Sambil berbaring di atas katil, otak Dhia ligat berfikir
tentang Encik Aidil. Dia teringat peritiswa di tepi pantai semalam. Bila
difikirkan semula, semua soalan Encik Aidil memang kedengaran sangat pelik.
Seperti ingin mengetahui sesuatu dan sesuatu itu Encik Aidil tidak mahu dia
tahu. Bila sikap dan layanan Encik Aidil terlalu baik kepadanya selepas itu,
Dhia bertambah hairan.
“Oi! Berangan apa tu? Kau mimpi mamat tu lagi ke?” sergah Zaira. Dia baru sahaja selesai mandi.
Tuala dililitkan ke kepalanya seperti serban Bhai jual roti paun dekat rumah
pangsa mereka ini.
“Mamat mana ni?”
Jangan si tembam ni kata dia mimpikan abang sepupunya, sudah! Buang karan saja mimpikan
si naga tembaga tu. Tak kuasa nak berebut dengan Marissa. Tengoklah semalam, semasa
mereka duduk bersama di tepi pantai. Perempuan lain yang telefon Ameal, dia
pula yang dipandang macam hendak ditelan hidup-hidup oleh Marissa. Ameal pun
satu. Marissa alias makwe a.k.a bakal tunangnya ada di sebelah,
boleh buat muka selamba menjawab telefon yang berbelas kali berbunyi tu. Panggilan
dari perempuan bernama Liyana saja lebih enam kali. Itu belum termasuk Tina.
Belum dikira Emalin lagi. Yang menjadi mangsa dia. Memang minah senget betul Marissa tu. Sepatutnya marahkan Liyana, Tina dan
Emalin tu. Bukannya dia.
“Alah..., mamat
yang selalu datang dalam mimpi kau tulah! Ke ada mamat lain yang kau mimpikan?” Zaira mengangkat kening kepada Dhia.
“Ooo..., mamat
tu? Yalah, Zaira. Bila kau sebut pasal dia, baru aku teringat. Lama betul dia
tak datang dalam mimpi aku. Sejak aku kemalangan dulu tu! Hairan jugak aku. Sampai sekarang ni, aku tak
pernah mimpikan dia lagi.” Dhia garu dagunya. Cuba mengingati kembali mimpi
itu.
“Elok juga kau tak mimpikan dia lagi.”
“Kenapa pulak?”
Dhia menyoal ingin tahu.
“Sekarang ni kau ada orang lain yang nak dimimpikan,”
senda Zaira. Sekali lagi dia mengangkat keningnya.
Dhia faham maksud usikan Zaira itu. “Kau jangan nak
mengarut, Zaira. Tak ada mananya aku nak mimpikan Abang Long kau tu.”
“Bila masa pulak
aku cakap pasal abang sepupu aku tu? Tengok! Kau sendiri yang sebutkan? Aku tak
cakap apa-apa pun. Itu menunjukkan kau ada rasa something dekat dia,” gurau Zaira lagi. Dia seperti Mak Mah dan
Anya juga. Daripada si Marissa tu, lebih baik Dhia saja berpasangan dengan
abang sepupunya. Walaupun hidung Dhia tak mancung seperti Marissa, Dhia tak
hidung tinggi seperti Marissa.
“Kau ni Zaira, aku...” Kata-kata Dhia terhenti di situ
apabila dia terdengar suara orang memberi salam di luar rumah. Dia amati suara
itu. Rasa-rasanya seperti suara...
“Kau tengok Dhia. Baru kau sebut saja nama dia, dah
muncul semula dekat rumah ni. Dia dapat rasa kau sebut-sebut nama dia. Baru sekejap
tadi hantar kau balik, dah rindu. Tak sabar tunggu besok agaknya. Memang ada
kimia kau orang berdua ni. Ada kimia...”
Dhia geram. Memang nak kena si tembam ni. Tak habis-habis
nak kenenkan dia dengan mamat sengal tu. Bantal kecil yang
mengalas kepala dibaling. Mencicit Zaira berlari keluar dari bilik itu sambil
ketawa.
“Huh! Kimialah sangat!” regus
Dhia. Dia ni spirit sejuk. Ameal tu api yang panas. Dua benda yang berbeza. Kalau
berjumpa, memang kebabomlah jawabnya.
No comments:
Post a Comment