Total Pageviews

Wednesday, May 20, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - 11




Bab 11
Waktu ini masuk jam yang ke lima dia berada di dalam bas. Kalau nak diikutkan, perjalanan dari kampungnya ke Senawang tidaklah memakan masa begitu lama. Disebabkan bas berhenti di beberapa tempat untuk mengambil pekerja-pekerja di daerah lain, perjalanan mereka menjadi begitu panjang. Itu belum termasuk lagi mereka singgah untuk makan tengah hari dan solat zuhur.
Badan mula melekit-lekit. Kepala sudah naik gatal-gatal. Seperti penghawa dingin bas ini tidak berfungsi. Tubuh pula semakin letih. Cepatlah sampai, doa Dhia. Bukan disebabkan keadaan dirinya yang mula rasa tidak selesa, sebenarnya perasaan tidak sabar untuk memulakan agenda baharu dalam hidupnya.
“Okey, mintak perhatian semua! Kita akan sampai tak lama lagi.” Kedengaran suara HR Executive yang duduk di bahagian hadapan bas.
“Kita ke syarikat dulu. Lepas sesi suai kenal dan taklimat, awak akan dibawa ke bahagian masing-masing untuk diberi penerangan oleh ketua bahagian mengenai tugas-tugas awak. Tepat pukul lima petang nanti, baru kami hantar awak semua ke asrama yang telah disediakan. Faham?” soal Fatimah kepada pekerja-pekerja baharu itu.
“Faham cik!” sahut mereka serentak.
“Beg pakaian kamu biarkan saja dalam bas ni,” jelas Fatimah lagi. Mereka mengangguk. Senang juga. Tak perlu nak diusung ke sana, ke mari.
Sepuluh minit selepas itu, mereka tiba di perkarangan syarikat Masyhur Industries Sendirian Berhad. Seperti yang diberitahu oleh Fatimah, mereka dibawa berhimpun di dalam bilik latihan di tingkat bawah bangunan pentadbiran untuk diberi penerangan mengenai latar belakang syarikat. Mereka juga diperkenalkan kepada produk-produk lama, baru dan bakal dikeluarkan oleh syarikat. Sedikit ringkasan tatacara kerja dan juga cara-cara pengawalan kualiti dan piawaian ISO serta SIRIM.
Tepat pukul empat petang semua pekerja baharu dibenarkan pergi ke kantin, di mana minuman petang telah disediakan sebagai tanda meraikan kedatangan mereka. Selepas ini, kalau nak minum kenalah bayar sendiri. Kalau hari-hari beri minuman percuma, tauke balak pun boleh bankrup.
“Dhia Melati,” panggil Zakuan salah seorang dari tiga staf Masyhur Industries yang bertanggungjawab menguruskan sesi temu duga. Dia juga turut ada ketika menjemput semua pekerja baharu tadi selain Fatimah dan Kamal.
“Saya encik,” sahut Dhia yang duduk di meja bertentangan. Terasa janggal pula dipanggil dengan nama penuh. Jarang sekali orang memanggilnya begitu. Melati pun tidak pernah. Selalunya dia dipanggil Dhia saja.
“Lepas ni awak ikut saya masuk production office ya,” arah Zakuan. Dia adalah ketua Dhia, merangkap Head Of Production Department a.k.a Production Executive.
“Baik encik,” balas Dhia sambil tersenyum. Dengan bos kenalah buat baik. Muka mesti sentiasa manis. Baru bos sayang. Bila bos dah sayang, senanglah buat kerja. Kalau tak pun,  cepat naik pangkat. Amboi amboi amboi... Kerja belum ada satu hari pun, dah ada hati nak naik pangkat, Dhia berangan sendiri.
“Panggil saja saya Zakuan. Tak payah formal sangat. Kitakan satu team? Nak lagi mesra panggil saja Zack,” kata Zakuan lalu berdiri dan datang menghampiri Dhia.
“Takkan macam tu pulak encik? Encik kan bos saya, kenalah hormat,” luah Dhia serba salah. Nak panggil Zack saja? Tak ke lain macam sangat bunyinya? Terlebih mesra pun ada. Dahlah dia ni pekerja baharu. Tak sesuai bebenor rasanya.
“Saya lagi suka macam tu. Di syarikat ni, kita ibarat satu keluarga. Tak kira kamu tu pangkat apa, saya ni siapa. Senang sama senang. Susah sama susah. Kerja yang berat sama kita pikul. Kerja yang ringan buat sendiri la...,” senda Zakuan seraya tersenyum.
Rakan sekampung yang duduk bersama Dhia ketawa mendengarnya. Dhia tersengih dengan jenaka spontan Zakuan itu. Mungkin lelaki ini cuba menyisih rasa kekok antara mereka dengan berbuat lawak begitu. Yalah, diakan orang bawahan. Zakuan ni pula bos. Mestilah rasa janggal bila kali pertama mereka bekerjasama.
“Dhia Melati dah habis minum? Kalau dah marilah kita pergi,” tanya Zakuan.
“Sudah encik,” jawab Dhia. Bagus juga ada bos baik macam ni. Tak segan nak bertanya kalau ada apa-apa yang tak kena nanti, desisnya.
“Hmmm..., encik lagi? Tak apalah. Slow-slow lah ya. Lidah keras lagi tu. Nanti lama-lama bila dah mesra, silap hari bulan terpanggil saya sayang,” gurau Zakuan lagi. Ketawa kecil terlepas dari mulutnya.
Mereka yang duduk semeja dengan Dhia bertambah kuat ketawa. Dhia pula tak tahu nak cakap apa. Kulit muka berinci-inci tebal kerana malu. Kalau beginilah perangai Zakuan, bergurau main lepas saja, mahu lelah dia melayannya nanti.
“Oi! Oi! Dah masuk jarum nampak,” sapa Kamal di belakang Zakuan. Ada nada sinis dan cemburu pada suaranya itu.
“Apa pulak masuk jarum? Aku cuma buat baik dengan orang bawahan aku saja. Kalau betul aku masuk jarum pun, apa salahnya. Aku single and available. Kau saja tak boleh. Girlfriend kau dah penuh keliling pinggang. Samalah kau dengan si Ameal tu. Jom! Dhia Melati. Baru nak buat cerekarama, dah ada orang jealous pulak.” Zakuan menepuk perlahan dada Kamal beberapa kali seraya ketawa.
Kamal tersenyum sumbing. “Hampeh kau Zack! Sengaja nak jatuhkan saham aku depan budak cantik ni.”
“Dhia Melati, kamu jangan ambil pusing sangat perangai abang-abang senior kamu ni. Dia orang ni memang kepala mereng sikit. Otak tiga suku,” sampuk Fatimah.
Apa lagi yang boleh Dhia katakan selain dari tersenyum saja. Kalau Zakuan dan Kamal kepala mereng otak tiga suku, lambat-laun bila sudah bergaul dengan mereka semua, tak mustahil dia pun ikut sama jadi sewel. Dhia bangkit meninggalkan kerusinya, membuntuti langkah Zakuan. Mereka memasuki blok pengeluaran yang bersambung dengan bangunan pejabat pentadbiran. Bahagian itu dipenuhi empat jajaran meja yang berlampu di sebelah atasnya. Barisan-barisan meja itu memanjang hingga ke belakang. Pada setiap meja, pekerja-pekerja duduk bertentangan. Mereka tekun melakukan tugas masing-masing.
Di tepi dinding sebelah kiri tersusun pula deretan mesin-mesin pelbagai saiz. Besar, kecil, tinggi, rendah, semuanya ada. Setiap mesin dikendalikan oleh seorang pekerja lelaki. Mesin-mesin itu tidak mengeluarkan bunyi yang bising. Cuma kedengaran berkeletak-keletuk dan desing angin sahaja. Di bahagian belakang pula terdapat beberapa bilik yang dipenuhi dengan barang-barang. Mungkin tempat penyimpanan, agak Dhia selepas melihat beberapa pekerja lelaki sibuk menyusun dan memunggah kotak-kotak.
Dhia menuruti langkah Zakuan menghala ke sebelah kanan. Di situ terdapat dinding separuh partition dan separuh cermin yang memisahkan bahagian pengeluaran dengan ruang itu. Di dalam dinding pemisah itu pula terdapat beberapa buah bilik yang berdinding sama seperti di bahagian luarnya. Orang yang di dalam boleh melihat yang di luar. Orang yang di luar pula boleh tengok yang di dalam. Maknanya kalau nak cengelat memang tak dapatlah. Boleh nampak!
Zakuan membawa Dhia memasuki bahagian itu melalui pintu utama. Bilik pertama tertera tulisan ‘Production Executive – En. Zakuan Bin Mustafa’. Jelaslah bilik itu bilik Zakuan. Dari luar, kelihatan bilik Zakuan kemas tersusun. Rak-rak tersimpan rapi dengan fail-fail. Ada sebuah meja dan satu set sofa di dalamnya. Di sebelah bilik Zakuan pula ada sebuah lagi bilik yang agak luas bertulis ‘Production Office’ pada pintu masuknya. Di dalam bilik itu Dhia lihat ada beberapa buah kiub work station. Ada enam bahagian pada work station itu. Lima antara enam ruangan work station sudah diduduki. Masing-masing sibuk dengan kerja sendiri. Ada satu work station kosong di sebelah hujung sekali. Sah-sah itulah tempat Dhia. Dan bilik yang paling belakang sekali di pintunya tertera pula perkataan ‘Meeting Room’. Tentulah bilik mesyuarat. Tak perlu beritahu pun dia sudah tahu.
Zakuan menolak pintu bahagian pejabat pengeluaran. Tangan kirinya menahan pintu. Manakala tangan sebelah kanan mempelawa Dhia masuk. “Mari masuk Dhia Melati. Saya kenalkan kepada awak rakan-rakan sekerja awak.”
Dhia angguk kepala sekali tanda terima kasih. Matanya meliar memerhati keadaan sekeliling. Luas dan selesa. Sekarang, inilah dunia baru aku, bisik hati Dhia teruja. Rasa tidak sabar hendak memulakan kerja. Semangat berkobar-kobar.
“Kak Kath, Asfaniza, kak Sal, Jefri dan kak Paji, sini sekejap.” Zakuan memanggil semua kakitangan yang berada di situ.
“Ya Zack. Ada apa?” sahut seorang lelaki di kalangan mereka. Mereka semua berhenti melakukan kerja. Serentak mengangkat kepala dan memandang ke arah Zakuan.
“Ini, aku nak perkenalkan kepada kau orang semua planner baru kita,” jelas Zakuan lagi. Mereka meninggalkan tempat kerja masing-masing dan datang menghampiri Dhia serta Zakuan.
“Ini planner baru kita ke, Zack? Kalau macam ni punya cun melecun, barulah ada semangat aku nak buat kerja. Ni tidak, asyik menghadap muka mak-mak orang dan tunang orang ni saja. Boring...,” senda Jefri. Mata menjeling sekilas kepada empat orang perempuan yang berdiri berhampiran dengannya.
Buk!
“Aduh! Sakitlah! Apa ni kak Sal?” Jefri usap belakang bahunya. “Okey! Okey! Aku mintak maaf. Kau orang sajalah pengarang jantung hati aku ni.”
“Sudahlah tu... Dhia Melati ni baru first day dekat sini dah tengok perangai kau orang macam ni. Takut besok dia tak nak datang kerja pulak. Seriau tengok perangai kamu ni,” kata Zakuan. Kepala digelengkan. Pening melihat perangai anak buah-anak buahnya ini.
“Kita orang ni memang macam ni, dik. Bergurau memang kasar sikit. Jangan ambil hati pulak ya. Siapa nama? Saya Kathrine, panggil saja saya kak Kath.” Perempuan keturunan India itu bertanya dan memperkenalkan dirinya. Tangan dihulurkan untuk bersalaman dengan Dhia.
“Saya Dhia Melati,” balas Dhia. Dia menyambut tangan Kathrine untuk berjabat.
Ish! Ish! Ish!” Jefri menyampuk sambil mengoyang-goyangkan kepalanya. “Sedapnya... nama... Klasik betul nama tu. Susah nak jumpa nama macam tu. Padan dengan orangnya yang cantik manis ni. Nama abang Jefri.”
Buk!
“Aduh! Kena pukul lagi. Lebam biratlah badan aku hari ni Zack...,” adu Jefri kepada Zakuan. Zakuan ketawa kecil. Tak tahu nak buat apa lagi. Perangai mereka semua memang dah macam tu. Biarkan sajalah. Mentang-mentanglah Jefri seorang saja lelaki di dalam bilik ni, sesuka hati mereka membuli dia. “Nanti awek aku tanya, apa aku nak jawap?”
“Sedar diri pun dah ada awek. Lagi abang Jef nak menggatal dengan Dhia ni kan?” celah gadis tadi selepas memukul bahu Jefri. Dia mencebek kepada Jefri. Kemudian tangan dihulurkan kepada Dhia. “Hai! Saya Asfaniza. Panggil saja saya As. Dhia kena hati-hati sikit dengan Abang Jef ni. Dia ni memang ulat daun sikit. Saya ni nasiblah dah bertunang. Kalau tak dengan saya, saya sekali dia nak try.”
Dhia tersenyum menyambutnya. Geli hati melihat gelagat mereka. Dapat rakan sekerja yang happy go lucky macam ni, best juga. Tak adalah bosan sangat bekerja.
“Yang ini pulak Kak Salbiah dan Kak Fazilah.” Zakuan memperkenalkan Salbiah dan Fazilah pula. Mereka berdua juga menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Dhia.
“Kak Salbiah, kak Fazilah,” sapa Dhia mesra kepada mereka berdua.
“Panggil kita orang Kak Sal dan Kak Paji saja,” pinta Fazilah dengan mesra juga. Dhia angguk tanda faham.
“Sudah! Sudah! Pergi buat kerja masing-masing. Kau orang semua ni kalau dibagi muka, sampai balik karang bergurau senda macam ni. Satu kerja pun tak siap nanti.” Zakuan memberi arahan.
“Baik bos!” jawap mereka hampir serentak, mematuhi arahan Zakuan dan kembali ke tempat kerja masing-masing.
“Dhia Melati.”
Dhia berpaling menyahut, “saya Encik Zakuan.”
“Mari, saya tunjukkan meja awak. Nanti saya briefing awak serba sikit apa tugas-tugas awak sebagai planner. Kalau ada apa-apa yang tak faham tanya saja rakan sekerja awak. Mereka akan membantu. Kalau mereka tak tahu, awak boleh terus tanya saya. Okey?”
“Baik Encik Zakuan.”
Mereka bersama-sama melangkah ke bahagian work station yang kosong. Zakuan mengarah Dhia duduk di kerusi. Ketika Dhia menyimpan beg sandang ke dalam laci meja, tangan lelaki itu mencapai beberapa buah fail yang tersusun pada rak di tepi dinding. Dia kemudian menghidupkan pula komputer di hadapan Dhia dan mengeluarkan beberapa helaian kertas yang berupa format-format kerja dari laci meja.
Selepas skrin komputer di hadapan Dhia mengeluarkan cahaya, Zakuan menggunakan tetikus. Digerakkan ke sana dan ke sini tetikus itu untuk membuka fail yang terdapat di dalamnya. Dia mula memberi penerangan satu persatu tentang tugas-tugas yang perlu Dhia lakukan. Bagaimana setiap laporan dibuat dan data-data dimasukkan. Dari laporan dan data-data itu, Dhia perlu menyusun keutamaan setiap produk untuk dikeluarkan setiap hari oleh bahagian pembuatan bagi memenuhi jadual penghantaran yang telah ditetapkan. Terangguk-angguk kepala Dhia setiap kali Zakuan beri penjelasan. Sedang mereka sibuk berbincang, terdengar satu suara memanggil nama Zakuan.
“Zack!”
Yes?” sahut Zakuan. Dia mengangkat kepala berpaling ke arah pintu masuk.
“Hai Meal! Ada apa?” soal Zakuan kepada tuan empunya suara itu.
Dhia tidak pedulikannya. Mata asyik merenung pada skrin komputer. Cuba memahami setiap perkara yang diajar oleh Zakuan sebentar tadi.
“Hai Encik Ameal!” sapa anak-anak buah Zakuan yang lain apabila menyedari bos besar singgah di bilik mereka.
“Hai!” balas Ameal. Tangan diangkat sedikit kepada mereka semua. Kemudian dia kembali memandang Zakuan. “Petang ni temankan aku pergi gim, Zack. Dah lama tak keluarkan peluh, rasa lain macam badan aku ni.”
Dhia luaskan cuping telinga mendengar suara lelaki itu. Hendak berpaling terasa segan pula. Bagaimana agaknya rupa Encik Ameal yang di sapa oleh rakan-rakan baharunya sebentar tadi? Dhia berbisik, “Ameal? Macam pernah dengar saja nama tu.”
“Okey, habis kerja nanti aku cari kau. Bagus jugak. Badan aku ni pun lesu sangat rasanya. Setengah hari duduk dalam bas, ke sana, ke mari ambil pekerja-pekerja baru tu.”
“Tunggu aku dekat parking lot. Jangan lupa pulak!”
“Okey, aku tunggu.”
“Aku chow dulu.”
Sebelum Ameal melangkah pergi, Zakuan memanggilnya semula. “Ameal! Sekejap.”
Ameal berpaling. Dia melihat dengan wajah pelik. Jangan pula Zakuan beritahu ada hal. Sudahlah Firdaus pun tak jadi pergi kerana ada temu janji bersama Juwita. Pergi gim sendirian mana seronok. “Apa dia?”
“Aku nak kenalkan kepada kau, budak planner baru aku.” Zakuan menunding kepada Dhia yang duduk membelakangi Ameal.
“Oh! Dah dapat planner baru?”
“Sudah.” Zakuan mencuit sedikit bahu Dhia. “Dhia Melati, kenalkan big boss nombor dua kita, Encik Ameal.”
Perlahan-lahan Dhia kalih memandang ke arah pintu. Seketika dia terkedu apabila melihat lelaki itu. Terasa ada angin meniup ke wajahnya. Sejuk dan lembut. Terus menyelinap ke dalam hati. Ish! Apasal rasa lain macam saja ni?
“Ha... ha... hai! Encik Ameal,” sapa Dhia gugup. Dia berdiri dan menundukkan sedikit mukanya, tanda hormat. Sempat juga dia menilai lelaki di hadapannya ini. Boleh tahan juga mukanya. Pakaian pun kemas. Sesuai sangatlah dengan pangkat bos nombor dua tu, kan. Kenapa iras macam Cina pula? Nama Melayu. Bahasa Melayu pun fasih. Alah Dhia, nak heran apa? Orang Cina ke, orang putih ke, orang biru ke, dia pun orang Malaysia jugak kan? Tentulah pandai cakap Melayu. Yang pelik, suara Ameal seperti dia pernah dengarlah!
“Hai!” balas Ameal sepatah. Wajah Dhia dipandang sekejap. Jika dispesifikasikan sapaannya itu, lebih kepada endah tak endah saja kategorinya. Ameal mengalihkan anak matanya memandang Zakuan semula.
“Aku pergi dulu,” lalu dia keluar dari bilik itu.
Huh! Hai saja? Tak ada tanya apa khabar ke. Ucap selamat bekerja ke. Berlagak yang amat. Blah la! Dia ingat muka dia handsome sangat ke? Aku tak pandanglah! Bagus lagi Encik Zakuan. Tak sombong. Dhia menjeling, terus berpaling dan duduk semula di kerusi.
“Okey! Kita sambung semula. Dekat mana kita berhenti tadi? Oh! Ya. Yang ini. Nanti data yang ini awak masukkan dekat sini, bla... bla... bla... bla...”
Selepas itu, tidak ada satu benda pun yang diterangkan oleh Zakuan melekat di otak Dhia. Faham? Tidak sama sekali. Sibuk memikir tentang Ameal. Nama lelaki itu seperti baru saja dia dengar, tetapi di mana? Suara lelaki itu juga seperti pernah dia dengar, tetapi dia tidak tahu bila dan di mana. Ini memang betul-betul pelik bin hairan bin ajaib bin aneh bin luar biasa. Bukan ke ini kali pertama mereka berjumpa?
“Dah pukul lima, Dhia Melati. Besok kita sambung lagi ya! Awak boleh balik sekarang. Nanti awak naik bas tadi semula. Fatimah akan uruskan bilik kamu dan pekerja-pekerja lain di asrama.”
Kata-kata Zakuan menyedarkan Dhia. Entah ke mana mindanya melayang memikirkan tentang Ameal tadi. Sedar-sedar saja Zakuan berkata, dia sudah boleh balik.
“Baik, Encik Zakuan.” Dhia mengambil beg sandangnya di dalam laci. Sebelum keluar, dia sempat menyapa Kathrine dan Salbiah. Fazilah, Asfaniza dan Jefri sudah tiada di tempat mereka. Tak perasan pula bila mereka keluar.
Sambil menuju ke arah bas yang diparkir di hadapan bangunan pejabat pentadbiran, Dhia masih lagi sibuk berfikir tentang Ameal. Puas dia mengingati. Nama dan suara Ameal seperti pernah dia dengar. Iras wajah lelaki itu juga seperti pernah terbias di matanya, tetapi bila? Di mana? Usshhh! Ini memang betul-betul weird!
Ameal... Ameal... Ameal... Nama lelaki itu terus-terusan berlegar di mindanya. Dan tiba-tiba... “ahah! Dialah lelaki yang Encik Zakuan kata banyak girlfriend sama macam Encik Kamal tadi tu. Banyak girlfriend? Dia playboy ke? Kasanova? Don Juan? Buaya darat? Spesies naga tembaga?”
Tak semena-mena, rasa menyampah pula kepada lelaki itu. Terbayang cara Ameal menyapanya tadi. Gaya penuh angkuh, sombong, berlagak, budget bagus, toya, poyo semuanya ada. “Tak hingin aku cari teman lelaki macam tulah! Dia pun tak lalu nak buat kau jadi girlfriend dia, Cik Dhia oi!”
Dhia senyum. Geli hati dengan angannya sendiri. Kaki terus melangkah menaiki tangga bas. Rasa tidak sabar hendak melihat keadaan asrama yang disediakan oleh pihak syarikat. Ketika Dhia mengambil tempat di bangkunya, dia terpandang wajah yang amat dikenalinya, keluar dari pintu pejabat pentadbiran. Lelaki berwajah ala-ala Shah Rukh Khan itu, berjalan berpimpinan tangan dengan seorang perempuan sambil bergurau senda. Mereka kelihatan mesra sekali. Hendak terkeluar biji mata dari soket melihat drama sebabak yang tak disangka-sangka ini. Kelopak mata Dhia tidak berkerdip melihat mereka berdua melangkah beriringan ke lot parkir. Lelaki itu berhenti di motosikalnya. Mengambil helmet dan menyarungkan ke kepala perempuan itu.
Yakkksss! Romantik sangatlah tu? Hakkk tuiii!” gerutu Dhia. Mujur juga dia tidak sewenang-wenangnya menerima lelaki itu. Kalau tidak bulat-bulat, lonjong-lonjong, dia ditipu hidup-hidup. Memang dasar lelaki! Cintakan dia, tetapi di belakangnya, Firdaus ada perempuan lain. Patutlah Firdaus tidak pernah mencarinya selepas dia bersetuju mahu berkawan dengan Firdaus dahulu. Ingatkan Firdaus akan mengganggu dan tidak henti-henti menghubunginya. Rupanya tidak! Lelaki itu terus lenyap begitu saja. Sibuk dengan marka rupanya...
Alamak! Baru teringat. Kalau dia satu tempat kerja dengan Firdaus, jawabnya tak amanlah hidup dia nanti. Macam mana ni? Nak lari dari mulut Zul Hafiz, masuk pula mulut Firdaus. Habislah... Apa nak buat ni? Nak lari mana? Nak menyorok mana? Perlu ke dia berhenti kerja? Takkan nak cabut macam tu saja? Malu ayahnya nanti. Kak Fatimah, Encik Kamal dan Encik Zakuan kenal keluarganya. Nanti puas pula nak bersoal jawab dengan ayah dan ibunya.
“Habis tu nak buat apa? Pergi kerja pakai topeng? Kerja mengarut tu! Kalau aku tahu dia kerja dekat sini, mati hidup semula pun aku tak nak. Alahhh..., fening... kepala aku. Apalah kau Dhia! Buat apa nak fening-fening kepala. Diakan dah ada girlfriend. Takkan dia nak ganggu kau lagi? Girlfriend dia nak letak dekat mana? Dalam kocek?” Dhia hembus nafas lega. Selesai masalah dia dan Firdaus. Jika Firdaus dah ada teman wanita, maka janjinya pada lelaki itu dahulu automatik sudah lupus. Lepas ini tak perlulah risaukan fikir tentang Firdaus lagi. Selamatttt...

No comments:

Post a Comment