Total Pageviews

Monday, June 15, 2015

Andainya Cinta Itu Ada - Teaser 26




“Kau kenapa Meal? Kalau kau ada masalah, bagitau aku. Kita kongsi. Mana tahu aku boleh tolong kau,” ulang Zakuan. “Semalam, masa kau masuk production meeting pun, aku tengok angin kau semacam saja. Tak pasal-pasal Dhia Melati kena tempias. Kasihan dia Meal. Diakan budak baru. Banyak benda yang dia kena belajar. Janganlah kau marah dia depan kita orang bila dia buat salah. Malulah dia Meal.”
“Haah Meal. Kenapa kau buat dia macam tu semalam? Aku tengok pun kesian. Nasib dia bukan jenis perempuan yang cepat cengeng. Kalau budak lain, aku rasa mahu dah meraung tu,” celah Kamal pula. Dia baru saja selesai membuat lontaran yang kedua.
Bila sahaja kedua temannya itu menyebelahi Dhia, Ameal terus naik radang. Sekarang dia rasa alergi pula setiap kali nama Dhia disebut. Tak semena-mena suhu badannya naik mendadak. Terasa berbahang hingga ke muka. Kalau nak diikutkan, kesalahan gadis itu tidaklah sebesar mana. Setakat tidak menyokong alasannya pada papanya saja, tetapi bila Dhia mem‘bahasa’kan dia di depan staf lain ketika mesyuarat semalam, dia benar-benar rasa tercabar. Egonya tercalar.
“Eh! Kau orang ni kenapa hah? Apasal nak sebelahkan dia? Kau orang sendiri tengok kan, macam mana dia melawan cakap aku semalam? Siap perli-perli aku lagi. Depan semua orang pulak tu. Aku ni bos!”
“Ya... Kita orang tahu kau tu bos, tapi janganlah kau marah dia tak tentu pasal. Kau yang salah. Tak nampak production schedule tu depan mata. Lepas tu, kau marah dia pasal BOM pulak. Pada hal kau belum ajar dia pun lagi. Kan?” kata Zakuan. Semalam, selepas mesyuarat, sempat dia menyoal Dhia tentang perihal BOM itu.
Ameal terdiam. Dia sedar sebenarnya memang salah dia. Kerana egonya sebagai seorang lelaki tambahan dia seorang bos pula, dia rasa harga dirinya diperlekehkan. Ameal mengeluh perlahan.
“Aku ada masalah dengan papa aku sebenarnya,” beritahu Ameal.
“Masalah apa?” aju Kamal ingin tahu.
Ameal memulakan ceritanya, kecuali tentang kenapa papanya mahu mengahwinkan dia dan Marissa. Bagi Ameal itu adalah rahsia peribadi keluarganya. Tidak perlulah dia cerita.
“Aku rasa, memang tak patut pun kau gunakan Dhia untuk mengelak dari pergi rumah Datuk Idris tu. Lagi satu, aku hairan jugak, apasal kau tak nak kahwin dengan si Marissa tu? Bukan ke kau dengan Marissa tu..., sehati, sejiwa, secinta, sekasih?” soal Kamal lagi dalam nada menyindir. Zakuan turut mengiyakan. Walaupun Ameal pasang teman wanita keliling pinggang, dia tahu Marissa adalah pilihan Ameal yang nombor satu.
“Memang aku baik dengan Marissa. Bukan pada Marissa saja, malahan pada semua kawan-kawan perempuan aku yang lain jugak, tapi baik tu sekadar teman tapi mesra saja. Tak adalah sampai nak buat isteri.”
Ish! Tak faham... Tak faham betul akulah,” rungut Kamal.
“Kau orang mungkin pandang aku macam ni. Ramai kawan perempuan, tapi dalam bab memilih isteri, aku ada kriteria aku sendiri.” Ameal membela dirinya.
“Perangai baik sikit saja dari lanun, bila tang bab pilih isteri, demand tinggi! Nak yang naif dan suci murni saja,” perli Zakuan dalam nada bergurau. “Kau kena ingat Meal, bukan semua benda dalam dunia ni kita boleh dapat seperti apa yang kita nak. Selalunya yang kita tak mahu tulah yang kita dapat. Apa yang kita suka, tak mustahil satu hari nanti boleh jadi benci. Dan yang benci mungkin boleh jadi cinta. Macam kau tak suka Dhia Melati. Hidup kita ni Meal, kadang-kadang pelik.”
“Apa benda yang kau mengarut ni Zack?” soal Ameal sambil menjeling tajam. Ameal bangun meninggalkan bangkunya tanpa menunggu balasan dari Zakuan. “Sudahlah! Jom main! Lepas ni aku ada nak jumpa Emalin.”

No comments:

Post a Comment