Total Pageviews

Thursday, August 20, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 27



“Gerbera Daisies, Stargazer Lilies.”
“Saya tak faham bahasa Perancis ni!” Muka dikerut sehabis masam.
“Bahasa Perancis apa pula? Bila masa saya bercakap bahasa Perancis ni?” Iskandar menggerakkan sebelah keningnya ke atas.
“Tadi tu!”
Lelaki itu ketawa kecil.
“Itu nama bunga ni... Stargazer Lilies dan Gerbera Daisies nama bunga nilah, sayang oi... Bahasa Perancis apa pula? Saya ni, bukannya pandai cakap bahasa Perancis.” Tawa Iskandar bersambung lagi.
Ceh! Buat malu saja. Azizah tayang wajah sarkastik bagi menutupi rasa malunya itu.
“Kenapa tak bagi Red Roses?”
“Gerbera Daisies lambang kecantikan dan kejujuran. Sama seperti awak. Cantik dan jujur. Lily melambangkan penghormatan dan sumber aspirasi. Awak sekarangkan sudah jadi aspirasi hidup saya. Lagipun, saya faham sangat awak ni, Zizah. Awak takkan suka bunga-bunga yang ada bau wangi ni.”
Aduh... lahai! Kenapalah Iskandar begitu mengenali dia? Bagi dia, perempuan yang lembik menggeletis ni saja sukakan bunga-bunga jenis berbau harum ni. Lebih-lebih lagi Roses. Sebab itu dia tak suka bunga jenis tu. Diakan perempuan yang keras dan tegas. Persepsi songsang mana dia ambil pun, dia tak tahulah.
“Coklat ni pula untuk apa? Awak ingat saya ni budak-budak?” Huluran dari tangan Iskandar masih belum disambut.
“Coklat merupakan simbol kemakmuran. Pada tahun 1544 Masehi, rombongan Maya dari Guatemala yang mengunjungi istana Sepanyol membawa hadiah, antaranya minuman coklat sebagai tanda perdamaian.”
“Apa hal pula awak nak buat kelas Sejarah dekat sini?” sinis Azizah berkata.
“Awak dengarlah dulu apa yang saya nak katakan ni. Lepas ni jangan menyampuk, okey?”
Dia tidak membalas. Muncungnya masih panjang seperti tadi.
“Saya dapat rasakan yang awak marah pada saya. Coklat ini sebagai tanda kemaafan dan perdamaian dari saya. Coklat sering digunakan sebagai ungkapan terima kasih, simpati, atau prihatin hingga ke pernyataan cinta. Jadi, ianya sebagai lambang perasaan saya. Sayakan sayangkan awak?”
Azizah sengetkan bibirnya. Sayanglah konon... Kalau sayang Iskandar takkan banyak berahsia darinya. Serta-merta dia teringatkan pesanan Rozaini agar segera bertanya kepada Iskandar. Ada peluang, lepas ni dia akan terus tanya.
“Kandungan endorphin coklat pula dapat meningkatkan tahap serotonin dalam otak. Membantu sistem otak dan boleh mengurangkan stress. Ianya juga mempengaruhi perangai, kelakuan dan perasaan seseorang. Jadi dengan coklat ini, saya boleh meredakan perasaan marah awak pada saya.”
Kalau dah doktor tu, doktor juga. Bercakap pun guna fakta. Ceh!
“Ooo... ingatkan dah clash... Rupanya masih berbaik lagi.”
Serentak kepala Azizah dan Iskandar berpaling kepada suara itu.
Mampus, Kak Siti!
Buntang mata Azizah melihat kemunculan Kak Siti di sisi Raja Faizah. Ini mesti Raja Faizah yang beritahu Kak Siti ketika dia ke tandas tadi.
“Eh! Ada bunga dan coklatlah. Untuk apa? Ooo..., ada sesi pujuk-memujuk Zizah ya? Patutlah dua hari ni tak nampak. Ni mesti bergaduh kan, dah main pujuk-pujuk ni?”
Azizah mengetap gigi menahan geram. Memanglah Kak Siti ni mulut laser.
“Biasalah kak, orang tengah darah manis. Sedangkan lidah lagikan tergigit. Sesekali tu, ada juga bergaduh-gaduh manja,” ujar Iskandar tiba-tiba.
Pantas dia berpaling kepada Iskandar. Apa yang cuba lelaki ini katakan?
“Darah manis?” Kak Siti ajukan pertanyaan kepada Iskandar.
“Kami nak bertunang bulan depan. Itu yang darah tengah manis sangat tu.” Iskandar senyum kepada Kak Siti.
“Bertunang?” Terbeliak mata Kak Siti.
“Eh! Tak jemput pun?” Riak Kak Siti berubah teruja.
“Tadi cakap, tunang Zizah?” celah Raja Faizah pula.
Bila bercakap dengan tetamu, hilang pula loghat si Raja Faizah ni. Pandai pula dia menjaga bahasanya.
Sorry saya silap. Bakal tunang Azizah.” Iskandar membetulkan kata-kata awalnya ketika dia memperkenalkan dirinya kepada receptionist itu tadi.
Cepat Azizah memangkas. “Mana ada kak! Dia ni melawak saja ni.”
“Melawak apa pula? Awak malu ya?” Iskandar pandang Azizah.
Siot punya Iskandar. Muaklah dia kena gasak dengan Kak Siti nanti ni.
“Kami belum tetapkan tarikhnya lagi kak. Dah tetap tarikh nanti, tentu Azizah jemput,” tambah Iskandar lagi. Tidak dipedulikan pandangan Azizah yang mencerlung tajam kepadanya.
Memang dia debik juga Iskandar ni karang. Sengaja nak bikin panas cuaca dalam ofis dia ni. Kalau Kak Siti dah tahu, confirm akan kecoh satu TESCO ni. Habis-habis Bangla jadi jaga dekat sini pun, tahu juga nanti. Lekas dia menarik tangan Iskandar untuk dibawa keluar dari pejabat itu sebelum keadaan menjadi semakin kecoh.
“Eh! Sekejap, sekejap!” Kak Siti menahan mereka berdua.
“Sebelum kau orang pergi dating, bunga dan coklat ni bak sini dulu.” Kak Siti dengan muka selamba mengambil jambangan bunga dan coklat dari tangan Iskandar. “Akak tolong bubuh dalam vas dan letak atas meja kau, Zizah. Coklat ni, kira sedekahlah dekat kita orang ya.”
Terlopong mulut Azizah. Coklat tu Iskandar beri dia kot. Memang muka tak tahu malu betul Kak Siti ni.
“Sekejap kak!” Iskandar menahan Kak Siti pula. Dia ambil kotak Ferrero Rocher dari tangan Kak Siti. Kotak coklat itu dibuka.
“Saya ambik tiga biji ni untuk Azizah. Yang lain tu, akak ambiklah. Bagi pada staf lain juga.” Iskandar pulangkan semula kotak itu kepada Kak Siti.
“Amboi! Baiknya hati bakal tunang kau ni Zizah...” Kak Siti memuji tanpa segan silu.
Azizah pula yang naik malu dengan ragam Kak Siti. Cepat dia menarik tangan Iskandar mahu segera beredar dari situ.

No comments:

Post a Comment