Anak mata Zul Hafiz singgah sekejap pada lelaki kacak di
hadapannya. Terbit rasa ragu-ragu. Cepat dia kalih melihat Dhia. “Abang datang
nak jumpa Dhia. Boleh kita jumpa sekejap?”
Dhia pandang Ameal yang sedang mencerlung tajam
kepadanya. Ada sesuatu pada riak wajah itu. Segera dia menghampiri Zul Hafiz.
“Kita jumpa dekat bawah.” Tidak betah dia hendak berbual
dengan Zul Hafiz di hadapan Ameal. Lelaki itu memandangnya lagak seperti mahu
membunuh dia pula.
Zul Hafiz membuntuti langkah Dhia selepas gadis itu
menyarung seliparnya. Mereka menuruni tangga dan menuju ke arah kereta Zul
Hafiz di petak parkir. Dhia bersandar pada kereta Perdana itu. Zul Hafiz turut
melakukan perkara yang sama. Bersandar sambil berpeluk tubuh.
“Macam mana abang tahu Dhia tinggal dekat sini?” suara
Dhia selepas hampir lima minit mereka diam membisu.
“Siapa lelaki dalam rumah Dhia tu?” Ada nada cemburu di
situ.
Eh! Aku tanya dia, dia tanya aku balik? Lepas tu, tanya pulak benda yang tak ada kena-mengena
dengan apa yang aku tanya, desis Dhia. “Lelaki tu? Dia bos Dhia.”
“Bos? Buat apa bos datang rumah Dhia? Bukan ke hari ni
hari Ahad? Takkan hari cuti pun, sampai ke rumah dia cari Dhia? Tak habis di
tempat kerja, Dhia nak bawak dia
balik ke rumah pulak?”
Ush!
Banyaknya soalan? Soalan jenis apakah ini? Menuduh dia buat tak senonoh ke apa?
Atau Zul Hafiz cemburu?
“Apa maksud abang ni? Dhia tak fahamlah?”
“Tak faham ke atau buat-buat tak faham?”
Tadi Ameal yang buat dia naik angin. Sekarang ni, Zul Hafiz
pula. Pantang betul kalau orang yang tak tahu hujung pangkal, main tuduh-tuduh.
Sedap-sedap mulut saja mengata dia. Zul Hafiz ingat dia ni rendah akhlak ke
apa?
“Kenapa dengan abang ni? Sangka Dhia yang bukan-bukan.
Dhia ni tak seburuk yang abang sangkakan tau! Abang tak nampak ke, dalam rumah
Dhia tu berapa punya ramai orang. Bukan Dhia berdua dengan dia saja. Dia tu bos
Dhia. Sepupu kepada kawan serumah Dhia. Salah ke kalau dia datang jumpa sepupu
dia? Kalau abang datang jumpa Dhia ni, hanya nak menyakitkan hati Dhia, lain
kali abang jangan datang lagi.” Dhia menjarakkan tubuhnya dari kereta Zul
Hafiz. Dia memandang tepat ke anak mata lelaki itu.
“Dhia naik dulu. Balik nanti, abang kirim salam pada mak
dan ayah Dhia.” Keras Dhia berkata-kata lalu melangkah mahu meninggalkan Zul
Hafiz.
Pantas lengan Dhia diraih. “Dhia! Abang mintak maaf.
Abang mintak maaf kalau Dhia terasa dengan kata-kata abang tadi. Abang tak
maksudkan macam tu.”
“Lepaskan tangan Dhia! Nanti orang lain nampak dikata
Dhia ni macam-macam. Cukuplah abang saja mengata Dhia ni buruk perangai,” perli
Dhia.
“Dhia, janganlah macam ni.” Zul Hafiz memujuk. Tangannya
tetap erat di lengan Dhia. Dia tidak mahu melepaskan Dhia selagi gadis itu
masih terasa hati. “Abang mintak maaf ya? Abang mengaku abang salah. Tak
sepatutnya abang cakap macam tu pada Dhia.”
“Dhia cakap lepaskan tangan Dhia. Lepaskan lah!”
Lengannya direntap sehabis kuat sehingga terlucut dari genggaman Zul Hafiz.
Biarlah terasa perit, kerana rasa itu tidak sesakit hatinya kala ini. Zul Hafiz
ditinggalkan.
“Maafkan abang Dhia,” jerit lelaki itu sedikit kuat.
Dhia tidak mengendahkannya.
alaa.... langau dh dtg... menci lah.. huhu.. tp cerita ni Best Sgt... nak lg blh g itu? hehe
ReplyDelete