“Pa!” Ameal memanggil ketika menyedari kehadiran papanya
di muka pintu. Hairan melihat papanya seperti sedang mencari sesuatu. “Kenapa
pa?”
“Hah! Tak... Papa ada hal nak bagitau Meal ni.”
“Kalau ya pun, papa masuklah dulu. Terhendap-hendap dekat
pintu tu buat apa pa?” Ameal senyum.
“Papa ingatkan Meal tengah sibuk dengan budak planner baru tu. Dia mana?”
“Siapa? Melati?”
“Melati namanya?” Encik Aidil menghampiri meja Ameal.
“Hmm...” Ameal
angguk.
“Melati... Sedap namanya. Budaknya pun boleh tahan lawa,”
luah Encik Aidil bersahaja sambil mengambil tempat di hadapan Ameal.
“Papa ni kenapa?
Lain macam sangat bunyinya. Papa jangan...” Ameal cuak. Takkanlah papanya ada
hati pada gadis itu pula.
“Eh! Apa Meal cakap ni? Jangan fikir yang bukan-bukanlah!
Papa dah tua Meal. Tak terlintas langsung fikiran papa nak ke situ. Papa cuma
nak tahu dia ke mana. Tak ada pun dia dalam pejabat Meal ni?” Encik Aidil ketawa
perlahan. Hatinya tercuit. Bolehkan ke situ pula otak anaknya ini.
“Dia pergi solat zuhur sekejap. Nanti dia masuklah balik.
Papa dah jumpa dia ke?”
“Sudah. Semalam. Masa dia nak balik, papa terserempak
dekat depan lif. Dia budak mana Meal? Tinggal dekat mana? Kampung dia di mana?”
soal Encik Aidil bertubi-tubi.
Ameal angkat kening. Hairan. Kenapa papanya tiba-tiba
berminat hendak tahu. Selalunya tak ambil kisah pun siapa pekerja baharu
mereka. “Kalau tak salah, Zakuan kata dia budak Felda Pasoh 3. Dekat pekan Batu
Kikir, Kuala Pilah. Sekarang tinggal di hostel. Kenapa papa tanya?”
“Saja papa nak tahu,” jawab Encik Aidil ringkas. Dia tahu
Ameal mula syak sesuatu. Benak terdetik, kalau gadis itu orang Negeri Sembilan,
bermakna dia tiada pertalian darah dengan perempuan itu. Lagipun setahunya,
perempuan itu tidak berkahwin dan melarikan diri ke Kuala Lumpur.
“Pa..., menung panjang kenapa?” Ameal menegur. Riak di
wajah papanya menimbulkan rasa curiga.
“Tak ada apa. Eh! Sebelum papa terlupa, Datuk Idris
jemput kita dinner dekat rumah dia
malam ni.” Cepat Encik Aidil menukar tajuk.
“Kenapa tiba-tiba?”
“Saja..., katanya. Lagipun, kitakan dah lama tak ke sana.
Meal jangan balik lambat malam ni. Papa tunggu di rumah. Kita pergi sama-sama.”
Encik Aidil bangun meninggalkan kerusi. Belum sempat dia melangkah pergi, Ameal
memanggilnya.
“Meal rasa malaslah nak pergi.” Entah kenapa dia rasa
tidak sedap hati pula hendak bertandang ke rumah Datuk Idris Manan. Seperti dapat
merasa sesuatu bakal terjadi kalau dia ke sana. Tambahan dia ada temu janji
bersama Tina malam ini. Kawan perempuan nombor duanya selepas Marissa.
“Meal kena pergi sebab ada perkara yang kami nak
bincangkan dengan Meal.”
“Nak bincang apa pa?” Ameal kerut kulit di tengah kening.
Firasatnya sebentar tadi ternyata benar. Hati berdebar.
“Tentang Meal dan Marissa.”
“Meal dan Marissa? Kenapa?” Pantas Ameal menyoal. Rasanya
dia sudah boleh meneka.
“Kami nak bincang soal masa depan Meal dan Marissa.
Perkahwinan kamu berdua.”
“Papa tahu kan, Meal belum bersedia lagi nak kahwin,”
bantah Ameal keras. Itu cuma alasan. Entah kenapa dia rasa Marissa bukanlah
perempuan yang sesuai buat dia.
“Meal..., bersedia atau tak itu soal kemudian. Apa-apa
pun kita pergi dulu rumah Datuk Idris. Kita dengar apa dia nak cakap. Apa
cadangan dia. Kita berbincang. Lepas tu barulah Meal buat keputusan. Sudah!
Papa tak mahu dengar apa-apa lagi. Malam ni, papa tahu Meal balik awal. Pukul
tujuh setengah kita keluar rumah. Faham?!” perintah Encik Aidil. Dia terus
melangkah menuju ke pintu. Tidak mahu melanjutkan perbincangan mereka ini. Dia
sudah memutuskan, janji pada sahabatnya itu harus ditunaikan. Ameal tidak boleh
membantah. Tidak boleh berkata tidak.
“Pa...”
“Papa tak mahu bincang apa-apa lagi,” cantas Encik Aidil tanpa
berpaling.
Ameal mendengus marah.
No comments:
Post a Comment