“Ni tengah buat apa ni? Ada sesi buat surat cinta
beramai-ramai ke? Atau tengah buat pertandingan menulis karangan?” sapa Ameal
spontan dan sinis. Di satu sudut lain, dia melihat papanya juga turut berada di
situ. Ini sesuatu yang pelik. Bukan ke masa-masa begini sepatutnya papanya
berada di dalam bilik mini pejabat? Ameal tertanya-tanya. Tidak pernah papanya
berehat-berehat begini di ruang tamu.
“Bising sajalah! Sampai bilik abang boleh dengar suara Anya.”
Memang dari dalam kamarnya, suara yang paling jelas Ameal dengar adalah suara
Anya mengilai. Dhia di sebelah Anya dijeling tajam saat matanya mencari wajah
adiknya itu.
“Abang nak main ke? Marilah! Seronoklah main game ni. Anya tak pernah main game ni,” pelawa Anya.
“Main game apa
sampai bising sangat?” soal Ameal semula.
“Marilah abang long. Main ramai-ramai lagi seronok,” ajak
Zaira pula.
“Ya Meal. Marilah duduk dengan papa ni. Kita main
sama-sama. Papa pun dah lama betul tak main game
ni. Last papa main masa papa kecik-kecik
dulu. Seronok,” tutur Encik Aidil pula. Tangannya menggamit Ameal dan menepuk
tempat duduk sofa di sebelahnya.
Ameal mengerut dahi. Betul ke tidak papa dia sekarang ni?
Game budak-budak apa yang seronok
sangat, sampai papa yang dah tua tu pun teringin nak main sekali?
“Game apa? Game budak-budak? Tak ada kerja Meal nak
jadi budak-budak balik,” balas Ameal jelik seraya ketawa kecil berbentuk sinis.
“Encik cakap sajalah encik tu takut kalah...,” suara Dhia
tiba-tiba. Dia yang sedari tadi senyap saja rasa hangat pula melihat Ameal
bersikap riak tidak bertempat. Dia terasa kerana permainan budak kecil yang
ditertawakan oleh Ameal ini adalah cadangannya.
“Takut apa?” Ameal mencerlung Dhia tepat.
“Takut kalah...,” jawab Dhia sinikal. Ini saja cara nak
buat Ameal rasa tercabar. Provokasi sikit. Lepas ni, tentu lelaki itu hendak
turut serta. Nanti dia nak tengok, secerdik mana Tuan Penolong Pengarah Masyhur
Industries Sendirian Berhad ini.
“Kalah? Ini Ameal la... Belum pernah seumur hidup saya
ada perkataan kalah tau! Setakat permainan budak-budak ni apa ada hal,” suara
Ameal bangga. Tangan kanannya menepuk di dada.
“Huh! Koyok...,” getus Dhia perlahan.
“Okey. Kalau macam tu, ini pen dan kertas.” Anya
menghulurkan sebatang pen dan sehelai kertas kepada Ameal lalu disambut oleh
abangnya itu. “Kita start semula ya,
kak Dhia?”
“Tak ada masalah. Kita start semula,” ujar Dhia. Dia tersenyum memandang Zaira dan Mak
Mah.
Encik Aidil menggelengkan kepala bersama sebuah senyuman
terukir di bibirnya. Rasa bahagia datang bertandang melihat ragam mereka semua.
“Game apa ni?”
tanya Ameal ingin tahu. Mata merenung tepat ke dada kertas. Nampak pelik. Perkataan
yang tertulis di atas enam ruang pada kertas itu dibaca satu persatu. Kemudian
pandangannya singgah ke wajah Dhia.
“Inilah permainan yang menguji kebijaksanaan, kepandaian,
kecerdikan dan pengetahuan. Takkan permainan budak-budak yang senang macam ni
pun, Encik Ameal tak tahu? Adik saya yang darjah enam tu pun pandai main tau,”
sindir Dhia.
“Alah... Piece of
cake saja ni...”
Dhia mencebek. Piece
of cake konon... Dia nak tengok nanti.
“Kita mulakan dengan perkataan dari huruf D. Bermula
sekarang!” beritahu Dhia selepas itu.
Mereka mula menulis sesuatu di atas kertas masing-masing,
kecuali Ameal. Dia masih lagi merenung helaian kertas di tangannya. Terpinga-pinga.
Entah apa yang hendak ditulis pada ruangan-ruangan itu. Seketika mata Ameal
melihat kepada papanya, Anya, Zaira dan Mak Mah. Semuanya sedang tekun. Bila
pandangannya jatuh ke wajah Dhia, gadis itu sedang menggerak-gerakkan kedua-dua
kening sambil tersenyum sinis kepadanya.
“Huh! Berlagak. Dia ingat aku tak tahu ke?” gumam Ameal.
Dia kembali melihat kertas di tangannya. Otak mula berfikir. Dikerah segenap
ruang fikiran untuk mencari jawapan.
“Column pertama
NAMA. Nama apa ni?” Ameal terus membaca.
“Column kedua BUAH.
Buah yang mana?” Dia melihat ruang yang ketiga. “TEMPAT? Tempat dekat mana?”
Belakang tengkuk mula digaru. “PERMAINAN dan BARANG? Ish! Game
apa benda ni? Tak pernah tengok pun,” rungut Ameal sendirian. Kertas itu
dibelek.
“Okey. Dah sudah!” beritahu Dhia kepada mereka semua.
“Hah! Dah sudah? Cepatnya dia buat? Bila masa dia
menulis? Tak boleh jadi ni. Malulah aku macam ni,” desis Ameal mula tidak
keruan. Kertas di tangannya masih kosong. Satu huruf pun belum ditulis lagi.
“Anya pun sudah.”
“Mak Mah dah habis.”
Ameal semakin gelabah. Takkan nak mengaku kalah? Ah... taram sajalah! Untung-untung betul.
“Papa pun sudah.”
“Encik Ameal?” tanya Dhia seraya menjungkit sebelah
kening.
“Siap!” Ameal menayangkan kertas di tangannya.
Dhia menjeling tajam. Huh! Berlagak, gumam Dhia.
Ameal tersenyum bangga. Apa! Dia ingat aku tak tahu ke? Piece of cake girl..., desis Ameal.
“Okey. Kita check.
Kalau dua orang sama perkataan dapat lima belas markah. Kalau tiga orang yang
sama, sepuluh markah. Kalau empat orang yang sama, lima markah. Kalau tak ada
yang sama markah penuh, dua puluh markah. Faham?” Dhia menghalakan pandangan
kepada Ameal. Ameal angguk. Tak sabar rasanya hendak mengalahkan perempuan di
hadapannya ini.
“Nama?” soal Dhia.
“Anya punya, Diandra.”
“Aku Darius,” beritahu Zaira.
“Mak Mah, Deraman.”
“Mak Mah..., kenapa kampung sangat nama tu?” usik Anya
sambil ketawa geli hati. Zaira juga mengekek.
“Itu gerenti nama pakwe lama, kan Mak Mah?” sakat Dhia
pula.
“Papa punya, Danial.”
“Saya, Dahlia. Encil Ameal?” Dhia menunggu jawapan Ameal.
Ameal tergagap-gagap hendak beritahu. Tentu budak
perempuan ini rasa bangga. Hidung kembang dua taman. Nak buat macam mana, hanya
nama itu saja yang terlintas di kepalanya sepantas kilat.
“Cepatlah Encik Ameal!” gesa Dhia lagi.
“Dhia Melati,” suara Ameal perlahan. Sayup-sayup.
“Apa? Tak dengarlah abang. Lati? Ati? Mati? Apa tu?”
desak Anya pula.
“Dhia Melati,” suara Ameal perlahan. Jauh, tapi kuat
sedikit dari tadi.
“Hah?” Dhia melebarkan cuping telinga.
“Dhia Melati!” suara Ameal tinggi.
Dhia terdiam. Anya dan Mak Mah terus ketawa.
“Anya, nampaknya dalam banyak-banyak, nama itu yang Abang
Meal berkenan. Orangnya Abang Meal tak berkenan ke?” usik Mak Mah disambut
hilaian tawa Anya.
“Tu confirm dah
berkenanlah tu Mak Mah. Kalau tak..., takkan nama Dhia yang melekat dalam otak
Abang Long tu,” tambah Zaira pula.
“Berkenan? Jangan harap! Tak ingin! Salah ke kalau nama
dia yang abang ingat dulu? Bukan ke dia yang ada bersama abang tiap-tiap hari.
Bukan dia ke yang sentiasa dekat dengan abang?” Tiba-tiba Ameal terkedu dengan
soalannya sendiri. Apa jenis soalan ni? Dhia bersama-sama dia? Dekat dengan dia?
Anya, Mak Mah dan Zaira bertambah kuat ketawa. Mereka
tahu Ameal sudah terpukul dengan soalan sendiri. Ketika ini, Encik Aidil
merenung wajah Ameal dan Dhia silih berganti. Dia cuba memahami. Cuba mentafsir
riak di wajah mereka berdua. Mungkinkah ada sesuatu? Sekoyong-koyong itu terbit
rasa risau di hatinya. Janganlah ada sesuatu di antara Ameal dan Dhia. Kelak
dia tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan Datuk Idris Manan.
Dhia sudah merah muka. Hatinya tidak sedap waktu ini. Anya,
Zaira dan Mak Mah masih tidak habis lagi ketawa.
“Kita check
lain pulak,” arah Dhia cuba menguasai
suasana yang serba tidak kena.
“Saya check
dengan Encik Ameal dulu. Bagitau saya
satu-satu,” kata Dhia lagi. Kalau ada jawapan yang tidak betul selepas ini,
biarlah Anya, Zaira dan Mak Mah ketawakan Ameal sepuas hati. Baru padan dengan
muka lelaki itu yang dah buat dia malu di hadapan Encik Aidil.
Ameal serba-salah. Ketawa Anya, Zaira dan Mak Mah masih
tidak putus. Dia sudah tersilap jawab nampaknya. Kenapa dia tak tulis nama
Damia saja tadi? Nama budak perempuan kerja bank BSN cawangan Senawang yang dia
tengah duk tackle sekarang ni.
Bolehkan dia tertulis nama minah tu.
Memang tak masuk akal betul!
“Encik Ameal, cepatlah!” kerah Dhia lagi.
“Yalah! Buah dadu, tempat duduk, barang dalaman dalam
kurungan underware, permainan dodge ball,” beritahu Ameal cepat-cepat
tanpa berhenti.
“Hahaha...,”
terburai ketawa mereka semua. Dhia dan Encik Aidil Amri juga turut sama.
“Apa ke lawak sangat jawapan encik ni?” soal Dhia sambil
mengawal tawanya. Permainan tu kira okey lagilah walaupun dalam bahasa
Inggeris. Sepatutnya tak boleh, tapi jawapan untuk buah, tempat, dan barang tu,
tak boleh blah langsung. Sah-sah mamat ni tak tahu main game ni. Hei! Budak darjah satu pun
tahulah. Buat malu saja!
“Buah dadu, tempat duduk, barang dalaman dalam kurungan underware...” Anya mengulangi jawapan
yang diberikan oleh abangnya.
“Hahaha...” Dan
ketawa mereka semua bersambung.
“Anya..., tolong kak Dhia. Dah nak terburai usus kak Dhia
ni. Lawak antarabangsa betul jawapan abang Anya ni. Terlebih pandai! Mana dia
sekolah dulu ni?” usik Dhia lagi. Ketawanya berterusan.
Melihat mereka semua mentertawakannya bagai hendak gila,
Ameal tahu jawapan yang diberikan sah-sah tersasar. Sakit hatinya, terutama kepada
Dhia Melati. Kini dia merasakan seperti gadis itu sengaja mahu mengenakan dia.
Kalaulah Dhia tidak mencabarnya tadi, tak ingin dia turut serta bermain
permainan bodoh ini. Ameal bangun. Kertas dan pen dicampakkan ke atas meja.
Dengan muka berkerut empat puluh empat lapis, dia meninggalkan ruang tamu itu.
Melangkah kasar. Terus mendaki tangga menuju ke biliknya. Seketika kemudian mereka
yang berada di ruang tamu terdengar pintu kayu bilik Ameal berdentum ditutup
dengan kuat.
Marah la tu! detak Dhia sambil mengawal tawanya. Sekarang
baru tersedar Encik Aidil ada di hadapannya.
“Anya, Zaira... Tengok! Kan Abang Meal dah marah. Mak Mah
pun sama. Merajuk dah si Ameal tu,” tegur Encik Aidil. Kepada Dhia dia tidak
mahu berkata apa. Takut Dhia terasa pula.
“Betul apa papa? Abang Meal tu lawak sangat. Boleh dia
ingat barang dalaman dalam kurungan underware
pulak. Itu, nasib dia kata buah dadu.
Kalau dia tulis buah D.A.D.A tak ke haru,” sahut Anya diselang dengan ketawa
yang tidak sudah.
Encik Aidil menggeleng kepala.
bestttttt sgt2..mmg lawak lh si Ameal ni...
ReplyDeleteBab yg paling kelakar hahahha
ReplyDeleteHahaha... nak pecah perut ketawa... berguling2.... meleleh air mata baca bab ni... kelakar betul..
ReplyDeletekluar ayaq mata x gelak?kikiki
ReplyDelete