Total Pageviews

Tuesday, June 2, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 13




“Tengah buat apa ni?!” Kasar suara itu menyergah.
“Oi Mak kau rimau!” Nyaris kopi O di tangan hendak tertumpah. Dhia menoleh. Sibuk sangat berfikir sampai tak perasan minah gediks tahap tak hengat dunia ni masuk.
Kusss... semangattt... Cik Marissa rupanya.” Dhia mengusap dada. Memang cerah peluang diserang sakit jantung ni!
You tengah buat apa?” Marissa mengulangi soalannya sekali lagi. Riak wajah dibiaskan rasa tidak senang. Dia tidak suka Dhia berada di situ. Selama ini hanya dia seorang saja yang memonopoli ruang pantri ini. Sekarang wujud orang lain, dia tidak gemar.
Dhia bukan naif. Dia dapat membaca dan mengagak. Dari bicara dan air muka, Dhia tahu Marissa tidak menyukainya. Apalah salah dan silap dia pada minah gediks ni? Rasanya tak ada.
“Saya buatkan air untuk Encik Ameal,” beritahu Dhia jujur. Tidak ada apa yang perlu diselindungkan. Memang Ameal yang menyuruh dia membancuh kopi O ini.
“Kenapa you yang buat? Selalunya dia suruh I. I yang tiap-tiap hari sediakan air untuk dia. For your information, bukan air saja I sediakan. Semua yang dia perlukan dalam pejabat ni. I secretary dia! You tak payah sibuk-sibuk buat kerja I,” bentak Marissa tiba-tiba.
Dhia jungkit kening. Pelik. Tiba-tiba saja marah-marah tak tentu pasal, apa hal? Ini yang buat darah dia menyirap satu badan. Silap besarlah minah ni cari pasal dengan dia.
“Cik Marissa..., yang Cik Marissa marah saya ni kenapa? Dah Encik Ameal suruh saya, saya buatlah. Saya cuma menurut perintah. Kalau Cik Marissa tak puas hati, nak tahu kenapa Encik Ameal suruh saya buat air ni, Cik Marissa pergi tanya dia sendiri. Jangan tanya saya,” balas Dhia sopan tetapi bernada sinis dan tajam. Buat air saja pun! Yang si gediks ni nak sentap, apa ke hal? Dhia ambil dua biji mug yang siap dibancuh tadi lalu melangkah keluar dari pantri. Dia tidak peduli kepada Marissa yang sudah tayang muka cemberut. Lantak kaulah minah! Nak marah ke, nak mengamuk ke. Ada aku kisah? Orang bancuh air untuk buah hati dia pun, nak marah. Jealous tak bertempat. Apa? Ingat aku hingin sangat ke dengan mamat perasan macho tapi penakut tu? Tak boleh masuklah dengan aku! Pleassse... not my type..., desis Dhia dan terus berlalu tanpa berpaling.
Marissa memandang tidak berkerdip ketika Dhia meninggalkannya. Dia menggigit bibir. Kuat. Geram tak terhingga. Kata-kata gadis itu amat berbisa di telinganya. Naluri mengatakan, Dhia akan menjadi pesaingnya yang terhebat. Semalam dan pagi tadi, sengaja dia mencari alasan untuk kerap masuk ke pejabat Ameal. Hati tidak senang mengenangkan Ameal berduaan dengan gadis itu. Bukan dia tidak nampak cara Ameal melayan gadis itu. Walaupun bersikap sarkastik, tetapi hati mengatakan yang Ameal sebenarnya sudah tertarik kepada Dhia. Dia sangat arif dengan perangai Ameal. Selama ini Ameal tidak pernah meladeni perempuan dengan kasar. Ameal tidak memilih rupa. Tak kira siapa. Sikapnya sangat budiman apabila berhadapan dengan perempuan tetapi jauh berbeza sekali dengan Dhia. Ameal garang. Bahasanya kesat. Perangainya kasar. Cara Ameal melayan Dhia lain.
Dia tahu, kelainan itulah yang akan buat Ameal tertarik hati. Dan dia tidak akan biarkan itu berlaku. Sejarah telah membuktikan, selama ini dia tidak pernah kalah kepada pesaing-pesaingnya yang cuba merebut hati Ameal darinya. Kawan perempuan Ameal yang sespesies dengannya, dia tidak risau sangat sebab dia tahu, dia yang pertama. Dia pilihan utama di hati Ameal, tetapi perempuan seperti Dhia, dia rasa tergugat. Kali ini, dia akan buktikan sekali lagi. Dia takkan kalah! Tak akan kalah kepada gadis seperti Dhia. Dhia mesti dihapuskan dari syarikat ini sama seperti gadis yang terdahulu.
Watch out girl... You tak kenal lagi siapa Marissa,” bisik Marissa perlahan.

No comments:

Post a Comment