Total Pageviews

Friday, August 28, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Bab 21 , 22 , 23




N3 terakhir utk KYDH... So, saya blanja 3 bab sekaligus... Mohon doakan bersama supaya semua urusan penerbitan KYDH berjalan lancar. Soon, kita akan jumpa Is & Jijah dlm versi cetak. Tungguuuuuuu....
Sayang korang ketat2... muahsss

Bab 21
Dalam kekok tangannya menyolek muka sendiri, akhirnya dia berjaya juga lulus ujian itu. Satu bala sudah terlepas. Sekarang ini, dia terpaksa berhadapan dengan satu lagi bala.
Grooming class!
Lebih ironi, yang akan menjadi juru tunjuk ajarnya, adalah orang yang dia tidak pernah jangka. Model terkenal Malaysia, supermodel Tinie. Baru beberapa hari yang lepas, dia berangan menyolek muka Rozaini ala-ala wajah Tinie. Tak sangka sekarang, sudah bertentangan muka pula. Siapa sangka, model berjaya seperti Tinie itu berasal dari Negeri Sembilan.
Tingginya si Tinie ni, menjulang macam pokok pinang. Gila tak tinggi kalau dah 180cm? Patah tengkuknya asyik mendongak saja ketika melihat wajah Tinie sewaktu Iskandar mengatur perjumpaan untuk mereka berbincang mengenai kelas grooming tu. Tak sangka pula, dengan supermodel pun Iskandar berkawan. Tinie merupakan salah seorang pesakit yang pernah Iskandar rawat. Alang-alang dah kenal, jadi Iskandar minta pertolongan Tinie bagi mengadakan kelas grooming khas untuk dia. Bayarannya pun harga kawan-kawan saja. Tak mahal sangat, kata Iskandar.
Boleh sasau dia mengikut kehendak Iskandar ni. Bila dia membantah, mulalah Iskandar sentuh soal janjinya dahulu. Geram betul. Puas juga Tinie memujuknya supaya memasuki kelas grooming tu. Macam-macam alasan dan hujah Tinie kemukakan. Setelah lama dipujuk barulah dia setuju.
Satu minggu berikutnya, Azizah mula sibuk dengan kelas grooming yang merangkumi banyak ekspek untuk dia pelajari. Bukannya satu dua perkara yang perlu dia ketahui. Banyak juga cabangnya. Penampilan diri, cara berpakaian dan pemilihan pakaian mengikut kesesuaian majlis dan suasana, cara percakapan, tingkah laku, cara berfikir dan membuat keputusan serta bertindak. Dia turut belajar kaedah membina keyakinan diri. Dah seperti masuk kem motivasi pula rasanya. Banyak benda juga yang dia kena belajar dan tahu. Hmm... Susah betul nak jadi perempuan sejati ni.
Dalam banyak-banyak perkara yang diajar oleh Tinie, ada satu sesi yang paling tak boleh tahan dan paling Azizah tidak suka. Sesi belajar cara berjalan. Kalau ikut logik akal, dah dua puluh tujuh tahun umurnya, takkan tak reti berjalan lagi tapi Tinie kata, ini bukan belajar berjalan seperti budak kecil yang baru nak bertatih. Dia perlu belajar cara berjalan yang betul. Iaitu berjalan dengan meletakkan tumit dahulu baru jari kaki. Gaya berjalan juga memainkan peranan bagi menunjukkan tahap keyakinan seseorang. Selain itu kasut juga merupakan salah satu objek yang boleh menaikkan semangat. Pelik betul bunyinya kan? Bukan auta, tetapi inilah fakta yang diberitahu oleh Tinie.
Sudahlah dia tidak pernah menyarung kasut tumit tinggi. Kali pertama memakainya saja terasa sungguh tidak selesa. Seperti berdiri menggunakan hujung jari saja. Berpuluh kali dia terpelecok. Mujur juga tidak sampai terseliuh atau retak tulang tapak kaki. Kalau tercedera, tak pasal saja kaki bersimen. Selepas diberitahu oleh Tinie, barulah dia tahu, bahawa memakai kasut tumit tinggi pun ada caranya juga, supaya rasa selesa dan mengelakkan kaki dari rasa sakit. Banyak juga tip-tip yang diberikan oleh Tinie. Antaranya cara pemilihan bentuk dan ketebalan tumit bagi keselesaan kaki. Dan cara merehatkan kaki selepas memakai kasut tumit tinggi. Heh! Tak sangka. Rumit sungguh!
Akibat dari kelas berlatih berjalan itu, sepanjang malam tidur Azizah tidak nyenyak. Tumit kaki berdenyut-denyut. Sakitnya seperti diketuk tukul besi. Nak memijak pun tak boleh. Manakan tidak, hampir dua jam dia berlatih berjalan dengan memakai kasut tumit tinggi. Kalau tumitnya seinci, tak mengapalah. Kalau sudah lima inci, apa cer...? Naik tegang urat keting. Buntut pula sudah menonggek dibuatnya. Memang kerja gila betul yang disuruh oleh Iskandar ni.
Sekarang, memang dia rasa betul-betul menyesal dengan janji yang dia buat kepada Iskandar dahulu. Kalaulah dia tahu, dia terpaksa melalui semua ni, sumpah mati dia takkan buat janji untuk berubah.
Seminggu berlalu. Azizah rasa cukup lega. Akhirnya grooming class selesai juga. Ringan betul otaknya. Seperti baru terlepas dari beban yang menghempap di kepala. Petang itu, Iskandar menjemputnya selepas usai kelas grooming yang terakhir. Dia mahu memandu sendiri, tetapi Iskandar tidak benarkan pula. Iskandar rela menghantar dan menjemputnya, walaupun Iskandar sendiri sibuk bekerja.
“Sayang, lepas ni kita terus ke Seremban 2 boleh tak?”
Iskandar menyoal ketika mereka sama-sama melangkah memasuki perut kereta.
“Buat apa?”
“Nak celebrate...”
Matanya tunak memandang Iskandar.
“Nak celebrate apa?”
Celebrate sayang berjaya habiskan dua course make over tu!”
Haih... Macam dia ni baru habis konvo ambil Master pula nak celebrate-celebrate.
“Boleh ya?”
Malas hendak membantah, Azizah angguk saja. Lagipun, badan terasa amat penat. Kalaulah dia memandu sendiri, confirm terus balik rumah. Mandi, dan lepas tu terbongkang atas katil.
Ketika Iskandar memandu menuju ke Seremban 2, Azizah sekadar melayan perasaan sambil memandang keluar dari kenderaan. Mata meneliti keadaan bandar Seremban yang mereka lalui. Tiba-tiba matanya melekat pada sebuah kedai bunga.
Blooming Your Heart!
Itulah kedai bunga tempat mamat AA tu buat tempahan. Anak mata masih melekat kepada kedai bunga tersebut walaupun kereta Iskandar sudah melepasinya agak jauh. Selepas kedai itu hilang dari pandangannya, dia menyandarkan semula tubuhnya pada kerusi bersama sebuah keluhan berat. Benak kembali teringatkan jambang bunga ketiga yang dia terima dari AA pagi tadi. Kali ini dia terima kiriman bunga garbera daisies pelbagai warna.
Tak tahulah sampai bila dia boleh menyorokkan hal jambangan bunga kiriman AA tu dari pengetahuan Iskandar. Mujur juga sejak ke belakangan ini, Iskandar tidak mencarinya hingga ke pejabat. Sekiranya Iskandar mengambil dia di tempat kerja, Iskandar cuma menunggu di ruang parkir saja. Kalau tidak, jenuh juga mencari jalan mahu sembunyikan jambangan bunga yang besar tu.
Di depan mata Azizah, tergambar semula baris kata yang dicoretkan oleh AA pada kad ucapannya.
Walaupun jambangan ini seminggu sekali sampai ke tangan awak
Saya saban waktu mengingati awak
Kalau hari-hari awak terima kirim bunga dari orang yang tidak dikenali
Tentu awak rimas juga
Tetapi saya cukup mengenali awak Azizah Azra
Untuk mengenali saya, tunggu berbaki 2 minggu saja lagi
AA
Dia mengeluh. Sejak kebelakangan ini, otaknya betul-betul penat. Letih dengan karenah Iskandar dan kelas-kelas mengarut tu. Bertambah litak apabila memikir perihal si AA ni.
“Kenapa mengeluh?”
Rupanya keluhan dia tadi sampai juga ke telinga Iskandar. Dia pandang wajah Iskandar buat seketika, sebelum beralih melihat ke hadapan. Kepala direbahkan pada penyandar.
“Penat...,” jawab Azizah sepatah. Cuba menyembunyikan apa yang singgah di kepalanya sebentar tadi.
“Lepas ni, dah boleh relax dah... Make-up class selesai. Grooming class pun dah habis.”
“Tak nak suruh saya masuk class apa-apa lagi ke lepas ni?” Soalan berbentuk sindiran diajukan kepada Iskandar. Lelaki itu cuma tersenyum.
“Perli ke, marah ni?”
Iskandar menyoal dia semula bersama senyuman kambing tu.
“Bukanlah marah. Perli pun tidak. Tapi apa relevannya saya kena masuk semua class tu?”
Setelah selesai kedua-dua kelas itu diambil, baru sekarang Azizah nak pertikaikan? Tak rasa dah terlewat ke?
“Awak dah lupa? Kan awak juga yang berjanji nak jadi lebih baik. Itulah cara saya untuk menjadikan awak lebih baik.”
“Awak tahu tak, saya penat melayan permintaan awak yang mengarut tu. Awak nak saya jadi lebih baik, atau nak saya jadi lebih perempuan?” tegas Azizah bersuara. Entah kenapa dia terasa seperti mahu berbahas sahaja dengan Iskandar sekarang ini.
“Kenapa saya perlu jadi macam yang awak nak? Adakah itu bermakna awak tak boleh terima saya ni siapa? Saya ni bagaimana? Atau awak tak boleh terima semua kekurangan yang ada dalam diri saya?” Bertubi-tubi Azizah terjah Iskandar dengan soalan. Mata kembali digaritkan kepada Iskandar yang masih tenang memandu. Seperti Iskandar tidak terkesan dengan kata-kata kasarnya sebentar tadi.
“Sebab itulah saya hantar awak masuk grooming class... Apa yang awak belajar dalam grooming class tu?”
Eh! Kita tanya dia, dia tanya kita balik. Ini yang darah nak mendidih saja ni.
“Saya yang tanya dulu! Awak jawab sajalah soalan saya tadi. Kenapa nak kaitkan saya dengan grooming class tu pula?” Suara dia semakin meninggi.
Iskandar senyum lagi. Sabar sungguh Iskandar berhadapan dengan Azizah yang dah melenting tanpa sebab ni.
“Sayang, awak dah lupa? Dalam grooming class tu, awak kan dah diajar bagaimana nak mengawal perasaan awak. Bagaimana cara meluahkan perasaan dengan baik dan berhemah, walaupun dalam keadaan marah. Dan paling penting, cara kita bercakap sekaligus mengawal situasi. Awak dah lupa?”
“Saya ingatlah. Bukannya saya ni dah tua ganyut sangat nak lupa semua tu!” Cepat dia memangkas dalam nada sinis.
“Habis tu, kenapa awak tak praktikkan sekarang ni? Kenapa nak cakap marah-marah? Menengking-nengking? Sebagai seorang perempuan, awak seharusnya lebih sopan. Tak puas hati atau nak marah, awakkan tahu bagaimana cara nak luahkannya. Bukan dengan menempik begini. Nasib baik kita dalam kereta. Kalau di tempat public, macam mana? Bukan saya saja yang malu tau, awak juga.” Tenang Iskandar berkata-kata sambil perhatian masih tertumpu kepada jalan raya.
Azizah terdiam. Terasa bila ditegur oleh Iskandar.
“Azizah..., bukannya saya tak boleh terima siapa diri awak. Jauh sekali tak boleh terima bagaimana keadaan awak. Saya jatuh cinta pada awak sudah lama, Zizah. Saya kenal siapa awak. Saya tahu macam mana sikap dan perangai awak. Tak kira macam mana awak sekalipun, saya tetap sayangkan awak. Sebab apa? Sebab saya tak memandang kepada luaran. Salahkah saya melakukan perkara yang terbaik kepada orang yang saya sayang? Salahkah saya, sekiranya saya mahu orang yang saya sayang sempurna hidupnya?
Awak seorang perempuan Melayu, Zizah. Perempuan Melayu, adalah perempuan yang terkenal dengan kelembutan sifat luaran dan dalamannya. Seorang perempuan Melayu, penuh lemah lembut perlakuan dan tutur katanya. Baik budi pekerti dan tinggi sopan santunnya. Seorang perempuan Melayu tidak kasar adapnya. Salah ke, kalau saya mahu awak jadi macam tu? Bukannya saya membentuk awak jadi yang tak elok. Salah ke saya, Zizah?”
Tiba-tiba hatinya diserang rasa bersalah. Azizah larikan wajahnya dari wajah Iskandar. Tertunduk merenung hujung jari yang bergumpal sesama sendiri.
“Maafkan saya, kalau awak terasa dengan kata-kata saya tadi. Saya sayangkan awak, Zizah.”
Saya pun sayangkan awak..., tetapi suara itu hanya bergema di ruang hatinya.



Bab 22
Kata-kata yang dituturkan oleh Iskandar beberapa hari yang lepas, benar-benar meninggalkan kesan dalam hatinya. Bukan calang-calang kesan. Kesan yang buat dia amat-amat terasa. Betapa butanya mata hati dia selama ini. Memang begitulah lazimnya sifat manusia. Sukar menerima perubahan sekiranya sudah sebati dengan kelakuan sedia ada.
“Perempuan Melayu, adalah perempuan yang terkenal dengan kelembutan sifat luaran dan dalamannya. Seorang perempuan Melayu, penuh lemah lembut perlakuan dan tutur katanya. Baik budi pekerti dan tinggi sopan santunnya. Seorang perempuan Melayu tidak kasar adapnya. Salah ke, kalau saya mahu awak jadi macam tu? Bukannya saya membentuk awak jadi yang tak elok. Salah ke saya, Zizah?”
Sudah beratus kali ayat-ayat itu bergema di setiap sudut ruang mindanya sepanjang beberapa hari ini. Setiap kali ia berulang, terasa ada sesuatu yang terbuku di dadanya. Rasa tersentuh, hiba, sayu. Terselit di antaranya rasa bersalah juga, kerana dia lancang mengata Iskandar yang bukan-bukan. Ternyata Iskandar begitu mengambil berat akan dia dan menyayanginya.
Kalau niat Iskandar baik, mahu dia menjadi seorang perempuan dalam erti kata yang sebenar, kenapa perlu membantah? Kenapa nak pertikaikan? Kenapa sukar hendak terima teguran? Sedangkan apa yang Iskandar lakukan itu, semuanya adalah untuk kebaikan dia. Iskandar menyeru dia supaya berjalan ke arah yang betul. Bukan sebaliknya. Dan tiada salahnya kalau dia terima nasihat Iskandar itu. Berusaha perbaiki diri supaya menjadi lebih baik dari semalam atau dari hari-hari sebelumnya. Hari di mana Iskandar belum wujud dalam hatinya.
Azizah tenung dalam-dalam wajahnya yang terbias di dalam cermin meja solek. Diselam ke dalam hatinya. Ingin mencari kebenaran diri. Apakah dia mahu berterusan bersikap begini? Sikap yang penuh dengan ciri-ciri lelaki. Kasar dan keras. Langsung tiada terselit identiti seorang perempuan. Adakah dia mahu hidupnya terus begini? Sering kali menidakkan naluri sendiri. Menutup pintu hatinya dari Iskandar. Mahu dinyah ke tepi perasaan yang mula bersemi. Memang di dalam dirinya, sudah terbesit rasa sayang kepada Iskandar, tetapi dia tidak berani mengakuinya.
Semakin dalam renungannya, semakin terbuka mata hatinya. Saat ini dia bertekad. Dia mahu berani meluahkan apa yang dia rasa.
“Azizah, mulai hari ini, kau akan jadi Azizah yang baru. Bukan lagi Azizah yang dulu. Azizah yang kasar, Azizah yang keras, Azizah yang degil. Azizah hari ini, adalah Azizah seperti yang Iskandar inginkan. Azizah yang lemah lembut. Azizah yang baik budi bahasa, sopan santun. Berusaha Azizah! Berusaha jadi seorang perempuan yang baik. Jalannya sudah Iskandar tunjukkan. Cara dan bagaimana untuk berubah, kau dah tahu. Bukannya susah. Yes!
Genggaman pada tangan direngkuh bagi menaikkan semangat sendiri. Nafas ditarik dalam-dalam dan dilepaskan panjang. Lega segala rasa yang terbuku di dalam dadanya tadi. Betullah kata mamanya, kalau kita terima setiap teguran yang membawa kebaikan itu dengan fikiran terbuka, hati akan terasa lapang untuk melakukan perubahan. Tak adalah rasa sakit hati atau berkecil hati.
Untuk berubah, dia mesti berani memulakan langkah pertama. Telefon Iskandar! Itulah langkah pertamanya. Langkah kedua, ketiga dan seterusnya, terserah saja kepada keadaan. Selama ini, dia tidak pernah menghubungi lelaki itu. Selalunya hanya Iskandar yang akan menelefonnya. Walaupun Iskandar masih seperti biasa, menghubunginya saban hari, dari lontaran suara lelaki itu, dia tahu Iskandar terasa dengan kata-katanya tempoh hari. Dia perlu memohon maaf dari Iskandar.
Telefon di atas almari solek segera diambil. Pantas dia mencari perkataan ‘Matahariku’ di dalam daftar nama pemanggil.
“Helo.” Disapa suara di sebelah sana sebaik sahaja panggilannya dijawab.
“Assalamualaikum.”
Suara Iskandar lembut menyapa gegendang telinga. Azizah terdiam seketika. Tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan.
“Sayang, jawab salam saya,” tegur Iskandar.
Dia tersentak. Cepat disambut salam itu. “Wwwaalaikumussalam.”
“Bertuah betul saya hari ni. Dekat sebulan kita rapat, inilah kali pertama awak telefon saya. Kenapa telefon saya?”
“Saya rindukan awak. Dah berapa hari awak tak datang jumpa saya.” Tangan pantas menutup mulut. Tanpa berfikir, laju saja kata-kata itu menyusur di bibir. Tidak sempat singgah di otak. Selepas terhembur keluar barulah dia menyedari keterlanjurannya itu.
Kedengaran tawa kecil di corong sana.
“Rindu? Betul ke ni?” Iskandar mengusik.
Hati mula terasa. Dia bukannya seorang yang mudah menuturkan ayat-ayat jiwang ni. Bila dah terkeluar, Iskandar buat main pula.
“Saya cakap betul-betul, awak mengusik saya pula.” Oktaf suara dinaikkan sedikit tinggi.
“Sayang...”
Azizah telan air liur. Suara Iskandar seperti menjalar masuk melalui telinga dan terus merayap ke hatinya. Dia tahu Iskandar sedang menegur cara dia bersuara. Rasa bersalah kepada Iskandar kembali menghimpitnya.
“Saya mintak maaf, pasal saya tinggikan suara saya tadi. Saya mintak maaf juga sebab tinggikan suara masa dalam kereta hari tu.” Perlahan kata-kata kemaafan itu diutarakan. Sekarang Iskandar pula yang senyap di sebelah sana.
Emmm... Awak... saya...” Azizah tergagap-gagap. Walaupun tadi, hatinya sudah tekad untuk meluahkan apa yang dia rasa, tetapi masih ada malu untuk bersuara. Sungguh, dia sudah rindukan lelaki itu.
“Awak nak cakap apa?”
Emmm... Kenapa dua hari ni, awak tak datang jumpa saya?”
“Ooo... Itu yang kata rindukan saya tadi tu?” seloroh Iskandar.
Mulut sudah terbuka untuk membentak. Malulah bila Iskandar menggiat dia begitu. Namun segera dimatikan niatnya. Diakan sedang belajar menjadi seorang perempuan yang lembah lembut. Sopan tutur kata. Nanti ditegur lagi oleh Iskandar. Sabar Azizah...
Ehem...” Nada suara cuba dikawal.
“Saya dah biasa tiap-tiap hari jumpa awak. Bila tak jumpa saya rasa lain. Sebab tu saya rindukan awak.” Perlahan sungguh dia menyatakan ayat-ayat itu. Entah didengari oleh Iskandar, entahkan tidak.
“Saya pun rindukan awak juga. Kan saya dah bagitau, saya sibuk dua hari ni?”
“Saya tahu...” Dalam kepala terdetik sesuatu.
“Hari ni saya nak jumpa awak boleh tak?” Dicampakkan jauh-jauh rasa malu saat menuturkan kata-kata ini. Bukankah dia sudah bertekad tadi mahu jadi lebih berani meluahkan apa yang dia rasa?
“Bila?” Ada nada bahagia pada suara Iskandar itu.
“Malam ni. Saya nak awak temankan saya pergi Aeon Seremban 2.” Tanpa berlengah, segera diajukan rancangan yang terlintas di benaknya sebentar tadi.
“Buat apaaa...?” Panjang intonasi Iskandar bertanya. Suka sangat mengusik.
“Alah... sayang...” Azizah merengek manja.
Terdengar Iskandar tersedak di sebelah sana.
“Aaapa dia tadi?”
Mungkin lelaki itu tidak percaya. Takut tersalah dengar agaknya. Azizah beranikan diri. Tahu ayat keramat itulah yang buat Iskandar tercekik air liur sendiri. Dia pun tak menyangka akan jadi seberani ini.
“Tak boleh ke kalau saya pun nak panggil awak sayang?”
Lagi sekali lelaki itu kedengaran terbatuk-batuk.
“Bbboleh... Sssaya lagi suka. Tapi sejak bila pula...”
Tidak habis Iskandar bertanya cepat Azizah mencelah.
“Awak jangan tanya apa-apa. Nanti hati saya terbalik semula, awak juga yang menyesal.” Walaupun perlahan, tetapi masih jelas nada ugutannya.
“Okey, okey, okey. Saya tak tanya apa-apa. Pukul berapa awak nak saya ambik awak?” Suara Iskandar jelas berbunyi girang.
“Lepas maghrib. Kita pergi Aeon dulu beli barang. Lepas tu, saya nak belanja awak makan.”
Ish! Malulah kalau awak yang belanja. Awak kan girlfriend saya. Sepatutnya saya yang belanja awak,” bantah Iskandar pula.
Hmm... Suka hati awaklah sayang.” Semakin mudah pula bibirnya menuturkan ayat manis itu. Terasa manis juga di hatinya.
“Lepas maghrib saya jemput awak.”
“Okey.”
Panggilan ditamatkan. Cepat Azizah melihat jam pada telefon bimbitnya. Pukul 6.30 petang. Waktu maghrib sekarang awal. 7.04 minit malam sudah masuk waktu. Jadi, dia cuma ada masa setengah jam saja lagi untuk bersiap dan solat.
Azizah buka cosmetic organizer casenya. Melihat deretan alat solek yang tersusun cantik di dalam bekas itu.
“Sempat ke aku nak make-up ni?” Dia garu anak rambut di tepi dahi.
“Heh! Bukannya aku nak masuk pertandingan Miss Pageant pun. Tak payah make-up tebal-tebal. Bedak, lipstick, celak dan maskara saja dah cukup buat aku jadi cantik,” putus Azizah seraya memuji diri sendiri. Selepas itu segera dia menuju ke bilik air untuk bersiram. Nanti nak pilih baju lagi. Terujanya seperti baru pertama kali nak keluar dating pula.
Usai solat maghrib dan bersiap, Azizah keluar dari biliknya.
“Zai! Aku keluar dengan Iskandar sekejap ya. Kau kalau nak makan, kau makanlah dulu. Jangan tunggu aku,” jerit Azizah di hadapan pintu bilik Rozaini. Kemudian dia tinggalkan pintu itu menuju ke tangga. Di luar rumah, kedengaran Iskandar sudah beberapa kali menekan hon keretanya.
“Kau nak pergi mana?” Rozaini pacul di muka pintu bersama telekung yang masih tersarung di badan.
Dia berpaling. Serentak itu juga Azizah melihat mata Rozaini terbeliak memandang kepadanya. Macam nak terkeluar biji mata pun ada juga.
“Mak oi! Cantiknya kau?!”
Azizah cuma tersengih. Solekan yang dikenakan nipis saja. Itupun Rozaini nak buntang mata ke? Ini baru Rozaini. Kalau Iskandar tengok, agak-agaknya mahu cicir biji mata lelaki tu. Semakin lebar senyuman bangga Azizah.
Ish! Ish! Ish! Tak sangka aku. Kau ni kalau dah make-up, cantiknya Miss World pun kalah. Tak percaya aku, akhirnya Iskandar berjaya juga buat kau berubah.”
“Dah jangan nak puji lebih-lebih sangat. Aku nak keluar ni.” Dia berpaling untuk meneruskan langkahnya yang terbantut tadi.
“Kau nak pergi mana?” Rozaini menahan.
“Aku nak pergi shopping.” Laju kakinya menuruni anak tangga.
Memang betullah tebakan dia tadi. Seperti hendak terjatuh mata Iskandar sewaktu merenungnya tidak berkelip. Mulut lelaki itu turut terlopong luas. Kalau sumbat penumbuk dia ni, muat agaknya.
Eh, Jijah! Tadi dah berazam nak jadi gadis ayu gitu... Mana boleh tayang penumbuk lagi?
Terlupa! Hehehe...
Iskandar rapatkan kelopak mata dan membukanya semula. Terkebil-kebil beberapa kali. Mulut yang ternganga dikatup kemudian air liur ditelan.
“Aaawak ke ni sayang?” Iskandar tidak percaya. Gadis yang berdiri di hadapannya ketika ini, adakah gadis yang sama dia kenal sebelum ini?
“Tak, hantu!” Azizah tersenyum mengusik. Iskandar turut tersenyum.
“Kan manis begini. Cuma satu saja kurangnya.”
“Apa dia?” Cepat Azizah menyoal. Dah berhias punya cantik macam ni, masih ada kurangnya ke? Setebal mana pula Iskandar mahu dia bersolek? Nak melawa ala-ala Che Ta ke? Ish! Tak sanggup haih. Tak larat nak buka mata. Bulu mata palsu tu berat sangat.
“Ni..., jean lusuh dan baju T ni. Tak berapa sesuai.”
Azizah melihat pakaian yang tersarung pada tubuhnya. Inilah pakaian paling baharu yang ada dalam almari bajunya. Tak cukup cantik ke?
“Saya rasa..., kalau awak pakai blaus dan skirt labuh lagi cantik.”
“Sebab tu saya ajak awak keluar hari ni. Nak pergi shopping. Beli baju. Saya dah dapat gaji.”
Muka Iskandar nampak bercahaya-cahaya dalam samar-samar lampu jalan di hadapan rumah sewanya ini.
“Jom, jom, jom. Kita pergi butik. Beli baju kurung, skirt labuh, blaus. Kita beli kasut dan handbag sekali nak tak?” Becok mulut Iskandar berkata sambil membuka pintu untuk Azizah.
“Kopaklah saya.”
“Jangan risau... Saya sponsor.”
Koyak hingga ke pipi senyuman Azizah kala kakinya melangkah memasuki kereta Iskandar. Orang tua-tua kata, rezeki jangan ditolak. Dah ada orang yang sudi nak belikan, jangan banyak bunyi. Bertuahlah... badan, bila ada orang yang sayang.  


Bab 23
Agaknya, beginilah rasanya bila hati sudah ada cinta. Dua puluh empat jam ingatkan si dia saja. Mulut pula tak kurang dari senyuman, setiap kali nama si jejaka berbaris di dalam kepala. Indah benar perasaan dalam dada. Seperti ada taman bunga.
Bang!
“Oi mak kau!” Mati semua angan-angannya. Raut muka tampan yang berjoget-joget dalam fikiran turut terbang melayang. Anak mata menangkap telapak tangan yang masih melekap pada meja. Dari tapak tangan, dia panggung kepala memandang si pemiliknya.
“Allah kak Siti... Apasal buat macam tu? Sakit jantung Zizah ni. Kalau Zizah kiok tadi macam mana? Tak sempat Zizah nak kahwin nanti tau!” Azizah mencebek.
“Patutlah senyum sumbang macam kera saja dari tadi. Berangan nak kahwin rupanya.” Tangan Kak Siti menjalar pula ke bahu Azizah. Ditarik kulit badan di bawah lapisan baju itu.
“Aduh! Sakit la kak Siti. Janganlah main cubit-cubit. Nanti lebam, tak hilang kesan. Turun harga saham hantaran Zah tau...” Bahunya diusap berkali-kali. Perit.
Ish ish ish... Teruk dah kau ni Zizah. Sudahlah dari masuk kerja tadi muka macam orang baru lepas kena loteri. Sekarang ni angau nak bernikah la pula.”
Itulah Kak Siti... Tak faham perasaan orang tengah bahagia bercinta ni. Dia punya happy tu, lebih dari kena letori tau! Nak saja dia ungkap kata-kata itu kepada Kak Siti, tetapi tak berani. Nanti, free saja kena khutbah dek Kak Siti yang memang anti dengan lelaki dan perempuan yang asyik masyuk bercintan-cintun ni.
“Kau apasal hari ni?” Kak Siti mengerut dahi dan menajamkan pandangan matanya.
Apasal apa?” Azizah pulangkan semula soalan kepada Kak Siti. Buat-buat tidak faham.
“Akak nak rakamlah.”
Kak Siti kelihatan menyeluk poket seluarnya ingin mengeluarkan sesuatu. Azizah mula rasa cemas.
“Apa benda yang kak Siti nak rakam? Zizah mana ada main internet masa kerja?” Dia alihkan skrin komputernya menghadap Kak Siti. Ingin menunjukkan yang dia tidak melakukan sebarang aktiviti terlarang di dalam waktu kerjanya.
“Bukan pasal tulah!”
“Habis tu pasal apa?”
“Ni hah!” Telunjuk Kak Siti menunding kepada skrit hitam labuh yang dipakai oleh Azizah.
“Nak rakam, pasal hari ini dalam sejarah kau pakai macam ni.” Kak Siti mula mengajukan lensa kemera telefonnya kepada Azizah.
“Apa ni kak Siti?” Cepat tangannya menekup pada telefon bimbit yang terarah kepadanya. “Orang pakai macam ni pun nak rakam ke? Malulah! Bukannya tak pakai apa-apa...”
Kak Siti menarik telefon bimbitnya dari genggaman tangan Azizah. “Mestilah akak nak rakam. Boleh buat slot hari ini dalam sejarah. Esok-esok, boleh tayangkan semula. Hari pertama dalam hidup akak dan semestinya dalam hidup kau juga, pakai baju macam ni.”
“Baju apa? Zizah pakai baju uniform apa...? Bukannya baju pergi dinner ke, apa ke... Baju berlabuci penuh satu badan ke...”
Kak Siti ketawa melihat wajah Azizah yang sudah merah menyala. “Memanglah pakai uniform. Baju saja. Ni apa? Mana pergi seluar kau?”
Tangan Kak Siti menarik skirt hitam labuh yang dipakai Azizah. Mujur juga dia tengah duduk. Kalau tidak, harus juga terlondeh direntap oleh Kak Siti. Kerja sia-sia betul Kak Siti ni. Cepat Azizah sentap semula skirtnya.
Hui yo! Kasut tumit lagi...”
Ish! Minah kepoh betul Kak Siti ni. Relax la... Setakat kasut tumit tinggi seinci saja kot. Tak ada apa yang pelik pun. Lainlah kalau dia sarung yang high heels lima inci tu.
“Eh sekejap!” Kak Siti dekatkan mukanya ke muka Azizah pula. Tajam matanya menelek. “Kau make-up ya...?”
Hantu punya Kak Siti. Perasan juga aku pakai make-up, regus Azizah. Mata segera melilau ke meja lain. Mujur juga dia bekerja di sebelah petang minggu ini. Jadi, ramai staf-staf lain tiada di dalam pejabat. Kalau tidak, dia pun malu nak berpakaian begini. Nanti mesti rakan sekerjanya mengata dia ni dah buang tabiat. Nyawa tinggal dua kali Jumaat.
Kalau nak diikutkan rasa segan, memang dia tak mahu pakai, tapi kalau tak mulakan dari sekarang menyarungkan baju style gegurl ni, bila lagi? Iskandar pun sudah berpesan, kena selalu bergaya begini. Barulah cepat hilang rasa kekok. Tidak dinafikan, dia rimas juga. Nak melangkah laju pun susah. Asyik terpijak hujung kain saja. Lebih-lebih lagi bila naik tangga. Terpaksa selek kain hingga ke paras keting.
“Mana ada...?” Azizah larikan wajahnya dari terus menjadi mangsa telekan anak mata Kak Siti yang mula rakus itu.
Kak Siti menarik dagu Azizah. “Kau pandang sini! Jangan nak sorok muka kau tu.”
“Yalah, yalah... Zah make-up sikit saja kot...” Mengalah juga dia akhirnya. Kalau tidak, Kak Siti takkan puas hati. Tetap akan tanya sampai dia mengaku.
“Wah..., ini dah kira cukup bagus. Kalau begini gayanya, kau kena kahwin cepat-cepat Zizah. Tak payah nak bertunang-tunang. Sejak ada mamat bunga tu, pandai betul kau make-up dah. Kahwin cepat. Kalau dah kahwin nanti, pakai make-up untuk suami saja. Lagi banyak dapat pahala. Melawa macam ni dekat luar, kau nak tayang dekat siapa? Berdosa!”
Kan... dah cakap. Kak Siti kalau dah tahu, mesti kena tarbiah punya. Tiba-tiba, interkomnya berbunyi. Fuh! Lega. Minta-minta cashier ada problem. Boleh juga dia lari dari Kak Siti ni. Bila Kak Siti dah balik, barulah terasa aman sikit. Cepat dia mengangkat ganggang telefon.
Zizah buah hati ekau hantar bungo lagi la...
Suara receptionist masuk air tu jelas kedengaran. Segera ganggang telefon diletakkan.
“Kak Siti, Zah kena pergi depan. Ada problem.” Sengaja dia berkata begitu, supaya Kak Siti melepaskan dia tanpa banyak bertanya itu dan ini. Ditinggalkan Kak Siti yang masih tega menilik dia dari atas hingga ke bawah.
Ruang menyambut tetamu segera dihampiri. Melihat kepada si budak penghantar, Azizah tahu dari mana dan siapa pengirimnya. Ini merupakan jambangan kelima yang dia terima. Kalau mengikut perkiraan, ini adalah jambangan terakhir dari peminat rahsia dia tu. Selepas ini, si peminat rahsia akan muncul. Kalaulah tuan empunya badan tu datang jumpa dia, memang dia libas lelaki tu dengan semua jambangan bunga yang dia terima. Biar puas hatinya yang selama ini tersekat dalam pelbagai pertanyaan tiada jawapan. Biar terbalas rasa tidak selesa dia apabila hidupnya diganggu oleh lelaki itu dengan cara begini. Dan perkara pertama yang akan dia beritahu kepada lelaki itu nanti adalah, berhenti dari mengganggunya. Dia bakal berkahwin.
“Tiap-tiap minggu dapek bungo. Jeles den. Den pun nak jugak jadi macam ekau ni Zah. Bakal tunang ekau tu, tak do adik ko? Tak do adik pun, abang jadilah.”
Azizah tersengih kelat.
“Iskandar tu anak tunggal. Tak ada adik-beradik lain.” Resit penghantaran segera ditandatangan.
“Alah...”
Terdengar keluhan panjang dari mulut Raja Faizah saat dia meninggalkan meja receptionist itu. Baru beberapa langkah dia menapak, namanya telah dipanggil oleh seseorang.
“Azizah!”
Derap kaki terus menjadi kaku. Badan sekelip mata terasa keras. Liur pula sudah berketul-ketul di dalam mulut. Pasti tercekik kalau ditelan. Hati berkira-kira mahu berpaling ataupun tidak. Kalau berpaling, pasti tidak dapat disembunyikan jambangan bunga yang baru dia terima ini. Tidak dapat disembunyikan bermakna, dia terpaksa berhadapan dengan pelbagai persoalan dan pertanyaan dari lelaki itu. Memang masin betullah mulut dia berkata kepada Kak Siti tadi. Memang di depan ni ada masalah. Masalah dia adalah di antara dia, Iskandar dan jambangan bunga siot ni.
“Panjangnya umur... Kita orang baru saja sebut nama awak. Sekejap tadi bunganya sampai. Sekarang ni, tuan punya bunga pula sampai.”
Dia mendengar Raja Faizah menyapa pemilik suara itu dalam nada formal tiada loghat. Kalau begitu bunyinya, sahihlah lelaki itu.
“Saya nak jumpa bakal tunang saya sekejap boleh tak?”
“Zah! Kau ni pokak ko buek-buek pokak? Ni tunang ekau ni panggil nak jumpo ekau. Koreh macam patung pulak dio kek situ hah!”
Masih lagi Azizah tidak berani hendak menoleh. Beberapa saat selepas itu, Iskandar sudah berdiri di sebelahnya. Iskandar hulur sekeping kad. Mata tidak berkelip melihat kad yang berada di tangan Iskandar. Air liur yang berketul-ketul di dalam mulut tadi, kini sudah kering dengan sendirinya. Hilang entah ke mana.
“Saya rasa kad ucapan ni awak punya. Jatuh atas lantai. Tercicir agaknya dari jambangan bunga ni.”
Suara Iskandar terdengar amat perlahan di tepi telinganya. Anak mata masih tancap merenung ke dada kad. Jelas bentuk tulisan cakar ayam di atas kad itu. Walaupun cakar ayam, tetapi masih mudah dibaca.
Minggu ke-4
Tak sabar untuk berjumpa awak
I’m coming home Azizah Azra
Really miss U
AA
Dia pasti, Iskandar juga dapat membaca atau mungkin terbaca ketika mengambil kad itu dari atas lantai tadi. Aduh... Entah apalah yang dia nak jawab kalau Iskandar bertanya nanti. Badan dan mata masih tidak berani hendak bergerak. Terasa dia sudah disumpah oleh Sang Kelembai menjadi batu. Kalaulah dari dahulu dia berterus terang kepada Iskandar mengenai kiriman bunga yang saban minggu dia terima ini, tentulah dia tidak terasa amat bersalah sekarang ini. Nak buat apa lagi, nasi sudah jadi bubur. Hadap sajalah kalau Iskandar bertanya macam-macam nanti.
“Sekejap lagi awak tea break kan? Saya tunggu awak dekat food court.”
Kedengaran suara lelaki itu amat lemah sekali. Seperti tiada semangat.
Kenapa dengan dia? Marah ke dia? Kecil hati ke dia? Cemburu ke? Atau mungkin kecewa kerana aku seperti bermain kayu tiga di belakang dia? Hari berdetak kencang.
Perlahan anak mata Azizah bergarit mencari wajah Iskandar. Tidak dapat ditafsir riak yang terpamer pada wajah Iskandar ketika ini. Anak mata Iskandar juga bergerak-gerak saat merenung kepadanya. Seperti ada sesuatu yang tergambar di sebalik renungan itu.
Iskandar menarik sebelah lengan Azizah. Kad kecil itu kemudiannya diletakkan ke atas telapak tangan Azizah. “Pergi simpan bunga awak ni. Kemudian awak turun food court. Saya tunggu dekat sana.”
Dan lelaki itu terus meninggalkan dia yang berada di dalam keadaan serba salah dan rasa amat bersalah. Mulut ingin memanggil nama lelaki itu. Mahu menahan supaya Iskandar tidak terus melangkah. Dia ingin menerangkan kedudukan sebenar, tetapi suaranya ini tidak mampu dilontarkan. Bagai ada sesuatu yang menghalang.
“Woi! Togak macam patung cendano kek situ apo hal? Tunang kau tu nak apo? Blah macam tu jo pulak.”
Tidak diendahkan pertanyaan Raja Faizah itu. Bergegas dia menuju ke mejanya dan mencampakkan jambangan bunga ke atas meja. Langsung tiada rasa sayang sekiranya bunga Carnation berwarna putih dan disembur pewarna biru itu rosak. Hati Iskandar yang seperti mahu rosak itu lebih perlu dia risaukan.
Kaki mula berlari anak mengejar Iskandar yang sudah hilang. Tetapi langkahnya dihalang oleh kain skirt yang berjela. Diangkat tinggi skirt labuh itu supaya luas langkahnya. Dia tidak mahu kehilangan jejak Iskandar. Apatah lagi kehilangan Iskandar, hanya kerana seseorang yang dia tidak tahu entah siapa. Mungkin orang gila. Dan dia akan rasa menyesal seumur hidup sekiranya dia kehilangan Iskandar semata-mata kerana orang gila itu.
Ditebarkan pandangannya ke segenap ruang food court mencari kelibat Iskandar. Namun tidak berjumpa. Dia pasti dan amat jelas dengan kata-kata yang dituturkan oleh Iskandar tadi. Iskandar menunggunya di ruang food court ini, tetapi kenapa sekarang dia tidak melihat pun Iskandar ada di mana-mana?
Dari meja di ruang kiosk pertama hingga ke meja kiosk terakhir mata Azizah mencari. Masih juga tidak kelihatan susuk tubuh Iskandar. Ke mana pula perginya lelaki itu? Adakah Iskandar membatalkan niatnya untuk berjumpa dia di sini? Apakah Iskandar telah pergi meninggalkannya tanpa menunggu penjelasan dari dia? Tentu Iskandar fikir dan ingatkan dia yang bukan-bukan. Sampai hati Iskandar buat dia begini. Sampai hati Iskandar tidak percayakan dia. Padahal, Iskandar belum tahu apa-apa pun lagi tentang jambangan bunga yang dia terima tu.
“Sayang.”
Lembut suara itu menyapa di tepi cuping telinganya. Serentak itu dia terasa lengannya dipaut erat. Segera dia kalih melihat ke sisi.
“Awak?” Hati diterpa rasa lega. Dari mana pula Iskandar muncul? Di mana pula Iskandar duduk, hingga dia tidak dapat mencari lelaki ini?
“Jom.”
Iskandar tarik lengannya supaya dia berjalan beriringan dengan lelaki itu. Ketika kakinya menuruti langkah Iskandar, tanpa berlengah segera diucapkan apa yang ingin dikatakan sedari tadi.
“Is...” Inilah kali pertama dia menyebut nama Iskandar. Walaupun buat pertama kali, tiada indahnya pada nada suaranya itu. Langsung tidak romantik.
“Is...” Kaki berhenti dari melangkah. Ditahan tangannya dari terus ditarik oleh Iskandar hingga derap langkah lelaki itu turut sama terhenti.
“Sssaya mintak maaf pasal bunga tadi tu... Sssaya...”
Iskandar tarik semula tangannya.
“Is...” Dia panggil lagi nama Iskandar, sambil menurut rengkuhan genggaman tangan Iskandar yang kejap pada lengannya.
“Kita duduk dulu.” Iskandar seperti tidak acuh.
“Is..., dengarlah dulu apa yang saya nak katakan pasal bunga tu tadi. Saya tahu awak marah... Is...” Azizah merayu seraya kaki menurut heretan tangan Iskandar. Tetap juga Iskandar buat tidak peduli.
“Kita duduk meja sana.” Iskandar menunding ke arah sebuah meja yang terletak agak tersorok di satu sudut.
“Is... Saya tahu awak marah. Saya mintak maaf pasal bunga tu. Sumpah! Saya tak tahu pun siapa yang bagi...”
Iskandar buat tidak endah. Tiba di meja itu, sebelah tangannya yang tidak menggenggam lengan Azizah, menarik keluar sebuah kerusi. Dia pegang kedua belah bahu Azizah lalu membawa Azizah duduk di kerusi itu.
“Awak duduk dulu. Saya pergi beli air sekejap.”
Belum sempat Azizah membuka mulut, Iskandar sudah beredar ke kiosk yang menjual jus buah-buahan. Sikap Iskandar amat pelik di matanya. Aturan kaki lelaki itu dihantar dengan padangan yang tidak berkelip. Dia tidak faham kenapa Iskandar bertindak begitu. Seperti lelaki itu tidak mahu tahu apa yang ingin dia katakan. Iskandar seperti tidak berminat kepada perihal bunga yang dia terima dan siapa penghantarnya.
Tak ke tadi dia macam cemburu saja? Sepatutnya bila aku nak terangkan tu, dia bagi perhatian. Kalau tak pun, dia mesti paksa aku cerita siapa yang hantar bunga tu. Ini tidak, buat dek... saja. Terbit rasa risau dengan reaksi Iskandar. Berkerut dahi Azizah memikirkan tindak balas Iskandar tadi.
Selang beberapa minit kemudian Iskandar muncul semula di meja itu bersama dua gelas jus epal asam boi. Sebuah dari gelas itu diletakkan di hadapan Azizah.
“Sekejap. Saya nak beli waffle. Kalau topping vanilla ice-cream dan strawberry sauce okey tak?”
“Is...” Baru nama lelaki itu saja yang sempat disebut, Iskandar sudah hilang semula. Azizah garu belakang kepala dan mengusap tengkuknya berulang kali. Dia semakin gementar dengan tingkah laku Iskandar itu. Sepatutnya, bukan begini tindak balas Iskandar selepas apa yang lelaki itu lihat dengan mata kepalanya sendiri.
Ketika Iskandar kembali semula ke meja mereka, tanpa sedar tangannya cepat menahan lengan Iskandar yang sedang meletakkan piring berisi waffle ke atas meja. Dia tak mahu lelaki itu lari lagi, atau mencari alasan mahu membeli makanan lain sebagai cara untuk mengelak dari mendengar penjelasannya.
“Is... Janganlah buat saya macam ni... Saya rasa bersalah sangat...,” rayu Azizah dengan anak mata yang sudah berkaca-kaca. Pada dia, lebih baik dia melihat Iskandar marah. Lebih baik dia mendengar suara Iskandar melengking. Dia lagi puas hati begitu. Setidak-tidaknya dia tahu apa yang Iskandar rasakan ketika ini. Dia nampak apa yang ada di dalam hati Iskandar detik ini. Bila keadaan Iskandar seperti ini, dia tidak tahu apa perasaan Iskandar.
Iskandar diam tidak membalas.
“Is..., Awak duduklah. Saya nak bagitau awak tentang bunga yang saya terima tu,” pujuk Azizah. Telapak tangannya masih berada di atas lengan Iskandar. Perlahan lelaki itu mengambil tempat pada kerusi di hadapannya. Selepas Iskandar melabuhkan punggungnya, barulah tangan lelaki itu dilepaskan.
“Is..., sumpah saya tak tahu siapa yang bagi saya...”
“Zizah!” Iskandar cantas kata-kata Azizah. “Selagi awak belum jadi hak milik saya yang sah, saya tak boleh halang dengan siapa pun awak nak berkawan. Dan saya tak boleh halang, sesiapa pun nak berkawan dengan awak. Saya tak boleh larang mana-mana lelaki dari sukakan awak. Nak bagi awak hadiah ke, nak bagi awak bunga ke, saya tak boleh larang atau marah. Terpulang kepada awak nak terima atau tidak. Sebab antara saya dan awak belum ada ikatan yang sah. Bukan saya tak cemburu Zizah. Saya cemburu, saya sakit hati. Tapi, saya tak ada hak untuk cemburu atau rasa sakit hati. Apatah lagi nak marah atau melarang awak. Saya tak boleh nak ikat awak, kerana ikatan antara awak dan saya masih belum ada, Zizah.”
Sayu sekali bicara Iskandar itu. Lembut dan perlahan. Hampir juga tidak cecah ke gegendang telinganya. Mujur juga dia memberi sepenuh perhatian kepada lelaki itu. Kalau tidak, harus tenggelam suara Iskandar di dalam hingar bingar suasana di food court ini.
Iskandar tunduk memandang waffle yang sudah mula dilitupi ice-cream vanilla yang mencair. Wajah Iskandar yang cuma kelihatan sebahagian dari mukanya, Azizah tenung tepat. Entah kenapa hatinya benar-benar terpukul dengan kata-kata Iskandar tadi. Perasaannya juga amat tersentuh apabila melihat air muka Iskandar kala ini. Riak Iskandar jelas menunjukkan yang lelaki itu sedang cuba menyembunyikan semua rasa yang ada di dalam dadanya.
“Saya mintak maaf Is. Saya dah letak awak dalam keadaan macam ni.” Raut lelaki itu disapu dengan renungan kasih sayang. Lama matanya melekat di situ. Kini dia tekad. Iskandar tidak akan dilepaskan.
“Is..., saya mahu awak rasa cemburu pada saya bila ada lelaki lain sukakan saya. Itu tandanya awak sayangkan saya. Saya mahu awak rasa sakit hati bila ada lelaki cuba pikat saya. Itu tandanya awak cintakan saya. Saya mahu awak jaga saya. Tegur bila saya buat silap. Halang saya dari rapat dengan lelaki yang bukan muhrim saya. Saya mahu awak melarang setiap lelaki yang sukakan saya, kerana saya hanya untuk awak. Sebab itu saya mahu awak dan saya ada ikatan yang sah. Kita bertunang?”
Terus Iskandar angkat kepala memandangnya. Pada wajah lelaki itu kini terpancar rasa tidak percaya dan terpinga-pinga.
“Aaapa dia?” Kelopak mata Iskandar terkebil-kebil.
“Hujung minggu ni, kita balik kampung. Saya akan bagitau papa dan mama saya. Awak pula bagitau babah dan umi awak. Suruh mereka datang rumah saya. Saya akan mintak papa dan mama bincangkan tentang hari pertunangan dan juga hari pernikahan kita.”
“Aaapa yang awak cakapkan ni, Zizah?”
“Saya nak kita ada ikatan yang sah.”
“Habis tu, orang yang hantar bunga pada awak tu macam mana?”
“Is..., saya tak kenal pun siapa dia. Saya jumpa dia pun tak pernah. Entah-entah orang gila. Entah-entah penyangak. Buat apa saya nak fikir pasal dia?”
“Kalau AA tu orang yang awak suka?” tanya Iskandar.
“Setelah awak hadir dalam hidup saya, saya tak mahu sukakan orang lain lagi. Saya tak mahu orang lain. Cukuplah saya ada awak. Bukankah dulu awak juga yang cabar saya?”
“Cabar?”
“Ya. Cabaran awak kepada saya, kalau awak boleh turn over saya. Kalau awak boleh train saya jadi lemah lembut, ala-ala perempuan sejati, saya kena kahwin dengan awak. Saya tahu awak tak mintak lagi saya mengahwini awak, tetapi sekarang saya yang sudi menjadi isteri awak.” Secara tiba-tiba pula dia teringatkan cabaran Iskandar kepadanya dahulu. Sekarang, inilah masanya untuk dia tunaikan, setelah Iskandar berjaya mendidik dia. Selepas Iskandar berjaya mengubah dia. Walaupun dia belum seratus peratus sempurna.
Iskandar terlopong. Lama dia statik begitu. “Bbbukan ke awak mintak tempoh tiga bulan. Sekarang masih berbaki dua bulan, Zizah.”
“Ini bukan soal tempoh dan masa Iskandar. Ini soal kesudian saya. Sudikah awak mengahwini saya Iskandar? Menjadi penjaga saya? Pemimpin dan membimbing saya? Imam kepada saya?”
Anak mata Iskandar mula berkaca. Dia juga. Saat lelaki itu menganggukkan kepalanya, air mata mereka serentak jatuh bersama. Kali pertama dia menangis kegembiraan kerana seorang lelaki. Dan kali pertama juga dia melihat tangis kegembiraan seorang lelaki.


NEXT MONDAY, up balik N3 cerita ni plak
Follow tau...