Total Pageviews

Wednesday, June 3, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 14





Dhia perhati hidangan makan tengah harinya. Di dalam bekas polistirena di hadapannya hanya terisi nasi bersama kuah asam pedas berserta ikan goreng yang hampir kering. Berkali-kali anak matanya berulang-alik merenung antara makanan itu dan wajah Ameal. Sungguh dia tidak percaya, lelaki itu membungkuskan untuknya makanan yang hampir serupa seperti semalam. Cuma menunya saja berbeza.
“Nasi, kuah dengan ikan goreng saja? Ikan pun dah keras macam batu. Boleh patah gigi saya makan ikan ni!” rungut Dhia tidak puas hati. Sakit hati dan geram bukan kepalang. Mata asyik menjeling tidak henti-henti kepada Ameal.
“Makan sajalah! Berterima kasih tak. Banyak bunyi pulak,” balas Ameal.
“Nak makan apa benda kalau macam ni? Encik Ameal ingat saya ni kucing ke apa?”
“Cuba bersyukur sikit. Awak ni, dah kira beruntung dapat makan. Dekat Somalia tu, berapa ramai mati kebulur. Yang awak ni, bersungut bila dibagi makan. Saya belanja awak ni dah dikira cukup baik tau!”
“Encik Ameal..., encik tak bolehlah bandingkan saya dengan orang Somalia tu. Negara mereka miskin. Negara kita ni kaya-raya. Makanan melimpah-ruah. Dalam negara kita ni orang kaya-kaya pun ramai. Sayangnya, Encik Ameal ni antara orang kaya paling kedekut yang pernah saya jumpa. Taik hidung masin!” bidas Dhia lancang. Rasa menyesal bertimpa-timpa. Kenapalah dia tak sembunyikan bekal makanan tengah harinya pagi tadi? Sekarang ini, nasi lemak ayam berempahnya sudah tinggal tulang di dalam tong sampah. Di‘sepah’ dek mamat sengal ni.
“Jaga sikit mulut awak tu ya! Jangan sesuka hati awak mengutuk saya. Awak tahu ke taik hidung tu masin rasanya?!”
Dhia mencebik.
Taik hidung masin tu perumpamaanlah, bengong! Kata kita..., biar sekolah bertingkat-tingkat, jangan bodoh bertingkat-tingkat. Sekarang ni, siapa yang bodoh lebih enam puluh tingkat? Eeee..., menyampahnya aku dengan mamat ni. Nak jugak aku sekeh-sekeh kepala dia ni!” bisik Dhia halus.
“Ini mana adil! Memang tak adil! Encik Ameal pergi makan sedap-sedap dengan buah hati encik tu. Saya, encik tapaukan ni saja?! Saya nak pergi kantin tadi, encik tak bagi,” bentak Dhia dengan muka masam seperti dicurah sebotol cuka. Menyesal dia tak cabut saja pergi ke kantin ketika Ameal keluar tadi. Hati sudah terlintas tetapi dibatalkan niatnya itu memandangkan ada kerja yang perlu diselesaikan. Ameal mengugutnya, jika selepas makan tengah hari kerja itu tak siap, dia tidak dibenarkan balik. Kena tidur di pejabat hari ini. Tidur di pejabat? Dengan lelaki tu?! Gila! Buat naya saja kalau jadi apa-apa.
“Salah awak jugak! Sebab awak saya lambat keluar makan. Buat kerja terhegeh-hegeh. Bila lambat pergi makan, ini sajalah yang tinggal. Makan sajalah! Lepas tu sambung semula buat production schedule. Production schedule tu awak kena submit pada supervisor dan line leader untuk approval masa meeting besok. Ingat..., kalau tak siap hari ni awak tak boleh balik. Kita tidur dekat pejabat malam ni,” tegas Ameal.
“Kenapa salah saya pulak? Bukan ke Encik Ameal keluar lewat tadi sebab nak pergi solat Jumaat dulu, lepas tu baru pergi makan?” Huh! Solat Jumaat apa benda kalau angkut minah gediks tu sekali. Apa, minah tu solat Jumaat jugak ke? Mengarut. Kalau dah berkepit tu sahih tak pergi, coleteh benak Dhia. Bibirnya senyum mengejek.
“Tu, tak lain tak bukan hati awak tengah mengata sayalah tu?” tebak Ameal apabila terlihat senyuman sinis gadis itu.
“Nasi ni sebagai balasan untuk orang yang suka sangat duk mengata saya. Nasi tu jugak sebagai hukuman sebab awak berani gelak kan saya macam nak gila pagi tadi,” tutur Ameal lagi. Dia kemudian menuju ke mejanya. Meninggalkan Dhia yang sudah buat muka masam di sofa. Terasa puas dapat menyakitkan hati gadis itu.
Ameal yang mengambil tempat di kerusinya dicerlung tajam. Hati Dhia mengomel geram. Nak saja dia pedajal lelaki macam singa tapi penakut ni. Dalam otak mula merancang rencana jahat. Cari sekotak lipas lepas tu tabur dalam baju lelaki tu. Mesti menggelupur siap golek-golek atas lantai. Namun kenapa dia rasa tidak sampai pula? Sebab apa? Kerana hati sudah tercuitkah? Dicuit oleh apa? Belum dapat dipastikan lagi. Ameal terus dicerlung tepat. Perasaan ada seribu macam rasa. Marah, geram, menyampah, sakit hati semuanya ada. Bercampur baur! Suka? Hmm..., sukalah juga. Boleh ke gitu?

No comments:

Post a Comment