhia Melati sudah membuka ruang untuk mereka berkawan. Ini memberi peluang untuk mereka jadi lebih rapat. Selepas itu, ambil langkah seterusnya. Masuk ke fasa sebagai kekasih pula. Cuma dia perlu bersabar sedikit masa saja lagi.
“Baiklah. Abang setuju.” Angguk Firdaus laju. Senyumannya meleret di bibir.
“Okey. Sekarang Dhia ada hal dengan kawan-kawan Dhia. Dhia pergi dulu.” Dhia terus berlalu meninggalkan lelaki itu.
“Okey Dhia, nanti kita jumpa lagi ya? Abang balik dulu tau,” beritahu jejaka itu. Berbunga hati lelakinya. Senyumannya turut menemani setiap langkah Dhia. Langsung dia tidak ambil hati sikap dingin yang ditunjukkan oleh gadis itu sebentar tadi.
Dhia terus saja berjalan. Wajah Firdaus tidak dikerling sedikit pun. Apatah lagi hendak menyahut kata-kata lelaki itu. Menonong dia mendapatkan Zaira dan Fairus semula. Selepas Dhia jauh darinya, barulah Firdaus menghidupkan semula enjin motosikalnya dan beredar dari situ.
“Macam mana, dah selesai?” tanya Zaira.
“Sementara waktu ni dah,” suara Dhia dalam. Penuh bermaksud. Selepas ini entah berapa kerap lagi lelaki itu akan mengganggunya.
Usai memasak, Dhia terus ke kamar tidur. Selepas agak lama Dhia tidak muncul semula di dapur, Zaira masuk ke bilik mencari sahabatnya itu. Patutlah dipanggil tak menyahut. Rupanya tengah syok buat tahi mata!
“Dhia!” Tubuh yang meringkuk di tepi katil dipandang tidak berkelip. Tiada tindak balas dari Dhia. Dia menghampiri birai katil.
“Dhia! Bangun la... Sampai pukul berapa kau nak membuta ni?” Sekali lagi Zaira bersuara. Dhia masih senyap. Ada senyuman tersungging di bibirnya.
“Hoi!” Pinggul Dhia ditepuk kuat.
“Oi mak kau rimau!” Bingkas Dhia menolak tubuhnya tetapi tidak kena cara. Dia jatuh tergolek dari katil. Punggung pipih mencium ke lantai.
“Aduh! Apa ni Zaira? Sakitlah punggung aku,” rungut Dhia sambil mengusap punggungnya.
“Kau nak bunuh aku ke, kejutkan aku macam ni? Nak tercampak jantung aku. Tak boleh ke kejut elok-elok sikit?” Sakit betul punggungnya dipukul tangan gebu Zaira. Perit bertambah selepas terjatuh ke atas lantai. Kepala pula pening kerana bangun mendadak.
“Sedapnya mulut kau mengata mak aku rimau? Ooo, tahu sakit. Tekak aku ni lagi sakit panggil kau dari tadi,” tempelak Zaira. Kedua tangan dicekak ke pinggang. Gaya mak tiri sedang marahkan anak tiri.
“Bila kau panggil aku? Aku tak dengar pun?” Dhia genyeh matanya yang masih pisat.
“Mana nak dengar kalau tidur mati. Entah apalah yang kau mimpikan sampai tersengih-sengih. Kau tu kalau dapat tidur tak ingat dunia. Tak elok tidur lama-lama. Tidur yang disunatkan lepas waktu zuhur saja. Itu pun sekejap. Ini tidak, kau tidur dari lepas zuhur tadi terlangsung sampai asar. Kalau tak dikejutkan, agaknya sampai besok kau membuta,” bebel Zaira panjang.
“Aku penatlah tolong kau masak tadi,” balas Dhia Melati sambil merenung redup ke arah Zaira minta dikasihani.
“Yalah, yalah. Aku tahu kau penat, tapi bangunlah... Takkan nak tidur sampai besok kut,” intonasi suara Zaira sedikit kendur cuba memujuk.
“Alah..., sekejap lagi la. Aku nak sambung mimpi. Aku mimpi lelaki tu lagi, Zaira.” Dhia panjat katil bersaiz kelamin. Batang tubuhnya kembali direbahkan ke atas tilam. Buntang mata Zaira mencerlung bila gadis itu merengkot semula di atas katil. Zaira tahu mimpi apa yang dimaksudkan oleh Dhia.
Dia nak membuta balik! Tak boleh jadi ni. Tangan Dhia dicapai lalu ditarik.
“Nak sambung mimpi? Jangan harap! Entah-entah kau mimpikan Firdaus. Kau kan baru jumpa dia pagi tadi. Tentulah terbayang-bayang. Siap mimpi bagai,” sakat Zaira. Sengaja dia menyebut nama lelaki itu. Dhiakan alergi dengan nama Firdaus. Untung-untung cepat gadis itu bangkit.
Choiii! Selisih simpang malaikat empat puluh empat aku mimpikan dia.” Muka Dhia mencuka. “Dibayar pun aku tak hingin la mimpikan dia tu!”
Zaira tersengih melihat wajah Dhia berubah. “Sudahlah, cepat bangun! Kan kau kena pergi ambik kek. Tak ingat ke?”
Sebaik sahaja Zaira menyebut soal kek, segera Dhia menolak tubuhnya meninggalkan tilam. Dia baru teringat. Kantuknya terus hilang.
“Alamak! Aku lupa betul la. Sekarang jugak aku pergi.” Pantas Dhia melompat turun dari katil dan melulu ke muka pintu.
“Oi oi cik kak! Kut ya pun pergi mandi dulu. Lepas tu sembahyang. Barulah pergi. Apa punya anak daralah kau ni Dhia? Rambut tu serabai. Nanti orang ingat kau tu pontianak kesiangan.”
“Eh! Nak kena mandi dulu ke?” Langkah Dhia Melati mati di muka pintu.
“Ya Cik Dhia... Takkan nak pergi ke pekan dengan air liur basi kau tu?” tegur Zaira lagi. Kepalanya digelengkan. Dhia rapatkan semula daun pintu dan berlari pula ke arah bilik air. Zaira tersenyum melihat. Entah apa perangai! getus Zaira.
Hari ini merupakan hari terakhir mereka tinggal serumah. Esok, mereka akan pulang ke kampung masing-masing. Janet pulang ke Sabah. Khairun Nisa dan Yang Bainun kembali ke utara. Zaira dan Fairus pula, ke Johor. Dhia saja yang tidak ke mana-mana. Dia anak jati Negeri Sembilan. Seumur hidupnya hanya berpijak di negeri ini. Hendak merantau atau makan angin ke tempat lain, berangan sajalah. Ayahnya pasti tidak izinkan. Takut sangat nak lepaskan dia pergi jauh-jauh. Sambung belajar pun disuruh ambil di IPTA berdekatan dengan kampung saja.
Hampir satu jam selepas itu, Dhia tiba di hadapan kedai kek. Sebaik sahaja turun dari teksi, pantas dia berlari ke arah pintu kedai. Dia mesti segera. Kalau tidak, tak sempat sampai semula ke rumah sebelum pukul enam setengah petang. Jawabnya kena bebel lagilah dengan Zaira.
“Adik! Duit tambangnya mana?” Pemandu teksi menjerit kepada Dhia. “Teksi abang ni bukan guna air. Kalau air, nak naik free pun boleh!”
Dhia yang sedang menolak pintu kedai terbantut langkah. Dia berpatah semula menghampiri teksi tersebut. Amboiii, tingginya budi bahasa pakcik teksi ni. Dengan muka yang dibuat-buat manis dia berkata, “maaflah pakcik. Saya bukan nak naik free. Saya pergi ambik kek sekejap. Pakcik tunggu dekat sini. Lepas ni pakcik hantar saya balik ke rumah tadi semula. Nanti saya bayar. Boleh?”
Meluat Dhia kepada pemandu teksi tua tak sedar diri ini. Ini sorang lagi, ‘abang’ konon. Hakkk tuih! gerutunya.
“Ooo, cakaplah siang-siang nak suruh abang tunggu. Ni tak, main blah macam tu saja. Ingatkan nak lari tak nak bayar tambang,” balas pemandu teksi tersebut sambil tersenyum kambing kepada Dhia. Kurang asam keping punya budak. Ada ke dia yang belum tua ni, dipanggil pakcik. Buta ke apa? Penat saja bergaya mengalahkan John Travolta. Cis! Pemandu teksi mengomel dalam hati.
Ceh! Tengok muka pun tau umur baya bapak aku. Perasan nak suruh aku panggil dia abang. Pergi daa...! rengus hati Dhia pula. Dia berpaling. Tiba-tiba... Buk! Dhia jatuh terduduk. Mujur juga pakai seluar. Kalau tidak, haru!
“Adoi! Sejak bila ada tiang lampu depan kedai ni? Tadi tak ada pun!” Dahi digosok. Mata pula berpinar. Kemudian punggung yang terasa perit diusap. Hari ini saja sudah dua kali punggungnya mencicah lantai. “Kalau hari-hari macam ni, boleh retak tulang punggung aku ni.”
“Eh Dhia! Dhia tak apa-apa ke? Abang mintak maaf ya.”
Aik! Sejak bila tiang lampu boleh bercakap?” Dhia mendongak. Wajah si empunya suara jelas terpampang.
“Dhia maafkan abang ya. Abang tak sengaja. Dhia okey tak?”
“Eh! Abang Zul.” Mujurlah lelaki ni dia kenal. Kalau tidak, buat malu saja. Zul Hafiz Zahin, itulah lelaki yang dilanggarnya sebentar tadi. Lelaki yang amat rapat dengan kedua orang tuanya. Atau lebih tepat lagi, Zul Hafiz Zahin merupakan adik angkat ibu dan ayahnya semenjak orang tuanya itu menjadi penasihat dan penaung Kelab Belia 4B kampung mereka empat tahun yang lepas.
Zul Hafiz membongkokkan sedikit badannya dan menghulurkan tangan kanan untuk membantu Dhia berdiri semula. Dhia cuma memandangnya sambil tersenyum.
“Tak apa, Dhia okey. Sakit sikit saja.” Lantas Dhia bangun tanpa menyambut huluran tangan jejaka itu. Punggungnya ditepuk perlahan bagi membuang habuk dan pasir kaki lima kedai yang melekat pada seluar.
Zul Hafiz sedikit terasa hati. Huluran tangan yang tidak disambut segera ditarik semula ke sisi. Tebal mukanya. “Betul Dhia okey ni?”
“Dhia tak ada apa-apa,” jawab Dhia perlahan. Berlakonlah sikit... Mahunya tak sakit? Jatuh terduduk tu. Sudahlah punggung dia ni bukan jenis berisi padat.
 “Dhia buat apa dekat sini? Tak balik kampung ke?” Soalan diajukan oleh Zul Hafiz selepas itu.
“Besok baru Dhia balik kampug. Dhia nak ambik kek yang kawan Dhia tempah hari tu.”
“Kek? Birthday kawan ke?”
Eee... Banyak tanya pulak abang Zul ni. Gadis itu mula rasa kurang enak apabila Zul Hafiz Zahin mengaju banyak soalan.
“Eh! Tak adalah. Malam ni kawan serumah Dhia nak adakan jamuan perpisahan. Kan dah habis belajar. Jadi nak raikanlah sebelum kami berpisah,” terang Dhia sebaik mungkin. Tidak mahu disoal panjang lebar oleh jejaka itu.
“Ooo..., macam tu ke?” Terangguk-angguk kepala Zul Hafiz Zahin tanda memahami penjelasan Dhia itu.
“Abang buat apa dekat sini? Dating dengan awek ya?” Sengaja Dhia menyoal dalam nada mengusik bagi menutupi rasa kurang senangnya dengan kemunculan Zul Hafiz yang tiba-tiba.
“Eh! Tak adalah. Siapalah yang sudi dengan abang ni Dhia,” balas Zul Hafiz penuh bermakna. Dijeling sedikit wajah gadis di hadapannya ini.
“Abang beli ubat mak dekat farmasi sebelah ni,” tambah Zul Hafiz lagi. Wajah Dhia yang dikerling buatkan naluri lelakinya bergetar hebat. Jantung berdetak pantas. Lalu muka ditundukkan. Jari-jemari bermain-main dengan rakaian kunci di tangan.
“Dik! Cepatlah sikit. Berapa lama abang nak tunggu ni? Depan kedai ni tak boleh parking lama. Nanti datang ‘kuda putih’ kena saman pulak abang. Siapa nak bayar saman tu?” jerit pemandu teksi tadi. Sudah hampir lima minit dia menunggu di situ. Zul Hafiz berpaling memandang ke arah lelaki tersebut dan mengangkat tangan meminta pemandu teksi itu menunggu sebentar.
“Dhia tunggu sekejap ya,” arah Zul Hafiz. Dia kemudiannya mendekati pemandu teksi.
Dhia perhati dari jauh. Dia tidak tahu apa yang ingin dilakukan oleh teruna itu. Kelihatan Zul Hafiz berkata sesuatu kepada pemandu teksi. Seketika kemudian Zul Hafiz mengeluarkan beberapa helai wang kertas dari poket bajunya lantas dihulurkan kepada pemandu teksi tersebut. Sejurus selepas itu teksi mula bergerak.
“Pakcik! Pakcik! Tunggulah!” jerit Dhia cuba mengejar.
“Biarlah Dhia. Nanti abang hantar Dhia balik,” ujar Zul Hafiz selepas menarik lengan Dhia.
“Tak apalah bang. Nanti menyusahkan abang.” Dhia menolak. Teksi dah lesap. Nak balik naik apa karang? Leceh betul! Nak hantar aku pulak. Nanti budak-budak rumah nampak, mesti kaw-kaw punya kena gosip, tukas hati Dhia. Apalah malang nasib badan. Tak sudah-sudah bertemu muka dengan lelaki yang buat dia kekurangan oksigen. Pagi tadi, Firdaus. Petang ni, Zul Hafiz Zahin pula. Boleh semput nafas. Dalam satu hari ini, memang tak boleh hidup dengan aman gamaknya. Dah terkena sumpahan apalah agaknya? Nampaknya dia kena mandi air tolak bala. Eh! Ada ke mandi yang macam tu?
“Tak ada apa yang susahnya. Tak apa, abang hantarkan Dhia balik. Dah! Pergi cepat ambik kek kawan Dhia tu. Nanti lambat pulak.”
Lambat!? Cepat Dhia melihat jam di tangan. Alamak! Dah pukul enam suku. Sekejap lagi kalau lambat tentu mak tiri tu membebel. Nak tak nak terpaksalah juga dia terima pelawaan Zul Hafiz.
“Cepatlah Dhia. Termenung pulak dia.”
“Hah?! Okey! Abang tunggu sekejap.”
Dhia melepasi pintu kedai dengan ditemani anak mata Zul Hafiz Zahin. Dari pandangan lelaki itu jelas terpancar satu perasaan maha halus. Ada rasa yang sudah lama berputik untuk Dhia. Rasa yang disembunyikan jauh di dalam lubuk hatinya sejak lama dulu. Zul Hafiz mendesah perlahan.
Sepuluh minit selepas itu kereta Zul Hafiz tiba di hadapan rumah sewa Dhia. Segera dia keluar dari kereta lalu membuka pintu untuk Dhia. Kemudian dia buka pula pintu belakang dan mengambil kotak kek di atas kerusi lalu dihulurkan kepada Dhia.
“Terima kasih hantar Dhia balik,” ucap Dhia mendatar seraya tangan menyambut kotak kek dari tangan Zul Hafiz.
“Dhia masuk dulu. Tak manis kita berbual lama-lama dekat luar ni. Nanti jiran tetangga nampak, apa pulak kata dia orang.” Dhia mahu segera pamit supaya Zul Hafiz cepat beredar. Dia risau rakan-rakan serumahnya terlihat kehadiran Zul Hafiz. Leher dipanjangkan ke arah rumah mencari kelibat rakan-rakannya. Dia kemudian memandang semula ke arah Zul Hafiz. Lelaki itu masih berdiri di hadapannya. Bila nak blah ni? getus gadis itu kurang senang.
“Dhia masuk dulu ya bang,” mohon Dhia sekali lagi. Tanpa menunggu jawapan dari Zul Hafiz, dia memusingkan badannya seratus lapan puluh darjah dan membuka pintu pagar.
“Dhia sekejap!” Zul Hafiz menahan. Tadi, masa ada peluang tak mahu pula dia bersembang. Mulut diam seribu bahasa. Sepanjang perjalanan senyap saja. Walhal jiwa meronta ingin meluahkan apa yang dirasa. Namun tak terucap walau sepatah kata. Tiada kekuatan untuk menyatakannya. “Dhia nak balik besok kan? Ada apa-apa yang Dhia nak kirim ke? Besok tak adalah banyak sangat barang Dhia nak bawak balik.”
 “Tak apalah bang. Barang-barang Dhia tak banyak,” tolak Dhia sopan. Walaupun dia tak berapa nak suka dengan Zul Hafiz, air muka lelaki itu harus dihormati. Bak kata orang tua-tua, orang berbudi kita berbahasa.
“Abang sekadar nak menolong. Dah kebetulan abang ada dekat sini, biarlah abang bawak balik barang-barang Dhia tu. Ataupun, besok abang datang jemput Dhia. Senang sikit,” ujar Zul Hafiz. Dia cuba memancing. Moga sifat ambil beratnya ini bisa buat Dhia faham segala yang tersirat di hati.
“Hah?! Abang nak jemput Dhia? Eh! Tak apalah. Abang tak payah susah-susah. Dhia boleh balik sendiri. Abang tunggu sini kejap, Dhia pergi ambik beg. Abang tolong hantar rumah ya.” Dhia terus melangkah pergi. Daripada Zul Hafiz datang menjemputnya besok pagi, lebih baik dia kirimkan barangnya. Hai...lah lelaki sorang ni. Memang macam-macam betullah! Tak tahulah kenapa muka kacak Zul Hafiz yang mengalahkan Norman Hakim tu dia tak pandang. Bila difikirkan, ngok betul dia ni. Rasanya, Zul Hafiz tu tiga kali lebih kacak dari muka ala-ala Shah Rukh Khan Firdaus. Dah hatinya tak suka, nak buat macam mana. Bukan dia tak tahu, apa yang lelaki itu cuba lakukan. Ini bukan kali pertama.  Sudah acap kali Zul Hafiz berusaha untuk rapat dengannya. Dia saja buat tak tahu. Macam-macam cara dilakukan bagi menjarakkan mereka. Namun Zul Hafiz tak pernah faham.
Jejak sahaja kaki ke lantai rumah, terus rakan-rakan serumah Dhia mengerumuninya.
“Siapa tu?” tanya teman-teman serumah Dhia hampir serentak. Lepas ni, gerenti kena gasak dengan soalan-soalan merapu kawan-kawannya. Sahih dia akan ditanya bermacam-macam tentang Zul Hafiz. Silap hari bulan yang bukan-bukan disoal. Bila nak bertunang? Bila nak kahwin? Berapa hantaran? Majlis kahwin nak tema apa? Berapa orang nak anak? Bukan boleh percaya sangat dia orang ni semua.
“Nantilah aku cerita. Aku nak ambik barang aku dulu. Nah Zaira, kek kau!” suara Dhia sedikit sebal. Kotak kek diletakkan ke atas meja sisi tepi tangga tanpa menunggu Zaira menyambutnya. Sebab kek itulah dia terpaksa menghadap muka Zul Hafiz Zahin petang ini.
Selang beberapa minit, Dhia turun semula dari tingkat atas sambil tangannya mengheret sebuah beg besar. Terus saja Dhia keluar dan menghala ke pintu pagar. Rakan serumahnya yang berkumpul di tepi tangga tadi meluru pula ke pintu memerhati.
Sebaik melihat Dhia, segera Zul Hafiz hampiri gadis itu dan mengambil beg dari tangan Dhia.
“Mak oi! Apa isinya ni, batu ke baju?” Zul Hafiz berlelucon. Dhia senyum kelat. Senyuman yang dilemparkan jelas tidak ikhlas.
“Nanti abang kirim salam pada mak dan ayah. Bagitau dia orang Dhia balik besok.” Tanpa berlengah Dhia segera memberi salam dan terus berpaling meninggalkan Zul Hafiz. Lelaki itu terkulat-kulat melihat Dhia pergi tergesa-gesa. Perlahan salam gadis itu disambut. Redup pandangannya menemani hayunan laju setiap langkah Dhia.
“Kenapa susah sangat abang nak dekati Dhia?” keluh Zul Hafiz.

3 comments: