“Risau Mak Mah bila tengok keadaan Meal macam ni. Kan
Meal dah anggap Mak Mah ni, macam mak Meal. Tak ada salahkan, kalau anak
bercerita masalah dia pada maknya sendiri?” pujuk Mak Mah lagi.
Ameal menghembuskan nafasnya. Kuat. Tidak tahu bagaimana hendak
dimulakan cerita. “Mak Mah kenalkan Marissa anak Datuk Idris Manan tu?”
“Marissa? Oh! Anak kawan papa Meal tu. Budak tu kan kawan
Meal dari kecik lagi?”
Ameal cuma mengangguk.
“Kenapa?”
“Papa nak Meal kahwin dengan dia,” balas Ameal dalam
suara sebal.
“Jadi, apa masalahnya? Mak Mah tengok, Meal rapat dengan
dia.”
Ameal mengeluh perlahan bila mendengar kata-kata Mak Mah
itu. “Mak Mah, memang Meal dah lama berkawan dengan dia tapi cuma sekadar kawan
rapat saja. Tak tergerak pun hati Meal, walau sikit pun nak jadikan dia isteri
Meal.”
Mak Mah terdiam. Memang patut pun Ameal tak setuju. Dia
sendiri tak suka Ameal dijodohkan dengan Marissa. Hati tuanya cukup tak
berkenan dengan gadis itu. Boleh dikatakan keluarga Marissa, selalu datang
bertandang ke rumah ini. Jadi dia kenal sangat perangai Marissa. Walaupun
Marissa dari keluarga berada, takkan pinggan sebuah pun tak boleh nak cuci? Dah
namanya perempuan, tangan mesti ringan. Kalau dah pemalas macam tu, susahlah!
Asyik-asyik, kerjanya mengasah kuku saja. Perangai pun, menggelenyar Ya Rabbi! Wajah Ameal yang muram
ditenung tepat.
“Habis tu, papa Meal kata apa?”
“Papa kata Meal setuju ke, tak setuju ke, papa tetap nak
Meal kahwin dengan dia. Boleh ke macam tu Mak Mah? Meal bukannya budak kecik
nak dipaksa-paksa. Meal dah besar. Meal ada hak nak tentukan jalan hidup Meal
sendiri. Meal yang patut buat keputusan dengan siapa Meal nak kahwin. Bukannya
papa! Papa kata Meal ni anak, kena dengar cakap dia. Kena ikut apa yang dia
suruh. Ini namanya tak adil, Mak Mah.” Berjela Ameal meluahkan perasaannya. Dia
mengeluh lagi.
Mak Mah turut mendesah. “Berat juga masalah si Ameal ni.”
Tapi hairan, kenapa majikannya beria-ia mahu Ameal kahwin
dengan anak sahabatnya tu? Kalau Ameal tak mahu, kenapa dipaksa juga? “Kenapa
papa nak sangat Meal kahwin dengan anak kawan dia tu?”
No comments:
Post a Comment