Total Pageviews

Wednesday, June 17, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 28




“Mintak maaf Encik Aidil. Saya ada buat salah ke?” Takut juga kalau-kalau ada benda yang tak kena telah dia lakukan.
“Eh! Tak adalah. Awak tak ada buat salah. Saya cuma nak bagitau, awak duduk di sini sampai hujung minggu ni saja, ya.”
“Hah! Sampai hujung minggu ni? Kenapa Encik Aidil? Kenapa sampai hujung minggu ni saja? Saya kena buang kerja ke? Saya ada buat salah ke?” soal Dhia bertubi-tubi. Kalut benar Dhia ketika ini. Tidak ada ribut, tidak ada angin, tidak ada silap, tidak ada salah, tiba-tiba saja diberi tempoh hingga hujung minggu ini. Takkan pasal ‘sekolah’kan apek tu depan pintu pagar minggu lepas, baru sekarang nak ambil tindakan? Ataupun pasal dia memandai-mandai pindah sendiri ke sini?
“Bukan itu maksud saya, Dhia. Saya mahu Dhia naik ke ofis pentadbiran semula. Jadi PA Ameal.”
“Aaapa? Jadi PA Encik Ameal?” soal Dhia gagap. Dia tidak percaya. Betul ke apa yang dia dengar ni?
“Ya! Jadi PA Ameal. Dah lama sebenarnya saya nak cari PA untuk Ameal. Yalah, kerja dia semakin bertambah sekarang ni. Dia perlukan seorang PA untuk membantu dia. Selama ni dia terpaksa berkongsi Marissa dengan saya.”
Apasal tak ambik saja minah gediks tu jadi PA mamat tu? Aku jadi setiausaha Encik Aidil, kan lagi bagus. Tak payah aku nak hadap muka singa tu setiap masa, bisik hati Dhia.
“Saya nak awak jadi PA Ameal, sebab awak orang baru. Orang baru selalunya ada banyak idea baru. Lagipun awak boleh belajar banyak benda dari Ameal. Saya yakin awak seorang yang cepat belajar dan bersemangat. Awak juga mampu membantu Ameal. Marissa tu, biar jadi setiausaha saya sajalah. Dia pun bukannya ada kerja sangat selain mengasah kuku,” tutur Encik Aidil lagi.
Dhia berkerut dahi. Tak sangka pula Encik Aidil nak mengata bakal menantu sendiri. Perasan juga dia ya, si Marissa tu tak ada kerja lain selain dari mengasah kuku.
“Tak apalah, saya keluar dulu ya. Sementara tu, awak habiskan semua kerja-kerja planner yang tertangguh tu. Tak faham, boleh tanya semua yang ada dekat sini. Minggu depan ada budak baru masuk gantikan tempat awak. Bila semua kerja dah up to date, senang sikit budak baru tu nak take over.”
“Bbbaik Encik Aidil,” balas Dhia lemah. Dia mengeluh.
Encik Aidil yang baru melangkah pantas berpaling semula. “Kenapa Dhia?”
“Hah! Tttak ada apa-apa, Encik Aidil.”
“Jangan lupa ya, Isnin minggu depan awak mula bekerja di atas. Nanti saya siapkan tempat awak.”
Dhia cuma mengangguk. Kali ini dia pastikan Encik Aidil betul-betul sudah keluar dari bilik itu barulah dia merungut. “Alahhh... Macam mana ni? Nak kerja dengan mamat tu pulak...”
Encik Aidil yang melalui bahagian pengeluaran dipandang tidak berkelip. Nafas dilepaskan kuat. Nampaknya, nak tak nak kenalah dia turuti arahan Tuan Pengarah itu.

No comments:

Post a Comment