Total Pageviews

Tuesday, June 23, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 34




“Kenapa sambal tumis kak Mah hari ni, lain sangat rasanya?” soal Encik Aidil selepas dia menyuap nasi berlaukkan sambal tumis sotong petai ke dalam mulutnya.
Hurmmm..., betullah Mak Mah. Sedap betul sambal sotong Mak Mah hari ni. Rasa lain dari yang biasa Mak Mah masak,” ulas Anya pula. Berkata dalam mulut yang penuh berisi. Berselera betul dia dengan lauk itu. Kena pula dengan sup ayam yang Mak Mah masak. Fuh! Enaknya tak terkata.
“Abang tak nak rasa ke? Betul.... Anya tak bohong. Sedap gila... Entah apalah yang Mak Mah letak sampai sedap macam ni.” Anya menolak sedikit piring berisi sambal sotong petai ke depan Ameal.
Eeee... tak naklah! Petai nikan busuk? Nanti mulut busuk, urin pun berbau.” Ameal menolak semula piring itu jauh darinya. Tak pernah seumur hidup dia menjamah segala spesies ulam-ulaman yang berbau tengit ni. Baik yang mentah ataupun sudah siap dimasak. Walau macam mana sedap sekalipun Mak Mah masak, takkan dijamah.
“Ruginya abang long tak makan sambal sotong ni. Sedap betul! Kan Mak Mah?” celah Zaira pula.
“Betul ke sedap? Kalau macam tu, tambah nasi lagi. Rugi siapa yang tak makan. Sambal sedap macam ni, bukan selalu kita dapat rasa. Resepi special dari kampung ni,” tutur Mak Mah pula. Tangan sibuk menambah nasi ke dalam pinggan Encik Aidil, Anya dan Zaira.
Ameal hanya memandang. Dia menelan liur apabila melihat papa, adik dan sepupunya berselera menjamah nasi mereka. Teringin juga hendak merasa, tetapi sayang sudah terlepas kata. Hendak dicolek sedikit pun segan. Ah! Ini tak boleh jadi. Dia nak merasa juga. Busuk ke, apa ke, belakang cerita. Mana boleh tahan kalau melihat semua orang makan sampai menjilat jari. Kalahkan makan KFC. Maknanya, sambal tu memang betul-betul sedaplah. Dengan tangan teragak-agak Ameal capai semula piring sambal sotong petai yang ditolaknya tadi. Tengok saja pun sudah nampak sedapnya. Merah pekat dan berkilat. Aromanya buatkan kecur air liur dia.
Ish! Apa abang ni? Malu-malu pulak. Nak ambil sajalah!” usik Anya sambil tangan merampas sudu di tangan Ameal. Kemudian disudukan sambal itu terus ke dalam pinggan abangnya.
Mak Mah dan Dhia tersenyum saling berpandangan. Takut mulut busuklah, urin berbaulah! Tapi nak makan jugak, detak Dhia.
“Eh! Dhia, marilah makan sama-sama. Jangan segan-segan. Ambil pinggan dan nasi tu. Rasa sambal Mak Mah ni. Nanti Ameal habiskan kempunan,” pelawa Encik Aidil. Sempat dia memerli anak terunanya yang kusyuk menjamah sambal sotong petai. Tadi beria-ia menolak. Sekarang ni, beria-ia pula melantak. Encik Aidil tersenyum memandang Ameal.
“Terima kasih Encik Aidil,” ucap Dhia seraya mengambil tempat di sebelah Zaira.
“Mak Mah marilah kita makan sama-sama,” ajak Dhia pula. Dia kemudian menyenduk nasi untuk Mak Mah lalu pinggan itu diletakkan di tempat duduk kosong di sebelahnya, bertentangan dengan Encik Aidil Amri.
“Ya kak Mah. Marilah kita makan sama-sama. Dah lama betul kita tak makan ramai-ramai macam ni. Kalau tak tu, Ameal entah ke mana. Anya dan Zaira terperap dalam bilik. Sudahnya saya sorang di meja ni. Untung Dhia datang hari ni. Dapat kita makan ramai-ramai macam ni,” luah Encik Aidil. Matanya jatuh ke wajah Dhia yang tertunduk malu.
“Memang Dhia pun yang cadangkan kita makan sama-sama tadi encik,” beritahu Mak Mah seraya duduk.
Encik Aidil Amri tersenyum. Anya dan Zaira menyengih. Dhia pula terkedu. Ada ke dia yang mencadangkan mereka makan bersama tadi? Bila masa? Kalau ada pun, itu perkara biasa. Sebab keluarganya pun akan makan beramai-ramai seperti ini juga.
Si Ameal pula lain reaksinya. Dia mencebek tidak suka. Dalam hatinya merungut kerana cadangan Dhia itulah dia terpaksa membatalkan temu janji bersama Liyana, makwe nombor empatnya malam ini. Sebab cadangan Dhia jugalah, buat pertama kalinya Mak Mah tak izinkan dia keluar. Kalau papanya yang tak benarkan, dia pergi juga tapi bila Mak Mah sudah menegah, dia tak sampai hati hendak membantah.
“Meal, tolong hulurkan Mak Mah sambal sotong tu. Mak Mah pun teringin jugak merasa sambal yang Dhia masak tu.” Mak Mah bersuara.
Masing-masing panggung kepala memandang Mak Mah.
“Betul ke kak Mah?” soal Encik Aidil.
“Biar betul Mak Mah?” tanya Anya selepas itu.
“Takkanlah Mak Mah?” tebak Zaira kemudiannya.
Ameal hanya terkedu. Mati-mati ingatkan Mak Mah yang masak. Rupanya tak! Patutlah lain sangat rasanya. Patut ke dia puji? Huh! Jangan mimpi.
“Betul.... Dhia yang masak. Kan Dhia?” balas Mak Mah sambil mata melirik kepada Dhia yang mula tersipu-sipu. Dhia cuma tersenyum membalas pertanyaan Mak Mah itu.
“Ambillah Mak Mah sambal ni. Patutlah tak sedap langsung! Bukan Mak Mah yang masak rupanya.” Ameal menolak jauh piring berisi sambal sotong petai itu darinya.
“Amboi Ameal! Tadi bukan main Mak Mah tengok Meal belasah sambal tu. Agaknya Meal ada masalah deria rasa tak? Dah habis hampir sepiring sambal, nasi dua pinggan, baru cakap tak sedap ke?” perli Mak Mah seiring dengan senyuman di bibirnya.

3 comments: