Total Pageviews

Thursday, June 18, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 29




Surprise!
“Oi mak kau rimau!” jerit Dhia. Pen yang dipegang melambung ke udara. Kalaulah dia tengah memegang parang, mahunya ditetak orang yang menyergah ni.
Hahaha... Kau ni Dhia, tak habis-habis mengata mak aku rimau. Dari dulu sampai sekarang,” suara gadis di hadapan meja Dhia. Ketawanya bersambung. Gembira sungguh apabila rancangannya untuk buat kejutan kepada Dhia berjaya. Melihat muka Dhia yang terlopong luas dan mata hendak terkeluar itu, dia tahu Dhia memang sedang kaget gila. Kalau ada lemah jantung, memang dah jalan ni. “Oi! Ini akulah Dhia! Yang kau tengok aku macam nampak hantu ni, apasal?”
“Hah! Betul ke kau ni, Zaira?” Laju Dhia berdiri. Tangan pantas memicit-micit bahu gadis di hadapannya ini.
“Yalah! Aku la ni. Takkan hantu raya?” Zaira masih lagi tertawa.
“Eh! Macam mana kau boleh ada dekat sini? Kau buat apa dekat sini?”
“Zaira kenal ke Melati ni?” tanya Ameal di sisi Zaira dalam nada pelik. Hajatnya tadi mahu memperkenalkan Dhia kepada adik sepupunya merangkap production planner baharu yang akan menggantikan tempat Dhia. Sekaligus dia mahu Dhia mengajar dan hand over kerja-kerja planner kepada Zaira. Tak sangka pula Zaira mengenali Dhia. Patutlah di rumah tadi, Zaira beria-ia mahu menaiki kereta dia. Sampai saja pejabat tidak berlengah mahu berjumpa PAnya. Alasan Zaira tak sabar nak mula bekerja. Rupanya lain...
“Apa bang long? Melati?” Zaira pelik mendengar nama yang digunakan oleh Ameal. Tidak pernah orang memanggil Dhia dengan nama itu.
“Dhia Melati.” Ameal sebut nama penuh gadis itu.
“Kenapa tak panggil Dhia?” Zaira tersenyum. Dhia memerhati mereka berdua. Otak ligat meneka apa hubungan Zaira dan bos dia ini.
“Suka hatilah bang long nak panggil dia apa.”
Semakin lebar senyuman Zaira. “Mestilah Zaira kenal Dhia ni, bang long. Kami dulu sama-sama belajar dekat UITM Kuala Pilah. Tinggal pun satu rumah. Inilah bestfriend Zaira masa belajar dulu.”
“Ooo... Kawan dia rupanya. Patutlah...,” balas Ameal.
“Macam mana kau tahu aku dekat sini? Ni mamat ni, kau kenal ke? Apasal panggil Abang Long pulak? Selama aku kenal kau, kau mana abang?” Dhia keliru.
“Amboi Dhia! Selamba saja kau panggil Abang Long aku mamat? Bos kau kot.”
Dhia tidak peduli teguran itu. “Cepatlah cerita macam mana kau boleh ada dekat sini?”
Zaira ketawa kecil. “Inilah abang sepupu aku. Anak sulong Pak Long aku. Syarikat ni, Pak Long aku yang punya. Kau ingat tak? Kan dulu aku ada bagitau kau Pak Long aku ajak aku kerja dengan dia. So..., here I’m...”
Dhia pantas menghampiri Zaira, lalu didakap erat sahabatnya itu. Dia kemudian terlompat-lompat kegembiraan. Terlupa tentang Ameal yang terpacak di sebelah Zaira. Bila lelaki itu berdehem kuat beberapa kali, baru Dhia tersedar.
“Amboi, sukanya! Lupa ke ni masa kerja?” sindir Ameal.
“Alah..., relax lah abang long. Kita orang dah lama tak jumpa. Bagilah can.”
“Okey! Abang long bagi masa sekejap saja. Melati, lepas ni awak bawak Zaira pergi production office. Ajar apa yang patut. Kalau nak berborak panjang, tunggu masa rehat nanti,” arah Ameal lalu terus beredar dari situ. Malas dia nak ambil tahu cerita orang perempuan ni.
“Ah! Pedulikanlah dia tu. Cepatlah cerita dekat aku?” gesa Dhia. Buat tidak kisah arahan Ameal sebentar tadi.
Zaira kerut dahi. Dia dapat rasakan ada sesuatu antara Ameal dan Dhia. Tutur kata Dhia dan abang sepupunya sebentar tadi, jelas ada yang tidak kena.
Wei! Cepatlah cerita.” Dhia tepuk bahu Zaira.
“Kau jugak yang bagitau aku kau dapat kerja dekat sini tiga minggu lepas kan... Bila kau sebut saja nama Masyhur Industries, aku tahu kau bekerja di syarikat Pak Long aku. Terus aku buat plan nak kejutkan kau. Cepat-cepat aku hantar notis berhenti kerja. Dan hari ni aku mula kerjalah...” Zaira ketawa kecil. Tubuh Dhia kembali dirangkul.
“Melati! Tak habis lagi ke bersembang? Kan saya dah cakap tadi, kalau nak berborak panjang tunggu time rehat nanti,” pekik Ameal di muka pintu.
Dhia merengus. Bukan tak boleh guna telefon. Sengaja nak dengkilah tu! “Ya, Encik Ameal. Saya bawak Zaira pergi production office sekarang,” jerit Dhia pula.
 “Sebelum awak pergi tu, buatkan saya air dulu,” arah Ameal tegas.
“Baik Encik Ameal,” jawab Dhia lebih kuat dari tadi.
“Kau tengoklah abang sepupu kau tu. Berlagak nak mampus! Poyo! Kau tunggu dekat sini, ya. Aku pergi buatkan air untuk si singa tu sekejap. Kalau aku lambat sikit karang, kau dengarlah dia mengaum,” tutur Dhia bersahaja. Terlupa Ameal tu siapa kepada dia dan Zaira ini siapa kepada Ameal.
Zaira angguk kepala, kemudian bertukar kepada geleng pula. Sikap Dhia terhadap Ameal dan layanan Ameal kepada Dhia memang buat dia pelik. Seperti ada sesuatu.

2 comments: