“Melati nak beli apa?”
Dhia diam tidak menjawab.
“Saya tanya ni..., Melati nak beli apa?”
“Saya nak beli basikal,” balas Dhia sarkastik.
Ameal melihat sekeliling ruang kedai.
“Mana ada basikal dalam kedai ni? Yang awak belek tu pun,
dapur gas. Bukannya basikal,” sanggah Ameal.
“Dah tahu saya tengah belek dapur ni, tentulah nak beli
yang ini,” balas Dhia. Jari runcingnya lurus menunding kepada dapur gas yang
terpamir.
“Nak buat apa?”
“Encik Ameal..., encik tahu tak asrama yang syarikat
sediakan tu, satu benda pun tak ada?”
“Eh! Satu benda pun tak ada? Mana boleh? Saya yang
arahkan Fatimah sediakan katil, tilam dan bantal untuk semua pekerja.”
“Itu memanglah ada. Katil bujang besi, tilam nipis
sekeping dengan bantal sebijik...
Kemudahan lain mana ada? Nak duduk, duduk atas lantai kerusi tak ada. Boring, boring tengok dinding dan
syiling saja TV tak ada. Nak makan? Kena makan dekat luar, perkakas dapur pun
tak ada. Orang miskin macam saya ni Encik Ameal..., mana ada banyak duit hari-hari
nak makan kedai. Kopak poket saya,” leter Dhia panjang.
“Awak ni Melati, kalau dapat bercakap tak cukup sepatah.
Berjela awak menjawab,”
“Dah encik yang tanya, saya jawablah. Kiranya salah
haribulan encik menyoal bila saya menjawab berjela-jela ni. Saya kena bagitau masalah saya, sebab saya rasa
masalah saya serupa dengan masalah budak-budak lain di asrama tu. Kalau Encik
Ameal tak percaya, cuba encik pergi tengok setiap rumah. Confirm masalahnya sama,” celoteh Dhia tidak berkira siapa yang
bersamanya ketika ini. Selamba badak saja dia bidas anak pengarah syarikat. Ameal
diam seketika. Dia kelihatan seperti memikirkan sesuatu.
“Dik! Sini sekejap.” Ameal memanggil salah seorang
pembantu kedai.
“Bagi abang pen dan kertas,” pinta Ameal kepada pembantu
kedai tersebut. Selepas menerima sehelai kertas dan sebatang pen dari budak
lelaki itu, Ameal menyerahkannya kepada Dhia Melati.
“Awak tulis apa barang yang awak perlukan. Syarikat akan
belikan,” arah Ameal.
“Barang? Syarikat nak belikan? Meja, kerusi, sofa, TV
semua tu, boleh ke?” suara Dhia penuh teruja.
“Barang perabot tak bolehlah. Bankrupt syarikat papa saya nanti. Awak tulis barang yang asas
saja.”
“Contoh?” Tak sabar rasanya nak ‘mengetuk’ duit mamat ni. Eh! Bukan, duit syarikat mamat ni.
“Perkakas dapur. Periuk, kuali, dapur, rice cooker, pinggan, mangkuk,
barang-barang yang macam tulah. Saya nak belikan untuk semua rumah dekat hostel
tu,” beritahu Ameal.
Tanpa banyak bicara, Dhia mula menulis senarai
barang-barang yang diperlukan. Rezeki jangan ditolak. Sudah wakil syarikat
sendiri yang baik hati nak belikan, terima sajalah. Jangan banyak tanya. Tak
payah banyak songeh. Karang terbalik hati mamat
ni, tak jadi nak beli, habuk pun tak dapat nanti. Selamat duit poketnya. Paling
bagus, dia juga dapat menolong rakan-rakan seasrama yang lain. Sementara
menunggu Dhia menulis senarai barang yang diperlukan, Ameal membuat panggilan
kepada Fatimah. Dia meminta Fatimah datang ke kedai itu, kerana hanya Fatimah
sahaja yang tahu berapa buah rumah yang di sewa oleh syarikat. Selepas itu, semua
barang keperluan akan diagihkan ke setiap buah rumah. Sedang Ameal dan Dhia
bertelagah mengenai senarai yang ditulis, telefon bimbit Ameal berbunyi. Segera
Ameal mengeluarkan BlackBerry dari poket kotnya. Dia melihat paparan skrin
telefon.
“Papa,” rengus Ameal perlahan.
Dhia kerling sedikit kala Ameal menyebut perkataan itu. Tentu
Encik Aidil mahu memarahi anaknya, teka Dhia. Jam hampir pukul lapan setengah
malam, namun Ameal masih belum terpacul di rumah Datuk Idris Manan. Mestilah
Encik Aidil naik angin. Ameal tekan butang hijau, menjawab panggilan.
“Helo pa... Tak. Meal ada hal... Hal penting pa... Tak.
Kerja tadi dah siap. Ini pasal pekerja kita. Melati mengadu, rumah yang
syarikat sediakan tu tak selesa... Kita tak sediakan kemudahan untuk mereka,
selain dari tempat tidur... Tak boleh tunggu sampai besok, pa. Ini melibatkan
keselesaan pekerja kita... Dekat kedai. Meal tengah uruskan untuk beli
barang-barang keperluan pekerja... Ya, Meal tahu itu kerja Fatimah. Meal dah
telefon pun suruh dia datang, uruskan hal ni... Tak, Meal tak dapat datang.
Lepas ni, Meal dan Fatimah nak hantar barang-barang tu ke setiap rumah. Papa
sajalah makan dengan Datuk Idris tu... Betul, Meal tak bohong. Melati ada
dengan Meal ni... Ya, ada. Papa cakap sendirilah dengan dia. Sekejap,” Ameal
hulurkan telefon bimbitnya kepada Dhia.
“Apa ni?”
“Papa saya nak cakap.”
Dhia cerlung wajah Ameal tajam. Sah! Ini tak lain, tak
bukan, nak babitkan dia lagilah ni! Dengan kasar Dhia ambil BlackBerry dari
tangan Ameal bersama hati yang mendongkol. Siap kau! Ingat aku nak tolong kau.
Jangan harap!
“Assalamualaikum Encik Aidil... Masalah? Oh! Sebenarnya
bukan masalah besar pun. Encik Ameal ni saja nak bikin kecoh... Tak selesa? Tak
adalah. Biasalah, macam pindah rumah baru jugak.
Banyak yang tak ada. Sebenarnya, saya cuma bagitau
saja. Tak sangka pulak Encik Ameal ambik serius... Ya, tengah tunggu Cik
Fatimah... Entah? Encik Ameal nak beli barang tu malam ni jugak... Okey. Baik Encik Aidil. Terima kasih. Sekejap Encik
Aidil... Assalamualaikum.” Telefon dihulurkan semula kepada Ameal. Ameal yang
merenung geram kepadanya, dibuat tak kisah. “Marahlah tu, tak tolong back-up. Tak hingin saya jadi balaci
encik. Nah, Encik Aidil nak cakap dengan encik balik.”
“Memang tak boleh pakai betul,” gerutu Ameal. Telefon disambut
kasar, seperti mana yang dilakukan oleh Dhia kepadanya sebentar tadi.
“Ya pa... Tak boleh. Meal dah telefon Fatimah. Dia dah on the way nak ke sini. Papa pun
tahukan, Meal memang ambil berat tentang pekerja. Tambahan ini soal kebajikan
pekerja... Maaf pa... Okey, kita jumpa dekat rumah saja nanti... Ya, ya. Bye...” Ameal mematikan talian. Baru
saja dia ingin membuka mulut, Dhia sudah mula mem‘basuh’nya.
“Kan saya dah kata tadi, jangan babitkan saya. Kenapa
Encik Ameal suka sangat gunakan saya? Saya ni bukan talian hayat encik tau.
Cakap sajalah terus terang dengan papa encik tu, encik tak nak pergi. Yang
bersusah payah cari alasan, gunakan saya kenapa? Tak fahamlah saya dengan encik
ni. Saya...”
“Diam boleh tak?! Nampak ni?! Saya ikat mulut awak
betul-betul nanti. Nak?!” Ameal menalakan tali lehernya dekat ke muka Dhia. Glup! Muka Dhia pucat. Marah sangat
nampaknya si Ameal. Muka tegang dan bengang. Buatnya Ameal betul-betul ikat
mulut dia dengan tali leher tu, sia-sia saja. Dhia terus terdiam selepas itu.
“Membebel saja dari tadi. Langsung tak boleh mintak
tolong. Tak boleh harap!”
No comments:
Post a Comment