Total Pageviews

Wednesday, August 26, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 33



Setengah jam kemudian, mereka sudah berada di lot barangan Christion Dior di dalam Parkson Seremban Prima. Azizah belek setiap alat solek yang dipamerkan.
Harganya, mak oi... Tak ada yang murah! Lipstick kemetot ni saja dah berpuluh ringgit? Getus Azizah. Mata terbeliak melihat harga yang terpamer. Mahu bengkok Iskandar. Kalau lima barang kali lima puluh ringgit, sudah dua ratus lima puluh ringgit. Itu kalau lima barang saja. Dalam list yang Iskandar berikan kepada dia, terdapat lebih dari sepuluh barang. Menggeletarlah tangan mamat tu nak keluarkan duit dari dompet nanti.
Iskandar tarik tangan Azizah untuk menghampiri satu rak pameran. Tiub-tiub lipstick cantik tersusun di dalam rak akrilik jernih yang berlubang-lubang. Ada pelbagai warna pilihan.
“Awak selalu pakai lipstick warna apa?”
Cepat Azizah menggelengkan kepala. “Saya mana pernah pakai lipstick. Bibir saya ni merah original tau.”
“Saya tahu bibir awak tu merah original. Sebab tu sayang geram. Rasa nak cium saja.”
“What!” Mata Azizah segera memandang kepada promoter perempuan di hadapan mereka. Gadis itu sudah tersenyum simpul mendengar ujaran Iskandar sebentar tadi. Cepat dia mencari pinggang Iskandar, lalu dicubit kuat.
“Adoi! Wah... Dah pandai main cubit-cubit? Nak manja-manja la tu...”
Dia lepaskan juga penumbuk sulung ke badan Iskandar ni karang. Nak mengusik ke, nak buat lawak ke, tengoklah tempat dan situasinya dulu. Depan orang kot. Malulah! Iskandar sengih membalas renungan tajamnya. Memang tak faham bahasa betul mamat ni. Orang tengah marah, dia tayang senyum kambing pula.
“Okey, okey. Kita stop bergurau senda ni. Masa untuk serius. Awak cuba warna ni. Saya nak tengok sesuai ke tidak.” Iskandar hulur sebatang lipstick kepada Azizah selepas menarik penutupnya.
Dengan cepat Azizah merampas tanda protes. Dia melihat ke dalam tiub lipstick tersebut.
“Macam mana nak pakai? Benda ni ada dekat dalam.” Ditalakan lipstick depan mata Iskandar.
Terhembur tawa dari mulut Iskandar dan gadis promoter itu. Ini yang dia rasa nak kecil hati ni. Dua manusia di depan dia ini, mentertawakannya secara berjemaah. Lebih-lebih lagi Iskandar. Sampai hati Iskandar gelak kan girlfriend sendiri?
Sorry dik. Tunang abang ni memang macam ni. Dia tak pernah pakai lipstick. Sebab tu dia tak tahu,” jelas Iskandar kepada gadis promoter.
“Tak apa bang. Biar saya tolong.”
Lipstick dari tangan Azizah, diambil semula oleh si promoter. Bahagian bawah lipstick diputar dua kali, maka keluarlah lipstick dari tiubnya.
“Heh! Pusing buntut saja rupanya. Manalah saya tahu,” rengus Azizah. Lipstick itu dihulurkan kepadanya semula. Dia ambil tanpa banyak suara. Sekarang, nak ditonyoh dekat bibir macam mana gaya? Ah! tonyoh sajalah. Terkial-kial Azizah mahu mengoleskan lipstick warna pink itu ke bibirnya. Kekok betul rasanya. Tangan pula keras hendak melorek batang berwarna itu ke bibir dia.
Meh saya tolong kak.”
Barangkali, tidak sampai hati melihat dia, gadis promoter tadi menawarkan bantuan. Iskandar pula tidak surut-surut ketawanya. Dah serupa menonton Maharaja Lawak pula.
Lipstick berubah tangan. Lalu gadis itu lembut mencapai dagu Azizah dan mula menconteng pada bibirnya. Setelah selesai, Azizah rasa kurang selesa. Bibirnya hendak terjuih saja. Nak dikatup rapat pun rasa tak kena. Siapalah manusia yang cerdik sangat mencipta benda alah yang sangat menyusahkan dia ni?
“Tutup mulut tu.” Iskandar menegur.
Azizah jeling saja. Ini semua lelaki ni punya pasallah. Yang bukan-bukan saja permintaan dia.
“Mula-mula pakai, memanglah rasa tak selesa. Nak makan, nak minum pun takut,” usik Iskandar.
Heh! Bercakap macam dia pernah pakai pula, Azizah berbisik.  
“Hmm... cantik! Sesuai dengan wajah dan kulit awak. Warnanya lembut, tak garang. Okey, kita ambik yang ini. Lepas tu, abang pun nak ambik yang dua ni juga dik.” Iskandar menunding kepada dua lagi lipstick yang berlainan warna.
“Buat apa?” Cepat Azizah bertanya. Yang sebatang ni pun, belum tentu dia nak pakai lagi. Buat apa nak beli sampai tiga?
“Yang satu ni untuk awak pakai hari-hari. Yang satu lagi untuk hantaran tunang. Yang lagi satu tu, untuk hantaran kahwin.”
“Hah?!”
“Senanglah kalau kita buat persiapan dari sekarang.”
Pitam dia melayan ragam si Iskandar ni. Bertunang lambat lagi kot. Kahwin lagilah pula. Bila tahun entah.
Dari rak lipstick mereka berpindah pula ke rak pameran alat solek yang lain. Dari satu barang ke satu barang Iskandar ambil. Eyeliner, eyebrow liner, eyeshadow, mascara, blusher, lip gloss, foundation, dan macam-macam lagi. Two way cake pun ada? Heh! Tak tahu pula bedak compact sekarang ni dah jadi kek. Dua cara pula tu. Entah apa bendalah dua cara tu agaknya. Satu cara boleh sapu ke muka, dan satu cara lagi boleh buat kudapan kot...
Kelopak mata tidak berkedip melihat barang-barang yang berlonggok di atas meja promoter. Setiap jenis barang yang diambil, semuanya Iskandar ambil tiga. Berapa ratuslah kenanya nanti ni? Paling penting, berapa tahun pula dia nak pakai benda ni semua, baru habis? Dah serupa mak andam pula. Mak andam pun dia rasa tak begini punya banyak barangnya. Brush, span semuanya lengkap.
Dah meroyan betul si Iskandar ni shopping beli alat make-up. Teruja seperti Iskandar pula yang nak  memakainya. Ini belum dicampur lagi produk penjagaan kulit Clinique yang Iskandar dah heboh nak beli tu. Macamlah kulit dia ni tak cukup halus, dan banyak jeragat serta jerawat untuk dirawat dan dijaga.
“Dik, abang nak beli case tu juga.” Panjang telunjuk Iskandar menghala kepada kotak yang terletak tinggi di atas rak di belakang ruang pameran.
Anak mata Azizah turut menghala ke arah sana. “Buat apa box tu. Duit bukan banyak pun nak simpan dalam safety box!”
Sekali lagi terburai tawa Iskandar.
“Itu bukan safety box sayang. Ada ke safety box corak cantik berbunga-bunga macam tu? Itu namanya cosmetic organizer case. Untuk simpan semua alat-alat make-up awak ni.”
Walawei... Memang Iskandar champion lah dalam hal-hal alat solek perempuan ni. Benda alah tu pun dia tahu apa gunanya. Ke Iskandar ni part time jadi pak andam? Heh!
Sekali lagi dia digelak kan secara berjemaah oleh Iskandar dan promoter tadi. Memang sah-sah dia merajuk dua minggu dengan Iskandar nanti ni. Kasihan dia... Tak habis-habis jadi bahan lawak Iskandar.
“Semua barang-barang make-up ni, awak susun elok-elok dalam case tu. Tak adalah bersepah. Nak bawak ke mana-mana pun senang,” ujar Iskandar berselang dengan tawanya yang masih berbaki.
Muka Azizah sudah merah padam menahan malu. Muka Iskandar pula merah padam menahan tawa. Selesai gadis promoter menulis resit, mereka menuju ke kaunter pembayaran. Beratus juga duit Iskandar melayang. Ambil kau! Sakan sangat shopping sampai tak hengat dunia kan...
“Beli barang, done! Jom kita daftar kelas bersolek pula.” Iskandar tarik lengan Azizah sambil menjinjit beg-beg plastik yang terisi bermacam-macam barang kosmetik.
Adoi... Fening la kepala aku... Telapak tangan Azizah sudah melekap pada dahi. Dalam hati mengeluh panjang.
“Saya rasa tak cukuplah awak masuk kelas bersolek ni saja. Nanti saya cari satu lagi kelas untuk awak,” ujar Iskandar tiba-tiba.
Sekali lagi Azizah menepuk dahi. Mampus!
Kau orang rasa, lepas ni Iskandar nak suruh Azizah masuk kelas apa pula?

2 comments: