“Rugi syarikat saya ada pekerja macam awak ni lah!”
Dhia mencebek menyampah. Suruh buat sendiri nanti, baru
padan muka. Ajar orang tak ikhlas langsung! Pandai sangat, buatlah sendiri!
Ameal bangkit dari tempat duduknya. Menghampiri Dhia dan
duduk di sebelah gadis itu. Tubuhnya dirapatkan pada Dhia. Komputer riba di
hadapan Dhia ditarik sedikit. Secara tidak sengaja bahu mereka berlaga. Dhia
jadi kaku tiba-tiba. Haruman lelaki itu singgah di hujung hidungnya. Dia terbuai.
Rasa seperti terbang ke awan. Dan angin itu datang kembali. Angin yang serupa
menerpa ke dalam hatinya ketika pertemuan pertama mereka tempoh hari. Ish! Apasal tiba-tiba rasa lain macam pulak ni?
“Melati! Melati!”
Dhia tersentak. Kembali semula ke alam nyata.
“Saya sibuk mengajar, awak boleh sibuk berangan?!”
“Sssorry Encik
Ameal.”
“Awak berangankan siapa? Boyfriend?!”
“Tttak adalah Encik Ameal. Mana ada saya berangan?”
“Kalau tak berangan apa namanya tu?”
“Tak... Saya tiba-tiba saja teringatkan sesuatu.”
“Boyfriend?!”
Ada juga yang kena cepuk karang. Memang mulut nak kena pasang
insuran. Kalau dicepuk betul-betul, bolehlah mamat ni buat tuntutan.
“Mana ada Encik Ameal. Dah pukul sepuluh. Saya ingat nak
pergi minum dekat kantin sekejap,” dalih Dhia. Telunjuknya menunding kepada jam
di dinding. Tidak tahu alasan apa yang nak diberi kepada Ameal.
“Tengah sibuk-sibuk buat kerja ni awak masih sempat ingat
makan ke? Pergi kantin buat apa? Tu, yang awak bawak tu, bukan sarapan?” Ameal mengarahkan matanya bersama kening
terangkat kepada bungkusan yang terletak bersama beg sandang di sebelah Dhia.
“Itu untuk makan tengah hari saya nanti. Saya dah sarapan
pagi tadi,” beritahu Dhia tanpa berfikir panjang.
“Kalau dah sarapan, buat apa nak pergi kantin?”
“Saya bukan nak makan. Nak minum saja Encik Ameal.”
“Tak payah! Awak pergi pantri buat air dah boleh minum.
Buatkan air untuk saya sekali. Memandangkan saya pun tengah lapar, makan tengah
hari awak ni saya ambik. Disebabkan awaklah,
saya terpaksa datang awal pagi tadi. Sampai saya tak sempat sarapan dekat
rumah.” Sekali lagi Ameal merapatkan tubuhnya. Bahu Dhia dilanggar lagi. Dia
memanjangkan tangannya lalu mencapai bungkusan makanan di sebelah gadis itu.
Dhia terkaku beku. Angin dari tubuh Ameal menderu semula ke
wajahnya. Terus menyelinap ke hatinya. Aduhhh... Jantung sedang luruh
berkeping-keping.
“Pergilah cepat! Sempat nak berangan lagi tu,” sergah
Ameal tiba-tiba.
Dhia tersedar. Tergesa-gesa dia bangkit meninggalkan sofa
dan juga lelaki itu. Tika ini dia benar-benar kalut. Tidak tahu apa yang telah
terjadi kepada dirinya. Pada hatinya. Kenapa keadaan dia begini? Sememangnya perasaan
ini sesuatu yang sukar untuk difahami.
“Saya nak kopi O,” jerit Ameal kuat ketika Dhia menghampiri
pintu.
Dhia berpaling. Ameal sudah mula menyudu nasi lemak ke dalam
mulutnya. Dhia memandang geram. Angin aneh yang menyerbu dalam hatinya terus hilang.
Selamba badak saja Ameal bedal bekalnya. Dia izinkan pun tidak lagi. Tak
halalkan dunia akhirat nanti, baru tahu! Dhia mendengus kuat.
“Tunggu apa lagi? Cepatlah! Nanti saya tercekik,” sergah
Ameal apabila dia melihat Dhia masih lagi tercegat di hadapan pintu.
Sekali lagi Dhia mendengus. Biarlah kau tercekik. Baru
padan dengan muka kau. Main sebat saja bekal aku. Tak tahu malu! gerutu Dhia
sambil kaki melangkah keluar dari bilik itu menuju ke pantri.
Haha.. amboiii dhia.. tak baik buat ameal tercekik.. dah dah gi buat air untuk ameal..
ReplyDelete