Total Pageviews

Monday, August 24, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 31



“Helo!”
Zizah, kau datang kojap kek mejo den ni hah.” Suara Raja Faizah bergema dari corong pembesar suara interkom.
Apasal?”
Ni ado kodai bungo anta an bungo untuk ekau. Den nak sain tak dibagi e... Budak penganta ni kato, ekau jo yang boleh sain. Ekau marilah sini kojap hah! Sain bondo alah resit ni.”
“Yalah! Sekejap aku datang.” Bibir mengukir senyuman lebar. Bunga? Siapa lagi kalau bukan Iskandar yang beri. Dia tak sangka pula lelaki itu semakin romantis semenjak mereka sudah berbaik semula ni. Semalam Iskandar datang ofis, bawakan brownies cheese untuk dia. Sebekas besar pula tu, tapi yang dapat dia rasa cuma sepotong saja. Yang lain habis kena bedal dek semua budak-budak ofis ni. Hari ini, Iskandar hantar bunga pula. Memang indah betul hidup dia sekarang ni. Sentiasa dimanja oleh Iskandar.
Kaki laju menghala ke ruang hadapan pejabat. Segera Azizah menghampiri remaja lelaki keturunan Melayu yang berdiri sambil memegang sejambak bunga di hadapan meja Raja Faizah.
Hah tu! Tuan empunyo bunga ni dah sampai. Ekau bagi dik kek akak tu sain resit kodai ekau tadi,” beritahu Raja Faizah kepada remaja itu sebaik sahaja Azizah tiba di situ.
Budak penghantar itu berpaling.
“Akak ni Azizah Azra binti Mohd Azry?”
Walaupun sudah diberitahu, masih lagi ingin bertanya. Takut diberi pada orang yang salah agaknya.
“Ya!”
“Nah, untuk akak. Mintak tolong tandatangan dekat sini kak.”
Azizah sambut huluran jambang bunga itu serta resit yang perlu ditandatanganinya.
“Raja, pinjamkan aku pen sekejap.” Selepas Raja Faizah beri sebatang pen, segera Azizah menurunkan tandatangannya dan dipulangkan semula resit tersebut kepada si penghantar bunga.
Bakal tunang kau tu, romantik botolkan? Dahlah hansom, baik ati pulak tu. Haghi ni dio tak anta kek lagi ko?”
“Dah hantar bunga ni, tak adalah hantar kek kot.” Dia senyum lalu beredar dari situ.
Ketika melangkah untuk kembali semula ke mejanya, ramai juga yang mengusik. Azizah hanya senyum membalas kerana mata ralit membelek jambangan bunga. Kali ini bukan Gerbera Daisies dan Stargazer Lilies. Entah bunga jenis apa agaknya yang dikirim oleh Iskandar kali ini. Kalau nak tahu, telefon saja Iskandar. Iskandarkan arif pasal nama-nama bunga ni. Boleh tanya dia, sambil tu ucap terima kasih.
Tiba sahaja di mejanya, terus Azizah mencapai telefon bimbit yang ditinggalkan di atas meja. Nama ‘Matahariku’ dicari di dalam senarai nombor daftar pemanggil. Segera panggilan dibuat. Beberapa saat selepas nada dering berbunyi, talian di sebelah sana kedengaran diangkat.
“Helo!”
“Assalamualaikum sayang.”
Lembut suara Iskandar. Terpamer senyuman koyak hingga ke bibir kala telinga mendengar suara menggoda Iskandar itu.
“Waalaikumussalam. Awak dekat hospital lagi ke?”
“Ya. Elok juga awak telefon saya.”
“Kenapa?”
“Saya tak dapat datang jumpa awak siang ni. Saya jumpa awak malam nanti boleh?”
“Ooo..., sebab tu awak hantar kiriman ni ya?”
“Hantar kiriman? Kiriman apa? Saya tak ada hantar apa-apa pun lagi. Coklat yang saya belikan untuk awak pun, masih ada pada saya.”
Dia terkedu. Iskandar tak ada kirim apa-apa? Habis tu, bunga ni dari siapa pula? Pantas tangannya mencari nota si pengirim yang mungkin terselit di mana-mana.
“Aaawak tak aaada kirim apa-apa?” soal Azizah semula sambil tangan galak menyelak di celah-celah rimbunan jambangan bunga.
“Tak adalah sayang... Kenapa awak tanya? Awak ada terima apa-apa ke?”
“Kalau bukan awak habis tu siapa...” Kata-katanya mati di situ.
“Kalau bukan saya siapa apa?”
Gila nak cakap dengan Iskandar. Buatnya Iskandar cemburu, macam mana? Buatnya Iskandar kecil hati sebab dia terima bunga dari orang lain, dia nak pujuk Iskandar lagu mana? Pujuk memujuk, rayu merayu ni, dia mana reti. Ish! Baik tak payah cakap haih! Buat haru saja nanti.
“Tak... Ni atas meja saya, ada brownies cheese. Saya ingatkan awak yang bagi. Agaknya lebih yang awak bagi semalam ni. Dia orang pulangkan balik dekat saya. Tak habis makan, baru nak bagi saya. Padahal, brownies cheese ni saya yang punya. Alih-alih dapat sisanya saja.” Azizah berdalih. Tangkas pula otaknya mencari helah.
“Tak ada kesan kena gigitkan?”
“Entah! Tak bukak lagi. Tak adalah kot.”
“Itu bukan sisalah namanya sayang... Itu berlebih. Tak habis, dia orang pulangkan semula dekat awak.”
“Yalah! Betullah tu. Apa-apa pun terima kasih ya untuk brownies cheese ni.”
“Bukan ke awak dah ucap terima kasih dekat saya semalam?”
“Itu semalam. Kalau saya nak ucap terima kasih lagi sekali, tak ada salahnya kan?”
Kedengaran tawa Iskandar di hujung sebelah sana.
“Ada-ada saja awak ni. Okeylah, saya ada patient ni. Malam nanti saya datang ambik awak dekat rumah. Kita pergi dinner ya.”
“Baiklah. Saya tunggu awak dekat rumah.”
I miss you, sayang.”
“Hmm.”
I love you so much.”
“Hmm.”
“Hmm saja. Balaslah balik. I miss and love you too...”
Iskandar mengusiknya.
“Hmm... Apa-apalah.”
Iskandar ketawa lagi di dalam talian. Bukannya Iskandar tidak tahu, dia ni memang berat mulut nak mengucap ayat-ayat begitu. Dia minah jiwang? Memang taklah kan... Lagi Iskandar nak menyakat.
“Okey bye!” Belum habis tawa Iskandar, Azizah sudah menamatkan panggilannya. Dia mahu segera merungkai jambangan bunga itu, untuk mencari kad ucapan si pengirim. Mesti ada terselit. Mana boleh hantar bunga tapi tak kirim kad ucapannya sekali. Kalau bukan Iskandar yang beri bunga ini, siapa pula yang baik hati hadiahkan kepadanya? Misteri sungguh!
Reben yang mengikat pada tangkai bunga segera ditarik. Kemudian plastik dan kertas warna bercorak cantik diasingkan dari jambangan. Jari mula menyelak di setiap celah bantang bunga berwarna pink, merah dan oren lembut itu. Dan pandangan terhenti kala retina mata terlihat sekeping kertas. Kad sebesar tapak tangan berwarna hijau lembut terhimpit di bawah rimbunan bunga. Dia ambil dan dibawa ke depan mata. Perlahan dia membaca ayat-ayat yang tertulis di dada kad tersebut. Tulisan cakar ayam. Sudah seperti tulisan doktor. Yang sahih bukan Doktor Iskandar.
Buat yang bakal berada jauh di mata, Azizah Azra
Saya fikir kita akan bertemu semula dalam waktu terdekat ini
Tetapi sayang, Allah SWT tidak mengizinkan
Mungkin ada sebabnya kenapa diaturkan begitu
Sebulan saya akan berada jauh dari Malaysia
Bermakna sebulan juga awak akan berada jauh dari saya
Semoga kita segera bertemu kembali
Yang pasti merinduimu,
AA
“AA? Siapa pula AA ni?”

1 comment: